Sos pasta berkrim carbonara cendawan berjenama Prego ditarik balik dari pasaran kerana telah rosak.
Sumber : WhatsApp / Disember 2022
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan penarikan semula produk sos pasta berkrim carbonara cendawan (665 gram) Prego dengan nombor siri 2022081716 selepas mendapati produk tersebut telah rosak.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Apabila berbicara tentang masakan Itali, pasti kita akan langsung mengaitkannya dengan pasta.
Antara menu pasta yang terkenal adalah aglio olio, lasagna, spaghetti bolognese dan spaghetti carbonara.
Kini, sajian barat ini bagaikan menu wajib untuk rakyat Malaysia.
Bahkan sos untuk pasta seperti carbonara turut dipelbagaikan dengan menggabungkannya bersama makanan Malaysia seperti popia carbonara dan pau carbonara.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu dakwaan tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial menyatakan sos pasta berjenama Prego keluaran Malaysia ditarik balik kerana didapati telah rosak.
Menerusi mesej tular itu, produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah sos pasta berkrim carbonara cendawan (665 gram) dengan nombor siri 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20.
Isu itu telah mencetuskan panik kepada rakyat Malaysia yang biasa menggunakan produk tersebut dalam masakan mereka.
Apapun biar MyCheck semak kesahihannya dulu!
APA YANG KAMI TEMUI
Dakwaan Dilapor Media Tempatan
MyCheck pertama sekali membuat carian rawak di enjin Google dengan menggunakan kata kunci ‘Sos Prego Ditarik Balik’ untuk mendapatkan lagi maklumat terkini mengenai dakwaan tersebut.
Hasil carian kami mendapati beberapa media tempatan turut melaporkan isu berkenaan.
Singapura Tarik Balik Produk Prego Keluaran Malaysia
Memetik laporan Astro Awani, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan satu kenyataan rasmi memaklumkan kepada kumpulan The Arnott’s Group (pengasas Prego dan Kimball) mengenai kerosakan sos yang dikesan daripada ‘kesilapan dalam pembuatan’ melibatkan produk sos pasta berkrim carbonara cendawan.
Produk sos pasta keluaran Malaysia itu dikatakan menunjukkan beberapa tanda kerosakan seperti warna luar biasa, struktur berair, lapisan cecair terpisah termasuk bau yang tidak menyenangkan.
Justeru, pengimport Campbell oup Asia Tenggara (cawangan Singapura) diarahkan untuk menarik balik produk sos pasta (665g) itu.
Jadi bagaimana pula sos pasta Prego yang dijual di Malaysia?
KKM Sahkan Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan Jenama Prego Ditarik Balik
Kami kemudiannya menelusuri laman sosial KKM di Twitter dan menemukan satu kenyataan rasmi berkaitan isu produk sos pasta tersebut.
Berdasarkan kenyataan rasmi KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memaklumkan telah menerima notifikasi daripada syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd bahawa produk tersebut turut dijual di negara ini.
Oleh itu, KKM telah mengesahkan penarikan semula produk sos pasta cabonara dengan nombor siri 2022081716 kerana dikhuatiri telah rosak.
KKM turut mengarahkan penjual untuk menghentikan penjualan produk terlibat dengan serta-merta.
Bagi pengguna yang telah membeli produk tersebut, KKM menasihatkan mereka untuk tidak mengambilnya dan berjumpa dengan pegawai perubatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan.
Tambah KKM lagi, orang ramai disaran untuk mengamalkan kaedah Lihat, Hidu dan Rasa sebelum mengambil sebarang makanan atau minuman.
KESIMPULAN
MyCheck mengklasifikasikan dakwaan itu sebagai benar kerana KKM telah mengesahkan penarikan semula barang tersebut.
Bagaimanapun anda tidak perlu risau untuk membeli produk jenama ini kerana hanya keluaran nombor siri itu sahaja yang didapati rosak.
Sekiranya anda masih ragu untuk membeli, anda boleh cuba untuk membuat sos pasta carbonara buatan sendiri (homemade) yang dijamin lebih selamat untuk dimakan.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.