+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Culik, Jual Organ Kanak-Kanak Adalah Mesej Lama Yang Kembali Tular

Benarkah...

Kejadian culik kanak-kanak untuk penjualan organ kembali aktif berdasarkan mesej peringatan dan gambar yang tular di media sosial.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Julai, September 2022

Hasil

Dakwaan itu adalah palsu, ia tular sejak 2017 dan diulang sebar. Gambar mayat kanak-kanak adalah mangsa tragedi serangan kimia di Syria, bukan mangsa penjualan organ.

27/09/2022 03:56 PM

(Laporan ini adalah kemas kini daripada artikel bertajukDakwaan Wujud Sindiket Penculikan Kanak-Kanak Bagi Tujuan Penjualan Organ Adalah Palsu - Polisyang MyCheck siarkan pada 27 Julai 2022).

 

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan kewujudan sindiket penculikan kanak-kanak bagi tujuan penjualan organ ke negara jiran.
  • Pihak polis sahkan dakwaan tersebut sebagai maklumat palsu yang telah tular sejak 2017 dan diulang sebar.
  • Mesej tersebut adalah sama namun menggunakan gambar berbeza.
  • Gambar kanak-kanak yang didakwa mati setelah diambil organ mereka sebenarnya mangsa tragedi kejadian serangan kimia yang berlaku di Ghouta, Syria pada Ogos 2013.
  • MyCheck pernah mengeluarkan laporan isu sama bertajuk ‘Dakwaan Wujud Sindiket Penculikan Kanak-Kanak Bagi Tujuan Penjualan Organ Adalah Palsu - Polis


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Ibu bapa mana yang tidak berasa bimbang jika timbul sebarang isu atau kejadian yang berunsur ancaman terhadap keselamatan kanak-kanak berlaku di negara ini.

Bukan tidak pernah kita dengar, kisah-kisah menyayat hati seperti penculikan dan pembunuhan kanak-kanak yang pernah menggemparkan Malaysia.

Antaranya kes kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Sharlinie Mohd Nashar yang dilaporkan hilang pada 2008 dan Nurin Jazlin Jazimin (2007) yang mayatnya ditemui disumbat dalam sebuah beg sukan.

Baru-baru ini pula, dilaporkan berlaku cubaan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang sedang bermain di halaman rumahnya di Kuantan, Pahang dan beberapa kes seumpamanya yang turut mendapat liputan pihak media.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima dakwaan berkaitan sindiket penjualan organ kanak-kanak masih aktif di negara ini dan kegiatan penculikan itu tertumpu di sekitar ibu kota.

Namun dakwaan tersebut mempunyai dua kronologi cerita yang sedikit berbeza.

Dakwaan atau cerita pertama adalah tangkap layar yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp berserta gambar dengan maklumat tertera harga organ di Malaysia iaitu jantung bernilai RM800,000, buah pinggang RM600,000, mata RM10,000, paru-paru RM100,000 dan hati RM200,000.

Maklumat lain yang tertera adalah seperti berikut :

Penculik sedang mencari kanak-kanak di bawah umur 15 tahun bagi mendapatkan organ tersebut. Sila AWASI anak-anak anda setiap masa sama ada di sekitar atau di luar rumah. Sila berhati-hati dengan kenderaan yang bernombor plat Thailand atau van putih atau hitam serta kenderaan yang meragukan”.

Dakwaan kedua pula diterima dalam bentuk mesej tanpa sebarang gambar atau maklumat lain.

Mesej tersebut mendakwa seorang individu telah kehilangan anak perempuan di Kuala Lumpur dan kemudian dijumpai di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Pemeriksaan polis mendapati sebuah lori ayam dipercayai menculik kanak-kanak itu.

Terdapat enam orang kanak-kanak di dalam lori tersebut yang mana tiga daripadanya tidak boleh bercakap akibat disuntik bahan kimia.

Modus operandinya adalah untuk dihantar ke Thailand, dibunuh dan organ mereka dijual. Dakwa mesej itu lagi sumber maklumat diperoleh daripada anggota tentera yang menjaga sempadan Malaysia-Thailand.

