+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

SPR Tidak Wajibkan Pengundi Guna Pensanitasi Tangan Sebelum Mengundi

Benarkah...

Pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) diwajibkan guna pensanitasi tangan selepas mencelup dakwat kekal di jari iaitu sebelum mengundi.

Sumber : WhatsApp / November

Hasil

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nafi dakwaan itu. SPR tidak pernah mewajibkan pengundi menggunakan pensanitasi tangan sebelum mengundi.

17/11/2022 07:20 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu mesej menerusi WhatsApp menyatakan terdapat keperluan baharu bagi pengundi untuk menggunakan pensanitasi tangan selepas mencelup jari ke dalam dakwat kekal.
  • Pengundi yang memakai seluar pendek dan selipar juga didakwa tidak dibenarkan mengundi.
  • SPR nafi dakwaan tersebut.
  • Suruhanjaya itu tidak pernah mewajibkan penggunaan pensanitasi tangan selepas mencelup dakwat.
  • SPR juga tidak melarang mana-mana pengundi memasuki pusat mengundi selagi mana mereka tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
  • Pengundi hanya akan dilarang masuk ke tempat mengundi jika memakai pakaian atau peralatan yang memaparkan nama calon, simbol atau lambang parti politik di kawasan pusat mengundi.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

PRU15 merupakan pilihan raya umum pertama yang berlangsung dalam suasana negara dibelenggu pandemik Covid-19.

Biarpun hampir 100 peratus rakyat Malaysia telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 namun, kemunculan varian baharu ketika ini mendorong orang ramai terus melaksanakan langkah sewajarnya bagi mengekang jangkitan baharu terutama pada hari pengundian, Sabtu ini.

Pelbagai persediaan dilakukan termasuk mendapatkan maklumat berkaitan hari pengundian kerana kemungkinan wujud keperluan atau prosedur baharu untuk membuang undi ketika musim pandemik.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat keperluan baharu bagi proses pengundian PRU15.

Menurut mesej tersebut, pengundi akan diminta untuk menggunakan pensanitasi tangan selepas mencelup jari ke dalam dakwat kekal atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, pengundi diingatkan untuk tidak berbuat sedemikian kerana alkohol daripada pensanitasi tangan itu akan mencairkan dakwat kekal di jari dan menyebabkan kertas undi menjadi comot.

Sehubungan itu, pengundi digalakkan untuk membawa tisu dan merujuk kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk mendapatkan kertas undi gantian sekiranya berlaku sebarang masalah pada kertas undi.

Menurut mesej itu juga, pengundi yang memakai seluar pendek dan selipar tidak akan dibenarkan mengundi oleh pihak SPR.

Jadi benarkah terdapat keperluan baharu yang dikeluarkan oleh SPR yang kita tidak tahu dan betulkah ada cara pemakaian yang harus kita patuhi untuk pergi mengundi?

MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Dakwat Kekal

Untuk pengetahuan, dakwat kekal adalah dakwat separa-kekal yang ditanda pada jari telunjuk pengundi dengan tujuan mengelakkan penipuan iaitu pengundian berganda pada mana-mana pilihan raya.

Bahan kimia perak nitrat yang terdapat di dalam dakwat kekal akan menyebabkan kulit jari bertukar menjadi warna gelap kehitam-hitaman.

Tanda dakwat kekal juga susah untuk ditanggalkan kerana ia kalis air, alkohol serta bahan peluntur dan biasanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk hilang sepenuhnya.

Selain itu, terdapat dakwat kekal yang dicampurkan dengan bahan biosida untuk memastikan bakteria tidak berpindah apabila pengundi mencelupkan jari pada botol pencelup.

Sistem pengecaman pengundian jenis ini telah diguna pakai secara meluas di negara dunia ketiga seperti India, China dan Brazil semasa pilihan raya di negara mereka.

Di Malaysia, penggunaan dakwat kekal dalam proses pengundian diperkenalkan buat kali pertama oleh SPR pada Pilihan Raya Umum  Ke-13 (PRU13).

 

Apa Pula Pensanitasi Tangan?

