+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Wujud Keturunan ke-38 Nabi Muhammad S.A.W Tidak Dapat Disahkan

Benarkah...

Sayyid Muhammad Amin Hamid Al Idrisi Al Hasani merupakan cicit Nabi Muhammad S.A.W.

Sumber : Twitter / Oktober 2022

Hasil

Dakwaan individu berkenaan tidak dapat disahkan kerana tiada sebarang bukti sahih yang dikemukakan.

27/10/2022 10:51 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu artikel semakan latar belakang seorang lelaki dari luar negara yang mendakwa dirinya merupakan keturunan ke-38 cicit junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang disebarkan di laman Facebook.
  • Artikel asal sebenarnya dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan bukannya dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
  • Terdapat pelbagai keterangan dan dakwaan bercampur daripada pelbagai sumber mendakwa lelaki berkenaan merupakan keturunan cicit Rasulullah S.A.W.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Tular di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok berhubung identiti seorang lelaki dari luar negara yang mendakwa dirinya merupakan keturunan ke-38 cicit Rasulullah S.A.W.

Individu berkenaan yang dikenali dengan nama panggilan Maulid Agung Al-Mustafa dikatakan cicit kepada Rasulullah S.A.W.

Perwatakannya yang warak serta pertuturan yang lemah lembut menguatkan lagi dakwaan berkenaan.

Kedatangannya ke Malaysia baru-baru ini dipercayai atas jemputan sebuah pertubuhan agama sempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada 9 Oktober lepas.

Lelaki tersebut dilaporkan telah mengadakan ceramah di Pulau Pinang namun pihak berkuasa agama di beberapa negeri tidak memberi kelulusan kepada penganjur yang berhasrat membawa lelaki berkenaan menyampaikan ceramah agama di beberapa negeri kerana ketiadaan surat tauliah.

Antara negeri berkenaan adalah Terengganu, Melaka, Selangor dan Kelantan.

Surat tauliah adalah surat pelantikan atau surat kepercayaan yang diberikan oleh pihak berkuasa agama negeri kepada mereka bagi melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ajaran Islam atau mengadakan ceramah agama.

Tauliah agama cukup penting bagi memastikan mereka yang diiktiraf sahaja dibenarkan untuk mengajar dan membimbing masyarakat.

 


Sumber: Twitter

 

MENGENAI DAKWAAN

Kami menemui sebuah ciapan seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @eryazmi yang berkongsi sebuah laporan semakan latar belakang lelaki berkenaan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik).

Berdasarkan laporan dalam semakan latar belakang itu, lelaki berkenaan merupakan Sayyid Muhammad Amin bin Hamid Al Idrisi Al Hasani dan berasal dari Algeria namun mempunyai kerakyatan Maghribi dan Perancis.

Lelaki berkenaan yang kini menetap di Fes, Maghribi dikatakan terlibat dengan beberapa kontroversi di Maghribi.

Antaranya adalah penipuan berkaitan duit iaitu penipuan terhadap pihak Zawiyah Sidi Kasem ben Rahmoun di Bandar Fes bandar kedua terbesar di Maghribi serta permasalahan dengan pihak Moulay Zouber Kettani.

 


Sumber: Twitter

 

APA YANG KAMI TEMUI

Kesahihan Dakwaan Latar Belakang Sayyid Muhammad Amin

Perkara pertama yang kami semak adalah mengenai kesahihan dakwaan dalam artikel berkenaan yang mendakwa bahawa ia berdasarkan sumber daripada Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kami tidak menemui sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Jakim menerusi laman Facebook mereka namun Sinar Harian melaporkan mengenai isu berkenaan dan gambar artikel tersebut merupakan hasil semakan Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (Jheaik) dengan pihak berkuasa Maghribi.

Pengarah Jheaik Datuk Che Mohd Rahim Jusoh yang dipetik menerusi laporan Sinar Harian itu berkata hasil semakan mereka dengan pihak berkuasa Maghribi mendapati wujudnya keraguan  terhadap latar belakang lelaki berkenaan yang dikenali dengan nama penuh Sayyid Muhammad Amin Hamid AI Idrisi Al Hasani.

Che Mohd Rahim pada masa sama turut menasihatkan pihak berkaitan supaya mendapatkan pengesahan pihak berwajib terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.

 


Sumber: Sinar Harian

 

Pelbagai Laman Blog Dedah Biodata Sayyid Muhammad Amin

Semakan kami menemui beberapa laman sesawang yang mendedahkan mengenai latar belakang Sayyid Muhammad Amin yang mendakwa dirinya merupakan keturunan cicit ke-38 Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut laman sesawang alhaqcentremalaysia, Sayyid Muhammad Amin mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Awam dari sebuah universiti di Nigeria dan Ijazah Sarjana dalam Sains Politik dari University of Nice Sophia Antipolis, Perancis.

