+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Dapatan Terkini Sahkan Tindakan Saintis Rusia ‘Hidupkan’ Paleovirus Wujudkan Pandemik Baharu

Benarkah...

Sekumpulan saintis Rusia ‘menghidupkan’ virus purba paleovirus yang boleh merebak seperti virus Covid-19.

Sumber : Facebook / Disember 2022

Hasil

Tindakan saintis Rusia adalah untuk mengkaji virus yang menjangkiti haiwan purba yang telah mati. Tiada bukti mengesahkan ia telah mewujudkan pandemik baharu.

10/01/2023 04:02 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular laporan berita mengenai saintis Rusia cuba menghidupkan virus purba semasa menemukan bangkai haiwan prasejarah.
  • Tindakan itu dikatakan boleh menyebabkan virus purba tersebut merebak kepada kehidupan zaman kini kesan cubaan untuk mengekstrak virus tersebut.
  • Tujuan penyelidikan dibuat adalah bagi mengkaji punca kematian haiwan purba tersebut.
  • Laporan berita tular diulang siar daripada laporan yang pernah dikeluarkan pada 2021.
  • Sehingga kini, tiada sebarang perkembangan terkini mengenai hasil daripada kajian tersebut.

LATAR BELAKANG

Penularan Covid-19 menyedarkan manusia untuk sentiasa berjaga-jaga terhadap apa jua virus yang mampu memberikan penyakit kepada manusia.

Covid-19 telah menyebabkan para ilmuwan dan saintis bekerja keras melakukan banyak kajian bagi menghasilkan vaksin yang mampu melawan virus ini.

Justeru, apabila muncul beberapa berita atau laporan mengenai virus, ia menjadi perhatian utama masyarakat yang khuatir wujudnya pandemik berbahaya seperti Covid-19 yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.

Tambahan pula kali ini melibatkan virus purba atau kuno yang ditemui oleh para saintis yang dikatakan akan menghidupkan virus tersebut dan merebak seperti Covid-19.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Facebook Oh Sepatku

 

MyCheck menerima dakwaan mengenai sekumpulan saintis Rusia yang dikatakan cuba menghidupkan semula virus purba berusia 400,000 tahun.

Dakwaan tersebut dimuat naik di laman Facebook menerusi akaun Oh Sepatku.

Dikatakan virus itu bakal mengancam dunia seperti pandemik Covid-19.

Namun benarkah dakwaan itu? MyCheck semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Paleovirus

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, virus adalah sejenis kuman halus yang daripada bakteria dan boleh menyebabkan penyakit kepada manusia, haiwan atau tumbuhan.

Paleovirus pula adalah satu gelaran yang diberikan kepada virus yang ditemui telah berusia, kuno ataupun telah pupus.

Menurut chegg.com, kajian tentang virus purba dan kesannya terhadap manusia berbanding skala masa prasejarah atau geologi dikenali sebagai paleovirologi.

Semasa evolusi primat, manusia menemui pelbagai jangkitan retrovirus daripada keluarga virus yang sama, yang mana ia membolehkan mereka mengembangkan daya ketahanan imun terhadap apa-apa jangkitan.

Paleovirus ini meninggalkan kesan dan kekal berada di dalam hos genom sama ada manusia atau haiwan.

Retrovirus adalah virus RNA yang mereplikasi diri melalui perantaraan DNA yang dipanggil provirus dan akan integrasi ke dalam kromosom sel hos.

Dianggarkan satu daripada 31 keluarga retrovirus endogen (ERV) yang terdapat dalam manusia akan timbul satu atau lebih paleovirus yang menjangkiti manusia sejak zaman dahulu.

 

Penemuan Pertama

Menurut National Geographic, penemuan pertama dalam menghidupkan semula paleovirus ini adalah apabila saintis berjaya menghidupkan semula pithovirus yang berusia 30,000 tahun, yang telah tertanam di Siberia, Rusia dan hanya boleh menjangkiti organisma ameba.

Namun, pithovirus yang ditemui ini tidak dapat memberikan apa-apa kesan kepada manusia kerana ia tidak dapat menjangkiti sel manusia dan haiwan.

Paleovirus ini dikatakan hanyalah boleh memberikan jangkitan kepada ameba iaitu hidupan yang kecil dan hanya dijumpai di dalam air.

Ia telah ditemui di dalam bangkai haiwan prasejarah oleh para saintis Rusia dan tindakan saintis itu didakwa boleh menyebabkan virus itu merebak.

 

Pautan Membawa Ke Laman Sesawang SepatMasin.com

Langkah pertama MyCheck adalah meneliti hantaran dan akaun Oh Sepatku yang memuat naik artikel itu.

Kami kemudian klik pada pautan yang disertakan dan terus dibawa ke satu laman sesawang SepatMasin.com.

 


Sumber: SepatMasin.com

 

Di sana, kami menemukan pelbagai artikel termasuk mengenai isu-isu am, politik, dan hiburan.

MyCheck turut meneliti laman sesawang tersebut dan mendapati ia sebuah portal tidak rasmi yang bukan milik kerajaan atau mana-mana media arus perdana.

 

Saintis Rusia Hidupkan Virus Untuk Kajian

Semakan lanjut MyCheck di portal itu menemukan artikel dengan tajuk yang sama seperti di Facebook.

