+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Jakim Tidak Tetapkan Peraturan Penandaan Halal Pada Lif. Label Lif ‘Tidak Halal’ Di Sebuah Hotel Adalah Inisiatif Pemilik Premis

Benarkah...

Jakim tetapkan peraturan penandaan lif ‘tidak halal’ di sebuah hotel di ibu negara.

Sumber : Facebook, WhatsApp / November 2022

Hasil

Penandaan ‘lif tidak halal’ tiada dalam klausa prosedur pensijilan halal Jakim.

30/12/2022 02:41 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menyatakan pihak Jakim menetapkan peraturan penandaan lif tidak halal untuk operasi hotel.
  • Tiada klausa khusus ditetapkan Jakim dalam menetapkan lif tertentu untuk membawa bahan makanan tidak halal di premis termasuk hotel.
  • Penandaan lif tidak halal juga tiada dalam syarat permohonan pensijilan halal Jakim.
  • Label lif ‘non-halal' yang tular adalah inisiatif pemilik hotel sendiri, khusus bagi membawa barangan mentah tidak halal bagi mengelakkan berlaku pencemaran silang.
  • Label tersebut bukan menjurus kepada lif penumpang dan tidak mengganggu keselesaan pengguna di hotel berkenaan.
  • Hotel atau premis menetapkan mekanisme kawalan halal mereka sendiri, bersesuaian dengan fasiliti selaras dengan prosedur ditetapkan bagi menjaga integriti Pensijilan Halal Malaysia.
  • Permohonan sama ada mahu mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia bagi pengoperasian premis adalah pilihan pemilik perniagaan itu sendiri, bukan paksaan.


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Kebelakangan ini, kita dapat lihat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam terhadap hukum halal dan haram, tidak kira dalam konteks kepenggunaan atau perkhidmatan.

Secara logiknya apabila kesedaran itu bertambah, pemahaman terhadap maksud halal itu mampu difahami dengan baik.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), halal ditakrifkan sebagai perkara yang dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak sementara haram adalah sebaliknya.

Secara mudah, halal bermakna menepati hukum syarak atau dibenarkan untuk masyarakat Islam.

Malah toleransi dan kesedaran berkenaan perkara ini juga semakin baik dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Perkembangan seperti ini amatlah baik bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Biasanya apa yang kita selalu dengar jika bercakap soal halal dan haram?

Perbincangan berkenaan isu halal atau haram biasanya menyentuh  mengenai makanan dan minuman.

Jika tidak pun ada yang mempersoalkan tentang sesuatu produk seperti berus cat, beg atau kasut serta perkhidmatan muamalat dan perbankan.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

Baru-baru ini MyCheck menerima mesej meminta semakan terhadap dakwaan isu halal berhubung penggunaan lif di sebuah hotel di ibu negara.

Menerusi mesej itu turut disertakan gambar kertas bertulis ‘Non Halal Lift’ yang ditampal pada pintu lif.

Dikatakan terdapat ketetapan dan peraturan baharu untuk penandaan lif tidak halal di hotel.

Turut disertakan tangkap layar berserta gambar peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim dengan pernyataan seperti berikut :

So, what's next? E-hailing cars that carry passengers with non-halal things?

Kenyataan yang tertera itu seolah-olah mempersoalkan tentang mungkinkah selepas ini perkhidmatan e-hailing pula akan dikelaskan mengikut penumpang yang membawa barangan ‘non halal’?.

Persoalannya, benarkah peraturan sedemikian telah dikuatkuasakan oleh pihak berwajib? MyCheck semak kesahihannya untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Disebabkan MyCheck hanya menerima dakwaan berkenaan dalam bentuk imej tanpa pautan yang boleh kami rujuk, maka kami perlu menyemak menerusi carian imej Google.

 


Sumber: Google Image

 

Carian itu kemudiannya menemukan kami pada satu pautan oleh portal worldofbuzzz.com.

Menurut portal tersebut, difahamkan pihak hotel berkenaan ada membuat penjelasan bahawa perkara itu adalah sebahagian daripada keperluan hotel bagi mendapatkan pensijilan halal.

Sehubungan itu lif untuk membawa barangan tidak halal dan barang mudah rosak ditetapkan agar dilabel.

Siti Kassim turut memuat naik foto ‘Non-Halal Lift’ itu di platform media sosial beliau seperti di Twitter yang mempunyai ramai pengikut.

Berdasarkan penelitian kami terhadap respons orang awam, ramai pihak yang merasakan perkara tersebut tidak wajar berlaku.

