Pengundi tidak dibenarkan untuk membawa telefon bimbit ke tempat mengundi.
Sumber : WhatsApp / November 2022
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundi perlu menyerahkan telefon bimbit kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) selepas mengambil kertas undi.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Undi anda adalah rahsia. Tiada siapa dapat meneka siapakah calon dan parti yang anda pilih.
Namun terdapat ura-ura yang menyatakan ada pengundi dibayar untuk mengundi sesebuah parti dengan syarat mereka harus menunjukkan bukti kertas undi mereka.
Oleh itu, pihak SPR dikatakan telah membuat peraturan baharu tidak membawa telefon bimbit di dalam pusat mengundi, demi menjaga hak dan privasi pengundi serta mencegah korupsi.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu tangkap layar mesej di WhatsApp mengenai benarkah pengundi tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ke tempat mengundi.
Betulkah ada larangan baharu yang dikeluarkan oleh SPR? Biar MyCheck semak untuk anda!
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck menggunakan enjin carian Google bagi mencari maklumat lanjut berhubung dakwaan itu.
Menggunakan kata kunci ‘pengundi tidak dibenarkan membawa telefon bimbit’, kami menemukan beberapa laporan yang sepadan antaranya seperti gambar di bawah.
Tajuk-tajuk laporan yang dikeluarkan menunjukkan isu larangan tersebut berkait rapat dengan SPR dan PRU15.
Kami kemudiannya meneliti satu persatu pautan tersebut bagi mendapatkan fakta yang lebih jelas.
Infografik 10 Langkah Pengundian SPR
Berdasarkan semakan kami pada pautan laporan berita arus perdana antaranya Berita Harian, Sinar Harian dan BERNAMA, SPR memaklumkan bahawa penggunaan telefon bimbit di dalam tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi infografik yang dimuat naik SPR di media sosial rasmi suruhanjaya itu.
Menerusi infografik itu, SPR menggariskan 10 langkah utama yang perlu dipatuhi ketika mengundi pada PRU15.
Pada langkah keenam dalam infografik tersebut jelas menyatakan bahawa pengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat disediakan setelah menerima kertas undi.
Pengundi boleh mengambil semula telefon bimbit itu selepas selesai membuang undi.
Kenyataan Rasmi SPR
Hasil semakan MyCheck di laman Twitter, kami turut menemukan satu perkongsian berbentuk kenyataan rasmi oleh pihak SPR tentang pemakluman larangan penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi.
Menerusi kenyataan itu, SPR menetapkan larangan tersebut bagi merahsiakan maklumat pengundian dalam pilihan raya sebagaimana termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
KESIMPULAN
Jelas di sini SPR telah menetapkan peraturan baharu iaitu pengundi perlu menyerahkan telefon bimbit sebelum membuang undi.
Jangan khuatir kerana telefon bimbit anda itu akan dipulangkan semula sebaik sahaja anda selesai memasukkan kertas undi ke dalam peti undi.
Pastikan anda tidak lupa untuk mengambilnya semula ya!
Jika anda tidak pasti atau masih keliru dengan perjalanan proses pengundian, anda boleh rujuk laman rasmi dan media sosial SPR bagi mendapatkan info terkini PRU15.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.