Seorang ahli komputer meminta kerajaan baharu memansuhkan jabatan agama dan menilai semula kepentingan solat Jumaat. Kenyataan individu itu telah disiarkan Malaysiakini.
Sumber : WhatsApp & Twitter / November 2022
Poster tular dengan logo Malaysiakini itu adalah palsu. Malaysiakini sahkan tidak pernah mengeluarkan laporan berhubung dakwaan itu.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Perkembangan teknologi dan dunia maya telah membuka pelbagai ruang dan peluang bagi manusia menelusuri fungsinya serta mengaplikasikan penggunaannya dalam kehidupan seharian.
Masyarakat seakan-akan berada dalam dimensi baharu untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Bahkan realitinya kini, masyarakat sering memuat naik gambar, status, hantaran atau video di media sosial bagi meraikan dunia digital di hujung jari.
Namun apabila peluang itu dibuka, terdapat individu yang cuba memuat naik hantaran berbaur sensitif yang melibatkan isu 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalty (institusi diraja) yang boleh mengancam keselamatan negara.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu poster melalui aplikasi WhatsApp memaparkan kenyataan seorang ahli sains komputer, Andrew Ng Koon Dah yang menzahirkan harapan kepada kerajaan baharu agar dapat mengkaji semula kepentingan jabatan agama dan memansuhkan jabatan berkaitan yang tidak berkepentingan.
Menerusi poster itu, individu berkenaan turut menyarankan kerajaan meneliti kepentingan ibadah orang Islam berkaitan solat Jumaat berikutan perkara itu didakwa membazirkan masa dan mendatangkan unsur-unsur keganasan terhadap penganut lain.
Beliau turut mendakwa bahawa ibadah solat Jumaat mengganggu kelancaran lalu lintas dan jalan raya ketika umat Islam menunaikan tanggungjawab itu pada hari Jumaat.
Pada poster tersebut tertera gambar individu yang didakwa membuat kenyataan terbabit serta logo syarikat media tempatan, Malaysiakini.
Poster itu turut tular menerusi Twitter apabila satu akaun dengan nama @ArwahMaklampir memuat naik ciapan berserta poster tersebut pada 27 November lepas.
Ciapan itu mendapat lebih 400 tanda suka dan diulang siar (retweet) lebih 400 kali.
Benarkah dakwaan itu? Jom MyCheck semak.
APA YANG KAMI TEMUI
Struktur Ayat Dan Tatabahasa Yang Tidak Tepat
Langkah pertama MyCheck adalah meneliti poster tular itu.
Kami dapati poster terbabit menggunakan logo portal berita Malaysiakini.
Apabila diteliti kenyataan yang tertera, ada beberapa perkataan dan struktur ayat yang tidak menepati standard tatabahasa dalam penulisan.
Hal ini dapat dilihat menerusi penggunaan perkataan ‘lalulintas’ dan ‘jalanraya’ yang seharusnya mempunyai jarak di antara dua perkataan tersebut seperti ‘lalu lintas’ dan ‘jalan raya’.
Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada benarkah Malaysiakini mengeluarkan poster terbabit dengan suntingan gambar dan format penulisan yang tidak tepat.
Malaysiakini Nafi Keluarkan Poster Tular
Menggunakan enjin carian Google, MyCheck menemukan kenyataan penafian oleh Malaysiakini.
Semakan fakta Malaysiakini mengklasifikasikan poster itu adalah palsu.
Menurut laporan Malaysiakini, poster yang tular itu adalah palsu dan kenyataan yang dimuat naik dalam poster tersebut juga dipetik daripada sumber yang tidak benar.
Laporan Malaysiakini itu diterbitkan pada 28 November 2022.
Poster Lama Tular Semula
MyCheck turut melakukan semakan lanjut di media sosial dan menemukan satu hantaran berserta poster itu yang dimuat naik Malaysiakini di Facebook Malaysiakini BM.
“Gambar yang sedang tular ketika ini adalah palsu. Pihak Malaysiakini tidak mengeluarkan laporan berita tersebut,” menurut kapsyen Malaysiakini pada hantaran tersebut.
Namun, apa yang menarik perhatian MyCheck adalah tarikh muat naik hantaran yang tertera iaitu 31 Disember 2019.
Ini bermakna Malaysiakini pernah menafikan dakwaan sama pada 2019.
Jelas di sini, poster yang tular baru-baru ini adalah dakwaan lama yang ditularkan semula.
Siapa Sebenarnya Andrew Ng Koon Dah?
MyCheck turut membuat semakan bagi mengenal pasti siapakah individu dengan nama Andrew Ng Koon Dah yang tertera pada poster berkenaan.
Menurut laman sesawang andrewng.org, Andrew Ng adalah seorang pakar komputer dan teknologi Amerika Syarikat (AS) yang mahir dalam bidang kecerdasan buatan dan mendapat pengiktirafan di peringkat global.
Beliau juga merupakan pengasas DeepLearning.AI sebuah platform pembelajaran mengenai kecerdasan buatan dan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Landing AI.
Selain itu, pakar komputer dan teknologi tersebut banyak membuat kajian dan penyelidikan dalam bidang berkaitan dan telah mengarang lebih daripada 200 kertas penyelidikan dalam pembelajaran mesin dan robotik.
Beliau juga telah terpilih dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia.
Apabila kami selidik media sosial milik Andrew Ng, kami dapati beliau banyak berkongsi dan membuat kelas pembelajaran berkenaan bidang pengkomputeran.
Beliau juga adalah bekas ketua kumpulan AI Baidu serta Google Brain yang merupakan platform kecerdasan buatan yang membangunkan pembelajaran mesin robotik yang menerima pakai sistem informasi dan teknologi.
Bagaimanapun, kami tidak menemukan sebarang maklumat mengenai beliau yang berhubung kait dengan Malaysia atau perkara relevan yang menunjukkan beliau membuat kenyataan seperti itu.
KESIMPULAN
Kami mengklasifikasikan dakwaan tersebut adalah tidak benar.
Malaysiakini telah dua kali iaitu pada Disember 2019 dan terbaharu November 2022, menafikan bahawa pihaknya ada mengeluarkan laporan atau poster berkenaan.
Jelas ia adalah dakwaan palsu yang tular semula.
Malah, individu yang didakwa membuat kenyataan di poster itu adalah pakar komputer dari AS yang jelas tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia apatah lagi untuk membuat kenyataan mengenai isu agama dan ibadah umat Islam di negara ini.
Berhati-hati dalam menilai sesuatu maklumat yang tersebar apatah lagi membabitkan isu 3R yang tidak seharusnya dimainkan kerana ia boleh mencetuskan sentimen kebencian antara kaum.
Ingat, jangan sebar melulu, MyCheck dulu!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.