+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Telur Ayam Banyak Khasiatnya Pada Kanak-Kanak Namun Golek Telur Yang Sudah Direbus Di Badan Tidak Terbukti Sembuhkan Demam

Benarkah...

Telur ayam boleh menyembuhkan demam dalam kalangan kanak-kanak dengan cara menggolekkannya di seluruh tubuh.

Sumber : Facebook / November 2022

Hasil

Pakar perubatan sahkan tiada bukti saintifik menyokong kaedah itu.

22/11/2022 06:08 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu hantaran di Facebook mendakwa menggolek telur ayam yang telah direbus ke atas badan kanak-kanak mampu menyembuhkan demam.
  • Petua berkenaan telah diamalkan sejak sekian lama oleh orang dulu-dulu.
  • Tiada sebarang bukti saintifik menyokong dakwaan itu.
  • Kaedah tradisional termasuk penggunaan telur ayam boleh diamalkan namun bukan jaminan demam akan sembuh.
  • Kanak-kanak yang mengalami demam perlu dibawa ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya. 


LATAR BELAKANG

Demam merupakan satu penyakit bermusim yang kebiasaannya dialami oleh pelbagai golongan termasuk kanak-kanak, dewasa atau warga emas.

Pelbagai faktor mempengaruhi seseorang individu mengalami demam sama ada disebabkan jangkitan virus atau penyakit lain yang menyebabkan antibodi badan seseorang itu menjadi lemah seperti kanser dan jangkitan HIV, sekali gus mudah berisiko mendapat demam.

Seiring dengan peredaran zaman, orang awam kini boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka namun masih ada antara kita yang percaya dengan kaedah tradisional untuk menyembuhkan sebarang penyakit termasuk demam.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Facebook

 

Satu akaun Facebook yang sering berkongsi mengenai pelbagai petua masakan, kesihatan serta isu semasa iaitu kaki share telah berkongsi hantaran satu petua untuk merawat demam membabitkan kanak-kanak.

Menurut perkongsian itu, ibu bapa disaran menggunakan telur ayam yang sudah direbus bagi merawat demam yang dialami oleh anak mereka.

Menerusi kaedah berkenaan, telur ayam yang sudah direbus akan digolekkan ke atas badan anak mereka yang demam sambil membaca selawat atau surah pendek.

Individu berkenaan mendakwa cara tersebut berkesan mengurangkan rasa panas pada pada badan anak-anak mereka.

Sehari bolh buat 2kali.. nak gelek kat mana badan anak panas saja pun blh, cth.. kepala dia panas...gelek kat kepala je telur tu. InshaAllah dengan izin Allah boleh kurgkan panas. Sebenarnya ini amalan tabib cina, apa salahnya kita cuba selagi tidak langgar hukum agama kita. Semoga semua baik2..,” menurut hantaran Facebook berkenaan.

Setakat laporan ini ditulis, hantaran mengenai isu berkenaan telah menerima lebih 1,200 komen, lebih 2,600 perkongsian dan 5,900 tanda suka (like).

 

APA YANG KAMI TEMUI

Petua Lama Kembali Tular

MyCheck membuat carian mengenai petua ini menerusi enjin carian Google bagi memastikan adakah ia merupakan perkara baharu atau sebaliknya.

Hasilnya, kami mendapati petua sama pernah tular pada 2016 dan kenyataan yang sama boleh dibaca di sini, di sini, di sini dan di sini, video TikTok oleh seorang pengguna dikenali sebagai @fazx1992 selain beberapa laman sesawang seperti nona, dailymakan.com dan siraplimau.com

Selain itu, kami turut menemukan sebuah artikel terbitan klikdokter.com yang pernah memberi ulasan mengenai isu ini.

Menurut catatan dalam artikel berkenaan, putih telur dikatakan boleh menurunkan suhu panas dalam badan berdasarkan bukti anekdotal (kenyataan yang tidak dibuktikan dengan fakta).

Penggunaan putih telur dikatakan menyerap haba badan menerusi kelenjar keringat yang ada di telapak kaki sehingga dapat menyurutkan demam atau memindahkan panas dari kepala dan tubuh bahagian atas ke telapak kaki.

