Astro Awani mengeluarkan berita bertajuk ‘Bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’ yang dikatakan menjadi punca kekurangan bekalan telur di pasaran.
Sumber : WhatsApp, Facebook / Disember 2022
Berita itu adalah palsu. Astro Awani tidak pernah mengeluarkan laporan tersebut.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Sejak awal tahun ini, masyarakat dibelenggu masalah bekalan telur ayam yang ‘sekejap ada, sekejap tiada.
Walaupun ‘telur’ hanyalah satu daripada ribuan makanan keperluan asas, namun ‘kehilangannya’ di pasaran telah mencetuskan pelbagai masalah kepada masyarakat terutama para peniaga.
Kisah telur menjadi topik hangat sehingga timbul pelbagai dakwaan dan teori berkaitan ‘ketiadaannya’ di pasaran.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp yang meminta semakan terhadap satu tangkap layar berita bertajuk ‘Bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh,’.
Pada tangkap layar itu tertera lambang Astro Awani serta gambar Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
Selain itu terdapat kapsyen bertulis, ‘Punca kekurangan bekalan telur telah dikenal pasti akibat dari pasangan ayam yang bermasalah,’.
Ramai pihak mempersoalkan kesahihan berita itu yang tular ketika negara berdepan isu bekalan telur.
APA YANG KAMI TEMUI
Isu Bekalan Telur Ayam Masih Belum Selesai
Sememangnya masyarakat sedia maklum bahawa negara berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur ayam namun adakah ia masih belum selesai?
Justeru MyCheck melakukan semakan di enjin carian Google untuk mencari maklumat terkini yang berkaitan.
Menurut laporan Harian Metro bertarikh 12 Disember 2022, iaitu tiga hari lepas, krisis kekurangan bekalan telur itu masih belum pulih sepenuhnya dan hanya ada dalam kuantiti yang sedikit.
Malah, sesetengah premis didapati kehabisan stok telur ayam gred biasa.
Sebilangan peniaga mengakui bingung dengan permasalahan itu yang masih berlanjutan tanpa penyelesaian.
Maka tidak hairanlah kenapa isu berkaitan telur ini masih hangat menjadi perbincangan.
Dakwaan Turut Tular Di Media Sosial
Kebiasaannya apa yang tular melalui WhatsApp, pasti tular di media sosial.
Justeru kami cuba ke laman Facebook untuk melakukan semakan berhubung berita tular itu.
Menggunakan kata kunci ‘bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’ menerusi enjin carian Facebook, kami menemukan banyak hantaran yang hampir sama dimuat naik oleh pengguna media sosial itu.
Ini jelas menunjukkan hantaran tular itu juga tersebar secara meluas di Facebook.
Bahkan ada juga yang memetik kenyataan terbabit dan menjadikannya sebagai bahan jenaka.
Berita Tular Adalah Palsu
MyCheck kemudian beralih ke laman Twitter.
Memandangkan terpampang gambar Mat Sabu, kami melakukan semakan di laman Twitter rasmi MAFS, @mafimalaysia.
Kami menemukan satu hantaran oleh MAFS yang mengesahkan bahawa berita yang tular itu adalah palsu.
Kementerian itu turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.
MAFS pada masa sama turut memaklumkan bahawa hantaran terbabit adalah daripada suntingan akaun palsu dan bukan daripada akaun rasmi Astro Awani.
Semakan Di Portal Astro Awani
Kami turut menelusuri portal Astro Awani.
Menerusi ruangan carian yang disediakan di portal terbabit, kami masukkan kata kunci ‘bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’.
Sememangnya tiada sebarang laporan yang sepadan dengan dakwaan tular.
Astro Awani Nafi Keluarkan Berita Tular
Kami juga menemukan kenyataan oleh Astro Awani yang dimuat naik di laman Facebook rasmi mereka, Astro AWANI yang mengesahkan bahawa laporan yang tular adalah palsu.
Menurut portal berita itu, mereka tidak pernah mengeluarkan berita seperti yang tular dan laporan tersebut dipercayai disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, portal semakan fakta Sebenarnya.my turut melaporkan bahawa berita tular adalah tidak benar.
Fokus Keterjaminan Makanan
Sejurus Mat Sabu dilantik menjadi Menteri MAFS, beliau memaklumkan isu bekalan barangan keperluan terutama telur dan ayam serta penetapan harga yang munasabah menjadi antara fokus kementerian.
Memetik laporan Harian Metro bertarikh 5 Disember 2022, Mat Sabu berkata pihaknya akan mendapatkan gambaran situasi sebenar melalui taklimat dalam mencari kaedah yang terbaik soal keterjaminan bekalan makanan.
Menurutnya, keterjaminan makanan dengan harga munasabah itu penting malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali membangkitkan isu ini ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Bahkan, menurut laporan BERNAMA bertarikh 6 Disember 2022, kerajaan bersetuju mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan bekalan dalam negara.
KESIMPULAN
Sebutlah dalam loghat mana pun - telo (pantai timur), teloq (utara), tolo (selatan) atau bahasa bakunya telur, kini menjadi buruan ramai.
Mana tidaknya, telur sudah sebati dengan selera, menjadi makanan ruji tidak kira apa bangsa, tidak kisah berapa usia dan tidak juga mengenal taraf kaya atau miskin.
Menu makan pagi kegemaran rakyat Malaysia - roti canai sudah tentu lebih sedap dengan telur, nasi lemak pula apalah maknanya tanpa telur.
Makan tengah hari nasi putih juga banyaknya berlauk telur.
Menu malam di rumah atau kedai tomyam lebih jelira (puas) bergandingan dengan telur dadar panas digoreng rangup.
Nak diet? Telur jugalah yang berkhasiat dibuat hidangan.
Semuanya mahukan telur.
Tetapi ketika telur kini menjadi rebutan, janganlah anda pula menjadi ‘telur tembelang’ (telur yang tidak dapat menetas dan menjadi busuk).
Sudahlah tidak mampu memberi manfaat kepada masyarakat, berbuat pula kejahatan dengan menyunting dan menyebarkan berita tidak benar.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
'Isu bekalan telur kurang, harga ayam mula melonjak sukar ditangani segera'
Peniaga bingung kekurangan bekalan telur ayam berlarutan, dakwa tidak tahu punca
Anak ayam berpenyakit, wabak punca kekurangan bekalan telur ayam.
Kenyataan Menteri MAFS Berhubung Punca Bekalan Telur Kurang Adalah Tidak Benar | SEBENARNYA.MY
Berita bekalan telur kurang kerana ayam enggan 'bersetubuh' palsu
Kerajaan import bekalan telur dari sumber luar, tampung keperluan dalam negara
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.