+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Kilang Bihun Di Sebelah Kandang Khinzir Yang Diarah Tutup Namun Beroperasi Semula Adalah Isu Lama Yang Tular Semula

Benarkah...

Sebuah kilang bihun yang diarah tutup pada 2007 kerana beroperasi di sebelah kandang khinzir telah beroperasi semula.

Sumber : WhatsApp, Facebook / Disember 2022

Hasil

Isu berkenaan adalah berita lama yang kembali ditularkan.

20/12/2022 12:22 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menerusi WhatsApp mengenai satu syarikat pengeluar bihun yang ditarik lesen oleh pihak berkuasa tempatan pada 2007 kerana beroperasi di sebelah kandang khinzir, telah beroperasi semula.
  • Isu berkenaan adalah berita lama yang pernah tular pada 2007.
  • KBBI Sdn Bhd dan Eka Noodles Berhad adalah dua pengeluar bihun di negara ini, namun dimiliki oleh syarikat dan kilang yang berbeza.
  • Eka Noodles Berhad merupakan pemegang sijil halal Jakim yang sah manakala KBBI Sdn Bhd tidak pernah mendapat sijil pengesahan halal daripada Jakim.


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Selain nasi, masyarakat Malaysia juga sukakan mi.

Mi yang menjadi kegemaran ramai antaranya adalah bihun.

Bihun kerap menjadi menu hidangan pada setiap masa terutama ketika sarapan pagi dan minum petang.

Terdapat banyak syarikat pengeluar bihun di negara ini.

Banyak produk bihun di pasaran yang mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) namun banyak juga yang belum dan tidak disahkan halal.

Produk bihun yang tidak mendapat sijil perakuan halal namun dijual secara bebas di pasaran tempatan sentiasa menjadi isu hangat.

Syarikat pengeluar bihun di negara ini bukan sahaja perlu menghasilkan bihun yang menetapi kriteria halal oleh Jakim tetapi juga harus mementingkan aspek kebersihan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu dakwaan di WhatsApp mendakwa sebuah kilang pengeluar bihun, Kilang Bihun Beras Indah (KBBI) yang sebelum ini diarah tutup pada 2007 oleh pihak berkuasa kerana beroperasi di sebelah ladang khinzir, kembali memulakan operasi perniagaannya.

Menerusi mesej itu, dikatakan syarikat terbabit yang sebelum ini dilaporkan mengabaikan aspek kebersihan telah menukar nama syarikat kepada KBB Resources Berhad.

Mesej berkenaan antara lain turut menyenaraikan empat nama individu yang merupakan pemilik KBBI dan mereka dikatakan pemilik sama yang mengusahakan ladang ternakan khinzir yang terletak bersebelahan kilang bihun itu.

Pemilik KBBI dikatakan turut mempunyai beberapa anak syarikat yang beroperasi di pelbagai negeri.

Menurut mesej itu, anak-anak syarikat mereka adalah Kilang Bihun Bersatu Sdn Bhd, Kilang Bihun Bersatu (East Malaysia) Sdn Bhd, Kilang Bihun Bersatu Beras Indah Sdn Bhd, Bersatu Noodles Industries, Twenty-Twenty Food Industries Sdn Bhd dan Rasasayang Food Industries Sdn Bhd.

Turut disenaraikan 31 jenis jenama bihun dan empat jenama laksa yang dimiliki oleh KBBI yang tidak halal dan mencadangkan supaya umat Islam membeli beberapa jenis bihun keluaran syarikat bumiputera seperti Faiza, HPA, Jasmine dan beras Era.

 


Sumber: kilangbihunberasindah.com

 

APA YANG KAMI TEMUI

Memandangkan kandungan mesej berkenaan agak panjang, kami memeriksa terlebih dahulu setiap baris kandungan dalam mesej berkenaan bagi mendapatkan kesahihan dakwaan tersebut.

Kami menemukan pelbagai laporan antaranya daripada media arus perdana dan laman blog yang mendedahkan mengenai kisah di sebalik mesej berkenaan menerusi aplikasi Wayback Machine.

 

KBBI Telah Diarah Tutup Dan Tidak Lagi Beroperasi

Dakwaan pertama menyatakan kilang KBBI kembali beroperasi sebenarnya tidak tepat memandangkan arahan penutupan telah dikeluarkan ke atas kilang berkenaan pada 2007 oleh pihak berkuasa tempatan kerana mengabaikan aspek kebersihan selain beroperasi di sebelah kandang khinzir.

Sebuah laman blog, sozcyili.blogspot.com menerusi satu artikel yang diterbitkan pada 2013 mendedahkan kilang KBBI yang didirikan di sebelah ladang khinzir di atas tanah seluas di antara empat hingga lima hektar di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang telah menukar operasi mereka ke lokasi lain yang berhampiran dengan lokasi asal.

Tindakan mereka bagaimanapun berjaya dikesan pihak berkuasa tempatan yang mengarahkan kilang mereka ditutup semula.

Selain itu, artikel yang dipetik menerusi laman blog berkenaan mendedahkan bahawa pengurusan KBBI pernah memohon sijil pengesahan halal daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, namun ditolak kerana gagal mematuhi beberapa kriteria ditetapkan termasuk aspek kebersihan.

Semakan kami di dalam laman blog berkenaan sebenarnya diambil daripada sebuah lagi laman blog www.ridzalmersing.info.

