+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pakar Perubatan, Saintis Sahkan Radiasi Wi-fi Tidak Beri Kesan Kepada DNA Dan Sel Otak Kanak-Kanak

Benarkah...

Radiasi wi-fi beri kesan kepada asid deoksiribonukleik (DNA) dan sel otak kanak-kanak.

Sumber : WhatsApp, Facebook / Disember 2022

Hasil

Wi-fi tergolong dalam sinaran tidak terion dan tidak berbahaya kepada kanak-kanak. Dakwaan wi-fi berbahaya merupakan isu lama yang tular semula.

13/12/2022 05:42 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menyatakan bahawa radiasi wi-fi memberi gangguan kepada DNA dan sel otak kanak-kanak.
  • Pakar sahkan radiasi wi-fi tidak berbahaya kepada manusia kerana ia tergolong dalam sinaran tidak terion berbanding sinaran x-ray dan gamma yang merupakan sinaran terion yang memberi kesan kepada tubuh manusia.
  • Dakwaan berkenaan merupakan isu lama yang tular semula.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Kecanggihan teknologi pada masa kini menyaksikan pelbagai peralatan elektronik dapat dihidupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh menerusi sinaran infra merah atau wi-fi.

Penggunaan alat kawalan jauh yang menggunakan wi-fi seperti penyaman udara dan kamera litar tertutup semakin popular kerana ia tidak memerlukan penyambungan wayar elektrik.

Permintaan yang tinggi terhadap perkakasan sedemikian bagaimanapun mengundang kebimbangan segelintir ibu bapa.

Ada yang mempertikaikan tahap keselamatan radiasi yang dipancarkan menerusi wi-fi dan mengeluarkan pelbagai teori tidak tepat mengenai penggunaan wi-fi.

 


Sumber: WhatsApp

 

MENGENAI DAKWAAN

Kami menerima satu mesej menerusi WhatsApp yang mendakwa radiasi wi-fi boleh mengganggu DNA serta aktiviti sel otak kanak-kanak.

Dikatakan pendedahan terhadap wi-fi akan menjadikan tidur anak-anak tidak berkualiti.

Kami turut menemukan dakwaan yang hampir sama di laman Facebook antaranya anda boleh lihat di sini, di sini dan di sini.

 


Sumber: gemilangdaily.com

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Wi-fi Dan Fungsinya?

Sebelum kami membuat semakan lanjut, kita perlu mengetahui apa itu wi-fi dan fungsinya kepada peralatan elektronik?

Menurut sebuah blog berkaitan komputer, rosli computer blogspot, wi-fi atau wireless fidelity merujuk kepada sistem rangkaian pautan tanpa wayar yang menggunakan hubungan jalur lebar, titik capaian dan kad wi-fi yang dipasang di dalam sesebuah komputer membolehkan pengguna berkongsi fail dan pencetak selain melayari Internet.

Wi-fi mula diperkenalkan menerusi beberapa produk tanpa wayar pada penghujung 1998 dan istilah berkenaan telah diberikan oleh Wireless Ethernet Compatibility Alliance (Weca).

Sama seperti manusia, wi-fi  turut mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Menurut sebuah laman blog berkaitan jaringan komputer, tutorialjaringan.com, antara kebaikan menggunakan wi-fi adalah ia lebih mudah dipasang berbanding penggunaan kabel Jaringan Kawasan Tempatan (LAN) dan seseorang pengguna itu boleh berpindah ke tempat lain yang berhampiran dengan liputan wi-fi sekiranya ingin mendapatkan capaian Internet yang lebih baik.

Antara kebaikan lain adalah penggunaan wi-fi dapat meliputi kawasan yang lebih luas termasuk sebuah rumah, selain menjimatkan ruang kerana tidak melibatkan penyambungan wayar LAN.

Wi-fi bagaimanapun mempunyai beberapa kelemahan termasuk harga mesh wi-fi yang agak mahal bagi memastikan sambungan tanpa wayar yang lebih mantap selain kestabilan kelajuan Internet bergantung kepada faktor sekeliling seperti cuaca dan halangan seperti dinding konkrit.

Mesh wi-fi merupakan satu alat yang berfungsi untuk meluaskan liputan Internet dalam rumah melalui modem atau router.

 

Apa Itu Radiasi?

