+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Wuhan ‘Lockdown’ Lagi, Bukan Kerana Covid-19 Tidak Terkawal Tetapi Untuk Meminimumkan Kes Positif Selari Dasar Sifar Covid-19 China

Benarkah...

Kerajaan China sekali lagi melaksanakan perintah berkurung (lockdown) dengan lebih ketat di bandar Wuhan disebabkan penularan Covid-19 yang tidak terkawal di negara itu.

Sumber : Facebook / November 2022

Hasil

China melaksanakan ‘lockdown’ di bandar-bandar republik itu sekiranya berlaku kes penularan Covid-19. Pelaksanaan itu berdasarkan polisi China yang menetapkan dasar sifar Covid-19 iaitu memastikan kes positif pada tahap paling minimum.

08/11/2022 12:13 PM

Penyelidik : Puti Iylia Maisarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menyatakan kerajaan China sekali lagi melaksanakan perintah berkurung di Wuhan susulan negara itu kembali mencatat peningkatan jumlah kes Covid-19 yang tidak terkawal.

  • Perintah berkurung itu dilakukan dengan menutup bangunan awam dan premis di seluruh bandar terbabit pada hujung Oktober lepas.

  • Pihak berkuasa China mengarahkan lebih 800,000 penduduk Wuhan berkurung di rumah sehingga 30 Oktober lepas.

  • Wuhan melaporkan sekitar 20 hingga 25 jangkitan baharu setiap hari pada Oktober.

  • Berdasarkan standard antarabangsa, kes di China masih dianggap kecil.

  • Namun, perintah berkurung dibuat berikutan dasar sifar Covid-19 kerajaan China yang menekankan sekatan dan perintah berkurung yang ketat bagi meminimumkan jumlah kes positif.

  • Langkah itu juga setelah melihat varian Omicron yang sangat mudah menular, menimbulkan kebimbangan China yang merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia.


Sumber: Reuters

 

LATAR BELAKANG

China berdepan penularan pandemik yang sangat teruk selepas ia melaporkan kes pertamanya di bandar Wuhan pada akhir 2019 sebelum menular ke seluruh dunia.

Wuhan melaksanakan perintah berkurung yang pertama di dunia akibat wabak itu, bermula 23 Januari 2020.

Selepas 76 hari perintah berkurung dilaksanakan, Wuhan bagaikan ‘kembali bernyawa’, setelah pintu masuk dan keluar bandar itu dibuka semula selepas merekodkan sifar kes namun pada ketika itu dunia masih lagi berperang melawan Covid-19.

Walaupun beberapa negara sudah beralih dan memasuki fasa endemik, Covid-19 masih menjadi ancaman global susulan kes positif terus dilaporkan sehingga kini.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Twitter

 

Tular di media sosial mengenai kerajaan China mengumumkan perintah berkurung atau ‘lockdown’ di bandar Wuhan.

Pengumuman itu mendapat perhatian ramai susulan sekatan itu dilaksanakan semula di daerah yang pertama melaporkan kes Covid-19.

Seorang pengguna Twitter menggunakan nama akaun @Pachinovski berkongsi satu video memaparkan situasi jalan raya yang dipenuhi bas dan ambulans di salah satu kawasan dipercayai di Wuhan.

Turut disertakan kapsyen berbunyi :

Wuhan sedang memulakan pusingan baharu kuarantin covid, membawa orang ke kem,”.

 


Sumber: Twitter

 

Dalam pada itu, MyCheck juga turut menemui hantaran video yang dikongsikan pengguna Twitter @Fangshimin, video itu menunjukkan situasi lebuh raya sesak yang dipenuhi kenderaan dan pembelian panik orang ramai.

Setakat laporan ini ditulis, video itu telah mendapat lebih 202,000 tontonan dan 1,491 tanda suka.

Hantaran berserta kapsyen terbabit menyatakan bahawa daerah Wuhan mengumumkan ‘silence’ yang membawa maksud bermulanya sekatan pergerakan susulan peningkatan kes Covid-19.

 


Sumber: Twitter

 

Bahkan di Malaysia, desas-desus dakwaan berkenaan menjadi persoalan ramai sama ada benarkah ‘lockdown’ dikenakan di republik itu terutamanya di bandar Wuhan.

Perkara itu turut mencetuskan panik dan kebimbangan orang ramai terhadap penularan semula Covid-19 di negara ini.

Ada juga yang mendakwa Wuhan ketika ini berada dalam situasi ‘tenat’ dan kritikal ekoran penularan Covid-19 yang tidak terkawal.

Kami turut menemui dakwaan yang sama antaranya di sini, di sini dan di sini.