Dakwaan berkenaan bagaimanapun tidak dapat dibuktikan secara ilmiah dan cara terbaik adalah mendapatkan rawatan daripada doktor sekiranya suhu badan tidak menurun.

 

Apa Itu Demam?

Sebelum kami membuat semakan lanjut, kita patut tahu apakah itu demam, faktor-faktor seseorang mendapat demam dan kaedah rawatan.

Menurut laman sesawang MyHealth, demam ditakrifkan sebagai tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan dan penyakit-penyakit lain.

Demam bukanlah satu penyakit tetapi gejala yang selalunya menandakan seseorang dijangkiti kuman atau virus.

Suhu badan normal manusia adalah 36.5 darjah celcius hingga 37.2 darjah celcius (suhu di mulut) dan sekiranya seseorang individu itu mencatatkan bacaan melebihi suhu di atas, mereka disahkan demam.

Demam juga boleh dimanifestasikan oleh penyakit kronik atau sebarang reaksi imunologi (kajian tentang perlindungan dan daya tahan terhadap jangkitan).

Sedar atau tidak, suhu badan bagi individu yang menghidap demam adalah berbeza dan diukur menggunakan termometer yang kebiasaannya dijual di farmasi.

Menurut laman sesawang halodoc.com, demam ringan terjadi apabila suhu badan mencapai bacaan sehingga 38 darjah celcius, demam sederhana (suhu badan sekitar 39.4 darjah celcius), demam teruk (suhu badan mencatat bacaan 39.4 darjah celcius).

Suhu badan yang mencatat bacaan melebihi 41.1 darjah celcius pula dipanggil sebagai hiperpireksia dan individu yang mencatat bacaan seperti yang dinyatakan perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat kerana sekiranya lambat dirawat, ia boleh mengancam nyawa.

Penulis artikel berkenaan, Dr Jamilah Abdullah memaklumkan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang individu mendapat demam.

Antaranya disebabkan jangkitan virus yang menjadi penyebab kepada selesema, sakit tekak dan cirit-birit, jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia), batuk kering atau tibi selain jangkitan saraf (meningitis).

Faktor-faktor lain adalah individu berkenaan merupakan penghidap demam malaria, denggi atau HIV, penyakit sendi, pengambilan ubat-ubatan seperti antibiotik selain mereka disahkan mengalami kanser.

Dalam kalangan kanak-kanak, demam yang serius boleh menyebabkan mereka berisiko tinggi diserang sawan jika tidak dicegah lebih awal.

Demam yang dikenali sebagai demam sawan biasanya berlaku membabitkan kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lima tahun.

Mereka yang disahkan menghidap demam kebiasaannya dinasihatkan untuk berehat di rumah dan mengamalkan beberapa petua termasuk minum air secara lebih kerap untuk menambah kehilangan bendalir dalam badan dan makan makanan yang mudah dihadam seperti sup.

Selain itu, individu yang menghidap demam dinasihatkan mandi menggunakan air suam selain mengambil ubat paracetamol untuk meredakan demam.

 

Kebaikan Telur Untuk Tumbesaran Kanak-Kanak

Telur ayam sebenarnya mempunyai pelbagai kebaikan kepada proses tumbesaran kanak-kanak kerana mengandungi pelbagai nutrien penting untuk badan mereka.

Kami menemui sebuah artikel menarik terbitan majalah Pa&Ma yang menceritakan mengenai kebaikan telur ayam kepada kanak-kanak yang dipetik daripada laman Facebook seorang doktor perubatan, Dr Mazliana Mazlan.

Menurut Dr Mazliana, telur ayam mengandungi sejenis nutrien iaitu choline yang berfungsi merangsang bahagian otak untuk mengawal memori dan kanak-kanak akan mudah mengingati apa yang mereka pelajari.

Dr Mazliana memaklumkan pengambilan telur secara tidak langsung membantu untuk mengawal dan mengekalkan berat badan anak dengan baik kerana telur itu sendiri tinggi dengan protein, sekali gus mengelakkan kanak-kanak daripada mengambil makanan proses yang tidak sihat.

Beliau menambah telur merupakan menu berkhasiat yang boleh dihidangkan kepada kanak-kanak pada waktu sarapan berbanding beberapa jenis makanan lain seperti bijirin, roti sandwich, donut dan roti canai.