Antara reaksi dan pandangan mereka adalah seperti berikut.

 


Sumber: Twitter sitikasim

 

Melihat kepada reaksi yang diberikan tersebut, nampaknya telah timbul rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat di negara ini yang berbilang kaum. Lebih-lebih lagi apabila isu itu dibangkitkan oleh individu yang dikenali ramai.

 

Isu Hangat Diperkatakan Di Alam Maya

MyCheck mencari maklumat berkenaan kegiatan yang didakwa itu menggunakan enjin carian Google untuk mengumpul lebih banyak maklumat yang berkaitan.

Menggunakan kata kunci 'lif tidak halal’ terdapat banyak maklumat sepadan yang kami temukan antaranya adalah seperti dalam gambar di bawah.

Ternyata isu itu hangat diperkatakan di alam maya, selain di media sosial, ia turut menjadi tajuk berita pelbagai media arus perdana dan portal.

 


Sumber: Google

 

Kami kemudiannya meneliti setiap pautan yang dijumpai untuk mengumpul lebih banyak maklumat dan melakukan proses semakan fakta.

 

Lif Dengan Label ‘Tidak Halal’ Khusus Untuk Barangan, Bukan Lif Penumpang

Kami mendapati isu tersebut turut mendapat perhatian portal berita Indonesia Liputan6 yang melaporkan artikel bertajuk 'Hotel Malaysia Siapkan Lift Non Halal Untuk Apa?'

Menurut portal itu label lif ‘non-halal'  khusus digunakan untuk membawa makanan tidak halal.

Ini bermakna label tersebut bukan menjurus kepada lif penumpang dan dipercayai tidak mengganggu mereka yang menginap di hotel berkenaan.

Difahamkan makanan halal pula akan dibawa menggunakan lif yang berasingan.

Pihak pengurusan hotel memberitahu pelaksanaan label tersebut dibuat bagi memenuhi proses dan prosedur permohonan piawaian halal pihak berwajib.

 

Syarat Pensijilan Halal Operasi Premis

Benarkah prosedur pihak berwajib begitu ketat?

Kami kemudiannya cuba mencari maklumat berkenaan pensijilan dan mekanisme kawalan halal Jakim.

Menurut laporan portal Sinar Harian yang memetik sumber Jakim, pihak premis boleh menetapkan sebarang mekanisme kawalan halal yang bersesuaian dengan fasiliti mereka.

Jakim juga menjelaskan bahawa tiada sebarang klausa yang ditetapkan di bawah Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 serta Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 bahawa pihak hotel atau premis perlu meletakkan penandaan lif ‘tidak halal’.

Berikut kami kongsikan kenyataan rasmi Jakim berkenaan perkara ini.

 


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

 

Rasional Label Tidak Halal Pada Lif

MyCheck menelusuri sebuah portal informasi semasa kampungmamak yang melaporkan bahawa sebenarnya setiap hotel, restoran, kilang dan kedai sudah pastinya boleh menetapkan prosedur atau mekanisme kawalan halal yang bersesuaian atas inisiatif sendiri bagi menjaga integriti premis mereka serta memelihara sensitiviti umat Islam.

Portal tersebut turut berkongsi penjelasan munasabah mengapa pihak premis membuat penetapan label tersebut. Ulasan tersebut dipetik daripada hantaran di Facebook oleh Mak Khuin Weng.

Pemilik akaun Facebook itu menghuraikan bahawa label lif tidak halal di hotel adalah keperluan bagi pengusaha premis yang mahu mengendalikan perniagaan berkaitan makanan halal dan bukan halal di dalam bangunan yang sama.

Menurut lelaki berbangsa Cina itu, konsepnya mudah sahaja.

Anda boleh mengangkut barangan tidak halal (iaitu babi) menggunakan lif berlabel ‘tidak halal’ kerana terdapat kegusaran bahawa pencemaran silang boleh berlaku sekiranya produk halal diangkut dengan menggunakan lif yang sama.

Menurutnya, paling penting orang ramai perlu jelas dengan kekeliruan berkenaan hal ini kerana status 'pensijilan halal' tidak wajib bagi mana-mana pihak dalam urusan seumpama itu kecuali pemilik perniagaan itu sendiri yang memilih untuk mendapatkannya.

Dalam perniagaan perhotelan seperti ini biasanya mereka memilih untuk mendapatkan pensijilan halal bagi mendapat keyakinan para pelanggan beragama Islam di negara ini.

Ini bermakna ‘lif tidak halal’ yang kontroversi itu sebenarnya merupakan pilihan komersial yang dibuat oleh pihak hotel.

