Seorang kanak-kanak di bawah umur hadir ke satu pusat pengundian dan dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Sumber : WhatsApp & TikTok / November 2022
Video tersebut bukan dirakamkan pada hari pengundian PRU15. Ia merupakan program ‘Pameran Undi Untuk Negara’ yang disertai kanak-kanak itu di Muzium Negara dua bulan lepas.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Melihat keterujaan anak muda yang berusia 18 tahun ke atas khususnya yang berpeluang mengundi buat kali pertama pada PRU15 kali ini sungguh membanggakan.
Meskipun ramalan cuaca menjangkakan hujan lebat dan ribut petir bakal berlaku di sesetengah kawasan pada hari pengundian, ternyata tidak mematahkan semangat mereka untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara.
Di sebalik cerita keterujaan itu timbul persoalan benarkah kanak-kanak juga dibenarkan mengundi pada PRU15?
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima mesej WhatsApp daripada orang awam yang meminta pengesahan berkenaan dakwaan terdapat kanak-kanak lelaki dibenarkan mengundi pada PRU15.
Menerusi mesej itu turut disertakan satu tangkap layar memaparkan gambar seorang kanak-kanak lelaki seperti sedang melakukan proses mengundi.
Benarkah dakwaan itu? MyCheck semak kesahihannya.
APA YANG KAMI TEMUI
Video Asal Dari TikTok
MyCheck meneliti mesej yang dihantar dan mendapati tertera simbol TikTok Rewards dalam tangkap layar itu.
Simbol itu kebiasaannya bermaksud ia diambil daripada aplikasi TikTok.
Kami beralih ke TikTok untuk menjejaki pemilik video asal tersebut dan berpandukan kata kunci kanak-kanak undi dan gambar profil pemilik akaun, kami menemukan satu akaun yang menggunakan nama @rohaizaaza.
Seterusnya kami cuba mencari video tersebut untuk melihat keseluruhan kandungan yang ditularkan tersebut.
Kami mendapati video berdurasi 1 minit 20 saat itu tidak disertakan dengan sebarang kapsyen yang menjadi petunjuk.
Bagaimanapun setelah menonton video penuh tersebut barulah kami faham apa sebenarnya yang berlaku.
Salah Faham Pengguna TikTok
Jika melihat kepada ruangan komen pada perkongsian video berkenaan pelbagai reaksi dizahirkan pengguna TikTok.
Ada yang faham, ada yang terus membuat spekulasi dan meluahkan rasa hairan.
Bagaimanapun, pemilik video tersebut telah memberi respons dan menjelaskan situasi sebenar.
Penjelasan pemilik video itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa kanak-kanak lelaki yang tular itu sedang mengundi di mana-mana pusat pengundian pada PRU15 sebaliknya dia telah menyertai satu pameran yang dianjurkan oleh Muzium Negara.
Pameran Undi Untuk Negara
Seterusnya MyCheck cuba mencari sekiranya terdapat informasi tambahan mengenai program undi di Muzium Negara.
Menggunakan enjin carian Google kami menemukan sebuah poster dengan maklumat seperti berikut.
Jelas di sini, memang ada penganjuran program seumpama itu.
KESIMPULAN
Berdasarkan maklumat yang telah MyCheck semak, ternyata dakwaan kanak-kanak boleh mengundi itu adalah tidak benar.
Dakwaan ini timbul berikutan salah faham pengguna TikTok yang kemungkinan tidak menonton video yang dimuat naik pemiliknya sehingga habis dan terus berkongsi serta membuat kesimpulan mengikut persepsi masing-masing.
MyCheck berpendapat perkongsian pemilik akaun tersebut tiada sebarang niat tidak baik malah sebenarnya boleh menjadi medium pengetahuan dan informasi menarik kepada umum.
Sebagai pengguna media sosial kita tidak harus cepat melatah apabila melihat sebarang kandungan (content) yang dimuat naik di platform media sosial kerana ada kalanya apa yang dikongsikan itu bukanlah hakikat sebenar.
Pasti ada cerita di sebalik setiap gambar atau video.
Jadi, jika tidak pasti, pastikan sahih dahulu. Kami di MyCheck sedia membantu!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.