Penulis dalam laman sesawang berkenaan turut mempersoalkan ketaksuban segelintir pihak yang mengangkat atau mengagungkan lelaki berkenaan berbanding keturunan Raja Jordan (jalur keturunan Dinasti Hashimiyah) yang merupakan jalur keturunan Nabi Muhammad yang lebih jelas.

Penulis sama turut mendedahkan bahawa seorang rakyat Indonesia, Ustaz Adhli Al-Qarni yang sudah menetap sekian lama di Maghribi mengetahui latar belakang sebenar Sayyid Muhammad Amin kerana beliau dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pelbagai tokoh agama di Maghribi.


 


Sumber: Laman sesawang alhaqcentremalaysia

 

Seorang penulis buku dan pendakwah bebas, Ustaz Syihabudin Ahmad menerusi laman Youtube turut melontarkan pandangannya dan terkejut kerana ada segelintir pihak di negara ini menyamakan Sayyid Muhammad Amin seperti Imam Mahdi dan menggambarkan melihat individu berkenaan seumpama melihat Rasulullah S.A.W.

Beliau mendakwa lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang sifat seperti Imam Mahdi dan bukan merupakan seorang ulama kerana mendapat pendidikan formal termasuk dalam bidang guaman dan bukannya pendidikan agama di beberapa universiti luar negara.

“Ringkasnya tiada pengajian Islam yang formal yang beliau belajar? Apa sebab kita hendak angkat dia lebih daripada orang lain? Dia bukan alim ulama, dia bukan cendekiawan,” jelasnya menerusi saluran YouTube beliau.

 

Komen Jakim Dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Walaupun Jakim tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun kami menemui jawapan ringkas jabatan itu berhubung isu berkenaan selepas ditanya oleh seorang pengguna Facebook iaitu Mohammad Syahir di ruangan komen Jakim.

Menurut Jakim, mereka mengambil maklum mengenai kehadiran lelaki berkenaan ke negara ini dan percaya pihak berkuasa agama negeri dan pihak bertanggungjawab mengambil maklum mengenai program-program yang dihadiri oleh individu terbabit.

Jakim bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati berhubung dakwaan tidak jelas daripada lelaki berkenaan yang mendakwa dirinya merupakan keturunan cicit Rasulullah S.A.W.

 


Sumber: Facebook

 

Selain Jheaik dan Jakim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad turut memberi ulasan mengenai isu berkenaan dengan menyeru semua pihak supaya tidak menyalahkan Jakim dalam isu tersebut.

Idris menjelaskan Jakim tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam berhubung seorang individu yang mendakwa dirinya merupakan cicit Rasulullah S.A.W dan dikatakan terlibat dengan beberapa penipuan.

“Sesetengah pihak menuding jari mengatakan Jakim tidak mengambil tindakan namun sebenarnya perkara ini di luar bidang kuasa kerana tindakan tertakluk di bawah bidang kuasa negeri," katanya seperti dipetik menerusi laporan Harian Metro baru-baru ini.

Komen beliau mengenai isu berkenaan turut disiarkan oleh beberapa media arus perdana tempatan seperti Berita Harian, Sinar Harian, Utusan Malaysia dan Kosmo selain beberapa media alternatif seperti Malaysia Gazette.

 

Perbezaan Pendapat Para Agamawan Dan Warganet

Jika berbicara mengenai soal agama, semestinya para agamawan seperti ustaz dan mufti turut menerima persoalan yang sama daripada orang awam.

Kebanyakan daripada mereka bagaimanapun melontarkan pendapat yang berbeza mengenai dakwaan lelaki berkenaan kononnya beliau merupakan cicit Rasulullah S.A.W.

Menurut penceramah selebriti Ustaz Azhar Idrus, tugas berkenaan sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa agama yang lebih arif terutamanya bagi mengenal pasti adakah individu berkenaan sememangnya merupakan cicit Rasulullah S.A.W atau tidak.

Beliau menerusi saluran YouTube turut menasihati orang ramai supaya tidak mempertikaikan nasab atau keturunan seseorang individu kerana ia ditegah dalam agama Islam.

“Kalau dia (Sayyid Muhammad Amin Hamid) adalah keturunan (cicit Nabi Muhammad S.A.W), Alhamdulillah, kalau bukan tak ada masalah,” jelasnya.

Penceramah bebas Ustaz Elyas Ismail menerusi saluran YouTube pula berkata tidak salah seseorang individu mendakwa dirinya merupakan keturunan Rasulullah S.A.W.

Namun jelasnya ia haruslah berdasarkan bukti yang kukuh dan bukannya mendapatkan sanjungan daripada orang ramai sehingga mewujudkan ketaksuban kepada individu berkenaan.

“Kalau benar betul beliau merupakan keturunan Nabi (Muhammad) S.A.W, maka perlu dibuktikan.

“Saya ada tengok satu keratan video, dia (Sayyid Muhammad Amin) telah membaca nama beliau sehingga ke nama Nabi Muhammad S.A.W, maka kalau boleh bukan sekadar disebutkan sahaja, mesti diberikan bukti-bukti yang sahih kepada pihak berkuasa,” tegas Ustaz Elyas.

