Tabung Haji telah membuka permohonan rayuan haji bagi musim 2023 seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Sumber : WhatsApp / Disember 2022
WhatsApp tular adalah palsu. Permohonan rayuan haji bagi musim 2023 masih belum dibuka.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Menunaikan ibadah haji merupakan rukun Islam kelima dan wajib dikerjakan bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi fizikal dan juga kewangan.
Setiap tahun Tabung Haji akan melaksanakan pemilihan bagi memilih pendeposit yang layak untuk menunaikan ibadah gaji dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang sudah mendaftar lebih awal.
Ini kerana kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah kuota jemaah dari sesebuah negara pada setiap musim haji bagi memastikan penduduk beragama Islam dari negara lain diberi peluang sama rata untuk melaksanakan ibadah tersebut.
MENGENAI DAKWAAN
Kami menerima mesej daripada WhatsApp menyatakan bahawa Tabung Haji sudah membuka permohonan rayuan menunaikan haji bagi musim 2023 menerusi laman sesawang THiJARI.
Mesej berkenaan memaklumkan mereka yang berminat boleh membuat rayuan dalam tempoh sebulan bermula 23 Disember 2022.
THiJARI merupakan platform dalam talian yang mula beroperasi pada 5 Februari 2020.
Ia menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pendeposit Tabung Haji termasuk menyemak status akaun, mencetak penyata akaun, pemindahan tunai, perkhidmatan haji dan kelab TaHa.
Kelab TaHa ditubuhkan pada 10 April 2008 sebagai salah satu inisiatif Tabung Haji untuk menggalakkan dan memupuk amalan menabung dalam kalangan pendeposit muda.
APA YANG KAMI TEMUI
Pengertian Haji
Sebelum pergi lebih lanjut, MyCheck sertakan maksud haji secara lebih terperinci.
Menurut umrahhajitravel.com, haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat, manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Masjid Al-Haram (Kaabah) pada masa-masa tertentu pada bulan haji, iaitu Zulhijah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji.
Haji merupakan salah satu rukun Islam dan wajib dilaksanakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan sama ada lelaki atau wanita.
Haji terdiri daripada tiga jenis iaitu Haji Ifrad, Haji Tamattu’ dan Haji Qiran.
Haji Ifrad ialah mengerjakan ibadah haji dahulu dalam bulan haji dan kemudian mengerjakan umrah.
Haji Tamattu’ adalah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan ibadah haji di tahun yang sama.
Haji Qiran ialah berniat ihram haji dan umrah serentak pada bulan haji, kemudian melaksanakan semua rukun dan wajib haji.
Dalam mengerjakan ibadah haji, ia memerlukan tenaga yang lebih banyak berbanding mengerjakan ibadah umrah.
Hal ini kerana ibadah haji memakan masa yang lebih lama berbanding mengerjakan ibadah umrah.
Seseorang haruslah meningkatkan tahap ketahanan fizikal sekiranya ingin mengerjakan ibadah haji kerana ia terbukti kegiatan atau aktiviti yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji lebih banyak berbanding dengan mengerjakan umrah.
Rukun Haji
Rukun haji terdiri daripada enam perkara dan wajib disempurnakan ketika menunaikan ibadah haji iaitu ihram, wukuf di Arafah, thawaf, sa’ie, cukur rambut (tahalul) dan tertib.
Rukun pertama adalah ihram iaitu berniat untuk mengerjakan haji dan niat haji adalah sama dengan niat solat fardu yang dilaksanakan setiap hari.
Rukun kedua haji adalah berada di Arafah seketika bermula daripada gelincir matahari pada 9 Zulhijah sehingga sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijah.
Rukun haji seterusnya adalah tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.
Rukun haji keempat adalah melakukan sa’ie ialah berulang-alik sebanyak tujuh pusingan, bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
Tahalul ialah melepaskan diri daripada larangan dalam ihram merupakan rukun haji kelima.
Ia terbahagi kepada dua iaitu tahalul awal dan tahalul tsani.
Tahalul awal bermaksud jemaah haji selesai mengerjakan perkara-perkara berikut iaitu melontar jamrah kubra, tawaf rukun dan sa’ie, dan bercukur atau bergunting.
Jemaah haji yang telah melakukan tahalul awal boleh melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram kecuali berkahwin, bersetubuh dan mukadimah bersetubuh.
Tahalul thani bermaksud semua larangan ihram boleh dilakukan apabila jemaah haji berkenaan selesai mengerjakan semua amalan berikut iaitu melontar jamrah kubra, tawaf rukun dan sa’ie, dan bercukur atau bergunting.
