+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Pengesahan Mengenai Pembinaan Tradewinds Square Megatower Di Kuala Lumpur

Benarkah...

Sebuah menara pencakar langit baharu dinamakan Tradewinds Square Megatower akan dibina di Kuala Lumpur, yang bakal menjadi menara kedua tertinggi dunia dan tertinggi di Asia Tenggara.

Sumber : Facebook / 2 Disember 2022

Hasil

Terdapat pelan untuk membina Tradewinds Square Megatower, namun tiada sebarang kerja pembinaan dijalankan setakat ini. Pemaju projek tersebut juga masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkembangan terkini projek itu.

10/01/2023 03:57 PM

SEKILAS FAKTA  

  • Tular di media sosial mengenai satu projek untuk membina sebuah menara pencakar langit baharu di Kuala Lumpur iaitu Tradewinds Square Megatower.
  • Menara berketinggian 679 meter dengan 110 tingkat ini dilaporkan akan menelan kos pembinaan sebanyak RM6 bilion.
  • Walaupun tular pada awalnya, beberapa laporan yang diterbitkan oleh media dan bertebaran di Internet telah ditarik semula dan pelaksanaan projek tersebut tidak dapat dipastikan. 

LATAR BELAKANG

Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia yang pesat membangun dan penuh dengan tarikan.

Kota raya ini juga tidak asing lagi dengan bangunan pencakar langitnya yang seringkali menjadi tumpuan utama pelancong tempatan dan asing dari segenap pelosok dunia.

Sebut sahaja KLCC (Menara Berkembar Petronas) pasti ramai yang tahu di negara manakah lokasinya.

KLCC menjadi mercu tanda yang melambangkan Malaysia.

Ketika ini, Menara Merdeka yang juga dikenali sebagai PNB118 merupakan bangunan tertinggi di Malaysia dan bangunan kedua tertinggi di dunia.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial Twitter dan Facebook mengenai satu projek mega untuk membina sebuah lagi bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

Bangunan tersebut juga didakwa akan menjadi bangunan tertinggi di dunia, yang akan memintas Merdeka 118 yang kini merupakan bangunan kedua tertinggi dunia.

Desas-desus mengenai dakwaan ini telah menarik pelbagai reaksi warganet.

Namun, benarkah Malaysia bakal memiliki sebuah lagi menara tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia?

MyCheck semak kesahihannya.

 


Sumber: Google

 

APA YANG KAMI TEMUI

Laporan Pertama Mengenai Perancangan Untuk Membina Tradewinds Square Megatower

Menerusi carian di Google search, MyCheck mendapati kali pertama rancangan untuk membina Tradewinds Square Megatower telah dilaporkan oleh akhbar kewangan Singapura The Business Times bertajuk “Tradewinds Plans New Set of Jewels”  bertarikh 24 Februari 2011.

Menerusi laporan tersebut, Tradewinds Corp Bhd, merancang untuk merobohkan dua aset mereka di Kuala Lumpur iaitu Crown Plaza Mutiara Hotel dan Kompleks Antarabangsa di Jalan Sultan Ismail untuk memberi laluan kepada sebuah projek “multi-billion-ringgit” pembangunan komersial bercampur (mixed commercial development).

Tradewinds Corp Bhd merupakan sebuah syarikat pemegang pelaburan yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Syarikat ini beroperasi dalam beberapa bidang melalui anak-anak syarikatnya seperti :

  1. Pemilikan dan pengurusan hotel

  2. Pelaburan dan pembangunan hartanah

  3. Pembrokeran insurans dan perdagangan saham

  4. Pengurusan perladangan dan perkhidmatan berkaitan, pembinaan, agensi pelancongan, perkhidmatan keselamatan dan pembiayaan. 

 

Dalam satu temu bual telefon dengan Business Times, Pengerusi Tradewinds pada masa itu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata rancangan tersebut sudah pun berada di peringkat “advanced concept stage” dan mungkin akan mengambil masa lebih dari setahun untuk bermula.

Projek tersebut akan dibina di atas tapak Crown Plaza Mutiara Hotel dan Kompleks Antarabangsa yang sudah diruntuhkan di Jalan Sultan Ismail.

Tan Sri Megat juga berkata syarikat mereka sedang melihat kemungkinan untuk membina pejabat, komponen runcit dan kediaman untuk membekalkan syarikat tersebut dengan aliran pendapatan berulang.

 

Rancangan Pembinaan Tradewinds Square Megatower Tular Semula

Pada akhir November 2022, desas-desus mengenai projek ini tular semula di media sosial dan telah diterbitkan beberapa media tempatan.

MyCheck telah menelusuri laman sosial Facebook dan menemukan satu hantaran mengenai berita projek Tradewinds Square yang dimuat naik oleh satu akaun iaitu Tanpa Nama yang memetik laporan Harian Metro.

 


Sumber: Facebook

 

Menurut hantaran itu, Harian Metro telah melaporkan mengenai projek mega Tradewinds Square seperti yang dilaporkan pertama kalinya oleh Business Times pada 2011 tetapi dengan butiran-butiran baharu.

Dalam laporan tersebut, sebuah firma arkitek iaitu DP Architect & Woods dan Leslie E Robertson Associates telah dinamakan sebagai firma arkitek yang bertanggungjawab untuk menjayakan projek itu.

