+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Soya Tidak Menyebabkan Kanser. Pengambilan Soya Dalam Pemakanan Harian Digalakkan Namun Perlu Dihadkan Kuantitinya

Benarkah...

Pengambilan soya mengaktifkan sel kanser dan menyebabkan tercetusnya beberapa jenis kanser dalam kalangan wanita.

Sumber : Facebook / Disember 2022

Hasil

Pakar perubatan sahkan tiada bukti pengambilan soya akan mengaktifkan sel kanser.

12/12/2022 12:34 PM

SEKILAS FAKTA

  • Pengambilan soya tidak akan mengaktifkan sel kanser dan menyebabkan pelbagai jenis kanser di kalangan wanita seperti kanser payudara dan pangkal rahim.
  • Soya baik untuk wanita hamil dan selain bertindak membantu menjaga kesihatan tubuh badan seperti mengurangkan risiko penyakit jantung dan tulang rapuh.
  • Mitos pengambilan soya aktifkan sel kanser disebabkan kehadiran Isoflavon iaitu satu struktur kimia yang menyerupai hormon estrogen dalam tubuh manusia.


Sumber: Majalah Rasa

 

LATAR BELAKANG

Pengambilan makanan yang sihat merupakan perkara utama yang diberi penekanan oleh ibu bapa sejak dari kecil bagi memastikan tubuh badan kita terhindar daripada sebarang penyakit berbahaya.

Namun sayangnya pada zaman moden ini kita masih dimomokkan dengan pelbagai fakta yang tidak tepat seperti pengambilan makanan tertentu seperti soya yang didakwa meningkatkan risiko kanser payudara dan sebagainya.

Mitos sebegini telah menyebabkan ada individu yang membeli makanan tambahan bagi menggantikan soya kerana mendakwa ia memberi kebaikan kepada tubuh badan tetapi sebenarnya lebih membawa mudarat.

Permintaan tinggi di pasaran tempatan bagi sesetengah makanan tambahan mendorong peniaga mengambil kesempatan dengan mempromosikan produk mereka yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

 


Sumber: Facebook

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Suzy Mjs mendakwa pengambilan soya akan mengaktifkan sel kanser.

Beliau pada masa sama turut mendakwa sebarang penggunaan kolagen akan menyebabkan kemudaratan kesihatan terhadap tubuh badan.

Pengguna media sosial itu membuat dakwaan sedemikian selepas berkongsi satu tangkap layar oleh seorang pengguna Facebook lain yang membuat dakwaan hampir sama.

Menerusi tangkap layar berkenaan, individu yang membuat komen itu mendakwa soya tidak bagus untuk pesakit kanser payudara dan pangkal rahim selain bekas pesakit kanser.

Individu berkenaan mencadangkan beberapa jenis cendawan seperti Ganoderma, Reishi, MaitakeTurkey Tail dan Agaricus dalam pemakanan seharian.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Soya Dan Bahan Soya?

Menurut laman sesawang hellodokter.com, soya berasal daripada kacang soya dan diproses bagi menghasilkan beberapa produk lain seperti tauhu, tempe, edamame (kacang soya hijau), minuman soya dan miso (sejenis pes masakan yang popular di Jepun).

Soya adalah salah satu daripada beberapa jenis tumbuhan dengan semua asid amino yang diperlukan tubuh anda untuk membuat protein.

Kacang soya mengandungi hampir 40 peratus protein, 20 peratus minyak dan ia digunakan sebagai makanan, suplemen, atau untuk keperluan industri seperti biodiesel, permaidani, lilin, dakwat dan cat.

Laman sesawang berkenaan mendedahkan terdapat lima kebaikan utama yang terdapat pada soya itu sendiri, dan antaranya adalah ia membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan mengelakkan risiko kanser payudara di kalangan remaja perempuan.

Manfaat lain yang terdapat dalam soya adalah ia membantu merendahkan tahap kolestrol serta meningkatkan peluang kehamilan kepada wanita yang menjalani rawatan kesuburan.

Selain itu, sebuah laman sesawang berkaitan kesihatan, doctoroncall turut mendedahkan beberapa kebaikan pengambilan soya seperti mengelakkan osteoporosis (tulang rapuh), mengurangkan risiko kencing manis, menurunkan berat badan dan mampu mencegah pengumpulan lemak di dalam tisu badan.

 


Sumber: hellodoktor.com

 

Apa Itu Kanser Payudara?

Menurut portal MyHealth, kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia dengan nisbah 1:19 wanita berbanding nisbah 1:8 bagi penduduk di Eropah dan Amerika Syarikat.

Payudara wanita adalah terdiri dari sel-sel kelenjar lobul yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang membawa susu ke bahagian puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa.

Kebanyakan kanser payudara bermula daripada sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer) dan selebihnya bermula daripada tisu-tisu lain.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baharu boleh terjadi pada organ tersebut.

Keadaan barah merebak ini dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis.

Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.

Menurut penulis artikel berkenaan, Dr Arief Budiman Abdul Aziz, terdapat beberapa jenis kanser payudara.

Pertama, kanser setempat ‘carcinoma in situ iaitu kanser peringkat awal dan masih berada di tempat ia bermula iaitu terhad di saluran atau kelenjar susu payudara.

Kedua adalah kanser saluran ‘ductal carcinoma in situ’ (DCIS) di mana ia merupakan jenis kanser payudara yang tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluran susu payudara.

Ketiga kanser lobular (lobular carcinoma in situ) (LCIS) iaitu keadaan ini bermula di kelenjar susu dan tidak melepasi dindingnya.

Keempat adalah kanser saluran merebak (invasive (infiltrating) ductal carcinoma) (IDC) iaitu kanser payudara yang paling biasa dan ia bermula pada saluran susu sebelum melepasi dinding saluran dan merebak ke tisu payudara lain.

Kanser kelima adalah kanser lobul merebak (invasive (infiltrating) lobular carcinoma (ILC) dan kanser ini bermula pada kelenjar susu sebelum boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain.

 


Sumber: MyHealth

 

Mitos Keburukan Kacang Soya Sudah Lama Tersebar

Mungkin di kalangan kita tidak sedar sebenarnya mitos berkaitan pengambilan soya terhadap tubuh badan bertebaran di pelbagai platform termasuk di media sosial sejak sekian lama.

Menurut pakar pemakanan daripada Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Prof Madya Dr Hasnah Haron yang dipetik daripada laporan Berita Harian mendedahkan terdapat empat mitos melibatkan soya.

Mitos pertama adalah semua produk soya diperbuat daripada organisma terubah suai genetik (GMO).

Menurut laman sesawang majalahsains.com, GMO (Genetically Modified Organism) bermaksud sesuatu makanan telah melalui proses pengubahsuaian bahan genetik dan dipanggil sebagai Bioteknologi moden atau gen teknologi. 

National Library of Medicine menjelaskan, kejuruteraan genetik bermaksud makanan yang telah dimasukkan kod genetik melalui proses pindahan gen asing daripada tumbuh-tumbuhan atau haiwan lain.

Tujuan GMO diperkenalkan adalah untuk memberi manfaat kepada manusia sebagai contoh meningkatkan kualiti, nutrisi, rasa, kelazatan atau daya tarikan pada sesuatu makanan, meningkatkan hasil tanaman, mengurangkan proses kematangan tumbuhan, menghalang penyakit atau serangga dan meningkatkan pertahanan tumbuhan semasa kemarau atau banjir.

Mitos kedua adalah risiko kanser payudara akan meningkat jika memakan soya dan mitos berkenaan disebabkan kepercayaan bahawa isoflavon (estrogen tumbuhan) yang terdapat dalam soya boleh meningkatkan risiko kanser.

Mitos ketiga adalah Fitoestrogen yang terdapat dalam soya menghalang fungsi kelenjar tiroid.

Fitoestrogen merupakan salah satu fitonutrien atau senyawa kimia yang dihasilkan oleh tumbuhan.

Kelenjar Tiroid merupakan satu organ manusia berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher yang bertanggungjawab di dalam penghasilan hormon tiroid.

Kelenjar tiroid menggunakan zat iodin (sumber yang diperolehi daripada diet pemakanan seperti garam dan makanan laut) dalam menghasilkan hormon tiroid.

Hormon tiroid adalah amat penting dalam mengawal metabolisme dan fungsi tubuh badan manusia seperti tumbesaran dan mengawal metabolisme protein dan lemak dalam badan.

Mitos terakhir yang sering dikaitkan dengan soya adalah ia akan mengubah perwatakan seorang lelaki menjadi lebih feminin atau bersifat kewanitaan.

 


Sumber: Berita Harian

 

Soya Bagus Untuk Wanita Mengandung

Kita juga sering mendengar pelbagai mitos mengenai pengambilan susu soya tidak digalakkan untuk wanita yang sedang hamil, namun adakah dakwaan sedemikian benar?

Menurut laman sesawang alodokter.com, segelas susu soya asli mengandungi sekitar 130–140 kalori, 8 gram karbohidrat, 4 gram lemak, dan 7 gram protein.

Laman sesawang berkenaan memaklumkan antara manfaat susu soya bagi wanita hamil adalah ia menyokong pembentukan jaringan dan organ tubuh janin termasuk otak bayi selain kandungan vitamin A yang terdapat pada soya membantu dalam proses pembentukan.

Kehadiran vitamin A pada susu soya dilaporkan penting untuk proses perkembangan mata, kulit, tulang, dan organ lain di dalam tubuh janin serta membentuk sistem kekebalan tubuhnya., selain bermanfaat untuk menjaga kesihatan mata dan menjaga daya tahan tubuh ibu hamil.

