+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bantuan RM300 Sebulan Untuk Barangan Keperluan Sekolah Adalah Daripada Kerajaan Selangor Untuk B40, Bukan Daripada Kerajaan Pusat

Benarkah...

Kerajaan Malaysia memberi bantuan kewangan bernilai RM300 sebulan untuk perbelanjaan barangan harian dan keperluan sekolah kepada semua rakyat yang mempunyai anak masih bersekolah.

Sumber : TikTok / Disember 2022

Hasil

Bantuan itu bukan daripada kerajaan Persekutuan. Ia merupakan bantuan yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor pada Julai 2022 kepada golongan B40 di negeri itu menerusi program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

13/12/2022 07:43 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video di TikTok mengenai kerajaan pusat akan memberikan bantuan kewangan kepada orang ramai yang mempunyai anak yang masih bersekolah.
  • Pada video itu terpapar gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta tajuk “Bantuan Bernilai RM300 Sebulan Untuk Barang Harian Dan Keperluan Sekolah”.
  • Ramai pihak membuat tanggapan bahawa ia adalah bantuan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan pusat.
  • Bantuan tersebut sebenarnya bukan daripada kerajaan Persekutuan.
  • Ia adalah inisiatif kerajaan negeri Selangor menerusi program BINGKAS yang dilancarkan pada 1 Julai lepas kepada golongan B40 di negeri itu.
  • Kementerian Komunikasi dan Digital melabelkan berita tersebut sebagai palsu.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Faktor kewangan sering menjadi isu utama dalam sesebuah keluarga, khususnya golongan isi rumah yang berpendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40).

Kos sara hidup yang tinggi termasuk peningkatan harga barangan keperluan asas menyebabkan banyak keluarga terbeban terutama bagi keluarga besar.

Justeru apabila muncul desas-desus adanya bantuan berbentuk wang tunai oleh kerajaan, ramai yang teruja dan menaruh harapan tinggi.

Namun benarkan ada skim bantuan itu? MyCheck semak untuk anda!

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video di TikTok mengenai terdapat bantuan kewangan untuk pembelian barangan harian dan keperluan sekolah bernilai RM300 setiap bulan oleh kerajaan Malaysia menerusi program BINGKAS.

Pada video itu terpapar gambar Anwar.

Video yang dimuat naik oleh pengguna dengan nama akaun @rezekiterkini itu mencetuskan reaksi gembira orang ramai.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pautan Membawa Ke Laman Sesawang rezekiterkini.com

Langkah pertama MyCheck adalah meneliti video tular dan akaun pengguna TikTok yang memuat naik video itu.

MyCheck  menemukan satu pautan di laman bio TikTok pengguna tersebut.

Kami kemudian klik pada pautan itu dan ia membawa kepada satu kumpulan chat (group chat) di aplikasi Telegram.

Di sana, kami menemukan pautan ke laman sesawang rezekiterkini.com iaitu laman bagi menghebahkan pelbagai bentuk bantuan untuk rakyat.

Setelah meneliti, kami dapati laman tersebut bukanlah laman rasmi mana-mana pihak berwajib atau pertubuhan berkaitan.

 

Pautan Adalah ‘ClickBait’, Tarik Orang Ramai Ke Laman Sesawang

MyCheck cuba menyemak status domain pautan tersebut menggunakan Whois Lookup dan mendapati ia adalah aktif.

Pautan itu berkemungkinan merupakan ‘clickbait’ untuk menarik orang ramai ke laman sesawang tersebut.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘clickbait’ atau dalam Bahasa Melayu klik umpan bermaksud iklan, teks atau gambar yang menarik perhatian agar pengguna terdorong untuk mengklik hiperpautan atau pautan terutamanya dalam media sosial.

 


Sumber: rezekiterkini.com

 

Bantuan Kewangan RM300 Untuk Persekolahan Memang Wujud Namun Bukan Daripada Kerajaan Persekutuan

MyCheck kemudian meneliti maklumat yang tertera pada laman sesawang rezekiterkini.com.

Apa yang tertulis adalah :

Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS menerusi kerajaan pusat atau negeri untuk meringankan beban golongan miskin.

Untuk maklumat lebih terperinci, sila ikuti perkongsian di bawah.”

