Minuman daripada jenama The Coffee Bean & Tea Leaf dan Starbucks tidak halal kerana mengandungi sumber daripada khinzir dan cecair alkohol.
Sumber : Facebook / Januari 2023
Minuman daripada kedua-dua jenama itu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah sehingga 2024.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Kopi merupakan salah satu minuman yang digemari oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
Bagi pencinta kopi, tidak sempurna hari dilalui tanpa seteguk kopi.
Seiring dengan peredaran zaman, hidangan kopi telah dipelbagaikan mengikut kreativiti antaranya ditambah coklat, krim putar, pudina dan banyak lagi.
Variasi kopi menjadikan minuman itu disukai lebih ramai golongan terutama kanak-kanak dan generasi muda.
Selain beberapa jenama kopi terkemuka seperti The Coffee Bean & Tea Leaf serta Starbucks, banyak kedai minuman kopi berkonsepkan ‘hipster’ diwujudkan.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu mesej menerusi WhatsApp mendakwa minuman kopi jenama The Coffee Bean & Tea Leaf dan Starbucks tidak halal kerana mengandungi cecair alkohol dan satu sumber daripada khinzir.
Menurut individu yang menularkan mesej berkenaan, minuman Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf perasa coklat, vanila dan kopi mengandungi sejenis asid lemak sintetik, E471 daripada sumber khinzir.
Mesej berkenaan antara lain turut mendakwa bahawa perisa Raspberry Frappuccino di bawah jenama Starbucks menggunakan buah ceri yang dicelup dengan rum yang merupakan sejenis cecair yang terhasil daripada proses penapaian hasil sampingan tebu seperti Molases (sirap hitam).
Individu tersebut antara lain turut mendakwa mesej berkenaan disebarkan oleh seorang pendakwah bebas iaitu Ustaz Datuk Dr Zahazan Mohamed dan turut meminta orang ramai berkongsi mesej tersebut.
APA YANG KAMI TEMUI
Sebelum membuat semakan lanjut, pastinya segelintir pihak ingin mengetahui asal usul dan kewujudan dua rantaian kedai kopi iaitu Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat kopi di negara ini.
Starbucks yang dimiliki oleh Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd mula membuka cawangan pertama di Kuala Lumpur pada 17 Disember 1998 dan kini mempunyai 320 cawangan di seluruh Malaysia.
Sementara itu The Coffee Bean & Tea Leaf pula membuka cawangan pertama di negara ini pada 1997 di KL Plaza dan telah memiliki sejumlah 127 cawangan sehingga kini.
Penggunaan Kod E471 Bukan Merujuk Kepada Sumber Daripada Khinzir
Memandangkan mesej WhatsApp berkenaan turut mendakwa kod E471 merupakan sumber daripada khinzir, kami turut membuat semakan lanjut.
Menurut Jakim menerusi satu hantaran di Facebook pada 2014, E471 dan E472 bukan kod bagi khinzir sahaja.
Kod E adalah kod bagi 'food additive' (bahan tambah dalam makanan) dan sumber bagi kod E ini boleh diperoleh sama ada daripada haiwan, tumbuhan mahupun sintetik iaitu dihasilkan oleh pengilang sendiri.
Menurut Jakim, setiap produk yang telah mendapat pengesahan halal sama ada daripada mereka, Jabatan Agama Islam Negeri atau Badan Pensijilan Halal Luar Negara Yang Diiktiraf, yang mempunyai kod E diperiksa dan diteliti dengan terperinci.
Hantaran Facebook Sahabat Halal pula mendedahkan kod E merupakan satu sistem pernomboran yang telah dibangunkan untuk mengesan sejumlah besar bahan ramuan tambahan yang terdapat di pasaran dan ia menjadi satu keperluan undang-undang mengenai pembungkusan di Eropah pada tahun 80-an.
E bermaksud Eropah dan membawa maksud bahan ramuan tambahan yang bertanda kod E telah lulus ujian keselamatan dan telah digunakan dalam Kesatuan Eropah.
Sistem pernomboran dan kod E dibangunkan untuk mengesan sejumlah besar bahan ramuan tambahan yang terdapat di pasaran.
Bahan ramuan tambahan atau aditif makanan adalah bahan yang ditambah ke dalam makanan bagi memperbaiki kualiti, persembahan (tekstur, konsistensi, rupa, perisa, bau, rasa dan jangka hayat penyimpanan) tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.
Menurut hantaran Facebook berkenaan, penentuan halal atau haram sesuatu bahan makanan tidak ditentukan berdasarkan sebarang kod huruf atau nombor, namun berdasarkan pengesahan kandungan daripada pengeluar selain pengesahan sijil halal daripada Halal Malaysia atau Jabatan Agama Islam Negeri.
Isu Lama Yang Tular Semula
Mungkin ramai pihak yang bertanya adakah ini isu baharu atau sebaliknya?
Semakan kami mendapati isu ini telah tular sejak 2013 berdasarkan hantaran seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Muhammad Safwan yang berkongsi satu tangkap layar mengenai isu tersebut.
Selain itu, kami turut menemui dakwaan yang sama oleh beberapa pengguna Facebook seperti di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.
Kenyataan Jakim
Bahagian Hab Halal Jakim telah mengeluarkan kenyataan di laman Facebook mereka pada 3 Januari 2023 dan mengesahkan isu berkenaan adalah palsu.
Pada 2016, Bahagian Hab Halal Jakim juga pernah mengeluarkan kenyataan berhubung isu sama di Facebook mereka.
Penafian Dr Zahazan
Zahazan menerusi hantaran di laman Facebook pada 2014 turut mengesahkan bahawa dakwaan berkenaan adalah palsu dan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa minuman The Coffee Bean & Tea Leaf dan Starbucks adalah tidak halal seperti mana yang tular.
Beliau turut mendedahkan pernah mengeluarkan kenyataan penafian berhubung isu sama pada 2014.
Zahazan dan isu makanan tidak halal bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini beliau pernah dikaitkan dengan dakwaan bahawa minuman Tealive adalah haram sehingga beliau terpaksa mengeluarkan satu kenyataan penafian yang disiarkan di laman Facebook Bahagian Hab Halal Jakim.
Pemegang Sijil Halal Sah
MyCheck turut melakukan semakan lanjut mengenai status pengesahan halal The Coffee Bean & Tea Leaf dan Starbucks di portal Halal Malaysia.
Kami mendapati kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah sehingga 2024.
Beberapa media tempatan juga pernah menerbitkan kenyataan Bahagian Hab Halal Jakim berhubung isu berkenaan termasuk Kosmo, Sinar Harian dan Utusan Malaysia.
KESIMPULAN
Hasil semakan MyCheck mendapati bahawa dakwaan minuman The Coffee Bean & Tea Leaf dan Starbucks tidak halal adalah tidak benar.
Minuman jenama berkenaan memiliki sijil pengesahan halal Malaysia sejak sekian lama.
Status halal dan haram sesuatu produk makanan atau minuman bukanlah ditentukan oleh sesuatu kod semata-mata, sebaliknya diputuskan oleh badan halal di sesebuah negara.
Sebagai seorang pengguna, kita digalakkan membaca label sesuatu produk terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian. Jika ragu, semak dahulu.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.