+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Sup Ketam Kaya Dengan Zat Untuk Badan Tetapi Bukan Penyembuh Demam Denggi

Benarkah...

Sup ketam boleh menyembuhkan demam denggi.

Sumber : Twitter / September 2022

Hasil

Sup ketam tidak memberi apa-apa tindak balas fisiologi terhadap demam denggi namun ia boleh diamalkan kerana kaya dengan protein dan karbohidrat. 

29/09/2022 11:19 AM

SEKILAS FAKTA

  • Ramai yang percaya sup ketam mampu merawat dan menyembuhkan penyakit demam denggi tanpa perlu mendapatkan rawatan di pusat perubatan.
  • Tiada kajian sahih berhubung kepercayaan itu.
  • Sup ketam kaya dengan zat untuk badan kerana mengandungi protein dan karbohidrat yang boleh membantu pesakit denggi dalam fasa penyembuhan.
  • Namun, khasiat sama juga boleh didapati dalam sup ayam dan sup ikan.
  • Pesakit dinasihati mendapatkan rawatan di pusat perubatan terlebih dahulu sebelum mencuba makanan atau rawatan alternatif.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Petua mengenai pengambilan sup ketam sebagai rawatan denggi sudah lama menjadi kepercayaan dalam kalangan masyarakat kita bahkan diamalkan sejak turun-temurun.

Ramai yang percaya sup ketam sangat berkhasiat dan boleh menyembuhkan mereka yang dijangkiti demam denggi.

Makanan ini dikatakan penawar demam denggi tanpa pesakit perlu berjumpa dengan pengamal perubatan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Selepas laporan MyCheck mengenai pengambilan jus betik dalam mengubati demam denggi yang disiarkan pada 15 Jun 2022, kami mendapat respons daripada ramai pihak yang ingin kami melakukan semakan mengenai khasiat sup ketam pula.

MyCheck akui kes demam denggi yang meningkat saban tahun bahkan tertinggi pernah dilaporkan sejak 2021 menurut laporan Sinar Harian ini, mengundang kebimbangan ramai.

Justeru kami merasakan perlunya semakan dilakukan berhubung isu ini.

Dengan menggunakan kata kunci ‘sup ketam’ di Twitter, kami menjumpai pelbagai perkongsian dan pengalaman orang ramai mengenai sup ketam dan denggi.

Bahkan, ada yang berusaha mencari sup ketam di merata tempat dan tidak kurang juga yang menjadikan sup ketam sebagai sumber pendapatan dengan menjual kepada pesakit denggi.

Namun, adakah kepercayaan ini betul? Jom MyCheck semak.

 


Sumber: Twitter

 

APA YANG KAMI TEMUI

Tiada Kajian Saintifik

Menurut laman sesawang kesihatan Hello Doktor, tiada kajian saintifik yang  boleh membuktikan sup ketam mampu merawat denggi.

Ia berbeza dengan jus betik yang disahkan boleh menjadi penawar sampingan kerana membantu menaikkan platelet darah pesakit denggi berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), sebagaimana laporan MyCheck sebelum ini.

Kementerian Kesihatan juga ada berkongsikan bahawa dakwaan sup ketam boleh mengubati demam denggi adalah mitos semata-mata.

Anda juga boleh baca perkongsian doktor-doktor bertauliah dari Medical Mythbusters Malaysia di sini. Mereka turut menyifatkan kenyataan ini adalah mitos.

 

Boleh Bawa Bahaya?

Menurut Hello Doktor, ketaksuban dan penyebaran mitos peranan rawatan atau pemakanan alternatif seperti pengambilan sup ketam untuk mengubati denggi merupakan sesuatu yang berbahaya.

Mengapa?

Ini kerana, kepercayaan yang kuat terhadap peranan rawatan alternatif akan membuatkan pesakit melengah-lengahkan untuk mendapatkan rawatan di hospital yang sepatutnya dilakukan dengan segera.

Pesakit akan terus mencuba apa yang ‘dikongsikan’ oleh orang ramai dahulu daripada mendapatkan nasihat pengamal perubatan.

 

Tidak Salah Untuk Cuba Sup Ketam

Pengambilan sup ketam sebenarnya boleh dijadikan sebagai makanan berkhasiat dan pelengkap untuk rawatan yang diberikan oleh pihak hospital.

Kami ulang, ia dijadikan sebagai pelengkap rawatan di hospital.

Menurut portal myhealth dan idengue, antara simptom demam denggi adalah muntah dan kurang selera makan.

Oleh itu, pesakit denggi memerlukan makanan yang tinggi dengan kalori dan protein apabila mereka telah tiba ke fasa kebah demam.

Terdapat kelebihan pada sup ketam yang dikenal pasti dapat membantu pesakit iaitu ia merupakan makanan yang mudah untuk dimakan, mudah diserap oleh badan dan juga memberikan zat kerana mempunyai protein dan karbohidrat.

 


Sumber: MyCheck

 

Keperluan kalori dan protein dalam diet pesakit boleh ditingkatkan sehingga 50 peratus daripada keperluan harian biasa.

Namun, tidak semestinya sup ketam sahaja, apa-apa jenis makanan yang tinggi kalori dan protein seperti sup ayam atau ikan juga boleh membantu fasa penyembuhan demam denggi dengan syarat ia haruslah diambil dengan kerap.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pengambilan sup ketam sama ada ketam biasa atau ketam nipah bukanlah satu alternatif untuk penyembuhan demam denggi.

Namun, ia adalah makanan berkhasiat yang boleh memberikan zat dan menambah tenaga pesakit denggi.

Protein dan karbohidrat yang terdapat dalam sup ketam mampu membantu pesakit dalam proses penyembuhan.

Tetapi jangan lupa, anda juga harus meminum air yang banyak sekurang-kurangnya lapan gelas untuk menjadikan anda bertenaga.

Pesan MyCheck, dapatkan rawatan di pusat perubatan dahulu, kenal pasti penyakit anda dan selepas itu barulah dapatkan nasihat doktor mengenai apa yang ingin anda makan.

Selain itu bersihkan sekeliling rumah anda, jangan biarkan air bertakung sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Nikmati sup ketam ketika sihat pasti lebih enak berbanding ketika anda sudah dijangkiti, lesu tanpa selera, sup ketam pun tiada rasa.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Hello Doktor ‘Makan Sup Ketam Untuk Ubati Demam Denggi: Fakta Atau Mitos?’ 

  2. Myhealth.gov.my 'Demam Denggi' 

  3. idengue "Tanda-tanda denggi dan rawatan"

  4. Medical Mythbusters Malaysia 'Demam Denggi' .

  5. Kementerian Kesihatan Malaysia ‘Mitos mengenai Denggi’ 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.