Individu positif Covid-19 hanya boleh mengundi dari pukul 4 hingga 6 petang di pusat pengundian, esok.
Sumber : WhatsApp / November 2022
Tiada waktu khas ditetapkan kepada individu positif Covid-19 untuk mengundi.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Menghampiri jam-jam terakhir sebelum mengundi pada Sabtu (19 November 2022), pelbagai spekulasi dan maklumat berkaitan pengundian dikongsi oleh orang ramai.
Sepertimana yang diketahui, gelombang baharu jangkitan Covid-19 berlaku beberapa minggu lepas menyebabkan bilangan kes positif baharu meningkat secara mendadak.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa individu positif Covid-19 juga dibenarkan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu tangkap layar mesej di WhatsApp memaklumkan mengenai peringatan kepada pengundi untuk mengambil beberapa langkah penjagaan semasa mengundi esok, bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
Selain peringatan itu, mesej tersebut turut memaklumkan bahawa individu positif Covid-19 hanya boleh mengundi pada waktu tertentu.
“Untuk pesakit Covid-19 mereka akan start mengundi dari pukul 4-6 petang iaitu 3 jam terakhir mengundi,” menurut mesej berkenaan.
Adakah betul ada waktu khas untuk individu Covid-19 mengundi? Jom MyCheck semak.
APA YANG KAMI TEMUI
Kami membuat carian secara rawak melalui Google dengan kata kunci ‘covid dan mengundi’. Kami menemukan beberapa keputusan seperti di bawah.
Beberapa akhbar melaporkan mengenai isu individu positif Covid-19 dan mengundi.
Namun tidak ada satu pun laporan mengenai waktu khas bagi individu positif Covid-19 untuk mengundi.
Apa yang kami temukan adalah :
Tiada sebarang laluan khas diberikan kepada pengundi yang disahkan positif Covid-19.
Pengundi yang positif Covid-19 perlu melaporkan status kesihatan mereka dalam aplikasi MySejahtera masing-masing untuk mendapat pemakluman mengenai garis panduan mengundi.
Individu positif Covid-19 akan diiringi petugas KKM sehingga pintu masuk bilik mengundi kerana tidak mahu individu positif Covid-19 beratur dan menunggu bersama pengundi lain yang negatif Covid-19.
Individu yang positif Covid-19 akan menggunakan pembersih tangan atau hand sanitizer sebelum mencelup jari ke dalam bekas dakwat.
Individu yang positif Covid-19 tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam dan wajib memakai pelitup muka semasa berada di pusat mengundi.
Individu yang positif Covid-19 perlu segera pulang dan menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.
Jika anda lihat pada infografik yang disiarkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) ini, tiada sebarang maklumat diberikan mengenai waktu mengundi khas untuk individu yang positif Covid-19.
Apa yang perlu anda lakukan sekiranya disahkan positif Covid-19 adalah memaklumkan status kesihatan anda kepada KKM dan petugas KKM akan membawa anda ke tempat mengundi dengan segera.
KESIMPULAN
Semua rakyat berhak menjadi pengundi pada setiap Pilihan Raya Umum.
Justeru, pelbagai inisiatif dilakukan pihak kerajaan bagi membolehkan rakyat Malaysia yang layak, menunaikan tanggungjawab memilih calon terbaik untuk mengemudi negara bagi penggal lima tahun akan datang.
Oleh itu, jika ada yang tertanya-tanya mengapa ada pengundi dibawa terus ke bilik mengundi tanpa beratur pada hari pengundian esok, harap bertenang kerana mereka mungkin individu yang disahkan positif Covid-19.
Apa yang penting, jaga kesihatan anda dan pakailah pelitup muka semasa di pusat mengundi walaupun anda tidak positif Covid-19.
Mencegah lebih baik daripada mengubati.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.