+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Data Pengguna WhatsApp Dijual Di Platform Antarabangsa Sebenarnya Kes Kebocoran Maklumat Pengguna Facebook Pada 2019

Benarkah...

Sebanyak 11.6 juta data pengguna WhatsApp di Malaysia dijual di platform antarabangsa.

Sumber : WhatsApp, Twitter / November 2022

Hasil

Siasatan pihak Yayasan Digital Malaysia (YDM) mendapati data pengguna WhatsApp yang didakwa bocor dan dijual adalah data ‘kitar semula’ yang diperoleh daripada akaun pengguna Facebook. 

21/12/2022 12:14 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menyatakan sebanyak 11.6 juta data pengguna WhatsApp di Malaysia dijual di laman penggodam.
  • Meta iaitu syarikat pemilik platform WhatsApp menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas kerana pihaknya tidak mengesan sebarang bukti berlakunya kebocoran data pengguna.
  • Siasatan pihak YDM mengesahkan bahawa data yang didedahkan itu adalah kes kebocoran data pengguna Facebook yang berlaku pada 2019.
  • Terdapat pihak yang telah memanipulasi data kes pengguna Facebook tersebut dan mendakwa ia isu baharu, kononnya data itu adalah milik pengguna platform WhatsApp.


Sumber: Canva

 

LATAR BELAKANG

Bercerita mengenai kecanggihan teknologi komunikasi masa kini, WhatsApp boleh dikatakan antara aplikasi yang 'wajib' dimuat turun (install) di telefon pintar masing-masing.

WhatsApp yang bermula sebagai alternatif kepada sistem pesanan ringkas (SMS) itu dilihat banyak membantu memudahkan komunikasi tanpa sempadan yang membolehkan penghantaran dan penerimaan pelbagai  bentuk media seperti teks, foto, video, dokumen, lokasi serta panggilan suara.

Tidak dapat dinafikan sesetengah data peribadi pengguna dikongsi menerusi WhatsApp, malah dalam lain-lain perkara seperti pekerjaan, pembelajaran, perniagaan juga ramai yang menggunakan aplikasi tersebut.

Para pengguna boleh berkomunikasi di mana-mana sahaja di dunia tanpa halangan.

Sehingga kini dianggarkan lebih daripada 2 bilion orang di lebih 180 negara menggunakan WhatsApp untuk kekal berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga, bila-bila masa dan di mana sahaja.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu mesej menerusi WhatsApp meminta semakan terhadap dakwaan sebanyak 500 juta rekod data WhatsApp pengguna telah dijual.

Perkara itu melibatkan data pengguna daripada lebih 80 buah negara, termasuk Malaysia.

Mengikut angka yang dinyatakan, hampir 11.6 juta data pengguna yang turut dijual dikatakan adalah dari Malaysia.

 


Sumber: WhatsApp

 

Pastinya dakwaan ini menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan orang ramai.

Namun apakah fakta sebenar di sebalik dakwaan ini? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, My Check membuat carian rawak berhubung tajuk berita yang ditularkan menerusi enjin carian Google, dengan menggunakan kata kunci ‘data pengguna whatsapp dijual’.

Hasil carian menunjukkan banyak maklumat yang sepadan ditemukan berhubung dakwaan tersebut seperti rajah di bawah.

 


Sumber: Google

 

Maklumat Daripada Forum Penggodam Terkemuka?

Berdasarkan carian rawak tersebut, kami turut menjumpai pautan oleh portal Amanz seperti dakwaan yang kami terima menerusi WhatsApp daripada orang awam.

Menurut portal itu, maklumat berkenaan adalah daripada satu forum penggodam yang terkemuka, namun tidak diketahui bagaimana data itu didapati atau dihimpunkan.

Difahamkan penggodam tersebut ada menyatakan melalui forum berkaitan bahawa data yang dijual tersebut adalah melibatkan pengguna aktif WhatsApp.

Laporan itu juga menjelaskan bahawa sebelum ini sudah beberapa kali data bersaiz besar dijual dengan cara penggodam menghimpun data menggunakan kaedah 'scrapping' melalui sejumlah atau (beberapa) sumber tanpa perlu mengodam sistem berkaitan.

MyCheck cuba meneliti sumber laporan tersebut namun tidak dinyatakan.

Apabila ini berlaku (sumber maklumat laporan) tidak disertakan, kemungkinan besar maklumat yang dilaporkan tidak tepat, luar konteks atau tidak benar.

 

Sumber Laporan Cybernews

Seterusnya, MyCheck cuba meneliti setiap pautan lain yang juga melaporkan berkisar dakwaan sama.

Tujuannya untuk mengetahui sama ada konteks laporan pihak lain serupa atau tidak seperti yang terdapat dalam laporan oleh portal Amanz.

Menurut laporan portal berita semasa Fuzz.my, seorang individu daripada forum komuniti penggodam terkenal mendedahkan dia telah menjual 487 juta pangkalan data pengguna WhatsApp yang melibatkan 84 buah negara.