Pensanitasi tangan atau dalam bahasa Inggeris hand sanitizer pula adalah sejenis cecair campuran bahan kimia serta alkohol yang mampu untuk membunuh bakteria atau virus berbahaya pada permukaan tangan anda.

Menurut laporan statistik Statista, permintaan untuk pensanitasi tangan meningkat sebanyak 68 peratus secara mendadak apabila Covid-19 melanda Malaysia pada awal 2020.

MyCheck membuat carian rawak menggunakan kata kunci “pensanitasi tangan tanggal dakwat kekal” di enjin carian Google, bagaimanapun kami tidak menemukan sebarang maklumat sepadan.

 

SPR Sahkan Mesej Tular Adalah Palsu

Namun apabila MyCheck membuat carian menggunakan kata kunci “New requirement for voters to sanitize hands”, kami menemukan dua laporan portal berhubung isu berkaitan.

Menurut laporan PEMANTAU, dakwaan itu adalah tidak benar kerana SPR atau KKM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan yang mewajibkan penggunaan pensanitasi tangan walaupun ketika waktu kemuncak Covid-19 di Malaysia.

Bahkan, pensanitasi tangan tidak mudah untuk menanggalkan dakwat kekal di jari atau menyebabkan kesan comot pada kertas undi.

Begitu juga laporan News Straits Times, yang menyatakan bahawa SPR menafikan dakwaan wujudnya keperluan baharu bagi proses pengundian pilihan raya umum kali ini.

Tiada keperluan baharu bagi proses pengundian selain daripada apa yang dinyatakan di portal SPR dan halaman media sosial kami,” jelas jurucakap SPR di dalam laporan itu.

 


Sumber: New Straits Times

 

Baru-baru ini SPR juga ada mengeluarkan kenyataan penjelasan menerusi hantaran di laman Facebook Akademi Pilihan Raya.

Menurut SPR mesej yang tular itu adalah palsu.

Jelas SPR, pengundi tidak diwajibkan untuk menggunakan pensanitasi tangan sebelum membuang undi pada hari pengundian.

Selain itu, SPR juga tidak akan menghalang pengundi daripada memasuki pusat mengundi selagi mana mereka tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Sebaliknya, pengundi akan ditahan sekiranya memakai pakaian yang menunjukkan nama, simbol atau lambang parti politik di kawasan pusat mengundi.

 


Sumber: Facebook Akademi Pilihan Raya

 

Infografik SPR

Menerusi semakan di Twitter pula, MyCheck menemui satu infografik yang dimuat naik SPR mengenai 10 langkah utama yang perlu dipatuhi ketika mengundi.

Merujuk kepada infografik tersebut, kami tidak menjumpai sebarang peraturan yang menyatakan pengundi perlu menggunakan pensanitasi tangan sebelum atau selepas mencelup jari ke dalam dakwat kekal.

Namun, kami ada mengesan peraturan terbaharu dalam proses pengundian iaitu pengundi mesti menyerahkan telefon bimbit kepada pegawai yang bertugas apabila mengambil kertas undi.

Peraturan baharu itu tertera pada langkah keenam. Anda boleh rujuk gambar di bawah.

 


Sumber: Twitter Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan MyCheck, jelas tiada sebarang prosedur baharu daripada SPR yang mewajibkan pengundi menggunakan pensanitasi tangan sebelum membuang undi pada 19 November ini.

Kami memahami keprihatinan orang ramai untuk mendapatkan informasi bagi memastikan proses pengundian di musim pandemik ini berjalan lancar namun tapis dulu sebarang maklumat yang diterima agar anda tidak salah mengambil tindakan.

Jangan terburu percaya yang palsu, tak tahu semaklah dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Revenue growth of hand sanitizers in Malaysia 2013-2025 

  2. Misinformation : New requirement for voters to sanitize hands after dipping finger into indelible ink - PEMANTAU

  3. GE15: No need to sanitise after dipping finger in indelible ink, says EC

  4. Akademi Pilihan Raya | Facebook

  5. 10 Langkah Pengundian Pada Hari Mengundi | Twitter

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.