+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Sebarang Pengumuman Rasmi Perdana Menteri Berhubung Pemberian Cuti Khas Sebelum Hari Mengundi

Benarkah...

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian cuti umum khas pada 18 November 2022, sehari sebelum hari mengundi.

Sumber : WhatsApp / November

Hasil

Tiada sebarang pengumuman atau kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan berhubung cuti umum khas itu. Hanya Selangor dan Negeri Sembilan umum pemberian cuti khas pada 18 November 2022.

09/11/2022 11:56 PM

Penyelidik : Puti Iylia Maisarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian cuti umum khas pada 18 November 2022 (Jumaat) iaitu sehari sebelum hari mengundi yang ditetapkan pada 19 November (Sabtu).
  • Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Persekutuan berhubung pemberian cuti khas itu.
  • Kenyataan terbaharu Ismail Sabri berhubung pemberian cuti sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah pada semalam, iaitu 8 November 2022.
  • Ismail Sabri berkata kerajaan sedang mengkaji dan mempertimbangkan pemberian cuti khas itu.
  • Setakat ini, Selangor dan Negeri Sembilan telah mengumumkan pemberian cuti khas pada 18 November bagi memudahkan rakyat di negeri terbabit pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi.

LATAR BELAKANG

Berbaki kurang dua minggu lagi sebelum hari pengundian bagi PRU15 yang ditetapkan pada 19 November 2022 menjelang tiba.

Rata-rata rakyat Malaysia sedang merancang dan membuat persediaan awal untuk pulang mengundi dan menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Desas-desus berhubung cuti umum khas sempena PRU15 menjadi perbincangan hangat susulan timbul dakwaan menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan satu hari cuti khas pada 18 November 2022.

Orang ramai menzahirkan harapan terhadap pemberian cuti khas itu kerana ia dapat memudahkan urusan mereka untuk pulang mengundi di kampung atau kawasan yang jauh dari lokasi mereka bekerja atau menetap.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima satu mesej di WhatsApp yang berkongsi tangkap layar menyatakan Perdana Menteri mengumumkan cuti khas sehari sebelum mengundi iaitu pada 18 November depan.

Pada tangkap layar tersebut tertera gambar Ismail Sabri dengan tajuk ‘PM umum cuti khas 18 November ini’.

Pengguna WhatsApp yang menghantar mesej itu turut bertanyakan sama ada benarkah dakwaan tersebut.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Langkah perkara MyCheck adalah membuat carian rawak menerusi enjin carian Google menggunakan kata kunci ‘perdana menteri umum cuti khas pada 18 November’.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat sepadan ditemukan.

Kami juga cuba menatal (scrolling) laman media sosial seperti Facebook dan Twitter, namun tidak menemukan sebarang kenyataan rasmi mengenai kerajaan mengisytiharkan cuti umum khas pada tarikh berkenaan.

 

Kenyataan Terbaharu Perdana Menteri Adalah Mengenai Kerajaan Kaji Pemberian Cuti Khas, Bukannya Kerajaan Beri Cuti Khas

Semakan MyCheck menemukan kenyataan daripada Perdana Menteri berhubung cuti tersebut.

Kenyataan itu disiarkan pada 8 November 2022.

Namun ia bukanlah pengumuman pemberian cuti khas, sebaliknya penjelasan Ismail Sabri mengenai kerajaan sedang mengkaji dan mempertimbang cuti khas itu.

Menurut Ismail Sabri yang dipetik menerusi laporan BERNAMA, cadangan itu pernah dibincangkan selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lepas.

“Kita tunggu sahaja jika ada pengumuman daripada saya (cuti khas)… kita akan kaji. Sejak mula bubar, kita dah bincang perkara ini, cuma timing itu… Insya-Allah, tunggulah apa pengumuman yang penting, yang mungkin banyak lagi," katanya.

Setakat laporan ini ditulis (9 November 2022), kenyataan Ismail Sabri mengenai cuti itu adalah yang terbaharu.

Tiada sebarang pengumuman lanjut atau kenyataan lain yang dibuat Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan berhubung cuti khas itu.

