+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Orang Ramai Boleh Keluar Mengundi Pada Bila-Bila Masa Mulai 8 Hingga 6 Petang, Sabtu Ini. ‘Waktu Mengundi Digalakkan’ Dalam Semakan Daftar Pemilih Hanyalah Cadangan SPR

Benarkah...

Orang ramai yang mengundi pada 19 November ini hanya boleh membuang undi pada waktu yang ditetapkan sahaja seperti yang tercatat dalam semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sumber : WhatsApp & Twitter / November 2022

Hasil

SPR hanya mencadangkan waktu keluar mengundi bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian. Pengundi tidak semestinya mengikut masa yang digalakkan, mereka boleh keluar mengundi pada bila-bila masa yang sesuai bermula 8 pagi hingga 6 petang.

15/11/2022 03:04 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di WhatsApp dan media sosial menyatakan orang ramai perlu keluar mengundi mengikut waktu yang ditetapkan oleh SPR sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
  • Waktu itu dikatakan tertera apabila mana-mana individu membuat semakan daftar pemillih menerusi MySPR Semak dan masa yang dipaparkan adalah berbeza-beza bagi setiap individu.
  • Ia sebenarnya hanyalah waktu mengundi yang digalakkan daripada SPR.
  • Orang ramai boleh pergi ke mana-mana pusat mengundi pada bila-bila masa yang sesuai mengikut kelapangan mulai 8 pagi hingga 6 petang.
  • SPR mengeluarkan cadangan waktu mengundi itu bagi mengelakkan kesesakan susulan negara masih berdepan pandemik Covid-19.
  • Waktu yang dicadangkan itu telah diperkenalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Bahang PRU15 yang dijadual berlangsung 19 November ini semakin dirasai.

Dijangkakan lebih 21 juta pengundi berdaftar akan mengundi pada PRU15 kali ini.

Namun dalam kehangatan suasana kempen termasuk keterujaan mereka yang pertama kali akan membuang undi untuk memilih pucuk pimpinan negara, masih ada yang keliru tentang beberapa perkara berkaitan proses mengundi.

Antaranya waktu mengundi, benarkah pengundi hanya boleh membuang undi pada waktu yang telah ditetapkan sahaja?

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima satu dakwaan yang tular di aplikasi WhatsApp berhubung dakwaan waktu mengundi yang tertera di laman sesawang rasmi SPR sebaik sahaja individu membuat semakan daftar pengundi.

Maklumat yang tertera dalam Bahasa Inggeris itu menyatakan :

Check your voting time. It's not the same like before where you can go anytime. Because of Covid, you are given your voting time. If one don't follow d voting time given might not be allowed to go in the voting hall to cast their vote,”.

Terjemahan :

Semak waktu mengundi anda. Ia tidak sama seperti sebelum ini yang mana anda boleh pergi (mengundi) pada bila-bila masa. Disebabkan Covid, anda diberikan waktu untuk membuang undi. Jika seseorang tidak mengikuti waktu mengundi yang diberikan berkemungkinan tidak dibenarkan memasuki dewan mengundi untuk membuang undi,”.

Apa yang dapat difahami daripada mesej tersebut ialah orang ramai diminta menyemak waktu mengundi masing-masing kerana PRU15 kali ini tidak sama seperti pilihan raya sebelum ini apabila pengundi boleh keluar pada bila-bila masa sepanjang tempoh ditetapkan untuk keluar membuang undi.

Menurut dakwaan itu lagi, penetapan masa mengundi ini adalah disebabkan Covid-19.

Mana-mana individu yang tidak mematuhi masa mengundi ditetapkan SPR itu berkemungkinan tidak dibenarkan masuk ke tempat mengundi, seterusnya menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih.

Selain itu, mesej tersebut juga menyatakan SPR tidak mengumumkan mengenai perkara ini dan menyifatkan ia taktik kotor.

Namun apakah fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

My Check membuat asas carian berhubung isu yang tular itu menerusi enjin Google.

Menggunakan kata kunci ‘mengundi mengikut masa ditetapkan spr’, nampaknya memang banyak portal berita yang melaporkan tentang masa keluar mengundi.

Antara hasil carian yang diperoleh adalah seperti dalam gambar di bawah.

 


Sumber: Google

 

Kami kemudiannya meneliti satu persatu pautan yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat terperinci.

 

Cadangan Waktu Mengundi Bukan Perkara Baharu. Ia Telah Diperkenalkan Semasa Beberapa Pilihan Raya Negeri Sebelum PRU15

Jika dilihat pada hasil carian tersebut, ada laporan lama dan baharu berdasarkan tarikh laporan berkenaan diterbitkan.

Persoalannya jika isu dan dakwaan yang dibangkitkan merujuk kepada PRU15, mengapa hal yang sama pernah dilaporkan sebelum kita semua tahu mengenai pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 dan seterusnya pengumuman tarikh mengundi pada 19 November 2022.

MyCheck menyemak setiap pautan berkenaan dan apa yang kami temui menjelaskan beberapa perkara.

Menurut laporan portal Berita Harian yang diterbitkan pada 9 Mac 2022, pengundi PRN Johor digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan melalui aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata jika pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

Perkara dan isu sama dilapor portal Utusan Malaysia yang merujuk kepada pengundi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak.