Menurut portal kesihatan MyHealth, radiasi adalah satu bentuk tenaga bergerak dan ia bersifat elektromagnet kerana terdiri daripada gelombang-gelombang elektromagnet dan tenaga magnet yang bergerak seiringan melalui ruang pada kelajuan cahaya.

Secara umum, terdapat dua jenis radiasi iaitu radiasi pengionan (IR) dan bukan pengionan (NIR).

Pengionan adalah proses yang mana elektron-elektron dilucutkan daripada atom dan molekulnya.

IR mengandungi tenaga yang secukupnya untuk menghasilkan pengionan dan interaksinya dengan jirim boleh mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan yang membawa kerosakan pada tisu biologi termasuk kesan ke atas DNA atau bahan genetik.

Alpha particle, beta particle, sinar x dan sinar gamma adalah contoh radiasi pengion.

NIR pula tidak mempunyai tenaga secukupnya untuk menyebabkan pengionan dalam jirim hidup.

Jirim hidup ditakrifkan sebagai semua benda yang mempunyai jisim dan memenuhi ruang seperti manusia, tumbuhan dan haiwan.

Radiasi berkenaan boleh menyebabkan sedikit kesan pemanasan, tetapi tidak cukup untuk menyebabkan sebarang kerosakan jangka panjang pada tisu-tisu.

Tenaga radio frekuensi, cahaya nampak dan radiasi mikrogelombang adalah contoh radiasi bukan-mengion.

Untuk kekuatan yang sama, radiasi mengion lebih mampu memberi kesan ke atas kesihatan berbanding radiasi bukan mengion disebabkan oleh proses pengionan.

 

Sumber Asal Dakwaan

Kami membuat semakan dakwaan tular di enjin carian Google dengan kata kunci “wifi ganggu otak” dan mendapati sumber asal dakwaan berkenaan ditulis oleh seorang doktor perubatan yang berkongsi ilmu kesihatan kanak-kanak, Dr Mazliana Mazlan di laman Facebook.

Bagaimanapun kami gagal menemukan hantaran asal itu, berkemungkinan ia sudah dipadam.

 


Sumber: Google

 

Isu Lama Tular Semula

Sebenarnya, dakwaan bahawa radiasi wi-fi berbahaya kepada kesihatan manusia bukanlah perkara baharu kerana isu yang hampir sama pernah tular sebelum ini.

Pada 2015, Harian Metro mengeluarkan satu artikel mengenai hasil kajian dijalankan Persatuan Perubatan Reproduktif Amerika pada 2010 mendapati isyarat wi-fi secara tanpa sedar mampu mengganggu aktiviti otak terutama bagi perempuan.

Sindrom intoleransi hipersensitiviti elektromagnetik (EHI) itu bagaimanapun belum diakui secara sahih oleh pakar perubatan.

Badan Perlindungan Kesihatan Amerika menyatakan tidak ada bukti kukuh mengesahkan adanya hubung kait antara gangguan kesihatan dan peralatan elektronik meskipun ramai yang terasa kesannya.

Artikel yang sama turut mendedahkan pengamal perubatan terkenal di Pusat Servis Kesihatan Nasional (NHS) England Dr Andrew Tresidder mengakui kesan EHI ini belum disahkan dari segi perubatan.

Namun katanya, beliau menerima ramai pesakit yang mengeluh mengenai simptom EHI dalam kehidupan.

“Rasa sensitiviti elektromagnet ini adalah penyakit yang nyata. Sel tubuh sensitif dengan jenis gelombang tenaga seperti suara dan cahaya, justeru, tidak hairan jika sel tubuh juga sensitif terhadap tenaga lain seperti gelombang radio,” katanya.

Selain itu sebuah portal sembang, Amanz.my yang turut diterbitkan pada 2015 mendedahkan mengenai bahaya radiasi wi-fi kerana boleh menyebabkan tumor otak kepada kanak-kanak.

Menurut artikel berkenaan, Dr Erica Mallery-Blythe yang merupakan seorang pakar di dalam bidang kajian frekuensi radio dan medan elektromagnetik mendakwa berlakunya peningkatan kes tumor otak dan masalah pening kepala dalam kalangan kanak-kanak sejak memulakan kajian pada 2009.

Dakwaan doktor dari England itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dengan bukti saintifik malahan lebih kepada kaedah anekdotal (pemerhatian tanpa bukti saintifik).

