+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video Tular Kejadian Banjir Lumpur BUKAN Berlaku Di Lebuhraya Pan Borneo, Sarawak Tetapi Di Terengganu

Benarkah...

Banjir lumpur berlaku di Lebuhraya Pan Borneo (LPB) kawasan Bukit Begunan, Sarawak.

Sumber : WhatsApp / Disember 2022

Hasil

Kejadian itu sebenarnya berlaku di laluan Ajil Ke Bukit Besi, Terengganu.

24/12/2022 07:34 PM

SEKILAS FAKTA 

  • Tular video kejadian banjir lumpur didakwa berlaku di Lebuhraya Pan Borneo di kawasan Bukit Begunan, Sarawak.
  • Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengesahkan bahawa tiada sebarang kejadian banjir lumpur yang berlaku di kawasan berkenaan.
  • Kejadian sebenar berlaku di sebuah lebuh raya laluan Ajil ke Bukit Besi di Terengganu, Semenanjung Malaysia.


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Hujan lebat berterusan di negeri-negeri di Pantai Timur sejak beberapa hari lepas menyebabkan beberapa negeri dilanda banjir.

Malah, sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh berterusan pada bulan November hingga Mac depan.

Baru-baru ini, peningkatan jumlah negeri yang dilanda banjir meningkat.

Antara negeri yang terjejas adalah Terengganu, Kelantan, Selangor, Johor, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima tangkap layar berhubung video banjir lumpur yang didakwa berlaku di kawasan Bukit Begunan, LPB Sarawak.

Kawasan lebuh raya itu dipercayai dilimpahi air hujan yang berterusan yang mana pada masa sama turut berlaku tanah runtuh sehingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur.

Video tular tersebut dipercayai disebarkan kepada kumpulan (group) komuniti di Sarawak melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial seperti Facebook.

Perkara itu difahamkan telah mencetuskan panik kepada penduduk setempat ekoran ramai pengguna jalan raya menggunakan lebuh raya berkenaan.

Menjelang Hari Krismas, pastinya setiap keluarga atau individu yang menyambut perayaan tersebut seperti di Sarawak ingin pulang ke kampung atau destinasi pilihan mereka bagi meraikannya.

Namun, benarkah video tular itu?  MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Lebuhraya Pan Borneo, Sarawak

LPB di Sarawak adalah lebuh raya yang digunakan orang ramai sebagai perhubungan antara kawasan luar bandar dan bandar.

Pada 2015, permulaan pembinaan LPB fasa Sarawak iaitu idea yang dicetuskan pada 1960an dapat direalisasikan yang mana beberapa seksyen dalam fasa pertama LPB dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

Memetik laporan Suara Sarawak, hanya berbaki beberapa seksyen lagi iaitu Bukit Begunan, Spaoh, Lambir dan Sarikei dijangka siap pada tahun depan.

Projek bernilai RM16.117 bilion itu melibatkan keseluruhan 11 pakej kerja sepanjang 786.41 kilometer dari Telok Melano ke Miri.

Pembinaan itu bagi memperkukuh dan memperluaskan jaringan jalan raya sedia ada dari Telok Melano, Sematan seterusnya ke bandar-bandar lain di Sarawak seperti di Lundu, Kuching, Bau, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Selangau, Tatau, Bintulu, Simpang Bakun, Miri, hinggalah ke Mengkalap-Merapok/sempadan Sindumin.

Ini bermakna, lebuh raya itu dapat menghubungkan kawasan ke bandar-bandar seperti Kuching dan lain-lain.

 

Carian Video Tular Di Internet

MyCheck membuat semakan dengan meneliti video berkenaan.

Bagi mencari maklumat dengan lebih mendalam, kami memainkan video itu beberapa kali untuk cuba mengenal pasti sebarang tanda yang dapat memberi petunjuk jelas mengenai lokasi lebuh raya tersebut.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana video yang dirakam itu hanya memaparkan limpahan air banjir di atas jalan raya dan beberapa kenderaan yang melalui kawasan itu.

Kawasan jalan raya itu juga seakan sama dengan lebuh raya lain di Malaysia.

Bagi membantu kami membuat semakan dengan lebih lanjut, kami menggunakan carian imej berbalik menggunakan InVid dan mendapati ia adalah video baharu dan kami gagal menemukan sebarang gambar atau video berkait dengannya.

 

Banjir Lumpur Bukan Berlaku Di Bukit Begunan, Sarawak

Oleh kerana video terbabit tular di media sosial, kami beralih pula ke Facebook untuk membuat carian dengan lebih lanjut.

Melalui enjin carian di Facebook, kami menggunakan kata kunci ‘banjir bukit begunan’.

Hasilnya, kami dapati beberapa individu berkongsi tangkap layar hantaran itu dengan menyatakan bahawa video banjir lumpur di lebuh raya Bukit Begunan yang disebarkan baru-baru ini adalah tidak benar.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Adam Hawa berkongsi hantaran mesej dengan rakannya.

Beliau telah bertanyakan rakannya mengenai berita tular yang menyatakan kejadian banjir telah berlaku di kawasan Bukit Begunan.

 


Sumber: Facebook

 

Rakan pengguna Facebook itu telah mengesahkan bahawa tiada kejadian banjir seperti yang didakwa kerana beliau baru sahaja melalui kawasan berkenaan.

Hantaran itu dimuat naik di Facebook Adam Hawa pada 23 Disember lepas.

Kami juga turut menemukan hantaran pengguna Facebook lain yang memaklumkan tiada kejadian banjir berlaku di kawasan itu.

Mereka berkongsi video dan gambar yang dirakam oleh orang awam bagi memaparkan keadaan semasa lebuh raya berkenaan.

