Kenaikan tangga gaji Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diumumkan dalam masa terdekat seperti yang tertera pada satu poster tular yang memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber : WhatsApp / Disember 2022
Jabatan Perdana Menteri (JPM) sahkan poster itu adalah palsu.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
PDRM adalah salah satu perkhidmatan terbesar dan signifikan di Malaysia selari dengan fungsinya yang menjaga kedaulatan negara.
Berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru, amanah yang dibawa PDRM bukan sesuatu yang mudah.
Aman dan tenteramnya negara kita hari ini, dek jasa anggota PDRM sehingga ada antara mereka ‘tumbang’ berkorban nyawa.
Pengorbanan anggota PDRM sudah tentu tidak terbalas biar dengan segunung intan permata namun masyarakat sentiasa berharap keringat wira yang menjaga keamanan negara ini dibayar setimpal.
Justeru, sebarang pengumuman berkaitan kenaikan gaji anggota PDRM sesuatu yang amat ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh banyak pihak.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu tangkap layar menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan tajuk berita bertulis ‘PM - Kenaikan tangga gaji PDRM akan diumumkan dalam masa terdekat’.
Pada poster itu terdapat gambar Anwar berserta logo jata negara.
Di bahagian bawah poster pula tertera. ‘Maklumat lanjut sila layari www.salamkerjaya.com’.
Namun, sahihkah dakwaan itu? MyCheck semak terlebih dahulu.
APA YANG KAMI TEMUI
Laman Sesawang salamkerjaya.com
Langkah pertama MyCheck adalah meneliti poster tular.
Ayat ‘Maklumat lanjut sila layari: www.salamkerjaya.com’ yang tertera di bahagian bawah poster menarik perhatian kami.
Menerusi enjin Google, kami terus mencari laman sesawang itu.
Kami mendapati laman sesawang itu memang wujud.
Ia merupakan sebuah portal yang menghebahkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.
Kami kemudian klik di bahagian carian (search) yang disediakan bagi mencari maklumat berkenaan kenaikan tangga gaji PDRM.
Hasilnya, kami tidak menemukan sebarang maklumat sepadan yang berkaitan dengan kenaikan tangga gaji PDRM itu.
Malah, kami mendapati portal tersebut bukanlah daripada laman sesawang rasmi mana-mana pihak yang berkaitan atau pihak berwajib.
Tiada Sebarang Berita Mengenai Kenaikan Gaji Dilaporkan Media Arus Perdana Atau Portal Rasmi Kerajaan
MyCheck kemudian melakukan semakan lanjut di Google, namun tidak menemukan sebarang berita atau maklumat sahih berhubung kenaikan tangga gaji PDRM yang bakal diumumkan seperti poster tular.
Dimuat Naik Di Facebook
Namun, bagaimana pula poster itu tular di media sosial?
Kami beralih pula ke media sosial bagi mendapatkan maklumat poster berkenaan, memandangkan poster itu tular di platform media sosial.
MyCheck membuat carian di Facebook dengan menggunakan kata kunci ‘kenaikan tangga gaji PDRM’.
Apabila kami klik di bahagian gambar, kami dapati poster tersebut telah dikongsi oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Jason King pada 27 November 2022.
Kami klik pula profil Facebook Jason King, bagi mengenal pasti latar belakang individu yang berkongsi poster tersebut.
Kami dapati beliau adalah pengguna Facebook yang sering memuat naik hantaran peribadinya dan bukanlah daripada saluran rasmi.
Poster Telah Disunting Dan Diletakkan Gambar Anwar Yang Dirakam Pada 2020
Bagi mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci, MyCheck cuba mencari gambar asal poster tersebut menerusi carian imej berbalik di Google Lens.
Kami berjaya menemukan gambar Anwar yang sama seperti yang terpapar pada poster tular.
Namun, berdasarkan tarikh tertera, ia merupakan gambar lama yang dirakamkan dalam satu sidang media pada 23 September 2020.
Menurut laporan MalaysiaToday bertarikh 23 September 2020, sidang media itu adalah mengenai sokongan dan majoriti yang diperoleh Anwar untuk membentuk kerajaan pada ketika itu.
Gambar sama dan tarikh yang tertera jelas menunjukkan ia gambar ‘kitar semula’.
Ini bermakna, ada individu telah mengambil gambar itu dan menyuntingnya di poster tular kononnya ia sidang media baharu oleh Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.
Suntingan Poster Seperti Hantaran Laporan Berita BERNAMA
Penelitian MyCheck juga mendapati templat poster tular itu seakan sama dengan templat berita yang dimuat naik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di laman Instagram rasmi portal berita itu, bernamaofficial.
Jika sekali imbas, templat yang seakan sama itu boleh mengelirukan pengguna media sosial yang mungkin beranggapan poster tular itu adalah sahih kerana diterbitkan oleh media arus perdana.
Kenyataan Rasmi JPM
Kami menemukan kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Perdana Menteri yang menafikan bahawa poster berhubung kenaikan tangga gaji PDRM akan diumumkan dalam masa terdekat adalah palsu.
JPM turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat tidak pasti atau palsu.
Semakan Fakta Sebenarnya.my
Portal semakan fakta Sebenarnya.my turut melaporkan bahawa poster tular di media sosial itu adalah palsu.
KESIMPULAN
Kami mengklasifikasikan dakwaan tersebut sebagai tidak benar.
JPM telah menafikan poster tular itu adalah palsu, bahkan poster berkenaan jelas telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan gambar lama Anwar yang dirakamkan pada 2020.
Selari dengan peralihan teknologi dan dunia di hujung jari, masyarakat kini semakin celik dan pantas menggunakan peluang yang ada untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Ia termasuklah memanipulasi sesuatu maklumat menggunakan platform dalam talian untuk kepentingan sendiri tanpa menyedari ia boleh mencetuskan implikasi negatif kepada orang ramai sekali gus menyebabkan lambakan berita palsu di ruang maya.
Pesan kami di MyCheck, janganlah kita menjadi ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua yang bermaksud membuat kesilapan sehingga menyebabkan orang lain menerima akibatnya.
Sebaliknya, jadilah individu yang bertanggungjawab dan beretika agar dapat memberi kebaikan kepada masyarakat kerana sebaik-baik manusia adalah individu yang memberi manfaat kepada orang lain.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.