 

Dakwaan Baharu Kes Culik Untuk Jual Organ Kanak-Kanak

(Kemas Kini 27 September 2022)

Baru-baru ini, MyCheck sekali lagi menerima dakwaan mengenai kes penculikan kanak-kanak bagi tujuan penjualan organ.

Dakwaan itu tersebar meluas dan menjadi buah mulut masyarakat terutama di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Lebih mencetuskan kebimbangan masyarakat apabila dakwaan itu disertakan bersama satu gambar mayat beberapa kanak-kanak yang dikatakan mangsa culik dan mati akibat pengambilan organ.

 


Sumber: WhatsApp

 

Maklumat dan dakwaan yang diterima ini pastinya menimbulkan rasa bimbang kepada ibu bapa di luar sana, kejam dan ngeri untuk digambarkan.

Apa pun biar MyCheck semak kesahihan dakwaan ini terlebih dahulu ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mencari maklumat berkenaan kegiatan yang didakwa itu menggunakan enjin carian Google untuk mengumpul lebih banyak maklumat yang berkaitan.

Menggunakan kata kunci 'ibu bapa tolong hati-hati sindiket jual organ didakwa masih aktif', terdapat maklumat sepadan yang kami temui antaranya seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Google

 

Terdapat juga laporan berkenaan isu yang hampir sama dilaporkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Ini mungkin petunjuk awal bahawa perkara ini bukan isu yang baharu berlaku.

Kami kemudiannya meneliti satu persatu pautan berdasarkan hasil carian tersebut untuk mendapatkan lebih banyak fakta serta sumber sahih dakwaan tersebut.

 

Kronologi Cerita Dan Sumber Yang Sama

Berdasarkan penelitian kami pada setiap pautan, jalan cerita serta kisah yang dilaporkan adalah hampir sama antara satu dengan yang lain.

Malah setiap laporan itu turut menggunakan sumber daripada individu yang sama.

Antara laporan itu adalah yang diterbitkan oleh portal beautifulnara.com yang memetik ciapan daripada seorang pengguna di laman Twitter dengan nama akaun @izharruslan.

Berdasarkan laporan portal tersebut, ciapan pengguna tersebut berbunyi :

Benda gini kena sebor. Hati hati belake. pic.twitter.com/aLAcNiWPdF — IR (@izharruslan) July 1, 2022’.

Seterusnya kami cuba menjejaki perkongsian yang dibuat itu di laman Twitter beliau bagaimanapun, ciapan itu dipercayai sudah dipadam berdasarkan carian kami seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Twitter

 

Turut Ditularkan Selebriti

Sebarang maklumat yang dikongsikan tidak kira berkaitan isu sensitif atau tidak, pasti mendapat perhatian umum apabila perkara sedemikian turut disebarkan oleh selebriti popular atau individu berpengaruh.

Menerusi laporan oleh portal majalah keluarga pada 1 Julai 2022, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad menarik perhatian ramai peminatnya mengenai kes penculikan melibatkan penjualan organ yang tular itu.

Beliau menerusi akaun Instagramnya @nabilzira yang mempunyai 2.3 juta pengikut telah memuat naik perkongsian seperti dakwaan yang kami terima.

 


Sumber: Majalah Keluarga

 

Bagaimanapun, kami tidak dapat menjejaki perkongsian asal yang dibuat oleh pengacara dan pelawak tersebut kerana hantaran tersebut sudah tiada atau berkemungkinan telah dipadam.

 

Penafian Pihak Polis

Selain meneliti portal-portal yang melaporkan berkenaan kegiatan tidak berperikemanusiaan itu, kami turut meneliti laporan yang memetik sumber pihak berkuasa.

Menurut portal Berita Harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan wujudnya kegiatan penculikan kanak-kanak untuk penjualan organ ke negara jiran.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP A Skandaguru menjelaskan mesej palsu itu meminta masyarakat berwaspada dengan kejadian penculikan sekumpulan kanak-kanak yang dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.

Dakwaan itu juga menyebut kononnya pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak di dalam kenderaan itu.

PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti mesej tular itu.

Semakan polis juga mendapati sebenarnya mesej palsu itu telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

 

Perkongsian Doktor Perubatan Mengenai Pemindahan Organ

Kami juga sempat mencari maklum balas pengguna media sosial berkenaan isu penculikan kanak-kanak dan penjualan organ.