Bagaimanapun, benarkah dakwaan tersebut? MyCheck semak untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Langkah pertama MyCheck adalah mencari maklumat menerusi enjin carian Google berhubung sekatan ketat di Wuhan.

Menggunakan kata kunci ‘wuhan lockdown’, apa yang kami temukan adalah seperti berikut.

 


Sumber: Google

 

Hasil carian rawak, kami menemui beberapa laporan media tempatan dan antarabangsa yang melaporkan berkenaan China dikenakan ‘lockdown’.

 

China Rekod Kes Covid-19 Baharu, Wuhan Dan Beberapa Bandar Di China ‘Berkurung'

Memetik laporan Berita Harian Online pada 31 Oktober 2022, pegawai di bandar dan wilayah seluruh China mula melaksanakan perintah berkurung serta penutupan tempat awam membabitkan jutaan penduduk sebagai persediaan menghadapi ancaman Covid-19.

Antara wilayah terlibat adalah Datong, Xining, Nanjing, Xian, Zhengzhou dan Wuhan.

Turut terlibat Wilayah Guangdong yang merupakan pusat pembuatan di Guangzhou, Shanghai Disney Resort, Mudanjiang di Wilayah Heilongjiang yang bersempadan dengan Korea Utara, serta terbaharu Kilang Foxconn, iaitu kilang iPhone terbesar dunia di Zhengzhou.

Dandong, Suihua, Ruili iaitu bandar berdekatan dengan sempadan Korea Utara, Russia dan Myanmar juga dilaporkan sedang mengalami penularan wabak.

BBC turut melaporkan puluhan bandar di seluruh China termasuk Wuhan dikenakan sekatan pergerakan.

 

Jumlah Kes Covid-19 Di China Masih Kecil

Perintah berkurung yang dilaksanakan di bandar Wuhan adalah kali kedua dalam tempoh tiga tahun sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.

Bagaimanapun, menurut laporan mStar yang memetik Reuters, berdasarkan standard antarabangsa, kes di China masih dianggap kecil, namun kerajaan negara itu tetap melaksanakan perintah berkurung setelah melihat varian Omicron yang sangat mudah menular, menimbulkan kebimbangan negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Bloomberg pula melaporkan Wuhan merekodkan 18 kes Covid-19 pada 25 Oktober lepas, walaupun jumlah angka kes agak kecil berbanding jumlah kes di negara lain, namun bagi Wuhan ia adalah jumlah ketara di China berikutan negara itu mengamalkan polisi sifar Covid-19 dan dasar negara republik itu yang ingin menghapuskan wabak tersebut.

Menurut laporan itu, Wuhan menyaksikan tempoh Covid-19 sifar yang lama susulan tiada kes positif Covid-19 direkodkan setelah sekatan ‘lockdown’ pertama dikenakan untuk menghapuskan virus itu menjelang April 2020.

Namun demikian, angka sifar Covid-19 itu tidak bertahan lama apabila terdapat empat kes positif direkodkan di daerah Jiangxia iaitu kawasan yang menempatkan hampir satu juta orang di pinggir Wuhan, pada Julai lepas.

Perkara itu disahkan melalui laporan Sky News, yang menyatakan empat kes tanpa gejala telah dikesan di daerah Jiangxia pada Julai 2022 yang mana pihak berkuasa Jiangxia mengumumkan ‘sekatan sementara’ selama tiga hari bagi 900,000 lebih penduduk daerah itu bermula 27 Julai 2022.

 


Sumber: Kosmo

 

Malah, Kosmo turut melaporkan bahawa pihak berkuasa China melaksanakan semula sekatan paling ketat dan ekstrem walaupun Wuhan hanya merekodkan kira-kira 25 kes Covid-19 sehari.

Laporan itu menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 200 juta orang di 28 bandar di seluruh China berdepan perintah berkurung, ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran dan penutupan sektor ekonomi.

Walaupun China melaporkan angka kes yang kecil menurut Statistik daripada platform penyelidikan yang disokong Universiti Oxford, Our World in Data menunjukkan China mencatatkan 1,412 jangkitan pada 26 Oktober lepas, meningkat 51 peratus dalam seminggu.

Bagaimanapun, menurut laporan Kosmo, angka itu masih lagi kecil jika dibandingkan dengan 1.4 bilion penduduk China.

Namun, MyCheck tidak menemui maklumat terbaharu berkenaan bandar Wuhan selepas perintah berkurung yang berakhir pada 30 Oktober lepas.

 

Dasar Sifar Covid-19

MyCheck turut membuat carian bagi memahami konteks dasar sifar Covid-19 yang dilaksanakan China.

Menurut laporan Bernama, dasar sifar Covid-19 yang dikuatkuasakan di China bertujuan memastikan kes positif komuniti berada pada tahap minimum melalui langkah perintah berkurung, sekatan perjalanan, ujian Covid-19 secara meluas dan kurantin berpusat bagi yang didapati positif.