“Telur ada sumber iron, protein, lemak, Vitamin A, D, E dan B12, serta choline. Semua ini sangat diperlukan oleh anak kecil kita kan. Jadikan telur sebagai salah satu makanan pemula hari anak-anak, supaya mereka membesar dengan sihat, kuat dan bijak,” jelasnya.

 


Sumber: www.majalahpama.my

 

Seorang lagi pengamal perubatan, Dr Norman Mohd Norawi turut berkongsi secara am kebaikan telur kepada tubuh badan manusia.

Dr Norman yang dipetik menerusi laporan Kosmo memaklumkan telur mempunyai bahan seperti beta karotin, vitamin dan mineral yang boleh melawan keradangan iaitu salah satu punca serangan sakit jantung.

Beliau yang mengamalkan pengambilan telur sehingga lima biji sehari sejak 15 tahun lepas turut mendedahkan bahawa telur mengandungi bahan seperti L-Arginine yang boleh menghasilkan nitric oxide.

“Bahan ini penting untuk mengekalkan keterbukaan saluran darah supaya ia sentiasa berkembang.

“Jika nitric oxide ini kurang dalam tubuh kita, saluran darah akan jadi sempit dan ia akan meningkatkan risiko serangan jantung,” jelasnya yang merupakan pengasas klinik Dr Norman.

 


Sumber: Kosmo

 

Sebuah laman sesawang berkaitan kesihatan, healthline.com turut mendedahkan beberapa kebaikan telur ayam kepada kanak-kanak.

Menurut laman sesawang berkenaan, sebiji telur mengandungi 70 kalori dan enam gram protein dan kuning telur pula mengandungi sekitar 250 miligram choline yang membantu aktiviti kitaran sel yang normal di dalam badan kanak-kanak.

Choline dikatakan membantu fungsi hati dengan memindahkan nutrien ke bahagian lain ke seluruh badan selain membantu memantapkan memori kanak-kanak.

Ia juga merupakan salah satu nutrien penting yang terdapat dalam beberapa makanan seperti daging, ayam, kekacang dan telur.

 


Sumber: healthline.com

 

Pandangan Pakar

Kembali semula kepada persoalan asal, benarkah penggunaan telur rebus mampu membantu mengurangkan suhu panas pada badan kanak-kanak itu?

Jawapannya adalah tidak benar.

Kami tidak menjumpai kenyataan daripada mana-mana doktor mendakwa telur rebus adalah bagus untuk mengatasi masalah demam membabitkan kanak-kanak.

Menurut seorang pengamal perubatan Dr Muhamad Hazwan Nazri menerusi perkongsian di laman TikTok, tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa  telur putih mampu mengurangkan suhu panas pada badan kanak-kanak.

Beliau yang mempunyai 599,000 pengikut di TikTok mendakwa terdapat pelbagai petua yang diamalkan oleh ibu bapa seperti menggunakan telur putih, mencampurkan bunga raya ke dalam mandian selain menggunakan hirisan lemon yang diletakkan ke tapak kaki bayi mereka.

“Aku tak boleh cakap petua ini betul atau tidak betul sebab tiada kajian saintifik untuk buktikan petua-petua ini,” jelasnya.

Sebaliknya, beliau menasihatkan ibu bapa supaya segera membawa anak-anak mereka ke fasiliti kesihatan terdekat sekiranya suhu panas anak masing-masing masih tinggi dan tidak berubah bagi mengelakkan sawan demam.

Dr Muhamad Hazwan menjelaskan kebiasaanya doktor akan menyuntik ubat punggung selain ibu bapa itu sendiri digalakkan memberi ubat demam berbentuk cecair bagi mengurangkan suhu panas pada badan anak-anak mereka.

 

Kaedah Rawatan Yang Sesuai Apabila Demam

Pengasas Kumpulan Klinik TTDI Dr Mansor Ramli yang aktif memberikan petua kesihatan menerusi media sosial menjelaskan antara kaedah rawatan yang sesuai adalah memberi makan ubat selain menyapu sebahagian anggota badan kanak-kanak berkenaan dengan tuala yang direndam air suam.