Satu yang menarik perhatian ialah ciapan seorang doktor perubatan di laman Twitter dengan nama Dr  Hirman Ismail @DrHirman yang dikongsi pada 2019.

Beliau menjelaskan kes penculikan di Malaysia tiada kena mengena dengan sindiket penjualan organ.

Pegawai perubatan itu turut menulis lapan bebenang (thread) sebab mengapa beliau membuat ciapan berkenaan.

MyCheck berpendapat hantaran beliau adalah bermaklumat untuk dikongsi dengan pembaca bagi menambah pengetahuan kita bersama.

Kami kongsikan semula beberapa bebenang oleh @DrHirman di sini.

1. Proses keluarkan organ untuk transplan kepada pesakit adalah proses rumit, hanya boleh dilakukan di hospital. Hanya beberapa hospital di Malaysia yg ada kepakaran ini. Agak mustahil organ dari orang diculik dikeluarkan di lain2 tempat spt rumah atau tepi jalan. 5:19 AM · Feb 11, 2019

2. Kalau benar sindiket jual organ, tentu polis dpt kesan hospital & pakar bedah yg terlibat. Proses bedah hanya boleh dilakukan oleh doktor pakar bedah terlatih dgn bantuan sekumpulan doktor/ jururawat (bkn sorang2), sb proses sgt rumit, bkn macam siang ikan atau ayam ye. 5:20 AM · Feb 11, 2019

3. Organ yg dikeluarkan perlu dipindahkan ke pesakit secepat mungkin. Contoh jantung boleh tahan 6 jam je, buah pinggang 24 jam. Jadi, pesakit selalunya dah stand by & proses ini juga dilakukan hanya di hospital. Kalau ada sindiket tentu polis boleh kesan hosp yg terlibat.

5:20 AM · Feb 11, 2019

4. Kalau organ dicuri utk dieksport pun agak mustahil sb organ ni bukan boleh tahan lama. Tak sempat nak eksport pun. Organ disimpan di dalam cecair khas (distributor pun terhad), bukan boleh masuk freezer mcm kita simpan ayam kat rumah boleh tahan berminggu2. 5:21 AM · Feb 11, 2019

5. Nak habaq lagi sekali, proses keluarkan organ adalah rumit bg memastikan organ itu dpt digunakan. Selalunya, bukan kerja seorang pakar bedah tapi sekumpulan doktor. Kalau betul sindiket, memang ramai doktor terlibat, tak mungkin, senang kantoi.5:21 AM · Feb 11, 2019


Mesej Culik Kanak-kanak Untuk Penjualan Organ Kembali Tular Dua Bulan Kemudian 

(Kemas kini 27 September 2022)

Isu berkaitan keselamatan anak-anak tidak akan pernah 'sunyi' untuk dibincangkan dalam kalangan masyarakat kita.

Faktanya, ibu bapa mana yang tidak risau jika timbul dakwaan yang membimbangkan melibatkan keselamatan anak-anak.

Malah kami di MyCheck Malaysia juga berpendirian bahawa isu seumpama ini tidak harus dipandang ringan.

Atas sebab itu kami tetap terus mengambil inisiatif untuk memeriksa kesahihan maklumat di sebalik dakwaan ini.

Belum lama, iaitu kira-kira dua bulan lepas pada Julai, MyCheck menerima dakwaan wujud kes penculikan kanak-kanak untuk penjualan organ dan hasil semakan kami mendapati perkara tersebut adalah tidak benar.

Pihak polis turut menafikan kes tersebut.

Baru-baru ini kami menerima lagi dakwaan yang mempunyai jalan cerita kes yang didakwa itu adalah serupa cuma kami dapati gambar yang digunakan tidak sama.

Hasil semakan MyCheck mendapati perkara itu juga merupakan dakwaan palsu yang telah dikitar semula.

Maklumat yang kami semak menunjukkan bahawa dakwaan itu adalah kejadian palsu yang sama telah ditularkan sejak 2017.

