+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Penutupan Pintu Pagar Automatik Di CIQ Johor Berikutan Kerja Naik Taraf, Bukan Halang Rakyat Malaysia Di Singapura Pulang Mengundi

Benarkah...

Pintu pagar automatik di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Johor ditutup bagi menghalang rakyat Malaysia berbangsa Cina yang bermastautin di Singapura pulang ke negara ini untuk mengundi.

Sumber : WhatsApp/ Oktober 

Hasil

Penutupan pintu pagar itu dibuat bagi tujuan penggantian dan pemasangan pagar automatik (autogate). Gambar yang disertakan bersama dakwaan adalah gambar kesesakan yang berlaku di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Jun lepas.

09/11/2022 01:21 PM

Penyelidik: Ummu Khalidah Hamzah

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan berserta gambar menyatakan pintu pagar automatik di Kompleks Kastam Johor ditutup bagi menghalang rakyat Malaysia berbangsa Cina yang menetap di Singapura pulang ke negara ini untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15.
  • Menurut Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar, Johor penutupan pintu tersebut dilakukan untuk kerja-kerja naik taraf kompleks kastam.
  • Ia hanya ditutup sementara iaitu bermula 16 Oktober hingga 10 November 2022.
  • Menteri Besar Johor menafikan dakwaan kerajaan adalah dalang di sebalik penutupan pintu pagar automatik itu.

 

LATAR BELAKANG

Mengundi adalah tanggungjawab bagi setiap rakyat Malaysia tidak kira yang menetap di dalam atau luar negara.

Bagi warganegara Malaysia yang bermastautin di luar negara mereka diberi kelonggaran untuk mengundi lebih awal melalui undi pos bagi memudahkan proses pengundian.

Namun demikian, rakyat Malaysia yang tinggal di negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Kalimantan sebelum ini tidak layak untuk mengundi pos dan harus pulang ke tanah air untuk mengundi.

Memandangkan jarak Malaysia dan negara-negara tersebut agak berdekatan, ada rakyat yang memilih untuk pulang ke negara ini menggunakan lintasan sempadan darat yang berada di Singapura dan Thailand untuk pulang mengundi dan menjalankan tanggungjawab sebagai penentu masa depan negara.

 

MENGENAI DAKWAAN

Baru-baru ini, MyCheck menerima satu tangkap layar pautan blog yang tular di WhatsApp bertajuk “UMNO Dirty Trick Begins – Autogates At Johor Checkpoint Suspended To Prevent Chinese Voters Return From Singapore” yang bermaksud “Muslihat Kotor UMNO Bermula – Pintu Pagar Automatik Di Johor Disekat Bagi Menghalang Pengundi Cina Pulang Dari Singapura,”.

Tulisan blog itu mendakwa penggantungan operasi bahagian sistem pintu pagar automatik di CIQ BSI Johor Bahru adalah percubaan oleh pihak pemerintah untuk menghalang ratusan ribu rakyat Malaysia di Singapura pulang ke tanah air untuk mengundi pada pilihan raya.

Penggantungan itu dikatakan akan membebankan rakyat Malaysia di sana apabila mereka terpaksa beratur panjang serta perlu melalui proses yang remeh di kompleks kastam itu menyebabkan ramai di antara mereka membatalkan keinginan untuk pulang mengundi.

Apa fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apakah Maksud CIQ BSI

Bagi mereka yang kurang jelas, CIQ BSI adalah singkatan kepada Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru.

Pintu ini merupakan pintu keluar masuk yang sibuk antara Malaysia dan Singapura.

Malah, menurut laporan Channel News Asia, dianggarkan lebih daripada 300,000 rakyat Malaysia keluar dan masuk ke Singapura setiap hari menerusi pintu pagar automatik di CIQ ini atas urusan bekerja di sana.

Begitu juga pelawat dari Singapura yang sering menggunakan lintasan sempadan darat itu untuk memasuki Malaysia bagi tujuan bercuti.

Walaupun jarak jambatan sempadan Johor-Singapura itu hanyalah berukuran satu kilometer namun ia mengambil masa sejam atau dua jam untuk melepasi pintu pagar automatik tersebut akibat kesesakan lalu lintas.

 

Gambar Kitar Semula

MyCheck membuat carian rawak berhubung tajuk berita yang tular itu menerusi enjin carian Google, bagaimanapun kami tidak menemukan sebarang maklumat sepadan.

Namun apabila MyCheck membuat imbasan gambar melalui carian imej berbalik, kami berjaya mengesan beberapa keping gambar yang menyerupai gambar tersebut seperti yang kami bulatkan di bawah.

 


Sumber: Google Search

 

MyCheck memperoleh beberapa petunjuk hasil menggunakan carian imej berbalik ini.

Gambar-gambar tersebut membawa kepada beberapa laporan berita yang diterbitkan oleh Must Share News, sebuah portal berita dari Singapura.

 

Laporan Berita Pada Jun Lepas

MyCheck menemukan laporan berita yang dikeluarkan oleh Must Share News berkaitan kesesakan yang berlaku pada Jun lepas.

Pada tajuk, terpapar secara jelas tarikh kejadian iaitu pada 4 Jun.

 


Sumber: Must Share News

 

Menurut laporan tersebut, kesesakan tersebut berlaku di sebelah Malaysia (Malaysian side).

Namun laporan berita tersebut tidak menyatakan sebab berlakunya kesesakan pada hari tersebut.