 


Sumber: Facebook

 

Antaranya pengguna Facebook Iswandy Isk yang memuat naik gambar keadaan terkini di Bukit Begunan laluan Sri Aman - Kuching.

Antara kapsyen yang ditulis adalah :

“Untuk makluman tiada sebarang kejadian tanah runtuh atau banjir kilat berlaku di Bukit Begunan sepertimana yang ditularkan melalui media sosial sebentar tadi.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita dan gambar diharap menghentikan tindakan sedemikian kerana boleh mengundang kekeliruan dan panik kepada orang ramai dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,”.

Selain itu, Iswandy turut menasihati oang ramai untuk berhubung dengan pusat gerakan bencana atau merujuk laman rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengetahui situasi sebenar.

Menurutnya, MetMalaysia juga telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana pada 9 pagi, 23 Disember (semalam), yang mana beberapa tempat di Sarawak diletakkan dalam situasi bahaya dan tahap waspada.

Anda juga boleh melihat perkongsian orang ramai yang memuat naik keadaan semasa laluan Bukit Begunan itu di sini dan di sini.

 

Kejadian Sebenar Berlaku Di Laluan Ajil Ke Bukit Besi, Terengganu

Berdasarkan makluman terkini orang awam di tempat kejadian, tiada sebarang kejadian banjir di LPB kawasan Bukit Begunan seperti yang tular.

Maka, di manakah lokasi sebenar kejadian banjir itu?

MyCheck cuba mendapatkan video asal yang disebarkan.

Hasil tinjauan kami di media sosial menemukan hantaran video yang dimuat naik di Facebook yang menggunakan nama akaun Seremban macam macam ada.

Kami meneliti video yang dikongsikan itu dan menemukan rakaman yang sama dengan video tular.

Jika anda melihat keseluruhan video tersebut, anda akan menjumpai rakaman banjir yang tular itu pada minit ke 0:28 video.

Ia memaparkan gambaran dan situasi banjir yang sama.

Namun, pada awal minit video terbabit, kami dapat mendengar suara individu di sebalik video itu yang berbunyi “air turun” dan “kepala air turun”.

Berdasarkan bahasa yang digunakan individu tersebut, kami dapati itu bukanlah bahasa yang digunakan oleh orang Sarawak, malah apabila kami mendengar dengan lebih jelas, ia adalah dialek pantai timur orang Semenanjung Malaysia seperti Terengganu.

Ini bermakna video asal berkenaan telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah, kapsyen hantaran tersebut jelas menyatakan insiden banjir lumpur berlaku di Kilometer 393 (arah selatan) antara laluan Ajil ke Bukit Besi, Terengganu. Laluan kontra telah diaktifkan pihak Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Kami juga menemukan hantaran video yang sama dimuat naik oleh portal berita BERNAMA berserta kapsyen yang sama.

 


Sumber : Facebook BERNAMA

 

MalaysiaGazette turut melaporkan bahawa Laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 di Kilometer 393, Ajil-Bukit Besi (arah selatan) di Terengganu mengalami banjir lumpur.

 

Jabatan Kerja Raya Sarawak Sahkan Kejadian Banjir Lumpur Tidak Berlaku Di Mana-Mana Jajaran LPB Sarawak

Kami turut menemukan kenyataan rasmi daripada pihak Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang mengesahkan bahawa kejadian banjir lumpur itu tidak berlaku di mana-mana jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Pihak JKR Sarawak turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat atau video yang tidak sahih agar tidak menimbulkan keresahan atau panik masyarakat.

 


Sumber: Unit Lebuhraya Pan Borneo JKR Sarawak

 

Selain itu kami menjumpai hantaran berita TVS yang menyatakan video tular banjir lumpur di Bukit Begunan adalah palsu.

 


Sumber: TikTok TVS

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan video banjir lumpur di kawasan Bukit Begunan, Sarawak sebagai tidak benar memandangkan video terbabit telah disunting daripada video asal kejadian yang berlaku di lebuh raya laluan Ajil ke Bukit Besi, Terengganu.

Malah, hasil siasatan JKR Sarawak mengesahkan bahawa tiada kejadian banjir lumpur di jajaran lebuh raya Pan Borneo Sarawak seperti yang tular.

Orang ramai yang melalui LPB Sarawak turut berkongsi keadaan terkini kawasan itu yang jelas menunjukkan tiada kejadian banjir lumpur berlaku.

Ketika ramai masih bersiap siaga menghadapi gelombang musim tengkujuh yang belum berakhir, bekerjasama menghulur bantuan, sokongan dan semangat kepada mangsa banjir yang terkesan, masih ada tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab membuat suntingan video sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Menjadi mangsa banjir adalah pengalaman yang perit, bukan sahaja hilang harta benda, bahkan ada yang hilang orang tersayang.

Siapa sahaja yang tidak panik apabila mendengar khabar ‘banjir’ yang boleh menimbulkan panik dan trauma.

Nasihat kami di MyCheck, semak fakta sebelum sebarkan kepada orang ramai, pastikan ia adalah maklumat sahih.

Jadilah ‘penyebar’ maklumat yang benar dan memberi manfaat, bukan penyebar maklumat palsu yang mencipta huru.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Lebuh Raya Pan Borneo siap 88 peratus - Suara Sarawak

  2. Facebook Adam Hawa

  3. Facebook Iswandy Isk

  4. Facebook Franz Andrew

  5. Facebook Filomina Brown

  6. Facebook Seremban macam macam ada

  7. Bernama

  8. Banjir lumpur antara Ajil-Bukit Besi di LPT 2

  9. Facebook Unit JKR Sarawak

  10. TikTok TVS

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.