Jika dibaca sekali imbas, ramai yang mungkin beranggapan bantuan itu adalah daripada kerajaan Persekutuan kerana ayat tertera menyatakan kerajaan Malaysia telah memperkenalkan bantuan tersebut.

Namun jika anda membaca keseluruhan ayat dengan teliti pasti ramai yang akan tertanya-tanya dan keliru kenapakah bantuan itu dinamakan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor sahaja dan tidak dinyatakan pula negeri-negeri lain secara menyeluruh.

Bagi mendapatkan kesahihan lanjut mengenai program BINGKAS, kami melakukan semakan di portal bingkasselangor.com.

Hasil semakan mendapati bantuan RM300 itu memang wujud dan merupakan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri Selangor bagi membantu golongan isi rumah B40 di negeri itu.

Ia akan diberikan setiap bulan selama setahun.

 


Sumber: bingkasselangor.com

 

Menurut laporan Selangorkini, BINGKAS telah dilancarkan pada 1 Julai 2022.

Berdasarkan tarikh bantuan itu dilancarkan, ia jelas menunjukkan bahawa ia bukanlah bantuan daripada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar kerana ketika itu Anwar belum dilantik sebagai Perdana Menteri.

 

Gambar Perdana Menteri Cetus Kekeliruan

Daripada apa yang kami semak, bantuan tersebut telah diperkenalkan Julai lepas namun apa yang menjadi kekeliruan serta salah faham orang awam adalah gambar Perdana Menteri yang digunakan portal berkenaan dalam menyampaikan maklumat tersebut.

Anwar baharu sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November lepas.

Oleh itu, ramai pihak beranggapan bahawa Perdana Menteri telah melancarkan satu bantuan baharu selepas melihat gambar beliau terpampang di dalam video tersebut.

Kebiasaannya teknik ini dipanggil sebagai ‘clickbait’ yang bertujuan untuk memancing orang ramai supaya mengikuti pautan yang disertakan seterusnya menyertai kumpulan Telegram berkenaan.

 


Sumber: Telegram

 

Gambar Perdana Menteri Turut Dijadikan ‘Umpan’ Bagi Hebahan Lain Untuk Menarik Perhatian Ramai

Hasil semakan MyCheck di portal itu, kami juga menemukan beberapa artikel yang menggunakan gambar yang sama untuk menghebahkan bantuan berbeza antaranya, artikel “Bantuan Kanak-Kanak Berjumlah Sehingga RM1000 Bakal Diterima Bermula 2023” dan “Bantuan Kewangan Untuk Golongan Warga Emas & OKU”.

 


Sumber: rezekiterkini.com

 

Kenyataan Rasmi Kementerian Komunikasi Dan Digital

 


Sumber: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kewangan

 

Kami juga membuat semakan di Twitter dan menjumpai ciapan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menafikan terdapat Bantuan Kanak-kanak seperti yang ditularkan oleh portal itu.

Selain itu kami turut menemukan ciapan daripada Kementerian Kewangan Malaysia yang menafikan wujudnya empat bantuan oleh kerajaan iaitu Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Secara Bersasar, Bantuan Sara Hidup, Bantuan Satu Keluarga RM900 dan Program Bantuan Makanan MyKasih.

 


Sumber: Kementerian Komunikasi dan Digital

 

Kementerian Komunikasi dan Digital juga telah mengeluarkan kenyataan menerusi portal rasmi dan melabelkan makluman mengenai bantuan tersebut sebagai berita palsu.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, bantuan yang disebarkan itu bukanlah daripada kerajaan Persekutuan kepada semua rakyat yang mempunyai anak masih bersekolah.

Sebaliknya ia merupakan bantuan daripada kerajaan negeri Selangor kepada golongan B40 di negeri itu yang layak untuk memohon menerusi program BINGKAS.

Sebelum menyebarkan sesuatu maklumat, pastikan ia adalah sahih supaya kita tidak memberi harapan palsu kepada orang lain.

Jika tidak tahu, jangan sebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Bantuan Bernilai RM300 Sebulan Untuk Barang Harian Dan Keperluan Sekolah - Rezeki Terkini

  2. TikTok l Bantuan Bernilai RM300 Sebulan Untuk Barang Harian Dan Keperluan Sekolah 

  3. BINGKAS SELANGOR

  4. Twitter KPWKM 

  5. Twitter MOF Malaysia 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.