Menurut artikel itu, pakar-pakar di Pusat Penyelidikan Vektor di Novosibirsk, Siberia, Rusia sedang menganalisis sisa bangkai haiwan gajah raksasa purba dikenali sebagai mamot, badak sumbu bulu dan sebilangan haiwan lain yang hidup semasa Zaman Ais.

Mereka cuba mengenal pasti dan menghidupkan semula virus prasejarah dikenali sebagai paleovirus yang tidak lagi aktif selama hampir setengah juta tahun.

Pasukan itu juga melakukan kajian dengan tujuan untuk mengekstrak dan mengkaji jangkitan yang menyebabkan kematian haiwan prasejarah tersebut.

Berdasarkan artikel itu, jelas dinyatakan tindakan yang dilakukan sekumpulan pakar itu bertujuan untuk melakukan kajian hanyalah bagi mengenal pasti jangkitan yang menyebabkan kematian haiwan zaman purba.

 

Kewujudan Virus Baharu Satu Kebimbangan, Belum Dibuktikan

Memetik artikel sama, pakar-pakar berkata kajian tersebut sangat berisiko kerana virus yang membunuh mamot dan haiwan prasejarah lain juga boleh menjangkiti manusia.

Seorang pakar genom Profesor Jean-Michel Claverie dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan di Universiti Aix-Marseille berkata :

“Penyelidikan Vektor adalah sangat, sangat berisiko.

“Sistem imun kita tidak pernah menemui jenis virus ini. Sebahagian daripada virus tersebut berumur 200,000 atau bahkan 400,000 tahun.

Jelas di sini, penyelidikan dan kajian yang dilakukan oleh saintis ini menimbulkan kebimbangan ramai termasuk pakar terhadap kemunculan virus baharu yang berbahaya seumpama Covid-19.

Namun setakat laporan ini ditulis (3 Januari 2023), tiada sebarang bukti atau kemas kini terbaharu mengenai dapatan kajian atau impak negatif terhadap manusia.

 

Carian Imej Berbalik Temui Banyak Gambar Berserta Artikel Sama

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai sumber artikel tular, MyCheck kemudiannya menggunakan gambar bangkai haiwan yang disertakan pada artikel itu dan memasukkannya di Carian Imej Berbalik.

Kami menemukan banyak artikel yang menggunakan gambar yang serupa dengan artikel yang turut menceritakan perkara sama.

 


Sumber: Google Imej Berbalik

 

Artikel Banyak Disiarkan Di Pelbagai Platform Maya

MyCheck turut membuat semakan di enjin Google dan mendapati beberapa media dan portal tempatan ada menerbitkan artikel berhubung isu itu.

Anda boleh lihat antaranya di sini, di sini dan di sini.

Hasil penelitian kami mendapati semua artikel ini adalah bersumberkan laporan sebuah portal luar negara, Daily Star.

 


Sumber: Google

 

Artikel Telah Dikeluarkan Sejak Dua Tahun Lepas

 


Sumber: Daily Star

 

Semakan lanjut MyCheck di portal Daily Star mendapati ada di antara laporan tersebut telah dikeluarkan sejak 2021 dengan menggunakan imej yang sama seperti yang tular.

 


Sumber: Daily Star

 

KESIMPULAN

Semakan dan hasil carian MyCheck tidak menemukan sebarang jurnal, laman sesawang akademik, pernyataan pakar atau saintis yang mengesahkan bahawa kajian yang dilakukan terhadap haiwan purba itu telah mewujudkan pandemik baharu yang berbahaya seperti Covid-19.

Bahkan setakat laporan ini ditulis, tiada apa-apa dapatan atau maklumat terkini berhubung hasil kajian itu.

Covid-19 yang belum berpenghujung meskipun dunia kini memasuki 2023, sudah tentu meresahkan sesiapa sahaja.

MyCheck faham, kita, mahupun mereka di merata negara sentiasa berikhtiar supaya tidak lagi menjadi mangsa kepada ancaman apa jua pandemik pada masa depan.

Tidak salah untuk berjaga-jaga tapi usahlah menyebarkan sesuatu perkara yang tidak sahih yang hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Jika tidak tahu, jangan sebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1. Facebook OhSepatku | Kerja gila ! Saintis Russia cuba hidupkan semula paleovirus berusia 400,000 tahun

2. SepatMasin.com  |  Kerja gila ! Saintis Russia cuba hidupkan semula paleovirus berusia 400,000 tahun 

3. Kosmo |  Saintis Russia cuba hidupkan semula paleovirus berusia 400,000 tahun

4. MStar  |   Saintis di Rusia cuba ‘hidupkan’ virus purba, ramai bimbang pandemik akan landa dunia sekali lagi

5. Relevan.com  |  Saintis Rusia hidupkan virus haiwan purba, ancam kesihatan awam

6. DailyStar  |  Fresh pandemic fears as scientists chillingly try to awaken ancient viruses

7. DailyStar  |   Russian scientists to 'extract zombie viruses from dead bodies of ancient animals

8. Chegg.com  |  Paleovirus 

9. Journals Plos Biology  |  Paleovirology—Modern Consequences of Ancient Viruses 

10. National Geographic  |  Ancient "Giant Virus" Revived From Siberian Permafrost


 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.