Rujuk gambar di bawah untuk melihat pendedahan seorang pengguna forum berkenaan.

 


Sumber: Fuzz.my

 

Bagaimanapun, individu itu tidak dapat dikenal pasti kerana maklumat dirinya telah disembunyikan.

Dia juga tidak mendedahkan bagaimana data tersebut dikumpul tetapi hanya menyatakan yang kesemua data tersebut adalah milik pengguna aktif WhatsApp.

Kami turut mengesan sumber yang digunakan oleh Fuzz.my dipetik daripada portal antarabangsa Cybernews.

MyCheck seterusnya cuba menjejaki sumber lain untuk mengumpul lebih banyak maklumat.

Namun apa yang kami dapati ialah hampir semua pautan portal yang kami temukan melaporkan berdasarkan sumber daripada Cybernews.

Ini menunjukkan laporan Amanz ada asasnya.

Berikut merupakan gambar data pengguna WhatsApp Malaysia yang didakwa dijual seperti dilaporkan Cybernews.

 


Sumber: Cybernews

 

Penafian Pihak Meta

Seterusnya kami cuba mencari sekiranya terdapat maklum balas daripada pihak berwajib berhubung dakwaan ini.

Carian kami menjumpai laporan yang dikeluarkan oleh portal dari Indonesia iaitu Kompas.com.

Menurut laporan itu,  pihak Meta menyifatkan dakwaan seperti dilapor Cybernews tidak berasas.

Sebagai rekod, Meta merupakan syarikat gergasi media sosial yang dijenamakan semula, yang sebelumnya dikenali sebagai Facebook.

Difahamkan fokus Meta yang juga pemilik platform Instagram dan WhatsApp, adalah untuk membantu membina metaverse dan membolehkan orang ramai saling berhubung, mencari komuniti dan mengembangkan perniagaan.

Berbalik kepada respons Meta terhadap dakwaan penjualan data WhatsApp, pihaknya menegaskan tiada bukti yang dikesan oleh platform WhatsApp berkenaan berlakunya kebocoran data seperti didakwa.

Pihak Meta juga menjelaskan syarikat itu tidak mempunyai maklumat tentang bagaimana cara data-data tersebut dikumpulkan.

Tambahan pula banyak cara dan platform lain yang boleh digunakan pihak tidak bertanggungjawab itu untuk menceroboh mana-mana ruangan siber.

Bagaimanapun pihaknya akan terus memantau dan menyiasat isu ini.

Meta memberi jaminan syarikatnya serius menangani permasalahan berkaitan kebocoran data jika benar ia berlaku dan melibatkan platfrom WhatsApp seperti yang didakwa.

 

Siasatan YDM

Selain itu kami turut menemukan penjelasan daripada YDM yang menyangkal dakwaan tersebut.

Menurut laporan portal berita The Star, siasatan YDM yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendapati bahawa data lebih 11.6 juta pengguna WhatsApp Malaysia yang didakwa telah dijual dalam talian adalah kes lama yang sudah berlaku sebelum ini serta sudah diselesaikan pihak-pihak berwajib.

Hasil penyelidikan YDM menunjukkan pangkalan data itu datang daripada kebocoran data Facebook yang berlaku pada 2019.

Laporan itu turut memetik Ketua Inovasi Digital YDM Mohd Fazli Azran yang menjelaskan pihaknya melakukan proses silang data melibatkan maklumat dakwaan yang tersebar baru-baru ini dengan merujuk data kebocoran Facebook 2019 sebelum ini dan mendapati data tersebut adalah sama.

Menurut Mohd Fazli, walaupun data Facebook asal yang bocor pada 2019 termasuk butiran seperti nama paparan Facebook, nombor telefon, jantina, negara dan pekerjaan, namun versi daripada pemuat naik yang menyebarkan dakwaan serta mengaitkan platform WhatsApp ini hanya mengandungi data nombor telefon.

Difahamkan juga isu kebocoran data pengguna Facebook yang berlaku pada 2019 itu sudah selesai apabila Meta didenda €265 juta (RM1.22 bilion) kerana gagal menghalang insiden kebocoran data Facebook pada tahun berkenaan.

Penyebaran kebocoran data ini juga dipercayai mudah untuk diulang sebar kerana setiap maklumat dan data berkenaan tersedia di forum penggodam secara percuma sejak tahun lepas.

 

Ketirisan Data Pengguna Facebook Pada 2019 ‘Dikitar Semula’

Seterusnya MyCheck cuba mencari maklumat berkenaan isu kebocoran data yang dihadapi oleh Facebook tahun-tahun sebelumnya.

Ternyata memang ia berlaku seperti dilaporkan portal berita Utusan pada 2021.

Facebook Inc. menjelaskan kejadian kebocoran data peribadi yang menjejaskan 530 juta pengguna pada September 2019, berpunca daripada penyalahgunaan fungsi import kenalan.

