+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Elak Undi Rosak, Cara Lipat Kertas Undi Yang Betul Mengikut Kaedah SPR Bermula Dari Atas Ke Bawah

Benarkah...

Cara petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melipat kertas undi dari kiri ke kanan akan menyebabkan undi rosak kerana kesan dakwat cap SPR di bahagian kiri terkena kotak undian di bahagian kanan kertas.

Sumber : Twitter & WhatsApp / November

Hasil

Cara yang biasa dilakukan petugas SPR dalam melipat kertas undi bagi Parlimen dan Negeri adalah bermula dari atas ke bawah, sebelum kiri ke kanan, bagi mengelakkan kertas undi terkena kesan dakwat cap SPR.

15/11/2022 10:01 PM

SEKILAS FAKTA 

  • Tular di WhatsApp dan media sosial satu video seorang individu menunjukkan cara petugas SPR melipat kertas undi yang telah menyebabkan kertas undi rosak.
  • Individu itu mendakwa petugas SPR melipat kertas undi dari kiri ke kanan.
  • Lipatan itu dikatakan mengakibatkan kertas undi terkena kesan dakwat cap yang dicapkan petugas SPR.
  • Menurut Akademi Pilihan Raya (APR) bahagian operasi SPR, petugas SPR akan melipat kertas undi dari atas ke bawah terlebih dahulu sebelum melipat dari kiri ke kanan.
  • Lipatan yang bermula dari atas ke bawah itu bertujuan mengelakkan kertas undi tersebut terkena kesan dakwat cap SPR sekali gus mengakibatkan undi rosak.

LATAR BELAKANG

Hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin menghampiri.

Secara amnya rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan turun padang untuk menunaikan kewajipan kepada negara.

Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik adalah dua perkara baharu yang dilaksanakan pada PRU15 ini.

Selari dengan perkembangan teknologi, pelbagai video dan mesej diberikan untuk mendidik dan memberi pencerahan terutamanya kepada pengundi kali pertama.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima satu hantaran video yang tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial berhubung dakwaan prosedur lipatan kertas undi oleh pihak SPR.

Lipatan terbabit didakwa akan menyebabkan kertas undi kotor kerana terkena kesan dakwat cap yang dicapkan petugas SPR.

Menerusi video berdurasi satu minit tujuh saat itu, seorang individu mendakwa kejadian kertas undi terkena kesan dakwat cap SPR berlaku di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Padang Besar Selatan, di Perlis.

Individu itu memberitahu dakwat cap SPR pada bahagian kiri kertas undi belum kering dan apabila petugas melipat kertas undi itu dari kiri ke kanan, kesan dakwat cap akan terkena di ruangan kotak pilihan undi pada bahagian kanan kertas.

Kesan dakwat cap terbabit yang terkena di ruangan undi dikatakan akan menyebabkan undi rosak.

Individu di dalam video terbabit turut memberi pesanan kepada pengundi mengenai cara lipatan yang perlu dilakukan agar dakwat cap tidak terkena pada kertas atau pengundi perlu memastikan kertas undi yang diterima tidak dilipat oleh petugas SPR.

 


Sumber: Twitter

 

Video sama turut tular di Twitter apabila seorang pengguna menggunakan nama akaun @MrNiceG36859427 berkongsi video itu berserta kapsyen ‘Bijak ke bijak?! Terima kasih pada pemilik video pendek ini’.

Ciapan pengguna itu mendapat lebih 300,000 ribu tontonan.

Bagaimanapun, pengguna Twitter terbabit didapati telah memadam ciapan berkenaan.

Namun, apakah fakta sebenar di sebalik dakwaan ini?

Benarkah pihak SPR melipat kertas undi dengan cara demikian? MyCheck semak kesahihannya untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Cap Pada Kertas Undi

Tahukah anda cap apakah yang terdapat pada kertas undi?

Menurut VO TE, satu akaun di aplikasi YouTube, cap yang dicapkan di atas kertas undi adalah cap rasmi SPR yang perlu ditandakan pada setiap kertas undi bagi memastikan kertas tersebut sah digunakan dan tidak akan menjadi undi rosak.

