+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tidak Semua “Baby Nanas” Yang Diimport Mengandungi Siklamat. KKM Laksana Pemeriksaan Tahan, Uji Dan Lepas Pastikan Baby Nanas Selamat Dimakan

Benarkah...

Buah “baby nanas” dari Thailand tidak boleh dimakan kerana mengandungi siklamat iaitu pemanis tiruan tanpa zat.

Sumber : WhatsApp / November 2022

Hasil

Tidak semua baby nanas yang diimport mengandungi siklamat. KKM pantau dan menjalankan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) ke atas baby nanas yang diimport masuk ke dalam negara bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983.

02/11/2022 08:47 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di WhatsApp menyatakan buah nanas bersaiz kecil yang telah dikupas kulitnya atau lebih dikenali sebagai “baby nanas” dari Thailand tidak boleh dimakan kerana telah dicampur dengan pemanis tiruan siklamat.
  • Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahkan isu berkenaan merupakan isu lama yang tular pada 2017 dan 2019.
  • Baby nanas jenama Dragon King dari Thailand yang tular pada 2019 kerana didakwa mengandungi siklamat tidak diimport masuk ke Malaysia.
  • Sejak 2017 hingga kini, hanya 11 daripada 115 sampel baby nanas yang diimport didapati mengandungi siklamat.
  • KKM tingkat pemantauan kemasukan buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan.
  • Siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.


Sumber: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Isu keselamatan makanan menjadi topik yang mendapat perhatian global pada zaman moden ini.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (Food and Agriculture Organization – FAO) mendedahkan isu keselamatan makanan bukan sahaja berkisar kepada proses pengendalian, penyimpanan dan penyediaan makanan bebas daripada sebarang bahaya kepada manusia, malahan memastikan kandungan nutrien yang tinggi selaras dengan pemakanan sihat.

Soal pencemaran makanan sememangnya berlaku di setiap peringkat dalam rantaian penyediaan makanan, bermula dari ladang hingga sampai kepada pengguna.

 

MENGENAI DAKWAAN

Kami menerima satu mesej WhatsApp mendakwa nanas kecil atau “baby nanas” yang telah dikupas kulit dari Thailand tidak boleh dimakan kerana telah dicampur dengan siklamat yang boleh merosakkan pundi kencing manusia.

Mesej tular itu antara lain turut mendakwa Taiwan sudah mengharamkan produk makanan berkenaan selepas hasil ujian yang dijalankan mendapati produk tersebut mengandungi siklamat.

Individu yang menularkan mesej berantai itu turut meminta orang ramai yang menerima mesej tersebut supaya menyebarkan maklumat berkenaan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Siklamat?

Kami mulakan semakan dengan memasukkan kata carian “siklamat” dalam enjin carian Google.

Hasilnya, kami mendapati isu penggunaan pemanis tiruan berkenaan dalam produk makanan termasuk buah-buahan sudah lama didedahkan di pelbagai laman sesawang dan media sosial.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (BKKM) menerusi hantaran Facebook mereka menjelaskan isu yang sama pernah tular pada 2017.

Menurut hantaran itu, siklamat merupakan sejenis pemanis tiruan tanpa zat berkod 952 yang mempunyai tahap kemanisan 30 hingga 50 kali lebih daripada bahan kimia sukrosa (gula biasa).

KKM bagaimanapun menjelaskan kemanisan siklamat adalah sangat kurang jika dibandingkan dengan bahan kimia pemanis semula jadi, stevia yang mempunyai tahap kemanisan di antara 30 hingga 150 kali lebih tinggi berbanding gula biasa.

“Ini menjadikannya kurang berpotensi sebagai pemanis dan lebih murah. Pun begitu, siklamat digunakan bersama dengan bahan kimia pemanis yang lain seperti saccharin (10:1) untuk mendapatkan rasa yang optimum.

“Siklamat juga digunakan untuk mengurangkan rasa pahit pada sesetengah ubat. Disebabkan oleh kestabilan kimia pada suhu tinggi, siklamat juga dijadikan pemanis di dalam masakan dan pembuatan kek dan pastri,” menurut hantaran tersebut.

Hantaran itu turut memaklumkan Amerika Syarikat dan beberapa negara mengharamkan penggunaan produk yang menggunakan siklamat disebabkan isu keselamatan pengguna.

Dapatan kajian pada 1966 melaporkan bahawa sesetengah bakteria di dalam usus boleh menukarkan siklamat kepada bahan kimia cyclohexylamine yang toksik kepada haiwan, termasuk manusia.

Hantaran Facebook itu turut menyebut laporan kajian seterusnya melaporkan kombinasi dengan bahan kimia yang biasa digunakan untuk mendapatkan rasa manis optimum siklamat (nisbah 1:10) boleh menyebabkan kanser pada tikus.

“Dan sehingga hari ini pelbagai kajian telah dijalankan, namun isu siklamat penyebab kanser masih lagi kontroversi,” menurut hantaran tersebut.

Menurut KKM, siklamat diharamkan untuk digunakan dalam buah-buahan segar di negara termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan berdasarkan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

 


Sumber: Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Kajian Saintifik Buktikan Siklamat Beri Kesan Negatif Terhadap Haiwan Dan Manusia

Semakan kami mendapati pelbagai kajian saintifik yang dijalankan di kebanyakan negara termasuk di Amerika Syarikat dan di benua Asia membuktikan penggunaan siklamat bukan sahaja memberi kesan kepada haiwan tetapi juga kepada kesihatan manusia.

