Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menyiarkan berita bahawa kerajaan negeri Melaka bakal membangunkan Taman Tema Disneyland dan Disney City di negeri berkenaan.
Sumber : WhatsApp / November 2022
BERNAMA tidak pernah mengeluarkan sebarang laporan mengenai projek berkenaan. Agensi itu hanya melaporkan kekecewaan Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) terhadap seorang Exco Melaka yang didakwa merendahkan media.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Melaka memiliki pelbagai tarikan dan produk pelancongan yang bukan sahaja menarik perhatian pelancong tempatan tetapi juga pelancong asing.
Terbaharu, kerajaan Melaka dilaporkan merancang untuk membina Taman Tema Disneyland serta Disney City di negeri berkenaan bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan negeri.
Memetik laporan beberapa akhbar tempatan, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis memaklumkan bahawa projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 80.9 hektar di Jasin pada 2027.
Beliau dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan 22 kilometer Sistem Maglev untuk menghubungkan lokasi hotspot Pelancongan dan Membangunkan Taman Tema Disneyland serta Disneycity di Melaka, baru-baru ini.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima beberapa mesej menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa laporan mengenai projek pembangunan Taman Tema Disneyland dan Disney City di Melaka dikeluarkan berdasarkan sumber daripada BERNAMA.
Menurut tangkap layar mesej WhatsApp berkenaan, BERNAMA dikatakan telah mengeluarkan laporan mengenai cadangan pembinaan projek itu yang kemudian dipetik oleh beberapa portal dan media arus perdana antaranya Malay Mail dan New Straits Times.
APA YANG KAMI TEMUI
Latar Belakang Walt Disney Company
Mungkin ramai tertanya-tanya apakah itu Disneyland?
Disneyland merupakan sebuah taman tema hiburan terkemuka yang dimiliki oleh sebuah syarikat konglomerat media terbesar dari Amerika Syarikat, Walt Disney Company.
Syarikat berkenaan diasaskan oleh pasangan adik beradik, Walter Elias Disney dan Roy Oliver Disney pada 1950.
Walter dan Roy dilaporkan membuka tama tema hiburan pertama di bawah syarikat berkenaan pada 1955 di Anaheim, California, Amerika Syarikat.
Disneyland yang diuruskan oleh Disney Parks, Experiences and Products, Inc, merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah Walt Disney Company yang memberi fokus kepada segmen taman tema hiburan.
Menurut laporan sebuah laman sesawang yang menceritakan mengenai tarikan Taman Tema Disneyland, mousehacking.com, kini terdapat keseluruhan 12 Taman Tema Disneyland yang dibina di enam buah pusat peranginan (resort) yang dimiliki oleh Walt Disney Company di enam lokasi seluruh dunia.
Enam lokasi berkenaan adalah di Florida dan California di Amerika Syarikat, Tokyo (Jepun), Paris (Perancis), Hong Kong serta di Shanghai, China dan setiap taman tema berkenaan mempunyai tarikan yang berbeza-beza.
Tiada Sebarang Laporan BERNAMA Mengenai Cadangan Pembinaan Taman Tema Disneyland Dan Disney City Di Melaka
MyCheck membuat semakan dan cuba mencari laporan yang dikeluarkan BERNAMA berhubung cadangan pembinaan taman tema itu.
Bagaimanapun, kami tidak menemukan sebarang laporan berkaitan.
MyCheck juga cuba mencari mana-mana laporan berita daripada BERNAMA yang memetik kenyataan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Kami hanya menemukan satu laporan BERNAMA bertajuk ‘PENDIKA sifatkan kenyataan Exco mengenai pengamal media sebagai penghinaan’.
Menerusi berita itu, BERNAMA hanya melaporkan mengenai kekecewaan PENDIKA dengan kenyataan Muhammad Jailani yang dilihat merendahkan pengamal media di hadapan pelabur asing dalam satu sidang media.
Laporan mengenai perkara berkenaan turut disiarkan media tempatan antaranya Astro Awani.
Disney Tiada Perancangan Bina Taman Tema Disneyland Dan Disney City?
Isu pembinaan Disneyland dan Disney City tular dan menjadi perbincangan hangat susulan ciapan seorang koresponden agensi berita CNN Heather Chen yang memaklumkan bahawa Disney tiada perancangan untuk membuka Taman Tema Disneyland dan Disney City sepertimana yang didakwa oleh Exco Melaka itu.
Beliau yang membuat liputan isu semasa untuk CNN bagi rantau Asia Tenggara sebelum itu membuat satu ciapan mendakwa kerajaan Melaka bakal membangunkan sebuah Taman Tema Disneyland di Melaka sebelum memadam ciapan berkenaan setelah mendapatkan pengesahan daripada pihak Disney sendiri.
Ciapan Twitter daripada koresponden CNN itu telah disiarkan oleh beberapa media tempatan termasuk Malay Mail, selain beberapa laman sembang seperti sea mashable dan lowyat.net.
Dari Mana Laporan Asal Mengenai Projek Pembangunan Taman Tema Disneyland?
Mungkin ramai tertanya-tanya adakah benar Exco Melaka mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu?
Kami menemukan artikel mengenai cadangan projek pembangunan itu yang disiarkan oleh portal lidah rasmi kerajaan negeri Melaka, Melaka Hari Ini.
Selain itu, media antarabangsa antaranya Today Online dari Singapura turut menyiarkan artikel mengenai perkara yang sama yang dikatakan dipetik daripada BERNAMA.
Akhbar New Straits Times Press (NSTP) turut mengeluarkan laporan yang sama dengan memetik sumber BERNAMA, namun sudah memadam laporan itu.
Bagaimanapun kami berjaya memuat turun tangkap layar laporan asal yang disiarkan NSTP menerusi aplikasi Wayback Machine.
KESIMPULAN
Dakwaan menyatakan BERNAMA mengeluarkan artikel mengenai cadangan pembinaan Taman Tema Disneyland dan Disney City adalah tidak benar.
MyCheck tidak menemukan sebarang artikel yang dikeluarkan oleh BERNAMA mengenai projek berkenaan.
Nasihat kami periksa dahulu sebarang fakta yang diterima dan janganlah sewenang-wenangnya menyebarkan sesuatu berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
--MYCHECK.MY --
RUJUKAN
ALL THE DISNEY PARKS IN THE WORLD RANKED.Published by mousehacking.com
Exco's statement an insult to media practioners in Melaka- Pendika.Published by Bernama
Melaka Disneyland is fake news, Disney reps tell CNN.Published by malaymail.com
Disney: No, We Are Not Building Our Theme Park In Malacca.Published by lowyat.net
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.