Selain daripada radiasi wi-fi, kami turut menemukan pelbagai dakwaan bahaya radiasi daripada gajet elektronik seperti telefon bimbit yang dikatakan boleh menyebabkan seseorang menghidap kanser.

Selain itu, ada pihak mendakwa pancaran rangkaian komunikasi 5G akan menyebabkan penyebaran Covid-19 secara meluas seperti yang dikongsikan termasuk di Facebook inisainsbeb.

 


Sumber: Harian Metro

 


Sumber: amanz.my

 


Sumber: Facebook

 

Pandangan Pakar

Berbalik kepada persoalan asal, adakah radiasi wi-fi ini berbahaya kepada manusia?

Kami membahagikan pandangan pakar kepada dua bahagian iaitu dari segi hukum fizik dan juga perubatan.

Menurut seorang ahli fizik, Muhammad Zamir Mohyedin menerusi hantaran di Facebookwi-fi dipancarkan oleh sinaran elektromagnetik yang berada pada julat frekuensi radio.

Spektrum elektromagnetik dibahagikan kepada dua bahagian, satu bahagian dikelaskan sebagai sinaran tidak terion manakala satu bahagian lagi dikelaskan sebagai sinaran terion.

Frekuensi radio adalah sinaran yang tidak terion manakala sinaran gamma, sinaran-x adalah contoh sinaran terion.

Tidak dapat dinafikan lagi, sinaran terion adalah sinaran yang berbahaya dan boleh merosakkan DNA kerana tenaganya yang tinggi.

Sinaran tidak terion pula sebenarnya tidak berbahaya (melainkan terlebih dos).

Wifi, pancaran telefon, siaran televisyen, siaran radio dan pelbagai lagi sebenarnya menggunakan sinaran berfrekeunsi radio.

Ke mana pun kita pergi, kita akan sentiasa terdedah dengan sinaran ini walaupun data telefon ditutup.

Mengulas lanjut, Muhammad Zamir yang merupakan seorang penyelidik kajian fizik di sebuah universiti awam tempatan turut mendedahkan kajian berterusan dilakukan oleh para saintis susulan kebimbangan segelintir pihak bahawa pendedahan berterusan sinaran tidak terion memberi kesan kepada manusia.

Beliau memaklumkan satu kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik pada 2020 mendapati saintis tidak menemui dapatan konklusif bagi sebarang kerosakan DNA ataupun mutasi yang disebabkan oleh pendedahan sinaran elektromagnetik daripada teknologi telekomunikasi.

“Jika dilihat pada Review Paper yang kumpulkan kajian-kajian dari tahun 1997 - 2022 tentang pendedahan sinaran radio kepada tubuh manusia, mereka menyimpulkan, "Numerous outcomes ranging from biological markers to symptoms were mostly found not to be associated with WiFi exposure. Sporadic findings were not consistent in terms of outcomes or exposure-response associations,” jelas Muhammad Zamir.

Pandangan beliau dikongsi oleh beberapa individu di laman Facebook termasuk The Patriots 2.0, Pustaka Ilmu, Excel Hana Malaysia by MommyHana.

Selain itu pandangan sama turut dilontarkan dalam Facebook inisainsbeb yang menegaskan tiada bukti kukuh bahawa radiasi wi-fi akan membahayakan seseorang individu sekiranya mereka berada pada jarak yang selamat.

Penulis artikel berkenaan turut berkongsi pautan Persatuan Kanser Amerika Syarikat yang mendedahkan bahawa tenaga gelombang frekuensi radio adalah beribu kali lebih rendah berbanding tahap yang dibenarkan yang telah ditetapkan oleh Federal Communications Commission di Amerika Syarikat.

Dalam erti kata lain, seseorang individu mempunyai kebarangkalian rendah untuk didedahkan dengan tahap maksimum sinaran terion sekiranya mereka duduk berhampiran dengan stesen pemancar.

Kami juga turut menemukan pandangan daripada pakar perubatan dan badan antarabangsa berhubung isu ini dan rata-rata mereka mendapati radiasi wi-fi tidak memberi kesan atau gangguan DNA kepada kanak-kanak sebagaimana yang didakwa.

Sebuah badan antarabangsa wi-fi.org menerusi laman sesawang mereka menyatakan pelbagai penyelidikan saintifik yang dijalankan sehingga hari ini mendapati tiada bukti kukuh bahawa rangkaian tanpa wayar berkuasa rendah memberi kesan kesihatan kepada pengguna dan juga orang awam.