Beliau turut menjelaskan penggunaan ais di kebanyakan fasiliti kesihatan adalah bagi kes tertentu sahaja seperti sawan dan tidak sesuai bagi mengurangkan suhu panas pada badan manusia.

“Air pulak kita pakai air kosong, tak payah nak pakai ais, sebab bila kita pakai ais, ia berjaya menyejukkan badan tapi ais itu sejuk kan dan ia akan serap semula haba yang panas itu balik…Ia turun laju tapi ia akan naik balik dengan cepat,” jelas Dr Mansor menerusi video seorang pengguna @Shar.za.

Seorang lagi pengamal perubatan, Dr Ahmad Sahman Awang pula menjelaskan terdapat beberapa kaedah merawat kanak-kanak yang mengalami masalah demam seperti menggunakan tuala yang sudah direndam dengan air paip, penggunaan kipas atau penghawa dingin, selain kerap memberi susu dan air kosong.

Dr Ahmad Samhan menerusi laman TikTok pada masa sama turut meminta ibu bapa supaya menggunakan pakaian yang nipis untuk anak-anak mereka selain memantau suhu anak mereka.

Tindakan berkenaan adalah bagi memastikan anak-anak mereka tidak mengalami kenaikan suhu badan melampau yang boleh menimbulkan beberapa penyakit lain seperti sawan demam.

 


Sumber: TikTok

 


Sumber: TikTok

 

Badan Semakan Fakta Kategorikan Petua Itu Tidak Benar

Beberapa badan semakan fakta luar negara antaranya merdeka.com dan liputan6.com dari Indonesia yang memetik laporan daripada afpfactcheck turut mengeluarkan laporan mengenai petua sama dan mengkategorikan ia sebagai tidak benar.

 


Sumber: liputan6.com

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan petua menggelek telur rebus ke atas badan kanak-kanak boleh menyembuhkan demam adalah yang tidak benar.

Walaupun ada ibu bapa menyatakan kaedah berkenaan berkesan merawat demam, kami tidak menemukan sebarang kajian saintifik yang sahih untuk menyokong petua sedemikian.

Kaedah tradisional seperti penggunaan air kelapa, asam jawa dan beberapa bahan makanan lain seperti telur sebenarnya boleh diamalkan ketika seseorang individu mengalami demam, namun ia bukanlah jaminan untuk demam itu sembuh dengan cepat dan sepenuhnya.

Sebaiknya dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya anak anda mengalami demam kerana dibimbangi ia menjadi lebih buruk.

Jangan perjudikan nyawa anak anda dengan mempercayai kaedah yang belum dapat dibuktikan oleh pakar perubatan walaupun ia telah dipraktikkan oleh orang dulu-dulu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Kaki Share

  2. Demam.Diterbitkan oleh portal MyHealth

  3. Ketahui Jenis-Jenis Demam serta Cara Mengatasinya.Diterbitkan oleh Halodoc.com

  4. Bagus anak suka telur!Dr kongsi 4 sebab ini perlu wajibkan anak makan dalam seminggu.Diterbitkan oleh majalah pama

  5. Is It Safe for Babies to Eat Eggs?Published by healthline.com

  6. Telur bukan punca sakit jantung.Diterbitkan oleh Kosmo

  7. TikTok Shar.za

  8. TikTok Dr Ahmad Samhan Awang

  9. Petua Rawat Demam Panas Dengan Telur Rebus, Meme Wani Terkejut Suhu Badan Anaknya Turun!Diterbitkan oleh Nona

  10. Anak Demam Tengah Malam? Guna ‘Kaedah’ Ini Untuk Kebaskan Demam, Tapi Jangan…Diterbitkan oleh Daily Makan.com

  11. Petua Rawat Anak Demam Dengan Telur Rebus. Terbukti Berkesan!Diterbitkan oleh siraplimau.com

  12. Turunkan Demam dengan Putih Telur, Mitos atau Fakta?Diterbitkan oleh klikdokter.com

  13. CEK FAKTA: Tidak Benar Oleskan Telur Rebus ke Tubuh Dapat Turunkan Demam.Diterbitkan oleh merdeka.com

  14. Cek Fakta: Tidak Benar Balurkan Telur Rebus di Tubuh Bisa Turunkan Demam Anak.Diterbitkan oleh liputan6.com

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.