Beliau menjelaskan ia bukan sahaja penting untuk mengelakkan individu berkenaan menggunakan nama Rasulullah S.A.W sewenang-wenangnya malahan mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi sebuah saluran YouTube pula menasihatkan orang ramai supaya tidak mempersoalkan motif atau tujuan individu berkenaan masuk ke negara ini.

Beliau memaklumkan orang ramai tidak seharusnya berprasangka buruk terhadap individu berkenaan sekiranya beliau hadir dengan niat yang baik dan betul.

Selain itu kami dapati ada masyarakat terutama warganet yang percaya bahawa dakwaan lelaki berkenaan adalah benar.

Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama akaun Mimi Asmara memuat naik sebuah klip pendek mengenai dakwaan lelaki berkenaan merupakan cicit Rasulullah S.A.W.

Selain itu, pengguna Twitter itu turut membuat satu lagi dakwaan bahawa lelaki itu mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemerintah Maghribi, Raja Muhammad IV.

 

Benarkah Wujud Keturunan Nabi Muhammad S.A.W?

Kembali semula kepada persoalan asal, benarkan wujud keturunan cucu-cicit Rasulullah S.A.W?

Hasil carian menerusi enjin carian Google dengan kata kunci “cucu Rasulullah”, kami menemui beberapa artikel yang mendedahkan susur-galur keturunan Nabi Muhammad S.A.W.

Antaranya adalah sebuah blog “Biografi Tokoh Terkemuka” bertajuk “Mengenal cucu-cucu Nabi Muhammad S.A.W” yang ditulis oleh Muhamad Nurdin Fathurrohman.

Menurut penulis, Rasulullah S.A.W mempunyai tujuh cucu iaitu tiga lelaki iaitu Hasan bin Ali, Husain bin Ali, Abdullah bin Umar dan Muhsin bin Ali selain empat perempuan iaitu Umamah binti Zainab, Zainab binti Ali dan Ummu Kultsum binti Ali.

 


Sumber: Google

 

Selain itu sebuah akaun dengan nama Tentera Akhir Zaman di Facebook turut memuat naik hantaran mengenai 160 nama-nama keturunan Sayyidina Hassan yang merupakan salah seorang cucu Rasulullah S.A.W.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan berhubung isu ini adalah tidak pasti kerana ada sumber lisan dan bertulis yang mendakwa Sayyid Muhammad Amin mempunyai nasab atau keturunan Rasulullah S.A.W dan ada yang memberikan jawapan sebaliknya.

Walaupun terdapat sumber lisan dan bertulis yang mendakwa lelaki berkenaan bukan cicit kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kami tidak dapat memastikan sejauh mana kesahihan dakwaan tersebut.

Sebagai individu yang bijak, berfikirlah secara rasional, elakkan ketaasuban terhadap sesuatu perkara terutama berkaitan agama kerana taasub boleh memakan diri dan ‘membunuh’ kewarasan manusia.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter Eryazmi

  2. Semak latar belakang individu dakwa keturunan Nabi Muhammad.Diterbitkan oleh Sinar Harian

  3. MENGUNGKAP ISU MAWLA MUHAMMAD AMIN AL-IDRISI YANG MENDAKWA DIRINYA SEBAGAI CICIT NABI SAW JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN IMEJ SERBAN DAN JUBAH KERANA DIKHUATIRI AKAN MENYESATKAN AKIDAH.Diterbitkan oleh Alhaqcentremalaysia

  4. Facebook Ustaz Adhli Al-Qarni

  5. JAKIM tidak terima aduan berkenaan individu mengaku cicit Nabi SAW.Diterbitkan oleh Harian Metro

  6. JAKIM tidak terima laporan individu mengaku cicit Nabi Muhammad.Diterbitkan oleh Berita Harian

  7. Mengaku cicit nabi: Orang ramai dinasihat berhati-hati.Diterbitkan oleh Sinar Harian

  8. Isu lelaki ngaku nasab nabi: Tiada laporan diterima – Idris.Diterbitkan oleh Utusan Malaysia

  9. Mengaku cicit Nabi, Jakim belum terima sebarang laporan.Diterbitkan oleh Kosmo

  10. Jangan perbesarkan isu lelaki dakwa cicit Nabi Muhammad – Idris.Diterbitkan oleh Malaysia Gazette

  11. Kedatangan Lelaki Mengaku Keturunan Nabi - Youtube Ustaz Azhar Idrus

  12. MENGAKU CICIT KETURUNAN NABI? APA TUJUAN SEBENAR?Youtube Ustaz Elyas Ismail

  13. Scammer Agama | Jawapan Mufti Perlis Prof Dr Maza Berkenaan Isu Cicit Nabi SAW Yang Ke 38.Youtube Suara Sunnah

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.