Syarikat gergasi tersebut juga menegaskan pihaknya telah menyelesaikan isu berkenaan selepas mengenal pasti punca masalah ketika itu.

Selain itu portal Ismaweb turut melaporkan bahawa Facebook pernah didenda AS$690,000 akibat penyalahgunaan data pengguna.

Syarikat gergasi media sosial itu difahamkan telah disaman oleh seorang wartawan yang mendakwa data miliknya serta sejuta pengguna lain dikongsikan oleh Facebook dan Cambridge Analytica.

Pada 2019, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat United Kingdom (ICO) mendedahkan bahawa antara tahun 2007 dan 2014, Facebook memproses data penggunanya dengan membenarkan pihak ketiga, seperti Cambridge Analytica mengakses maklumat peribadi penggunanya.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semua maklumat yang telah kami kumpul, ternyata dakwaan menyatakan data pengguna WhatsApp dijual di laman penggodam adalah maklumat palsu.

Hal ini dibangkitkan pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan data yang bocor menerusi platform Facebook dan ‘dikitar semula’ baru-baru ini.

Data daripada isu kebocoran maklumat Facebook itu didakwa diperoleh daripada data pengguna aplikasi WhatsApp yang baru terjadi tahun ini.

Secara tidak langsung, isu ini memberi impak kepada masyarakat umum yang rata-ratanya menggunakan WhatsApp di telefon pintar masing-masing untuk berhubung.

Isu kebocoran data ini mendapat perhatian ramai pihak dan dibimbangi kerana ia berisiko untuk mengundang masalah penipuan dalam talian atau scammer melibatkan aplikasi perbankan serta maklumat peribadi lain milik pengguna.

Nasihat kami di MyCheck, apabila menerima sebarang maklumat yang membimbangkan, jangan cepat panik serta terus menyebarkan kepada orang lain.

Dalam dunia siber yang berkembang pesat hari ini, pelbagai tindakan atau bentuk penipuan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan panik dalam kalangan orang ramai.

Sebaliknya cuba dapatkan kesahihan dengan melakukan semakan fakta asas dengan membuat carian rawak menggunakan enjin carian Google.

Sebarkan hanya jika anda pasti maklumat tersebut benar.

Paling penting jangan mudah untuk menekan pautan-pautan yang mencurigakan bagi mengelakkan anda menjadi mangsa penipuan atau manipulasi oleh penjenayah siber.

Sekiranya anda masih tidak pasti, ingat jangan sebarkan!

Hantarkan kemusykilan anda kepada kami di MyCheck dan kami akan membantu membuat semakan bagi mendapatkan kesahihan sesuatu dakwaan itu.

Caranya anda boleh mengisi borang semakan fakta di sini, atau berhubung terus dengan kami menerusi aplikasi WhatsApp.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Lebih 11 juta data pengguna WhatsApp di Malaysia dijual oleh penggodam - FUZZ.MY 

  2. Data pengguna WhatsApp Malaysia dijual di platform antarabangsa - MCCA 

  3. 11.6 Juta Data Pengguna WhatsApp Malaysia Didakwa Sedia Dijual 

  4. Kebocoran Data WhatsApp: 500 Juta Rekod Pengguna Telah Dijual, 11 juta nombor telefon Adalah Malaysia – Factory Mobile 

  5. 500 juta data pengguna WhatsApp didagang, lebih 11 juta daripada Malaysia 

  6. Meta Bantah Data Pengguna WhatsApp Bocor dan Dijual Online Halaman all - Kompas.com 

  7. Ketirisan : Data Didakwa Hampir 500 Juta Pengguna WhatsApp Dijual – 11 Juta Daripadanya Dikatakan Pengguna Malaysia – Amanz  

  8. Data WhatsApp 11.6 juta rakyat Malaysia dijual dalam talian adalah kes lama - TechNave BM 

  9. Facebook Beli WhatsApp - Calvin Kizana Ditunjuk Jadi Bos WhatsApp Indonesia - merdeka tag - page 1 

  10. Seseorang Didakwa Menjual 500 Juta Data Pengguna WhatsApp, Malaysia Turut Terjejas 

  11. 4 Juta Data WhatsApp Pengguna Indonesia Dijual, Pengamat: Valid - Tekno Tempo.co 

  12. WhatsApp data leaked: 500 million user records for sale online | Cybernews 

  13. Data 530 Juta Pengguna Facebook Terbocor Akibat Penyalahgunaan Ciri Pada Tahun 2019 

  14. Data 87 juta pengguna FB bocor

  15. Facebook disaman dedah data peribadi pengguna pada pihak ketiga - ismaweb 

  16. Lebih 11 juta data pengguna Facebook di Malaysia bocor, ia termasuk nombor telefon dan lokasi - SoyaCincau.com

  17. 11 Juta Data Peribadi Pengguna Facebook Di Malaysia Bocor, Boleh Diakses Secara Percuma 

  18. Data 530 juta pengguna Facebook bocor - Utusan Malaysia 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.