Bagaimanapun, memetik laporan BBC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan China mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar itu.

Walaupun banyak negara termasuk Malaysia sudah mula melonggarkan kawalan Covid-19 dan bergantung pada vaksinasi dan rawatan yang lebih baik, namun China kekal dengan pendiriannya berpegang pada dasar penutupan dan sekatan lain.

Namun, WHO yang dipetik menerusi laporan BBC menyatakan bahawa pendekatan itu tidak sesuai untuk dipraktikkan.

 

Varian Omicron Di Malaysia

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa negara sedang berdepan gelombang kecil Covid-19 iaitu varian Omicron XBB.

Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata gelombang itu dijangka menyebabkan negara merekodkan peningkatan kes dalam beberapa minggu akan datang.

Beliau berkata, data harian menunjukkan bilangan kes baharu Covid-19 meningkat sebanyak 16.5 peratus, iaitu daripada 14,525 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 42 kepada 16,917 kes pada ME 43 (23 hingga 29 Oktober).

Menurut Khairy, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,00 penduduk juga menunjukkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus pada ME 43 berbanding ME 42.

Kementerian berpandangan bahawa trend tersebut didorong oleh jangkitan varian Omicron XBB yang menjadi gelombang di Singapura baru-baru ini berdasarkan pintu sempadan terbuka dengan Singapura dan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Menurut kenyataan rasmi KKM, melalui kajian dan survelan genomik berterusan yang  dijalankan KKM serta penyelidik terlibat, varian Omicron telah mula menggantikan varian Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan berkenaan adalah bercampur.

Memang benar kerajaan China melaksanakan perintah berkurung dan kuarantin di bandar Wuhan namun ia bukanlah disebabkan lonjakan kes yang tidak terkawal mahupun situasi ‘tenat’ dan kritikal di China seperti dakwaan pelbagai pihak.

Sebaliknya ia berdasarkan dasar sifar Covid-19 yang diamalkan China yang menekankan sekatan dan perintah berkurung walaupun kes positif wabak itu mencatatkan angka yang kecil.

‘Lockdown’ itu juga dikenakan susulan peningkatan kes positif dilaporkan serta kebimbangan penularan varian Omicron.

MyCheck sedar maklumat berkaitan Covid-19 terutama membabitkan bandar Wuhan iaitu lokasi asal dan pertama kewujudan virus itu, pasti menjadi perhatian masyarakat umum dan mencetuskan panik orang ramai termasuk di Malaysia.

Namun, wajarkah kita panik tanpa sebarang tindakan?

Lebih baik bertenang dan ambil langkah awal iaitu teruskan menjaga penjarakan fizikal, jauhi lokasi ramai dan pakailah pelitup muka meskipun tidak diwajibkan.

Tidak dilupa panjatkan doa moga-moga Covid-19 tidak menghampiri kita, keluarga dan negara tercinta.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Berita Harian. Kes COVID-19 meningkat, saham sarung tangan melonjak

  2. BBC. China Covid: Millions back in lockdown as Beijing doubles down on zero-Covid

  3. The Star.Wuhan locks down part of city centre as Covid-19 cases emerge

  4. Bloomberg. Wuhan Locks Down Part of City Center as Covid Cases Emerge

  5. Sky News Wuhan's Jiangxia district plunged into a three-day lockdown over detection of four COVID-19 cases

  6. Kosmo. Penduduk Wuhan kena ‘lockdown’ lagi

  7. Al Jazeera Chinese cities tighten curbs on growing COVID outbreaks

  8. WHO. Archived: WHO Timeline - COVID-19

  9. Media Corp. Kes pertama COVID-19 mungkin muncul di China seawal Okt 2019

  10. BBC. Wuhan lockdown : A year of China's fight aginst the Covid pandemic

  11. Bernama. Dasar Sifar COVID: Pengalaman lalui prosedur ketat di China

  12. BBC. China: Why is the WHO concerned about its zero-Covid strategy?

  13. China Briefing. China Coronavirus Updates: Latest Developments and Business Advisory

  14. Utusan. Shanghai Disneyland ditutup serta-merta akibat Covid-19

  15. Utusan. Kilang iPhone terbesar dunia terlibat 'lockdown' Covid-19 di China 

  16. Wion News. Angry Residents in Tibet’s Lhasa capital protest against Beijing’s zero-Covid policy

  17. Global Times. Highly contagious Omicron variant BA..5.1.7 identified in Chinese mainland for first tim

  18. Reuters. Chinese cities double down on zero-COVID as outbreaks widen

  19. Sinar Harian. Covid-19: Malaysia berdepan gelombang Omicron XBB

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.