+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

PRU15: Dakwaan Warga Bangladesh Miliki MyKad Adalah Tidak Benar, Pemilik Kad Pengenalan itu Sebenarnya Rakyat Malaysia Berbangsa India

Benarkah...

Warga Bangladesh diberikan kewarganegaraan Malaysia secara haram apabila memiliki kad pengenalan (MyKad) dengan identiti seorang lelaki berbangsa Cina.

Sumber : Sumber: WhatsApp & Facebook / Oktober

Hasil

Pemilik MyKad tersebut bukan warga Bangladesh tetapi rakyat tempatan berketurunan India yang ditukar nama Cina kerana dibesarkan oleh keluarga berbangsa Cina.

15/11/2022 03:04 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di WhatsApp dan media sosial MyKad seorang lelaki dengan nama Pang Chee Pin yang biasanya merupakan nama kaum Cina.
  • Namun, ia mencetuskan kekeliruan kerana gambar yang tertera pada MyKad tidak menyerupai kaum Cina.
  • Timbul dakwaan bahawa gambar lelaki yang tertera pada MyKad itu adalah warga Bangladesh namun telah diberikan kewarganegaraan Malaysia secara haram untuk dijadikan pengundi 'hantu' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
  • Pemegang MyKad tersebut sebenarnya merupakan warganegara Malaysia berketurunan India yang diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga Cina di Segamat, Johor.
  • Sememangnya terdapat prosedur menukar nama mengikut situasi dan syarat mengikut peraturan tertentu yang dibenarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
  • Isu Pang Chee Pin ini pernah tular pada 2017 dan menjadi modal politik.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Kad pengenalan atau MyKad merupakan 'dokumen' berteknologi bagi merekod serta menyimpan data rasmi seseorang individu.

Justeru, ia amat penting untuk dibawa ke mana sahaja khususnya ketika melakukan segala urusan rasmi seperti proses perbankan, undang-undang, daftar kesihatan, pekerjaan, prasarana awam seperti urusan transaksi dalam talian dan banyak lagi.

'Kad Pintar' ini juga sebagai bukti seseorang itu merupakan warganegara yang sah kerana mempunyai teknologi biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat Malaysia.

Semua ini tidak lain adalah bagi mengelakkan penipuan atau pemalsuan identiti terutamanya jika melibatkan urusan secara dalam talian.

MyKad juga penting ketika Pilihan Raya Umum (PRU) bagi membolehkan semua rakyat menjalankan tanggungjawab mengundi dan memilih pemimpin untuk menerajui negara.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck Malaysia menerima dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan terdapat ramai warga Bangladesh pemegang MyKad dengan nama individu berbangsa Cina.

Mesej yang dikongsi dalam bahasa Inggeris itu turut mengaitkan perkara berkenaan dengan PRU yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Berdasarkan maklumat yang diterima, tertera gambar seorang lelaki berkulit gelap pada MyKad itu dengan nama Phang Chee Pin dan beralamat di Segamat Baru, Segamat Johor.

Mesej berserta gambar yang kami terima menerusi WhatsApp adalah seperti berikut :

 


Sumber: WhatsApp

 

Dakwaan tersebut dikongsi ramai pihak di pelbagai platform.

Ia mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai yang kebanyakannya tidak berpuas hati dan mempersoalkan undang-undang kerajaan Malaysia apabila dengan mudahnya memberikan kewarganegaraan kepada rakyat negara lain terutama menjelang PRU.

Persoalannya, benarkah warga negara lain boleh memiliki MyKad Malaysia sebagai pengenalan diri?

Apa pun biar MyCheck semak dakwaan ini terlebih dahulu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Jenis-Jenis MyKad Malaysia

Sebelum kami mengulas lebih lanjut lebih baik kita fahami dahulu ciri-ciri dan beberapa jenis pengenalan diri yang terdapat di negara kita.

MyKad diperbuat daripada bahan polikarbonat yang dilengkapi dengan cip untuk mengelakkan pemalsuan selain mengandungi maklumat lengkap pemilik termasuk gambar, cap jari, bangsa dan agama.

Mulai Januari 2012, ciri keselamatan dan kecanggihan MyKad telah dipertingkatkan lagi.

Ciri-ciri baharu yang ditambah baik pada MyKad ialah “ghost image” yang dihasilkan daripada teknologi tulisan laser pada permukaan kad.

Selain untuk mengelakkan pemalsuan, ia juga dilengkapi  dengan perlindungan anti salin.

Selain MyKad yang berwarna biru muda, terdapat MyKid yang berwarna merah jambu.

Semua bayi yang lahir bermula Januari 2005 turut mempunyai kad pengenalan tanpa gambar.

Menurut portal daily rakyat Perkataan ‘Kid’ bermaksud ‘Kad Identiti Diri’ dan juga bermaksud ‘budak’ dalam bahasa Inggeris.

MyKid adalah kad ganti bagi Sijil Kelahiran yang lebih mudah dibawa kemana-mana sahaja. Ini bermakna bayi tersebut tidak hanya mempunyai nombor sijil kelahiran, sebaliknya diberikan terus nombor kad pengenalan yang seterusnya akan digunakan dalam MyKad selepas mereka genap usia 12 tahun.