SPR menjelaskan cadangan masa mengundi itu bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

Perkara itu selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa.

 

Cadangan Waktu Mengundi Inisiatif Kawalan Wabak Covid-19

Berdasarkan penjelasan tersebut dapat difahami bahawa cadangan masa mengundi ini bukanlah timbul menjelang PRU15 tetapi sudah diperkenal lebih awal ketika negara mula-mula dilanda pandemik Covid-19.

Mengikut penjelasan SPR juga, waktu cadangan yang diperkenalkan itu jelas sebagai satu inisiatif kawalan wabak Covid-19 dan tiada sebarang kaitan dengan spekulasi dan salah faham segelintir pihak yang beranggapan peraturan tersebut dikhususkan pada PRU15.

Seterusnya MyCheck mencari maklumat lanjut berkenaan apa yang dimaksudkan SPR berkenaan frasa ‘waktu yang digalakkan’ tersebut.

Secara amnya, digalakkan boleh difahami sebagai sesuatu yang disyorkan, namun bukan menjadi ketetapan peraturan yang wajib dipatuhi.

 

Semakan Daftar Pemilih Papar Waktu Keluar Mengundi Yang Digalakkan, Berbeza Bagi Setiap Individu

MyCheck turut mengambil inisiatif membuat semakan daftar pemilih bagi mendapatkan maklumat benar atau tidak sememangnya ada tertera ‘masa yang dicadangkan’ oleh SPR seperti yang didakwa.

Berikut merupakan tangkap layar daripada semakan daftar pemilih yang kami lakukan.

 


Semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Memang benar tertera masa mengundi yang digalakkan SPR.

MyCheck turut meminta beberapa rakan lain melakukan semakan daftar pemilih dan mendapati ‘masa keluar mengundi yang digalakkan’ yang tertera adalah berbeza dengan apa yang kami peroleh.

‘Masa keluar mengundi yang digalakkan’ yang terpapar pada semakan daftar pemilih kami adalah antara 2 hingga 4 petang manakala rakan-rakan lain ada yang memperoleh masa antara 9 hingga 10 pagi, 12 tengah hari hingga 2 petang dan lain-lain masa.

Berikut merupakan satu lagi tangkap layar daripada semakan daftar pemilih individu lain.

 


Semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Tulisan Merah Mengelirukan?

Jika dilihat pada tangkap layar semakan daftar pemilih itu, SPR telah membezakan tulisan ‘Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’ dengan warna merah berbanding tulisan lain yang berwarna hitam.

MyCheck berpendapat ia bagi memudahkan orang ramai untuk fokus pada waktu keluar mengundi yang digalakkan oleh SPR.

Namun, berkemungkinan ada individu yang terlepas pandang perkataan ‘Digalakkan’ dan hanya membaca ‘Masa Keluar Mengundi’.

Hakikatnya jika anda melihat secara keseluruhan dan membaca dengan teliti, SPR dengan jelas turut memaparkan ‘Masa Mengundi’ iaitu 8 pagi hingga 6 petang, sebelum diikuti ‘Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’.

Di sini, pentingnya setiap daripada kita membaca dengan teliti setiap patah perkataan agar tidak mudah terkeliru.

 

Boleh Keluar Mengundi Bila-Bila Masa Asalkan Dalam Tempoh 8 Pagi hingga 6 Petang

Menurut laporan Malaysia Kini, SPR pada Mac lepas semasa PRN Johor pernah menjelaskan bahawa tidak benar dakwaan seseorang itu hanya boleh mengundi semasa ‘waktu mengundi yang digalakkan’.

Pengundi hanya digalakkan keluar mengundi mengikut masa yang tertulis pada semakan daftar pemilih di laman MySPR Semak.

Bagaimanapun, jika pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masing-masing dari 8 pagi hingga 6 petang.

SPR turut menasihati pengundi untuk tidak keluar membuang undi pada saat-saat akhir.

 

KESIMPULAN

Jelas di sini, masa yang dicadangkan oleh SPR yang terpapar pada semakan daftar pemilih itu merupakan panduan kepada orang awam bagi mengelakkan berlaku kesesakan di pusat pengundian.

Lantaran itulah tiada sebarang pengumuman rasmi daripada SPR berhubung waktu tersebut kerana ia hanyalah masa yang digalakkan, bukannya diwajibkan.

Walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan endemik Covid-19 namun, kes dan virus berbahaya ini belum berpenghujung dengan kewujudan pelbagai varian baharu.

Adalah lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan elak bersesak-sesak di tempat mengundi.

Ingat, teruja pergi membuang undi, jangan pulang membawa Covid-19!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Masa cadangan mengundi didakwa mengelirukan | Utusan Borneo Online 

  2. Pengundi digalak keluar ikut masa ditetapkan - SPR - Utusan Malaysia 

  3. Digalak undi ikut masa MySPR Semak I hmetro 

  4. Keluar mengundi ikut masa MySPR Semak 

  5. PRN Johor: Pengundi dinasihatkan keluar undi ikut masa dicadangkan MySPR Semak - SPR | Astro Awani 

  6. Tidak benar hanya boleh mengundi ikut masa digalakkan saja - SPR 

  7. UNDANG-UNDANG MALAYSIA 

  8. https://sarawakvoice.com/2022/11/08/padam-ruang-masa-mengundi

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.