+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ciapan di Twitter Berhubung Pengiktirafan UEC Adalah Palsu, Bukan Daripada Akaun Rasmi Perdana Menteri

Benarkah...

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) di Twitter miliknya.

Sumber : WhatsApp & Twitter / November 2022

Hasil

Akaun Twitter yang memuat naik ciapan tersebut bukan akaun rasmi Perdana Menteri.

08/12/2022 05:35 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di media sosial Perdana Menteri mengumumkan bahawa pengiktirafan UEC akan dibincangkan di peringkat kementerian dan usul ini akan diluluskan oleh Kerajaan Perpaduan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.
  • Akaun Twitter menggunakan nama @anwarinrahim yang memuat naik ciapan berhubung perkara itu bukan akaun rasmi Perdana Menteri.
  • Akaun Twitter rasmi Perdana Menteri adalah @anwaribrahim.


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan yang membelenggu negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas, berakhir apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Rakyat pelbagai bangsa menyambut baik pelantikan Anwar dan menzahirkan pelbagai harapan agar Perdana Menteri dapat menyelesaikan isu negara antaranya kestabilan ekonomi, mempertahankan perlembagaan, kestabilan politik dan keharmonian negara.

Anwar dilihat bersifat lebih terbuka dan sering menekankan prinsip membela rakyat pelbagai kaum sehingga timbul dakwaan bahawa beliau akan mengiktiraf UEC.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular mesej di WhatsApp menyatakan bahawa Perdana Menteri telah memuat naik ciapan berhubung pengiktirafan UEC yang akan dibincangkan di peringkat kementerian.

 


Sumber: WhatsApp

 

Ciapan tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat kerana dikhuatiri membawa kesan negatif kepada gerak kerja nasional pendidikan.

Namun benarkan dakwaan itu?

MyCheck semak fakta sebenar di sebalik dakwaan ini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apakah itu Sijil UEC?

Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC) merupakan suatu peperiksaan yang dijalankan di Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina di Malaysia.

Menurut therakyatpost, UEC diwujudkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan mula diperkenalkan pada tahun 1957.

Berbeza dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), UEC mengutamakan penggunaan Bahasa Cina dalam kurikulum dan peperiksaan bagi tahap Vokasional, Junior dan Senior.

Pelajar di Sekolah Tinggi Persendirian Cina juga perlu mengulangi tahap sekiranya mereka gagal dalam peperiksaan sekolah untuk mara ke tahap yang lebih tinggi.

Perkara ini menjadi isu apabila sijil UEC diakui sebagai kelayakan kemasukan banyak universiti luar negara seperti Singapura, Australia, Taiwan, China dan sesetengah negara Eropah tetapi tidak diakui oleh kerajaan sebagai kelayakan kemasukan ke universiti-universiti awam Malaysia.

 

Username’ Berbeza

Pertama sekali, MyCheck menelusuri laman Twitter untuk memastikan sama ada benarkah terdapat ciapan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri.

MyCheck menemukan dua akaun menggunakan nama dan gambar Perdana Menteri.

Sekali imbas, kedua-dua akaun kelihatan hampir sama dari segi gambar, nama dan tanda pengiktirafan biru (blue tick verification).

Bagaimanapun jika diteliti secara terperinci, terdapat satu perbezaan iaitu pada nama pengguna (username).

Akaun sebenar Perdana Menteri menggunakan nama @anwaribrahim tetapi akaun palsu menggunakan @anwarinrahim.

Jika anda perasan, terdapat perbezaan pada ejaan ‘Ibrahim’ dan ‘Inrahim’.

Anda boleh rujuk gambar di bawah.

 


Sumber: Twitter

 

Kegunaan Tanda Pengiktirafan Biru (Blue Tick Verification)

Apa yang MyCheck faham, kegunaan tanda biru hanya boleh diperoleh setelah pihak Twitter telah mengesahkan akaun rasmi tersebut adalah benar.

Namun baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Elon Musk yang baru mengambil alih jawatan itu telah membolehkan pengguna biasa Twitter untuk membeli (tanda biru) tersebut pada harga USD 8 (RM35).

Sekiranya pengguna tidak mahu membeli tanda biru, mereka boleh mendapatkannya melalui cara mudah iaitu dengan menggunakan aplikasi percuma.

Ini adalah contoh akaun tiruan yang MyCheck cipta untuk mendapatkan tanda biru.

 


Sumber: MyCheck

 

Akaun Telah Wujud Sejak 2010

Carian lanjut MyCheck menggunakan Tweetdeck dengan memasukkan kata kunci ‘@anwarinrahim’ mendapati akaun dengan nama tersebut telah lama wujud iaitu sekitar 2010 sehingga kini dan ramai pengguna Twitter telah ‘tag’ akaun tersebut.

Namun apabila kami cuba klik pada nama pengguna tersebut, ia tidak membawa kami ke mana-mana pautan akaun, berkemungkinan akaun itu telah dinyah aktifkan (deactivated).

 


Sumber: Twitter

 

Kenyataan Rasmi JPM

Semakan lanjut MyCheck menemukan kenyataan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung dakwaan itu yang dimuat naik di Twitter @jpmgov.

 


Sumber: Twitter Jabatan Perdana Menteri

 

KESIMPULAN

Jelas di sini, dakwaan tular adalah tidak benar.

MyCheck faham sebarang maklumat yang tular, yang datangnya pula daripada pemimpin negara akan mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Lebih-lebih lagi, negara baru sahaja menyaksikan detik bersejarah pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Namun, apabila kita mendapat maklumat atau dakwaan, janganlah pula terburu-buru untuk membuat kesimpulan awal serta menyebarkannya sehingga boleh menimbulkan sentimen kebencian dalam masyarakat.

Sebaiknya tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan, yang belum sahih jangan sebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Twitter's $8 ‘verification’ makes blue check marks mostly meaningless - The Washington Post

  2. Jabatan Perdana Menteri (@jpmgov_) / Twitter 

  3. What Is UEC And Do Their Students Even Sit For PMR or SPM? | TRP 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.