Akaun TikTok milik Ustaz Azhar Idrus telah disekat.
Sumber : WhatsApp, Facebook & TikTok / Disember 2022
Kedua-dua akaun TikTok milik Ustaz Azhar Idrus masih wujud, boleh diakses seperti biasa.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Biarpun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berlalu dengan menyaksikan pelantikan Kerajaan Perpaduan sebagai kerajaan Persekutuan, isu politik masih panas dibicarakan ramai terutama bagi golongan yang ekstremis dalam politik.
Golongan ini dilihat menggunakan media sosial untuk menyampaikan idea dan doktrin ekstrem mereka sehingga ada antaranya mencetuskan pertelagahan yang menggugat keharmonian kaum dan negara.
Baru-baru ini, satu perjumpaan telah dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dengan penyedia aplikasi TikTok.
Hasil perjumpaan tersebut penyedia aplikasi TikTok memaklumkan akan menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Kerjasama tersebut adalah bagi membendung dan membanteras penyebaran kandungan berunsur provokatif dan bersifat ekstremis di media sosial yang mengganggu keharmonian pelbagai lapisan masyarakat.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu dakwaan menyatakan akaun TikTok penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus telah disekat.
Dakwaan itu berdasarkan satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun @Khalid Mohd Ismath.
“Akaun Ustaz Azhar Idrus pun turut disekat. tolong sebarkan kepada rakan-rakan kita semua supaya mereka kenal Kerajaan PAKATAN HARAPAN dan menteri KOMEDI nya,” menurut kapsyen pada hantaran Facebook itu.
Turut disertakan tangkap layar akaun Ustaz Azhar Idrus yang didakwa telah disekat.
APA YANG KAMI TEMUI
Akaun Masih Wujud
Mungkin ada yang tidak tahu bahawa Ustaz Azhar Idrus memiliki dua akaun TikTok.
Justeru, MyCheck terus ke aplikasi TikTok untuk mencari kedua-dua akaun tersebut.
Hasil semakan kami mendapati kedua-dua akaun itu masih wujud dan boleh diakses seperti biasa.
Kami sertakan tangkap layar kedua-dua akaun berkenaan di bawah.
Setakat semakan MyCheck, akaun pertama TikTok Ustaz Azhar Idrus mempunyai seramai 664,700 pengikut manakala akaun kedua seramai 338,300 pengikut.
Anda boleh lihat akaun pertama di sini dan akaun kedua di sini.
Jika dilihat kembali pada dakwaan tular, akaun yang didakwa disekat adalah akaun pertama Ustaz Azhar Idrus, ia berdasarkan username @ustaz.azhar.idrus yang tertera pada tangkap layar.
Namun, jumlah pengikut yang terpapar adalah seramai 647,800 orang, berlainan dengan semakan MyCheck, yang mendapati pengikut akaun itu adalah seramai 664,700 pengikut.
Jadi, tidak dapat dipastikan adakah akaun ini benar-benar telah disekat atau tangkap layar itu telah disunting.
Siapa Individu Yang Memuat Naik Dakwaan Tular?
MyCheck membuat semakan bagi mengetahui siapa sebenarnya individu yang memuat naik hantaran mengenai dakwaan ini.
Hasil carian di Facebook mendapati memang wujud akaun menggunakan nama Khalid Mohd Ismath.
Malah, pengguna yang mendapat tanda pengiktirafan biru (blue tick verification) ini mempunyai seramai 15,398 pengikut.
Penulisan Berbaur Politik
MyCheck menatal (scrolling) akaun milik pengguna media sosial ini.
Hasil penelitian mendapati hantaran yang dimuat naik kebanyakannya berbaur politik.
Berdasarkan penulisannya, beliau berkemungkinan penyokong tegar salah satu parti politik di negara ini.
Hantaran Telah Dipadam
MyCheck kemudian cuba mencari hantaran individu ini mengenai akaun Ustaz Azhar Idrus disekat, bagaimanapun kami tidak menemukannya.
Berkemungkinan hantaran ini telah dipadam oleh pemilik akaun berkenaan.
Namun, meneliti di bahagian komen pada salah satu hantaran lain yang dimuat naik individu ini, kami menjumpai tangkap layar yang serupa dikongsikan salah seorang rakan Facebooknya.
Jadi, ia menguatkan keyakinan kami bahawa hantaran ini ada dimuat naik namun telah dipadam.
Namun tidak dapat dipastikan kenapa individu ini memadam hantaran tersebut.
Tiada Sebarang Makluman Di Mana-Mana Media Sosial Ustaz Azhar Idrus Mengenai Akaun TikTok Disekat
Kami turut melakukan semakan di Facebook Ustaz Azhar Idrus yang memiliki lebih 2 juta pengikut dan Instagram beliau yang mempunyai 1.5 juta pengikut, namun tiada sebarang makluman mengenai akaun TikTok beliau telah disekat.
KESIMPULAN
Jelas di sini dakwaan akaun TikTok Ustaz Azhar Idrus telah disekat adalah tidak benar.
Ini kerana setakat semakan MyCheck, kedua-dua akaun TikTok beliau boleh diakses seperti biasa.
MyCheck akui setiap daripada kita mempunyai ideologi politik yang berbeza dan perbezaan itulah yang mewujudkan kepelbagaian dan warna-warni dalam politik negara.
Tidak salah anda menyuarakan pandangan atau sokongan terhadap mana-mana parti, namun lakukanlah secara rasional tanpa dipengaruhi emosi sehingga mencipta politik fitnah yang boleh memecahbelahkan kaum dan negara.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.