Pengundi yang memakai pewarna kuku atau inai tidak boleh mengundi dan perlu mengikis pewarna itu terlebih dahulu sebelum keluar mengundi.
Sumber : Twitter / November
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menasihati pengundi untuk tidak memakai pewarna kuku sebelum mengundi kerana dakwat kekal akan menjejaskan hiasan kuku tersebut. Namun, tiada sebarang peraturan yang menghalang seseorang daripada mengundi kerana mewarnakan kukunya.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Hiasan kuku boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu tradisional dan moden.
Pemakaian inai merupakan perhiasan kuku tradisional yang sangat terkenal dalam kalangan orang beragama Islam.
Ini kerana sifatnya telus air, yang memudahkan air untuk diserap di permukaan kulit dan kuku manusia ketika mengambil wuduk.
Pewarna atau cat kuku jenis gel pula lebih moden, warnanya yang pelbagai digunakan untuk melapisi dan mencantikkan lagi kuku.
Walaupun cara pemakaiannya mirip dengan cat kuku biasa namun ia hanya boleh dikeringkan di bawah lampu LED atau ultraviolet.
MENGENAI DAKWAAN
Satu ciapan oleh seorang selebriti tempatan tular di Twitter apabila beliau bertanyakan sama ada perlu untuk mengikis inai di bahagian jari dan kukunya bagi membolehkan beliau mengundi semasa PRU15.
Ciapan tersebut dikongsi lebih 2,000 pengguna Twitter dan mendapat 162 komen (setakat laporan ini ditulis).
Beberapa warganet meluahkan kerisauan mereka tidak dibenarkan mengundi sekiranya memakai pewarna kuku.
APA YANG KAMI TEMUI
Isu Berpunca Daripada Maklumat Palsu
MyCheck membuat satu carian rawak menggunakan kata kunci “pengundi tidak dibenarkan memakai pewarna kuku semasa mengundi” di enjin carian Google dan berjaya menemukan beberapa portal berita yang melaporkan isu berkaitan.
Memetik laporan Malaysiakini, terdapat satu maklumat palsu yang disebarkan di dalam talian menyatakan pengundi yang memakai pewarna kuku tidak dibenarkan mengundi pada PRU15.
Maklumat itu timbul susulan SPR menasihatkan pengundi supaya menangguhkan hasrat untuk mewarna kuku sebelum pergi mengundi.
Ia berikutan dakwat kekal yang digunakan semasa proses pengundian boleh menjejaskan pewarna kuku pengundi.
Cat Kuku Gel Boleh Beri Kesan Buruk?
Memetik laporan The Star, antara tujuan SPR meminta pengundi untuk datang dengan keadaan kuku dan tangan yang “bersih” (daripada sebarang pewarna kuku) adalah bagi memudahkan penyapuan dakwat kekal ketika proses pengundian.
SPR juga bimbang kuku yang disalut dengan cat kuku gel akan menyukarkan dakwat kekal serap ke jari disebabkan ciri cat kuku yang kalis air dan berkemungkinan memberi reaksi kimia yang buruk apabila ia dicelup ke dalam dakwat kekal.
Oleh itu, ramai pengundi telah menanggalkan cat kuku mereka bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi.
Tiada Akta Larang Individu Pakai Pewarna Kuku Daripada Mengundi
MyCheck turut meneliti satu persatu kandungan Akta Kesalahan Pilihan Raya Umum 1954 (Akta 5) dan mendapati tidak termaktub sebarang larangan untuk mengundi bagi mereka yang menggunakan pewarna kuku.
Apa yang diuar-uarkan oleh SPR untuk menangguhkan hasrat memakai pewarna kuku sebelum pergi mengundi hanyalah cadangan atau nasihat bagi memudahkan proses pengundian.
KESIMPULAN
Tidak ada sebarang halangan, sekatan mahupun akta khusus yang melarang mana-mana individu memakai pewarna kuku untuk pergi mengundi pada PRU15 atau mana-mana pilihan raya umum di negara ini.
Hantaran atau ciapan yang dimuat naik oleh seseorang artis atau pempengaruh sudah tentu akan mendapat perhatian ramai.
Namun, janganlah kita cepat keliru. Sebagaimana mudahnya kita menatal (scrolling) media sosial, begitu mudah jugalah untuk kita mendapatkan maklumat sahih di hujung jari.
Sekiranya anda tidak pasti dengan proses dan peraturan pengundian, anda boleh rujuk pada portal rasmi SPR dan laman media sosial mereka bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.