Rukun terakhir dalam mengerjakan haji adalah tertib iaitu mengikuti segala susunan dalam rukun haji.
Ia termasuk mendahulukan niat ihram daripada rukun-rukun yang lain, mendahulukan wukuf daripada tawaf ifadah dan sa’ie berbanding tawaf, sa’ie haji berbanding wukuf dengan syarat telah melakukan tawaf qudum.
Selain itu, bercukur atau menggunting rambut boleh mendahului tawaf jika telah masuk waktunya.
Tabung Haji Sahkan WhatsApp Tular Adalah Palsu
Berbalik kepada mesej tular, benarkah orang ramai sudah boleh membuat permohonan rayuan untuk mengerjakan haji bagi musim 2023?
Tabung Haji telah mengeluarkan kenyataan ringkas di laman Facebook mereka dan mengesahkan bahawa mesej menerusi WhatsApp itu adalah palsu.
“Pendeposit TH dinasihati untuk sentiasa berwaspada dengan panggilan atau pesanan ringkas daripada nombor tidak dikenali yang meminta maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor Akaun TH.
“Untuk aduan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” menurut Tabung Haji.
Menerusi hantaran Facebook itu juga, Tabung Haji tampil menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan kebanyakan pendeposit dan mengesahkan bahawa mereka masih belum membuka sebarang permohonan rayuan pelaksanaan ibadah haji pada musim hadapan.
Justeru, Tabung Haji menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan pengesahan sama ada rayuan haji sudah mula dibuka atau sebaliknya.
Dakwaan Berulang
Tabung Haji sebelum ini pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan media antaranya pada 2017 susulan timbul dakwaan menerusi WhatsApp menyatakan mereka sudah membuka permohonan rayuan mengerjakan haji.
Penipuan Haji Bukan Perkara Baharu
Saban tahun, Tabung Haji sentiasa mengeluarkan peringatan dan nasihat kepada rakyat Malaysia yang berhasrat mengerjakan haji memandangkan kes penipuan haji berlaku hampir setiap tahun sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit.
Penipuan menggunakan visa furada oleh agensi pelancongan swasta umpamanya, menyebabkan kebanyakan jemaah haji terpaksa melupakan hasrat mereka untuk berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam berkenaan.
Visa Furada merupakan satu kuota yang dikurniakan Kedutaan Arab Saudi kepada individu di Malaysia dan mana-mana negara yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi.
Visa berkenaan yang merupakan kuota bukan rasmi daripada Tabung Haji bukanlah jaminan bahawa seseorang individu itu boleh mengerjakan haji kerana ia bersifat kontroversi.
Dipetik menerusi Free Malaysia Today, pembimbing umrah Az Zuha Group Travel, Abu Bakr Mohd Sidek memaklumkan Visa Furada bersifat kontroversi kerana melibatkan visa yang belum diluluskan oleh kerajaan Arab Saudi, tiket penerbangan yang sangat terhad, pemberitahuan tarikh lulus pada saat akhir untuk masuk Arab Saudi dan pengurusan di Tanah Suci Makkah.
Terdapat pelbagai laporan yang disiarkan oleh media tempatan berhubung visa furada antaranya Berita Harian, Astro Awani, Kosmo dan Berita RTM.
KESIMPULAN
"Panggilan haji, telah tiba lagi,
Menunaikan ibadah, panggilan Baitullah,”
Bait-bait lagu berjudul ‘Panggilan Haji’ yang dinyanyikan oleh kumpulan Hijjaz ini pasti tidak asing buat kebanyakan masyarakat Islam.
Bagi mereka yang telah selesai menunaikan haji, kenangan indah pasti terpahat di hati manakala mereka yang belum ‘dipanggil’ pula setia menanti.
Namun, dalam keterujaan menunggu giliran untuk menjadi tetamu di tanah suci, jangan kita terburu-buru mempercayai sebarang informasi berkaitan haji.
Dapatkan pengesahan daripada pihak yang diberi kuasa seperti Tabung Haji agar tidak berputih mata (rugi, terlepas peluang, tidak mendapat apa-apa yang diingini) di kemudian hari.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Pengertian umrah dan haji.Diterbitkan oleh umrahhajitravel.com
Kecoh di KLIA, lebih 400 jemaah haji visa furada terkandas.Diterbitkan oleh Astro Awani
Jemaah haji furada terkandas, kerugian cecah RM2.37 juta.Diterbitkan oleh Berita Harian
Isu terkandas, jemaah haji terima semula duit pakej.Diterbitkan oleh Kosmo
Haji furada: “Bukan tipu kami, tapi mereka tipu Allah” - Mangsa.Diterbitkan oleh Berita RTM
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.