Menggunakan Google Image Search, kami mendapati bahawa gambar kanak-kanak yang bergelimpangan itu adalah mangsa kejadian serangan kimia di Syria sembilan tahun lepas.

 


Sumber: en.zamanalwsl.net

 

Pihak polis juga telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu serta menegaskan bahawa isu yang sama telah dikitar semula.

Beberapa portal berita antaranya Berita Harian dan Sinar Harian juga turut mengelurkan laporan penafian pihak polis berhubung isu itu.

Selain itu, dakwaan ini juga disemak oleh beberapa portal lain yang turut melakukan inisiatif semakan fakta.

Hasil yang mereka jumpai juga sama dengan maklumat yang kami periksa.

Antara laporan mereka adalah Says- Are These Malaysian Kids Being Smuggled To 'Organ Farms' Across The Thai Border? dan Is This an Image of 'Child Organ Trafficking Victims' in Thailand? | Snopes.com.

 

KESIMPULAN

Memang tidak dinafikan isu ini bukan sesuatu yang boleh dipandang sebelah mata jauh sekali untuk kita abaikan kerana ia berkait dengan keselamatan anak-anak.

Malah tiada siapa mampu menolak kemungkinan perkara ini boleh berlaku.

Bak kata pepatah, malang tidak berbau, lebih baik kita waspada daripada berendam air mata di kemudian hari.

Apa yang ingin kami tekankan di sini, memang tiada kompromi dengan kegiatan sekejam ini jika ia terjadi, justeru ibu bapa perlu sentiasa peka akan keadaan dan keselamatan anak-anak tidak kira sama ada sudah ada insiden atau tidak.

Namun tindakan menyebarkan dakwaan tidak benar, lebih-lebih lagi tanpa asas yang kuat amatlah tidak wajar kerana boleh menimbulkan kebimbangan yang melampau dalam kalangan orang ramai terutama ibu bapa.

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, tiada input yang mengesahkan kegiatan penculikan untuk penjualan organ di negara ini.

Sehubungan itu kami klasifikasikan dakwaan yang diterima sebagai tidak benar.

Nasihat kami di MyCheck, berkongsi sesuatu maklumat dengan niat menjaga keselamatan orang tersayang itu sangat baik, namun pastikan maklumat tersebut sahih agar tidak menimbulkan rasa terancam sehingga menggugat rasa selamat di negara sendiri.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. [VIDEO] Mesej tular culik, jual organ kanak-kanak palsu: PDRM 

  2. Mesej tular sindiket culik dan jual organ adalah palsu -Polis 

  3. http://www.onenews.my/mesej-tular-culik-jual-organ-kanak-kanak-palsu-pdrm/ 

  4. https://says.com/my/seismik/video-viral-kes-culik-di-krubong-adalah-palsu 

  5. "Jangan Mudah Percaya!" - Isu Tular Culik Kanak-kanak & Jual Organ Adalah Palsu, Kata PDRM | TRP 

  6. Bukit Aman nafi budak diculik untuk organ 

  7. “Ibu Bapa Tolong Hati-Hati” – Sindiket Jual Organ Kanak-Kanak Didakwa Masih Aktif, 'Target' Penculikan Sekitar Ibu Kota

  8. “Ibu Bapa Tolong Hati-Hati” – Sindiket Jual Organ Kanak-Kanak Didakwa Masih Aktif, 'Target' Penculikan Sekitar Ibu Kota

  9. Kehilangan Eric tiada kaitan sindiket jual organ-hmetro 

  10. Lelaki Dalam Rakaman Akhbar UK Disyaki Terlibat Sindiket Jual Organ Manusia Ditahan 

  11. Nauzubillah! Nabil Beri Peringatan Kes Sendikit Culik Dan Jual Organ Kanak-Kanak, Bikin Netizen Terkejut! - KELUARGA 

  12. Assad's chemical attacks kill 871 children at least: NGO says 

  13. Says- Are These Malaysian Kids Being Smuggled To 'Organ Farms' Across The Thai Border? 

  14. Berita Harian : Mesej palsu kejadian culik, jual organ kanak-kanak tersebar semula - PDRM 

  15. Is This an Image of 'Child Organ Trafficking Victims' in Thailand? | Snopes.com 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.