VO TE merupakan salah satu inisiatif SPR yang berkongsi maklumat dan informasi berkenaan pilihan raya.

 


Sumber: YouTube VO TE

 

Tatacara APR

Bagi mengetahui prosedur sebenar berhubung cara lipatan kertas undi SPR, MyCheck membuat carian asas berkenaan isu yang tular itu menerusi enjin Google.

Menggunakan kata kunci ‘lipatan kertas undi SPR’, apa yang kami temukan adalah seperti berikut.

Hasil carian rawak, kami menemukan hantaran Facebook Akademi Pilihan Raya yang berkongsi cara lipatan betul yang akan dilakukan oleh kerani pengundian ketika hari mengundi bagi mengelakkan kertas undi tersebut rosak atau terkena kotoran dakwat cap yang telah dicapkan ke atas kertas undi.

Turut disertakan gambar prosedur lipatan kertas undi yang dilakukan petugas SPR secara langkah demi langkah.

Kami kongsikan kepada anda di sini.

 


Sumber: Facebook Akademi Pilihan Raya

 


Sumber: Facebook Akademi Pilihan Raya

 

Berdasarkan cara lipatan kertas undi yang dikongsikan APR, langkah ketiga jelas menunjukkan bahawa kerani pengundian akan melipat kedua-dua kertas undi dari atas ke bawah terlebih dahulu.

Langkah seterusnya barulah kerani pengundian akan melipat pula kedua-dua kertas undi itu dari kiri ke kanan.

 


Sumber: Facebook Akademi Pilihan Raya

 

Menerusi langkah kelima, dapat dilihat dengan jelas tujuan kertas undi dilipat dari atas ke bawah kemudian dari kiri ke kanan adalah bagi mengelakkan kertas undi tersebut terkena kesan dakwat cap yang telah dicapkan oleh petugas SPR.

Hantaran APR mengenai cara melipat kertas undi itu dimuat naik pada 29 Julai 2021.

Cara itu masih diguna pakai sehingga kini berikutan tiada hantaran terkini dimuat naik APR mengenai cara baharu melipat kertas undi, setakat laporan ini ditulis (15 November 2022).

 

Apakah Akademi Pilihan Raya Ini?

Mungkin ramai yang belum tahu mengenai kewujudan APR ini.

Menurut portal rasmi SPR, APR telah dilancarkan pada 8 Januari 2007 dan diletakkan di bawah Bahagian Operasi SPR.

Objektif utama APR adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai dan staf SPR serta petugas-petugas pilihan raya dan parti-parti politik.

 


Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

 

APR juga bertindak meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penglibatan dalam pilihan raya terhadap komuniti khususnya para pelajar dan pemilih berdaftar.

Ini menunjukkan bahawa segala inisiatif sebaran maklumat oleh APR yang diletakkan di bawah SPR ini berperanan mendidik masyarakat serta pegawai SPR dalam pengurusan melibatkan pilihan raya.

Oleh itu, sudah semestinya maklumat yang diberikan oleh APR ini sahih dan boleh dipercayai.

 

KESIMPULAN

Prosedur lipatan kertas undi yang dikongsikan APR jelas menunjukkan bahawa SPR telah mengambil langkah awal bagi memastikan cara lipatan kertas undi tidak merosakkan undi.

Tidak salah berkongsi maklumat atau panduan berkaitan pilihan raya kepada pengundi, namun biarlah ia sahih agar tidak menimbulkan implikasi negatif kepada mana-mana pihak.

Jika tidak pasti kesahihan sesuatu dakwaan, usahlah terburu-buru menyebarkannya kepada orang ramai sehingga mencetuskan kekeliruan terutama buat pengundi baharu yang tidak pernah mempunyai pengalaman mengundi.

Ingat pesan MyCheck, Jangan Sebar Melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Sebelum kertas undi diberikan... - Akademi Pilihan Raya | Facebook

  2. Akademi Pilihan Raya | Portal Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

  3. VO TE - YouTube

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.