Satu perhimpunan besar-besaran dihadiri ribuan orang yang memakai pakaian berwarna merah telah diadakan di sebuah padang awam sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sumber : WhatsApp / November 2022
Perhimpunan mega itu bukan di Malaysia. Ia merupakan perhimpunan bagi menyokong ahli politik Taiwan, Han Kuo-yu sempena Pilihan Raya Presiden Taiwan pada 2020.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Berbaki beberapa jam sahaja lagi tempoh kempen bagi parti-parti politik di Malaysia yang akan bertanding dalam PRU15 akan berakhir pada pukul 11.59 malam ini.
Tempoh kempen selama 14 hari yang bermula selepas proses penamaan calon selesai, digunakan sebaik mungkin oleh pelbagai parti.
Selain ceramah, calon yang bakal bertanding turut mengadakan pertemuan dengan pengundi di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masing-masing bagi meraih sokongan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.
MENGENAI DAKWAAN
Kami menerima satu video melalui aplikasi WhatsApp mendakwa satu perhimpunan mega telah diadakan oleh parti politik di sebuah padang awam sempena kempen PRU15.
Video berdurasi kira-kira tiga minit itu memaparkan ribuan orang memakai pakaian berwarna merah.
Tidak dinyatakan secara jelas di manakah lokasi perhimpunan tersebut namun audio yang kedengaran menerusi video itu bukan Bahasa Melayu tetapi berbunyi seperti dialek Hokkien.
Beberapa warganet mendakwa perhimpunan berkenaan merupakan anjuran satu parti politik di Malaysia berdasarkan pakaian merah yang dipakai oleh orang ramai dalam video itu menyamai warna pakaian salah satu parti politik di Malaysia.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck meneliti video tular dan melihat komen yang ditinggalkan warganet pada video berkenaan.
Kebanyakan warganet mendakwa ia adalah perhimpunan sebuah parti politik iaitu Pakatan Harapan.
Pemilik Sebenar Video
Kami kemudian membuat semakan ke atas pengguna akaun TikTok yang memuat naik video berkenaan.
Individu itu menggunakan nama akaun @lang3911 di TikToknya.
Beliau sering berkongsi pelbagai video lawak jenaka, isu kepenggunaan, politik dan isu semasa berkaitan masyarakat umum di Taiwan.
Berlaku di Taiwan
Dengan menggunakan aplikasi InVID, kami menganalisis video menerusi fungsi “image fragmentation” memandangkan semakan video aplikasi berkenaan hanya terhad kepada beberapa laman sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter sahaja.
Hasil analisis video berkenaan, kami mendapati perhimpunan itu bukan berlaku di Malaysia sebaliknya di Taiwan.
Perhimpunan tersebut sebenarnya adalah perhimpunan mega anjuran parti Kuomintang (KMT) yang diadakan di sebuah padang awam di negara itu sempena Pilihan Raya Presiden Taiwan 2020.
Ia dihadiri ribuan penyokong seorang calon Pilihan Raya Presiden Taiwan, Han Kuo-Yu.
Kami menjumpai video perhimpunan berkenaan yang dipecahkan kepada dua bahagian telah dikongsi oleh Johnny Lin pada 24 Jun 2019 di YouTube.
Secara jelas dapat dilihat tarikh video ini dimuat naik di YouTube pada 24 Jun 2019.
Berdasarkan perbandingan tangkap layar video perhimpunan mega berkenaan yang diambil daripada YouTube dan TikTok, kami mendapati terdapat beberapa persamaan ketara termasuk dua pentas yang digunakan selain beberapa khemah yang dipasang sekitar kawasan berkenaan.
Jadi, perhimpunan ini sebenarnya bukan berlaku di Malaysia tetapi tetapi di Taiwan pada 2019.
Video Tular Kembali Di Taiwan
Video ini juga didapati tular kembali di Taiwan baru-baru ini.
Dikatakan perhimpunan besar-besaran menyokong Han Kuo-yu ini diadakan pada Oktober 2022.
Taiwan FactCheck Center telah melakukan semakan fakta dan mendapati perhimpunan tersebut sebenarnya diadakan pada Jun 2019, seperti hasil semakan yang MyCheck temukan.
Kami berikan tangkap layar kepada laporan yang disediakan oleh Taiwan FactCheck Center ini.
KESIMPULAN
Tidak salah mempelbagaikan cara mempromosi calon atau parti politik masing-masing menerusi pelbagai platform.
Namun berhati-hati sebelum mempercayai dan menyebarkan apa jua gambar, video atau teks yang tidak diketahui kesahihannya.
Apa lagi sesuatu kejadian atau perkara itu bukan berlaku di Malaysia.
Jadilah rakyat Malaysia yang bijak dan berpolitiklah secara matang.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.