Tegas mereka teknologi wi-fi mematuhi keperluan keselamatan antarabangsa dan memancarkan isyarat di bawah had keselamatan antarabangsa.

Sebuah laman blog yang berkongsi mengenai isu kesihatan, Shinkotoni menjelaskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di laman web rasminya mengesahkan bahawa tidak ada hubungan antara radiasi wi-fi dan risiko kanser, terutama pada kanak-kanak dan kenyataan WHO itu turut disokong oleh pakar dan saintis di seluruh dunia.

Dipetik menerusi blog berkenaan, Ketua Staf Perubatan Masyarakat Amerika Kanser Dr Otis Brawley memaklumkan banyak ketidakupayaan dalam penyelidikan yang mendakwa bahawa radiasi wi-fi boleh menyebabkan kanser dalam kalangan kanak-kanak dan kajian tersebut tidak memilih peserta kajian secara rawak.

Sekumpulan pakar fizik daripada Universiti Drexel di Amerika Syarikat menjelaskan radiasi wi-fi mempunyai sifat berbeza daripada sinar gamma yang dihasilkan oleh kuasa nuklear atau cahaya ultraviolet (UV).

Seperti yang diketahui umum, sinaran yang dihasilkan oleh sinar gamma dan cahaya UV boleh menyebabkan perubahan DNA atau mutasi genetik dalam tubuh manusia dan mutasi genetik boleh mencetuskan pertumbuhan sel-sel kanser.

Radiasi wi-fi yang dipancarkan oleh gelombang elektromagnetik tidak boleh menyebabkan mutasi genetik sama ada dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa.

Laman sesawang kesihatan dari Indonesia, Alodokter.com pula mendedahkan wi-fi memancarkan radiasi non-ionisasi atau energi rendah dan radiasi berkenaan adalah hampir sama dengan radiasi yang dikeluarkan oleh isyarat telefon bimbit, radio, televisyen, gelombang ketuhar dan sinar ultraviolet.

Di samping itu, isyarat daripada wi-fi masih berada di bawah paras bahaya iaitu sekitar 0,1 watt pada komputer dan router dan angka berkenaan masih dapat diterima dalam had radiasi yang dikeluarkan oleh WHO.

Sebuah lagi laman sesawang berkaitan kesihatan, Honestdocs turut menerangkan bahawa kajian yang dilakukan oleh Cancer Research UK mendapati isyarat wi-fi yang berada di kawasan rumah, pejabat dan tempat awam seperti kafe dan restoran tidak berbahaya atau memberi kesan kepada otak manusia termasuk bayi.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan kami, dakwaan bahawa penggunaan wi-fi akan menjejaskan DNA atau sel otak kanak-kanak adalah tidak benar sama sekali.

Radiasi wi-fi yang dipancarkan daripada isyarat telefon bimbit atau perkakasan elektronik masih di bawah paras selamat.

Tidak salah untuk anda mengeluarkan sebarang pendapat namun adalah lebih baik untuk mendapatkan pandangan daripada mereka yang pakar dalam sesuatu bidang sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Apakah makna bagi wi-fi?Diterbitkan oleh rosli-computer.blogspot.com

  2. Kelebihan dan kekurangan wireless.Diterbitkan oleh tutorialjaringan.com

  3. Apa itu radiasi?Diterbitkan oleh MyHealth

  4. Awas!Radiasi wi-fi.Diterbitkan oleh Harian Metro

  5. Adakah WiFi Menyebabkan Masalah Kesihatan Dan Tumor Otak Di Kalangan Kanak-Kanak?Diterbitkan oleh Amanz.my

  6. Facebook inisainsbeb

  7. Facebook Muhammad Zamir Mohyedin

  8. Assessment of Genotoxicity in Human Cells Exposed to Modulated Electromagnetic Fields of Wireless Communication Devices

  9. Persatuan Kanser Amerika Syarikat

  10. wi-fi and health.Published by wi-fi.org

  11. Adakah benar bahawa radiasi dari Wi-Fi boleh mencetuskan kanser kanak-kanak?Diterbitkan oleh shinkotoni.blogspot.com

  12. Ini Jawaban atas Keraguan Keamanan Wifi bagi Kesehatan.Diterbitkan oleh alodokter.com

  13. Ketahui Apakah Signal Wifi Berbahaya bagi Kesehatan?Diterbitkan oleh honestdocs.id

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.