Pihak hotel ingin menarik pelanggan Melayu Islam dengan menggunakan logo halal dan sebahagian dari keperluan dalam memastikan proses pengurusan mereka 'bersih dan terpelihara' dan untuk mendapatkan logo tersebut adalah dengan mewujudkan lif khusus untuk barangan halal.

Kami sertakan juga tangkap layar hantaran yang dibuat oleh Mak Khuin Weng seperti berikut :

 


Sumber: Facebook Mak Khuin Weng

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semua maklumat yang telah kami kumpul, dapat disimpulkan bahawa dakwaan Jakim telah mengeluarkan penetapan peraturan penandaan  lif ‘tidak halal’ untuk operasi premis sebuah hotel di ibu negara adalah tidak benar.

Apa yang kami fahami, dakwaan itu wujud kerana salah faham sesetengah pihak tentang prosedur permohonan ‘pensijilan halal’ oleh Jakim.

Secara dasarnya sebarang urusan dan operasi premis perniagaan termasuk hotel adalah bebas memilih  sama ada mahu memohon pensijilan berkenaan atau tidak.

Selain itu jika premis perniagaan itu sendiri memilih untuk memohon mendapatkan standard pensijilan dari Jakim itu, mereka bebas menentukan sendiri mekanisme yang bersesuaian dengan fasiliti hotel.

Perkara ini selaras dengan prosedur yang telah ditetapkan bagi menjaga integriti Pensijilan Halal Malaysia.

Ia bermaksud pemilik perniagaan yang menetapkan sendiri bagaimana bentuk operasi yang pada fikiran mereka membantu bagi mendapat pensijilan  halal tersebut.

Dalam isu ini jelaslah bahawa tidak timbul isu paksaan atau diskriminasi dalam urusan dan operasi hotel berkenaan.

Kepada orang awam, kita seharusnya tidak mudah melatah apabila menerima sebarang maklumat berkenaan isu-isu yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum di negara ini.

Pada awalnya juga hal ini tidak harus ditimbulkan hanya disebabkan salah faham atau kurang pengetahuan berkenaan operasi standard dalam hal-hal tertentu khususnya isu pensijilan halal ini.

Pesan kami di MyCheck, jangan kita mudah terpengaruh dengan isu yang kita sendiri tidak pasti akan kedudukan hal yang sebenar kerana bimbang jika maklumat yang tidak sahih seperti dawaan sebegini disebarkan, kesannya boleh menjejaskan keharmonian dan toleransi masyarakat di negara ini.

Hantarkan kemusykilan anda kepada kami di MyCheck dan kami akan membantu membuat semakan bagi mendapatkan kesahihan sesuatu dakwaan itu.

Caranya anda boleh mengisi borang semakan fakta di sini, atau berhubung terus dengan kami menerusi aplikasi WhatsApp.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Tiada syarat penandaan 'non-halal lift' di hotel, premis I bharian 

  2. No directive to place ‘non-halal lift’ sign, says Jakim | Free Malaysia Today (FMT) 

  3. Non-halal ‘lift' due to requirements by authorities, says local hotel | The Star 

  4. Jakim: Hotels not required to place ‘non-halal lift’ sticker | Malay Mail

  5. Tiada syarat hotel letak pelekat 'non halal lift' - Jakim | Astro Awani 

  6. JAKIM: “No clause saying ‘non-halal lift’ sign necessary for certification” 

  7. Hotel jawab isu pelekat ‘non halal lift’, syarat ditetapkan pihak berkuasa - Semasa | mStar 

  8. Kenyataan Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berhubung Tanda “Non-Halal Lift” Pada Hotel Bagi Tujuan Pensijilan Halal Malaysia 

  9. Tiada syarat hotel letak pelekat 'non halal lift' 

  10. M'sian Social Activist Questions "Non-Halal lift" in KL Hotel, Hotel Says It's Requirement by Authorities - WORLD OF BUZZ 

  11. Lif ‘Tidak Halal’ – Kontroversi Dan Kekeliruan Yang Tidak Seharusnya Berlaku | KampungMamak.com 

  12. Facebook- Mak Khuin Weng 

  13. Isu Non-Halal Lift: Jakim Maklum Tiada Peraturan Khusus Letakkan Penanda Lif Barang Tak Halal | BuzzKini 

  14. 'Non-halal-lift' tiada dalam klausa prosedur pensijilan halal - Sinar Harian 

  15. Hotel Malaysia Siapkan Lift Non Halal, Untuk Apa? - Regional Liputan6.com 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.