 


Sumber: BERNAMA

 

Cadangan Daripada Ceupacs

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Bernama, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) sebelum ini turut mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 November sebagai cuti umum khas bagi memudahkan pergerakan rakyat ke lokasi mengundi.

Presiden Ceupacs Datuk Adnan Mat berkata cuti umum tambahan sehari lebih awal wajar diberikan memandangkan rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi mereka bekerja dan ada dalam kalangan pengundi perlu melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi mengundi.

Adnan turut menyatakan bahawa penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung berkemungkinan mempunyai jadual penerbangan yang terhad dan menyukarkan mereka pulang pada hari mengundi.

Tambahnya, walaupun setiap pekerja layak mengambil cuti tahunan, Cuepacs bimbang sekiranya ada majikan yang tidak membenarkan pekerja memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi.

 


Sumber: Kosmo

 

Memetik laporan Kosmo, golongan perantau yang mencari rezeki khususnya di Lembah Klang turut merayu agar kerajaan mengumumkan pemberian satu hari cuti khas bagi memudahkan urusan pulang mengundi pada PRU15.

Laporan itu menyatakan bahawa sekiranya pengundi dari Lembah Klang pulang pada hari yang sama iaitu pada petang Jumaat, ia akan menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya.

 

Selangor, Negeri Sembilan Umum Cuti Khas Sempena PRU15

Ketika rakyat di seluruh negara ternanti-nanti kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri mengenai cuti itu, dua negeri iaitu Selangor dan Negeri Sembilan dilaporkan telah mengumumkan pemberian cuti khas sempena PRU15.

Menurut laporan Utusan, kerajaan negeri Selangor pada 9 November 2022 mengumumkan 18 November depan sebagai cuti umum dan hari pelepasan untuk persediaan mengundi PRU15.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu diambil susulan Selangor mencatatkan bilangan pengundi paling ramai iaitu lebih 3.67 juta orang.

Amirudin turut menyatakan bahawa terdapat jumlah besar warga Malaysia bekerja dan bermastautin di Selangor namun mengundi di kampung halaman di negeri lain.

Beliau berharap pentadbiran kerajaan Persekutuan turut melaksanakan pendekatan sama iaitu memberi pelepasan bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada 19 November depan.

 


Sumber: Utusan Malaysia

 

Dalam masa yang sama, memetik kenyataan menerusi laman sesawang ecentral, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan yang bersidang pada 9 November 2022 turut bersetuju memberikan cuti umum 18 November 2022 sehari sebelum hari mengundi PRU15.

Cuti umum itu diberikan bagi menggalakkan rakyat di Negeri Sembilan membuat persiapan dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Setakat ini, MyCheck mendapati hanya Selangor dan Negeri Sembilan sahaja mengumumkan pemberian cuti khas umum pada 18 November depan.

 


Sumber: ecentral.my

 

KESIMPULAN

Setakat ini, tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri berhubung cuti khas itu.

Maka MyCheck mengklasifikasikan dakwaan sebagai tidak benar.

Pilihan Raya Umum adalah momen bersejarah bagi rakyat Malaysia, ia merupakan detik penting bagi menyaksikan pembentukan kerajaan yang bakal memimpin tampuk pemerintahan negara bagi tempoh lima tahun.

MyCheck memahami keterujaan ramai yang tidak sabar untuk melaksanakan tanggung jawab masing-masing sebagai pengundi dan mengharapkan diberikan cuti sehari lebih awal bagi melancarkan urusan masing-masing.

Namun, jangan terburu-buru, tunggulah dulu. Yang belum sahih jangan disebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

RUJUKAN

  1. PRU15: Cuepacs cadang cuti umum khas 18 November - Sinar Harian

  2. PRU15: K’jaan timbang cadangan cuti khas sebelum hari mengundi - PM

  3. Rakyat rayu 18 November diisytihar cuti umum - Kosmo Digital

  4. Kerajaan timbang cadangan cuti khas sebelum hari mengundi

  5. Selangor isytihar cuti umum 18 November

  6. Negeri Sembilan Cuti 18 November 2022 Sempena PRU15

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.