+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video Tular Papar Potret Empat Individu Kenamaan Di Malaysia Adalah Turutan Presiden UMNO, Bukan Senarai Perdana Menteri

Benarkah...

Susunan potret individu kenamaan yang tular di media sosial adalah turutan bekas dan bakal Perdana Menteri Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber : TikTok / November

Hasil

Susunan potret tersebut adalah turutan Presiden UMNO, bukannya senarai Perdana Menteri. Lokasi potret itu dipamerkan adalah di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, yang menempatkan Ibu Pejabat UMNO.

16/11/2022 09:22 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di TikTok video memaparkan susunan potret empat individu kenamaan di Malaysia yang dikatakan bekas dan bakal Perdana Menteri Malaysia pasca PRU15.
  • Individu berkenaan adalah Tun Dr Mahathir Mohamad diikuti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan terakhir Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
  • Semakan MyCheck mendapati potret tersebut dipamerkan di WTC Kuala Lumpur.
  • Susunan potret tersebut bukan turutan Perdana Menteri, sebaliknya ia adalah senarai Presiden UMNO.
  • Ahmad Zahid merupakan presiden UMNO yang terkini.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Berbaki dua hari sahaja lagi sebelum rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.

Umum sedia tahu PRU15 adalah PRU bagi memilih Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Perjalanan politik selepas PRU14 sebelum ini memateri sejarah apabila berlaku pelantikan tiga Perdana Menteri bersilih ganti dalam penggal yang sama.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan diganti pula dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 17 bulan dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah politik negara iaitu dalam tempoh 14 bulan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video di TikTok menunjukkan susunan potret empat individu kenamaan di Malaysia.

Potret itu dipamerkan di satu dinding namun lokasinya tidak dinyatakan.

Individu berkenaan adalah Tun Dr Mahathir Mohamad diikuti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan terakhir Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada video itu tertera ayat ‘Turutan PM Malaysia’ dan tanda soal (????) pada gambar Ahmad Zahid.

Ia telah mencetuskan tanda tanya orang ramai terutama warganet mengenai benarkah ia turutan Perdana Menteri Malaysia.

Ramai yang mempersoalkan mengapakah potret Ahmad Zahid turut tersenarai dalam susunan tersebut sedangkan beliau tidak pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia dan adakah Ahmad Zahid bakal Perdana Menteri pasca PRU15?

Video yang dimuat naik oleh Pengguna TikTok yang menggunakan nama akaun ARIFWSHRE itu telah ditonton lebih 361,000 kali (setakat laporan ini ditulis - 16 November 2022).

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

 

 

MyCheck Turun Padang, Cari Potret Tular

Langkah pertama MyCheck adalah meneliti video yang tular tersebut.

Sememangnya tidak dinyatakan secara jelas di manakah lokasi potret itu dipamerkan namun hasil penelitian MyCheck menemukan satu petunjuk lokasi video tersebut diambil.

Pengguna yang memuat naik video tersebut telah menggunakan tanda pagar #pwtc pada kapsyen video tersebut.

PWTC adalah Pusat Dagangan Dunia Putra, sebelum namanya ditukar kepada WTC. Ia terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

 


Sumber: TikTok

 

Oleh itu, MyCheck mengambil inisiatif ke WTC bagi mencari potret yang dipamerkan itu.

 

Bukan Turutan Perdana Menteri

Kami berjaya menemukan potret tular itu terpampang di dinding aras lima dalam bangunan WTC Kuala Lumpur.

Pada setiap potret terpapar nama empat individu itu dengan jawatan masing-masing.

Penemuan potret itu jelas menunjukkan ia bukanlah turutan Perdana Menteri Malaysia seperti yang didakwa.

Sebaliknya, ia merupakan susunan potret presiden UMNO.

Kami kongsikan gambar yang dirakam di WTC.

 


Sumber: MyCheck

 

Terdapat Lapan Potret Dipamerkan

Sebenarnya, selain daripada potret Dr Mahathir, Abdullah, Najib dan Ahmad Zahid, terdapat juga potret-potret Presiden UMNO yang lain.

Susunan potret tersebut bermula dengan Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn sebelum diikuti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Seperti mana yang kita tahu Onn Jaafar tidak pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau hanya menyandang jawatan sebagai Presiden UMNO dari 1946 hingga 1951.

Maka dakwaan menyatakan senarai tersebut adalah senarai Perdana Menteri Malaysia adalah tidak benar sama sekali.

Ahmad Zahid pula menjadi Presiden UMNO dari 2018 hingga kini.

Kami kongsikan senarai Presiden UMNO seperti di bawah. Anda juga boleh lihat di sini.

 


Sumber: UMNO Online

 

Hanya Satira

MyCheck berpendapat video tular ini dibuat sebagai satira yang bermaksud karya yang mempersendakan atau menyindir orang.

Individu yang memuat naik video ini sengaja membuat spekulasi bagi meraih tontonan.

Mengapa kami katakan begitu?

Dapat dilihat di bahagian komen video tersebut, individu yang memuat naik video itu mengakui bahawa senarai potret tersebut adalah turutan presiden UMNO.

Kami kongsikan beberapa tangkap layar yang diambil di bahagian komen.

 


Sumber: TikTok

 

Mengapa Potret Presiden UMNO Dipamerkan Di WTC Kuala Lumpur?

Mungkin ada yang belum tahu, WTC Kuala Lumpur adalah bangunan milik UMNO yang diusahakan pembangunannya sejak 1971.

Ia menempatkan Ibu Pejabat UMNO dan menjadi lokasi Perhimpunan Agung UMNO yang pertama dan sehingga kini.

Anda boleh lihat sejarah bangunan ini di laman sesawang WTC ini.

 

KESIMPULAN

Sesetengah daripada kita mungkin menganggap video satira ini hanyalah gurauan dan tidak harus diambil serius.

Namun, ketika negara kini dalam tempoh PRU15, video seumpama itu telah mencetuskan banyak reaksi negatif.

Tambahan pula video yang diambil tersebut dikatakan potret senarai Perdana Menteri, yang berkait rapat dengan sejarah Malaysia.

Kami di MyCheck berasa gembira untuk memberikan pencerahan maklumat dan akan berusaha berkongsikan informasi yang sahih dengan anda semua.

Ingat, “Jangan Sebar Melulu, MyCheck dulu!"

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. UMNO Online 

  2. PWTC History 

  3. TikTok ARIFWHSRE

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.