Seorang pengundi di luar negara akan menerima kertas undi pos bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada Suruhanjaya Pilihan Raya pada hari pengundian (19 November 2022).
Sumber : WhatsApp & Twitter / Februari
Individu tersebut telah menerima kertas undi pos itu dua hari lebih awal iaitu pada 17 November 2022.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Tarikh keramat 19 November 2022 akhirnya tiba, yang jelas hari ini kita dapat menyaksikan sekali lagi sejarah penentuan masa depan dalam memilih pucuk pimpinan negara.
Namun, di sebalik bahang hari pengundian PRU15, ada yang membangkitkan berkenaan tidak dapat menjalankan tanggungjawab mengundi ekoran kertas undi pos lewat sampai ke tangan pengundi di luar negara.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan kertas undi pos seorang pengundi luar negara akan diterima pada hari mengundi iaitu 19 November 2022.
Mesej terbabit bertanyakan sama ada status penghantaran kertas undi pos terbabit mempunyai unsur sabotaj kerana tiba lewat kepada pengundi.
Benarkah dakwaan bahawa kertas undi pos pengundi luar negara akan tiba pada hari mengundi? Jom MyCheck semak untuk anda!
APA YANG KAMI TEMUI
Terdapat Bebenang (Thread) Ciapan
Bagi mengenal pasti dakwaan yang dikongsikan melalui aplikasi WhatsApp tersebut, MyCheck terus membuat carian berkenaan pengguna Twitter yang berkongsi bebenang ciapan terbabit.
Hasilnya, kami menemukan akaun pengguna Twitter @saifuddin_amri yang memuat naik ciapan berserta gambar tersebut pada 11 November 2022.
Menurut individu itu beliau akan menerima kertas undi pos pada 19 November 2022 iaitu hari mengundi PRU15.
Beliau yang bekerja di Riyadh, Arab Saudi itu turut menulis kapsyen :
“Orang dah habis election, aku baru nak dapat kertas undi pos lol what a joke SPR,”
Ciapan berserta gambar itu menunjukkan tarikh kertas undi pos dijangka tiba selepas individu berkenaan membuat semakan pada nombor siri khas (tracking number) daripada syarikat penghantaran.
Bagi menyemak dakwaan ini dengan lebih mendalam, kami menelusuri bebenang individu itu yang berkongsi berkenaan status penghantaran kertas undi pos beliau.
Ciapan beliau memaklumkan bahawa pihak SPR telah membuat penghantaran kertas undi pos pada 11 November 2022 iaitu lapan hari sebelum menjelangnya hari pengundian.
Beliau juga turut berkongsi dari semasa ke semasa status keberadaan kertas undi pos tersebut melalui semakan nombor siri khas di aplikasi syarikat penghantaran terbabit sekali gus memaklumkan bahawa pada 13 November kertas undi pos beliau sedang transit di Guangzhou, China.
Telah Menerima Kertas Undi Pos Pada 17 November
Bagaimanapun, kami mendapati beliau telah memuat naik ciapan kemas kini memaklumkan bahawa telah menerima kertas undi pos pada 17 November 2022 pada kira-kira pukul 1 tengah hari waktu Arab Saudi.
Ini bermakna kertas undi pos beliau telah sampai dua hari lebih awal berbanding tarikh jangkaan yang tertera pada sistem semakan syarikat penghantaran terbabit.
KESIMPULAN
Kami di MyCheck mengklasifikasikan dakwaan itu tidak benar, kerana individu terbabit telah pun menerima kertas undi pos itu pada 17 November 2022.
Pesan kami di MyCheck, jangan mudah membuat kesimpulan atau tuduhan negatif terhadap sesuatu perkara yang belum pasti.
Dalam kes ini, individu itu telah memaklumkan bahawa kertas undinya sampai dua hari lebih awal, bukanlah seperti tarikh jangkaan yang terpapar pada sistem semakan syarikat penghantaran itu.
Setiap pengguna perkhidmatan pos pasti akan mengalami situasi barangan atau dokumen yang akan diterima sampai lebih awal dan mungkin juga lewat daripada jangkaan.
Apatah lagi jika ia melibatkan proses penghantaran yang jauh ke luar negara yang mungkin berdepan beberapa faktor di luar kawalan termasuk masalah teknikal.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.