Pengambilan vitamin B12 daripada susu soya turut dikatakan menyokong proses pembentukan sel darah merah pada ibu hamil dan memelihara kesihatan jaringan saraf ibu dan janin.

 

Pandangan Pakar

Kembali semula kepada persoalan asal, adakah pengambilan soya itu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser payudara sebagaimana yang didakwa segelintir individu?

Beberapa pakar perubatan berkongsi pandangan mereka bahawa kebanyakan mitos yang bertebaran di media sosial sebenarnya adalah tidak tepat, sekali gus menyebabkan segelintir individu menjadi keliru sama ada soya sesuai diambil atau sebaliknya.

Menurut seorang pakar perubatan Dr Rafidah Abdullah, mitos berkenaan soya adalah tidak tepat dan beliau sendiri turut mengamalkan pengambilan soya.

Beliau turut menyertakan pautan sebuah kajian mengenai soya yang dilakukan oleh Dr Heather Patisaul dan Dr Wendy Jefferson berhubung Phytoestrogen yang merupakan sebatian kimia semula jadi yang boleh didapati dari tumbuh-tumbuhan termasuk soya.

Berdasarkan kajian berkenaan mendapati pengambilan soya dapat mengurangkan kelegaan daripada menopaus, mengurangkan risiko osteoporosis atau tulang rapuh selain mengurangkan risiko penyakit jantung.

 


Sumber: Facebook Dr Rafidah Abdullah

 

Seorang lagi pengamal perubatan Dr Suhazeli Abdullah menerusi hantaran di Facebook turut menyangkal beberapa dakwaan atau mitos mengenai soya yang tidak tepat.

Beliau turut menegaskan phytoestrogen yang terdapat dalam tumbuhan tidak sesekali akan menyebabkan kanser atau membuatkan seseorang individu itu bersifat wanita.

“Bahkan American institute of cancer research menyatakan :

1-Soya tidak menyebabkan kanser. Tapak reseptor estrogen untuk isoflavones berbeza dengan estrogen pencetus kanser.

2-Bagi penghidap kanser juga tidak ada bukti kukuh bahawa soya menyebabkan kanser mereka tumbuh kembali,” jelas Dr Suhazeli.

 


Sumber: Facebook Dr Suhazeli Abdullah

 

Kami turut menemukan beberapa artikel menarik mengenai kebaikan soya yang dikongsikan oleh seorang pakar perubatan iaitu Dr Rushdan Noor selain perkongsian oleh Medical Mythbusters Malaysia dan Public Health Malaysia mengenai mitos soya dengan kanser payudara yang masih berlegar dalam kalangan masyarakat umum di negara ini.

Sebagai contoh, Medical Mythbusters Malaysia mendedahkan kebanyakan kajian klinikal yang dilakukan terhadap soya dan kanser payu dara mendapati diet tinggi soya tidak meningkatkan risiko untuk menghidap kanser payu dara, malah soya sebenarnya boleh mengurangkan risiko tersebut.

Public Health Malaysia pula memaklumkan kajian yang di lakukan kepada 7,663 wanita di Malaysia menunjukkan dengan meminum secawan susu soya setiap minggu dapat mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 80 peratus.

Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa pengambilan soya tidak memberi risiko kanser payudara, malahan baik untuk kesihatan tubuh badan sekiranya diamalkan setiap hari pada kuantiti yang bersesuaian.

 

KESIMPULAN

MyCheck mendapati dakwaan menyatakan bahawa pengambilan soya meningkatkan risiko payudara adalah tidak benar sama sekali.

Hal ini dibuktikan dengan pelbagai kajian saintifik yang mengesahkan soya memberi kebaikan kepada tubuh badan sekiranya diamalkan pada kuantiti yang bersesuaian.

Nasihat kami, sekiranya anda tidak pasti mengenai kebaikan atau keburukan sesuatu produk makanan, dapatkan pandangan daripada pakar pemakanan atau individu yang bertauliah seperti doktor dan ahli farmasi.

Usah sebarkan perkara yang tidak pasti sehingga menghakis kepercayaan individu terhadap sesuatu produk makanan berkenaan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Suzy Mjs

  2. Soya: Apa yang Anda Perlu Tahu.Diterbitkan oleh Hellodoktor.com

  3. Kanser Payudara.Diterbitkan oleh MyHealth

  4. 4 mitos mengenai soya.Diterbitkan oleh Berita Harian

  5. Makanan Diubahsuai Secara Genetik. Adakah Mendatangkan Manfaat Atau Mengundang Bahaya?Diterbitkan oleh majalahsains.com

  6. Manfaat Susu Kedelai bagi Ibu Hamil, Efek Samping dan Batas Aman Konsumsi.Diterbitkan oleh alodokter.com

  7. Facebook Dr Rafidah Abdullah

  8. Facebook Dr Suhazeli Abdullah

  9. Facebook Dr Rushdan Noor

  10. Facebook Medical Mythbusters Malaysia

  11. Facebook Public Health Malaysia

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.