Menurut sebuah artikel yang dipetik daripada laman sesawang klikdokter.com, pengambilan siklamat berdasarkan pengambilan harian dibenarkan (Acceptable Daily Intake) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah 500 hingga 3000 ppm (bahagian per juta), manakala tahap sesuai untuk penggunaan pemanis tiruan adalah 45 peratus daripada nilai ADI, iaitu 11 miligram / kilogram berat badan.

Penulis artikel berkenaan, Dr Nadia Octavia mendedahkan sekiranya siklamat diambil melebihi ADI, ia akan menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan kepada manusia termasuk mencetuskan agen karsinogenik yang merupakan pencetus kanser.

Selain itu, penggunaan siklamat boleh menyebabkan penyakit testicular atrophy iaitu pengecutan pada testis yang merupakan sebahagian daripada sistem reproduktif lelaki.

Risiko kesihatan yang lain sekiranya pengambilan siklamat melebihi had ditetapkan adalah peningkatan risiko kelahiran bayi pramatang serta risiko diabetis tahap dua.

 


Sumber: klikdokter.com

 

Isu Baby Nanas Adalah Isu Lama

Kembali semula kepada persoalan asal, adakah ini isu baharu?

Semakan kami mendapati isu ini sudah mula bertebaran di pelbagai platform sejak 2017.

Kerajaan telah mengambil langkah proaktif termasuk penguatkuasaan yang lebih ketat berhubung kemasukan produk makanan yang mengandungi siklamat di pintu masuk sempadan negara sejak 2017 disebabkan isu keselamatan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dipetik menerusi laporan beberapa media tempatan seperti Sinar Harian dan Harian Metro pada 2019 menjelaskan baby nanas jenama Dragon King dari Thailand yang tular didakwa mengandungi siklamat tidak dieksport ke Malaysia.

Beliau menjelaskan perkara itu disahkan KKM berdasarkan semakan data menerusi Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) sejak 2017.

Beliau menjelaskan isu sama pernah tular di media sosial pada 2017 dan pemantauan buah nanas import di pintu masuk negara dari tahun berkenaan hingga 2019 telah ditingkatkan yang mana sejumlah 65 sampel nanas telah dianalisis dan kesemuanya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Beliau menegaskan KKM akan meneruskan pemantauan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara bagi memastikan ia mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

"Semua makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," menurut Dr Noor Hisham seperti yang dipetik menerusi laporan Sinar Harian.

Laporan yang dikeluarkan oleh kedua-dua akhbar berkenaan adalah berdasarkan kenyataan yang disiarkan di laman sesawang kpkesihatan.com.

 


Sumber: kpkesihatan.com

 

Kenyataan Media Terbaharu KKM Berhubung Baby Nanas Pada 1 November 2022

Bagi mengingatkan orang ramai, KKM sekali lagi mengeluarkan satu kenyataan media di laman Facebook mereka pada 1 November lepas dan menjelaskan isu “baby nanas” adalah isu lama yang pernah tular pada 2017 dan 2019.

Menurut KKM, jabatan itu pernah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung isu sama pada 31 Mei 2019.

 

11 Sampel Baby Nanas Mengandungi Siklamat

Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Norrani Eksan memaklumkan sejak 2017 sehingga kini, sebanyak 11 daripada 115 sampel baby nanas yang diimport didapati mengandungi siklamat.

Kesemua kes berkenaan telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM8,500.

KKM turut menegaskan mana-mana individu yang melanggar peraturan di bawah Akta Makanan 1983 dengan menyediakan dan menjual makanan yang mengandungi bahan penambah tanpa kebenaran boleh didenda maksimum RM20,000, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Laporan berita mengenai kenyataan media KKM itu disiarkan di beberapa media tempatan seperti Utusan Malaysia, Harian Metro dan Berita Harian.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan, kami kategorikan dakwaan sebagai bercampur.

Ini kerana memang benar didapati terdapat siklamat di dalam baby nanas namun tidak semuanya kerana sejak 2017 hingga kini, hanya 11 daripada 115 sampel baby nanas yang diimport masuk mengandungi siklamat.

KKM telah melakukan pemantauan sejak 2017, bahkan telah meningkatkan lagi usaha dengan menjalankan pemeriksaan TUL ke atas baby nanas yang dibawa masuk ke dalam negara.

Namun begitu, tidak salah untuk kita sebagai pengguna berhati-hati dan peka dengan isu keselamatan makanan.

Semak dahulu kandungan makanan yang dibeli terutamanya makanan yang diimport dari luar negara.

Janganlah ditelan dulu, ditimpa sakit baru nak meraung tak tentu! 

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia

  2. Mengapa siklamat berbahaya bagi kesehatan?Diterbitkan oleh klikdokter.com

  3. KKM sahkan baby nanas tidak dieksport ke Malaysia.Diterbitkan oleh Sinar Harian

  4. Kenyataan Akhbar KPK 31 Mei 2019 – Buah “Baby Nanas” Jenama Dragon King dari Thailand yang Tular Didakwa Mengandungi Siklamat Tidak Dieksport ke Malaysia.Diterbitkan oleh kpkesihatan.com

  5. Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

  6. ‘Baby’ nanas ditambah pemanis tanpa zat?Diterbitkan oleh Utusan Malaysia

  7. Pantau siklamat dalam nanas.Diterbitkan oleh Harian Metro

  8. KKM pantau siklamat dalam "baby" nanas.Diterbitkan oleh Berita Harian

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.