Laporan tersebut juga memperincikan pelan asal Tradewinds Square, yang mana bangunan sebanyak 110 tingkat itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

 

Pautan Asal Laporan Di Portal Harian Metro Mungkin Dipadam, MyCheck Cari Cetakan Akhbar

MyCheck mencari pautan asal kepada berita tersebut di portal online Harian Metro namun gagal menemukannya, berkemungkinan ia telah dipadam.

Namun, bagi mendapatkan kesahihan benarkah Harian Metro ada menyiarkan laporan itu, kami cuba mencari akhbar Harian Metro bertarikh 2 Disember 2022 dan melakukan semakan lanjut.

Hasilnya, kami berjaya menemukan laporan Harian Metro mengenai berita tersebut yang telah diterbitkan di dalam akhbar.

Laporan bertajuk ‘Mercu tanda baharu ibu kota’ itu disiarkan di bahagian lokal, pada Jumaat, 2 Disember 2022.

Penemuan cetakan akhbar itu jelas membuktikan Harian Metro ada menerbitkan laporan mengenai pembinaan menara Tradewinds Square itu namun tidak dapat dipastikan kenapa laporan tersebut tiada di dalam portal mereka.

MyCheck sertakan keratan akhbar yang ditemukan seperti di bawah.

 


Sumber: Akhbar Harian Metro

 

Menerusi laporan akhbar berkenaan, turut dinyatakan firma arkitek Woods Bagot akan membangunkan menara itu. 

Bagi mendapat maklumat lanjut mengenai perancangan untuk membina Tradewinds Square Megatower, MyCheck kemudian melakukan semakan di portal Woods Bagot.

 

Latar Belakang Woods Bagot

Woods Bagot merupakan sebuah firma seni bina dan perancangan antarabangsa yang berpusat di Sydney, New South Wales, Australia.

Ia mempunyai 17 studio seni bina di enam wilayah seluruh dunia dan berkhususan dalam bidang seni bina, seni bina dalaman dan ‘master plan’.

MyCheck telah membuat semakan di laman web Woods Bagot dan mendapati terdapat pelan konsep dan butiran untuk membina Tradewinds Square di Kuala Lumpur.

 


Sumber: woodsbagot.com

 

Maklumat yang diletakkan di laman web Woods Bagot memperincikan pelan dan konsep untuk membina Tradewinds Square, daripada inspirasi reka bentuknya hinggalah perincian setiap tingkat dalam menara tersebut.

 


Sumber: woodsbagot.com

 

Berita Mengenai Perancangan Untuk Membina Tradewinds Square Megatower Dipadam

MyCheck mendapati walaupun berita mengenai projek mega Tradewinds Square Megatower ini telah dilaporkan dan tular pada awalnya, berita yang diterbitkan di Internet oleh beberapa agensi dan portal media dipercayai telah dipadam beberapa hari kemudian.

Ada juga antara mereka yang mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas terbitan mengenai projek tersebut dan menarik semula artikel tersebut di portal mereka antaranya portal SAYS.

 


Sumber: says.com

 

Tapak Rancangan Pembinaan Tradewinds Square Megatower Masih Kosong

 


Sumber: Google Maps

 

Hasil carian di Google Maps setakat Mac 2021 juga mendapati tapak pembinaan Tradewinds Square Megatower di Jalan Sultan Ismail kelihatan kosong dan tiada perkembangan mahupun pergerakan kerja-kerja pembinaan.

 

KESIMPULAN

MyCheck kategorikan dakwaan berhubung pembinaan Tradewinds Square Megatower ini sebagai tidak pasti.

Walaupun terdapat pelan oleh firma seni bina untuk membina Tradewinds Square Megatower ini, kami tidak dapat mengesahkan sama ada projek mega ini telah dimulakan atau masih dalam peringkat cadangan sahaja.

Sebagai rakyat Malaysia, kita pastinya tumpang berbangga terhadap apa jua pembangunan negara, apa lagi perancangan membina menara pencakar langit yang bakal menjadi mercu baharu negara.

Sudah tentu, sukar nak membendung keterujaan untuk berkongsikan perkara ini kepada yang belum tahu kan?

Namun, sebelum berkongsi, pastikan maklumat yang diperoleh adalah sahih.

Tunggu atau dapatkan kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan atau mungkin daripada pemaju sendiri.

Namun jika tiada sebarang maklumat terkini daripada pihak bertanggungjawab, usahlah kita terburu-buru menyebarkannya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Malaysia Today |  Malaysia Plans Another Megatower Taller Than Merdeka 118
  2. Wau Post |  Tradewinds Square megatower plans to thread a needle in KL skyline, expected to be taller than Merdeka 118
  3. Skyscraper City | KUALA LUMPUR | Tradewinds Square | 775m | 2543ft | 150 fl
  4. Woods Bagot | New Tradewinds Square
  5. Facebook | Mercu Tanda Baharu Ibu Kota
  6. Malaysia Property News | Tradewinds plans new set of jewels
  7. Skyscraper Center.Com | Leslie E. Robertson Associates
  8. Skyscraper Center.Com | Tradewinds Square Tower A
  9. SAYS.com | News Retraction KL Megatower

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.