Kami juga tidak menjumpai apa-apa laporan akhbar atau portal Malaysia yang melaporkan mengenai situasi ini.

Namun, hasil carian MyCheck mendapati kesesakan tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan oleh cuti sekolah di Singapura.

Mengapakah kemungkinan ini timbul?

Ini kerana dengan menggunakan kata kunci “Pintu sempadan sesak + Singapura + Jun”, kami menemui satu laporan portal Free Malaysia Today (FMT) yang berkaitan dengan isu ini.

FMT sebenarnya memetik laporan Today Online, sebuah portal berita Singapura.

Menurut Today Online, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) memaklumkan aliran trafik dilaporkan sesak sejak permulaan cuti persekolahan pada Jun.

Dilaporkan, kira-kira 262,000 pengembara masuk setiap hari dari 3 hingga 5 Jun, iaitu hujung minggu pertama cuti sekolah di republik tersebut.

Malah, menurut laporan tersebut kesesakan itu dijangka berlaku hingga akhir Jun.

 

Gambar Asal Dikongsi Dari Media Sosial

Berbalik kepada gambar tersebut, ia sebenarnya merupakan hantaran pengguna Facebook bernama Elmer Leong Jia Sheng yang dimuat naik pada 4 Jun 2022.

Pengguna tersebut telah memuat naik hantaran tersebut di satu kumpulan (group) di Facebook dengan nama akaun Both Checkpoint yang mana kumpulan ini merupakan satu hub maklumat di Check Point Singapura dan Malaysia.

 


Sumber: Facebook

 

Malah, hantaran tersebut mendapat komen daripada pengguna lain yang menyatakan : “weekend.. School holiday what to expect''.

Kami juga turut menemui beberapa hantaran di Facebook yang mengulas mengenai isu tersebut pada tarikh yang sama. Anda boleh lihat di sini dan di sini.

 

 


Sumber: Facebook

 

Namun, setakat laporan ini ditulis kami tidak menjumpai apa-apa kenyataan yang dikeluarkan daripada pihak Malaysia mahupun Singapura mengenai kejadian pada hari tersebut.

 

Benar Ada Penutupan Pintu Pagar Automatik

Hasil semakan MyCheck mendapati memang ada berlakunya penutupan pintu pagar automatik di Kompleks Kastam Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru pada 16 Oktober 2022.

Namun penutupan pintu pagar automatik itu dilakukan bagi tujuan naik taraf BSI.

Kami turut menemukan satu pengumuman rasmi berhubung penutupan itu di laman Facebook rasmi UKK BSI (Unit Komunikasi Korporat Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar).

Menurut hantaran itu, pintu pagar automatik tersebut ditutup sementara bermula 16 Oktober hingga 10 November 2022 bagi kerja penggantian dan pemasangan pintu pelepasan automatik baharu.

 


Sumber: Facebook

 

Hantaran tersebut juga ada menyatakan terdapat 18 kaunter pintu pelepasan automatik yang tidak terlibat dalam kerja naik taraf masih lagi beroperasi seperti biasa untuk memudahkan warganegara pulang ke Malaysia.

Ini jelas menunjukkan dakwaan pintu pagar automatik ditutup untuk menghalang rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara pulang mengundi adalah tidak benar.

Pengundi juga masih sempat untuk pulang mengundi memandangkan tarikh mengundi adalah pada 19 November 2022.

 

Menteri Besar Johor Nafi Dakwaan Halang Pengundi Pulang

Menerusi semakan MyCheck di Twitter pula, kami menemui satu ciapan artikel oleh The Strait Times yang menjelaskan isu tersebut.

Menurut artikel itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan bahawa kerajaan adalah dalang di sebalik penutupan pintu pelepasan automatik.

Sebaliknya penutupan itu adalah inisiatif kerajaan negeri itu yang ingin menaik taraf kompleks kastam tersebut bagi memudahkan lagi perjalanan pelawat Malaysia dan Singapura ke negara ini.

 


Sumber: Twitter

 

KESIMPULAN

Dakwaan yang timbul jelas tidak benar serta bersifat spekulasi semata-mata.

Kita pasti sedia maklum, pelbagai dakwaan, spekulasi, isu, akan muncul dan bertebaran setiap kali pilihan raya umum.

Tempoh kempen sebelum tibanya hari pengundian yang berbaki kurang dua minggu lagi juga pasti akan mewujudkan lebih banyak dakwaan.

Janganlah kita menjadi hero berita palsu dan membuat andaian sendiri yang tidak pasti kesahihannya.

Ingat peribahasa, khabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan yang bermaksud setiap khabar yang diterima hendaklah diselidiki supaya tidak tertipu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. UMNO Dirty Trick Begins - Autogates At Johor Checkpoint Suspended To Prevent Chinese Voters Return From Singapore | FinanceTwitter 

  2. CLEARING THE CAUSEWAY 

  3. Heavy traffic through Woodlands, Tuas checkpoints expected until June school holiday ends: ICA - TODAY 

  4. 柔新关卡Both Checkpoint 分享站| 15:13 

  5. 柔新关卡Both Checkpoint 分享站 

  6. Photos of JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report 

  7. Jasmine Chong | Facebook 

  8. UKK BSI - Kerja-kerja Penggantian dan Pemasangan... | Facebook 

  9. Johor chief denies checkpoint autogate upgrading is move to hinder returning voters from Singapore | The Straits Times

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.