 

KBBI Dan KBB Resources Berhad Adalah Syarikat Berbeza

Dakwaan kedua dalam mesej berkenaan yang mendakwa KBBI mempunyai lima anak syarikat di lokasi berbeza di beberapa negeri juga tidak benar kerana kesemua anak syarikat berkenaan sebenarnya dimiliki KBB Resources Berhad yang kini dikenali sebagai Eka Noodles Berhad.

Semakan kami turut mendapati KBBI dan KBB Resources Berhad dimiliki oleh individu yang berbeza, selain lokasi operasi kilang masing-masing terletak di dua negeri yang berlainan.

KBBI beroperasi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan diasaskan oleh Un Pia Hai dan beroperasi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

EKA Noodles Berhad atau sebelum ini dikenali KBB Resources Berhad pula dimiliki oleh beberapa individu lain dan terletak di kawasan perindustrian Kuala Ketil, Kedah.

 


Sumber: sozcyili.blogspot.com

 


Sumber: www.ridzalmersing.info

 

Pengesahan Perbezaan Entiti Syarikat Oleh Jakim

Jakim menerusi hantaran di Facebook pada 2016 menjelaskan KBBI dan KBB Resources Berhad adalah dua entiti perniagaan yang berbeza walaupun mereka menjalankan perniagaan bihun dan laksa.

Menerusi hantaran berkenaan, Jakim memaklumkan bahawa isu status halal produk dan lokasi KBBI beroperasi telah mula disebarkan sejak 2008 dan sentiasa ditularkan.

“Pihak kami ingin menjelaskan bahawa Kilang Bihun Bersatu Sdn Bhd dan Kilang Bihun Beras Indah adalah 2 kilang yang berbeza pemiliknya. Kilang Bihun Bersatu Sdn Bhd adalah merupakan anak syarikat di bawah KBB Resources dan merupakan pemegang sijil halal Malaysia yang sah.

“Prosedur pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar Syariah dan juga Teknologi Makanan,” jelas Jakim.

 


Sumber: Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM

 

Kami turut menemukan sebuah laman blog, myjakim.blogspot.com yang mendedahkan mengenai aktiviti syarikat KBBI sehingga membawa kepada serbuan oleh pihak berkuasa tempatan pada 2007 kerana mengabaikan aspek kebersihan termasuk beroperasi di sebelah ladang khinzir.

Laman blog berkenaan turut mendakwa bahawa pada 2005, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang pernah membuat serbuan ke atas KBBI pada 2005 namun ia masih beroperasi seperti biasa.

 


Sumber: myjakim.blogspot.com

 

KBB Resources Berhad Nafi Beroperasi di Sebelah Ladang Khinzir

Syarikat KBB Resources Berhad pernah mengadakan sidang media pada 2013 dan menafikan kilang mereka beroperasi di sebelah ladang khinzir seperti mana yang ditularkan dalam mesej tersebut.

Dipetik menerusi laporan Sinar Harian dan disiarkan oleh sebuah laman blog, kbbri.blogspot.com, pegawai khas Pengerusi KBB Berhad Ahmad Zaffry Sulaiman mengesahkan semua kilang pemprosesan berada di kawasan industri dan tidak berada dalam mahupun berdekatan kandang babi seperti yang didakwa.

Beliau turut memaklumkan KBB Resources Berhad mempunyai tujuh kilang iaitu tiga di Kedah, satu di Johor dan tiga di Sarawak.

“Jadi, dakwaan mengatakan KBB mempunyai kilang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor Seberang Perai adalah tidak benar.

“Tambahan pula, pemprosesan bihun di Kampung Selamat itu bukan berada bawah KBB. Ia sebuah syarikat yang lain,” katanya.

 


Sumber: kbbri.blogspot.com

 

Selain itu, pada 2020, pemilik KBB Resources Berhad Datuk Erwan Tahir yang dipetik menerusi suara merdeka menegaskan beliau bukan pemilik KBBI Sdn Bhd sambil memaklumkan isu yang sama telah tular sejak 2013.

“Saya tidak pernah memiliki syarikat Kilang Bihun Beras Indah (KBBI) sepertimana yang ditularkan itu dan ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan fitnah semata-mata terhadap diri dan nama baik saya serta syarikat saya.

“Berita ini telah viral sejak dari tahun 2013 lagi dan saya dapati cerita ini berulang kali setiap tahun. Oleh itu saya dan pegawai saya telahpun membuat laporan Polis dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) pada masa itu,” jelasnya.

 

Dakwaan Sama Tular Di Facebook

Walaupun isu berkenaan telah tular sejak 2007, semakan kami di Facebook mendapati banyak pengguna laman sosial itu masih memuat naik hantaran berhubung perkara sama pada tahun ini.

Anda boleh baca antaranya di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan isu ini adalah tidak benar memandangkan ia merupakan isu lama yang tular sejak 2007, malahan pihak berkuasa tempatan telah mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat.

Umat Islam bukan sahaja digalakkan untuk mendapatkan makanan halal tetapi juga memastikan kesahihan sesuatu perkara sebelum menyebarkannya.

Kesilapan berkongsi fakta terutama berkaitan perniagaan makanan bukan sahaja boleh memberi kesan kepada perniagaan tersebut malahan memberi imej negatif kepada syarikat terbabit.

Jangan disebabkan keghairahan kita berkongsi maklumat yang tidak benar telah ‘menutup periuk nasi’ orang lain.

-- MYCHECK. MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Jakim

  2. laman sesawang KBBI Sdn Bhd

  3. Myjakim.blogspot.com

  4. www.ridzalmersing.info

  5. Kbbri.blogspot.com

  6. Pemilik kilang bihun jelaskan fitnah.Diterbitkan oleh suaramerdeka.com.my

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.