Selain itu, terdapat kad pengenalan berwarna merah yang juga dikenali sebagai MyPR.'PR' merujuk kepada singkatan bagi 'Permanent Resident'.

Jenis kad ini diperkenalkan sejak Jun 2006 khusus untuk pemastautin tetap di Malaysia.

Bahagian belakang MyPR turut tertera cetakan data mengenai negara asal pemegang termasuk nombor permit pemastautin tetap.

Seterusnya, MyKAS merujuk kepada kad pengenalan bagi seorang pemastautin sementara bukan Warganegara Malaysia.

Ia berwarna hijau dan dikeluarkan kepada seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraan individu berkenaan tidak dapat ditentukan.

Tempoh sah laku MyKAS adalah selama lima tahun daripada tarikh kad dikeluarkan.

Contoh gambar MyKid, MyPR dan MyKAS boleh dilihat di sini.

 

Identiti Phang Chee Pin Pernah Dilapor Dan Tular pada 2017

Seperti biasa, perkara paling asas dalam semakan fakta ialah membuat carian rawak menerusi enjin carian Google bagi melihat sama ada isu seumpamanya pernah berlaku atau telah dilaporkan oleh media atau tidak.

Kami membuat carian menggunakan kata kunci 'kad pengenalan muka india nama cina' dan hasil yang kami peroleh menunjukkan banyak laporan yang sepadan dengan carian seperti dalam gambar di bawah.

 


Sumber: Google

 

Malah berdasarkan maklumat yang kami peroleh menunjukkan isu kekeliruan identiti Phang Chee Pin ini pernah tular sehingga mendapat liputan media pada 2017.

 

Pemilik MyKad Bukan Warga Bangladesh

Berdasarkan laporan oleh portal Sebenarnya.my, JPN menjelaskan bahawa perkara tersebut merupakan salah faham yang mana pemegang MyKad itu sebenarnya merupakan seorang yang berketurunan India dan merupakan anak angkat kepada ibu bapa berketurunan Cina.

Ini bermaksud Pang bukanlah warga Bangladesh seperti yang didakwa, malah beliau merupakan rakyat Malaysia yang sah.

Menurut laporan portal Mstar, kunjungan The Star ke alamat di Segamat Baru yang tertera pada MyKad itu mendedahkan bahawa Pang dibesarkan oleh keluarga angkat berketurunan Cina sejak dia dilahirkan.

Difahamkan Pang juga fasih berbahasa Mandarin, Hakka dan Kantonis serta bersekolah di sebuah sekolah rendah Cina. Video Pang berbahasa Mandarin boleh ditonton di sini.

 


Sumber: YouTube The Rojak Pot

 

Proses Tukar Nama Atau Maklumat Pada Kad Pengenalan

MyCheck turut mencari maklumat berkenaan proses penukaran nama atau maklumat pada kad pengenalan.

Sememangnya terdapat prosedur tertentu yang tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk permohonan menukar nama anak.

Bukan itu sahaja, malah seseorang individu dewasa juga boleh membuat permohonan penukaran nama atau maklumat pada MyKad mereka dalam situasi dan alasan tertentu yang tertakluk di bawah peraturan yang diterima pakai oleh JPN.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah MyCheck periksa, dakwaan tersebut dikategorikan sebagai tidak benar.

Pemilik MyKad tersebut sememangnya warganegara Malaysia dan tiada kaitan dengan isu warga Bangladesh yang memiliki kad pengenalan haram.

Ternyata ada kisah unik di sebalik pelbagai dakwaan tidak benar itu.

Pesan kami di MyCheck, jika kita tidak tahu kesahihan sesuatu berita atau informasi yang diterima itu, janganlah pula mudah menyebarkan dengan pelbagai andaian liar yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan menggugat keharmonian masyarakat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Kad Pengenalan : Sejarah Dan Evolusi Memacu Kepintarannya 

  2. Kad Pengenalan Malaysia Diberikan Secara Haram? | SEBENARNYA.MY

  3. Lelaki India Nama Cina Pada MyKad Anak Angkat - Semasa | mStar

  4. Pang Chee Pin... Lelaki Berwajah Bangla, Bernama Cina « MYNEWSHUB

  5. Evolusi kad pengenalan

  6. Kad Pengenalan Rosak Atau Hilang? Ini Cara Untuk Mohon Gantian Secara Online | TRP

  7. MANAGING PERSONAL IDENTIFICATION | MyKad Registration 

  8. Youtube The Rojak Pot: Pang Chee Pin speaking Mandarin  

  9. Indian with Chinese name on MyKad was adopted | The Star 

  10. Apa Itu MyKad, MyPR dan MyKas? Ini Perbezaan Yang Warganegara Malaysia Mesti Ambil Tahu - Edu Bestari 

  11. Cara Ubah Nama Anak Yang Didaftarkan Di JPN 

  12. Cara mudah tukar nama anak di JPN, mak-mak wajib tahu - Sinar Plus 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.