Feri ikonik Pulau Pinang akan beroperasi semula setelah ditamatkan perkhidmatan pada 2020.
Sumber : Facebook / Januari 2023
Penang Port melabelkan dakwaan tersebut sebagai maklumat mengelirukan. Setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri atau pusat berhubung status sebenar feri berkenaan.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Pulau Pinang sinonim dengan pengangkutan feri ikonik tertua yang membawa penumpang serta kenderaan menyeberangi lautan dari tanah besar pada jarak tiga kilometer.
Perkhidmatan tersebut juga menjadi antara tarikan pelancong ke negeri itu sejak 126 tahun lepas.
Malah suasana menaiki pengangkutan itu sambil menikmati bayu laut sangat dekat di hati masyarakat setempat.
Bagaimanapun, perkhidmatan feri di Pulau Mutiara itu dilaporkan dihentikan bermula 1 Januari 2021 dan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki serta penunggang basikal dan motosikal.
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dilapor turut menyatakan keyakinan lima feri ikonik yang telah diserahkan kepada tiga syarikat berkelayakan bagi tujuan pengubahsuaian kepada rangkaian tarikan pelancong berupaya merangsang industri pelancongan negeri.
BERNAMA pada 8 Oktober 2022 melaporkan kenyataan SPPP bahawa feri baharu Pulau Pinang sedang rancak dibina di dua limbungan di Vietnam dan sudah mencapai 40 peratus kemajuan pembinaan.
Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata komponen feri dan bentuk feri Pulau Pinang yang baharu itu telah mula kelihatan dan dijadualkan siap pada Jun 2023.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima satu hantaran tular yang mendakwa perkhidmatan feri Pulau Pinang yang lama akan beroperasi semula.
Menurut hantaran Facebook Georgetown Penang, Guan Eng dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri telah bersetuju untuk menyambung semula perkhidmatan feri ikonik yang menghubungkan bandar George Town dan Butterworth itu.
“Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, who is also a Penangite, has agreed to resume the service of the decommissioned old Penang ferry. Let us give the Prime Minister some time to return the old ferry to our Penangites,” menurut Guan Eng menerusi hantaran tersebut.
Hantaran itu juga telah menerima reaksi positif daripada orang ramai yang menyatakan hasrat mereka untuk menaiki feri bersejarah itu serta ucapan terima kasih daripada penduduk Pulau Pinang ke atas keprihatinan Perdana Menteri tentang isu komoditi di negeri itu.
Namun benarkah feri berkenaan akan kembali beroperasi? MyCheck semak dulu ya!
APA YANG KAMI TEMUI
Setelah meneliti hantaran itu, MyCheck dapati bahawa dakwaan telah dipetik daripada laporan akhbar Bahasa Cina iaitu Kwong Wah Yit Poh Press.
Oleh kerana akhbar tersebut ditulis dalam Bahasa Mandarin, sedangkan dakwaan yang tular itu adalah dalam Bahasa Inggeris maka kami perlu menyemak sama ada isi kandungan dakwaan yang tersebar itu membawa maksud yang sama dengan laporan akhbar berkenaan.
Dengan menggunakan aplikasi terjemahan Google dan bantuan daripada meja berita Bahasa Cina di BERNAMA, kami dapati kandungan kedua-duanya adalah serupa seperti gambar di bawah.
Dakwaan Dilabel Sebagai Maklumat Mengelirukan
MyCheck seterusnya membuat semakan di laman sosial Facebook dan berjaya menemukan satu hantaran rasmi daripada Penang Port yang merupakan syarikat pemilik operasi perkhidmatan feri Pulau Pinang.
Menurut hantaran itu, pihak PPSB tidak mengetahui kesahihan dakwaan pengoperasian semula feri Pulau Pinang yang lama dan melabelkan ia sebagai maklumat yang mengelirukan.
Tiada Tarikh Tepat Bagi Perkhidmatan Semula Feri Ikonik
Kami cuba membuat carian rawak menggunakan kata kunci ‘feri ikonik guan eng’ di enjin Google bagi mendapatkan maklumat terkini.
Hasil carian tersebut memaparkan terdapat banyak laporan berkaitan isu berkenaan.
Memetik laporan BERNAMA, bekas menteri kewangan itu telah berbincang dengan Anwar sebanyak dua kali berhubung perkhidmatan semula feri ikonik itu dan berharap SPPP bersiap sedia untuk melaksanakan keputusan kerajaan.
Bagaimanapun, Guan Eng tidak mendedahkan sama ada perkhidmatan feri tersebut akan beroperasi pada masa hadapan di bawah Kerajaan Perpaduan.
KESIMPULAN
MyCheck mengklasifikasikan dakwaan itu sebagai tidak pasti.
Ini kerana tiada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat tentang status sebenar situasi feri berkenaan.
Kami faham akan keterujaan anda untuk menaiki feri ikonik ini, namun adalah sebaiknya untuk kita tidak berkongsi sesuatu maklumat yang belum sahih agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk tempatan khusus para pelancong dalam dan luar negara.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Feri ikonik: Guan Eng harap SPPP siap sedia laksanakan keputusan kerajaan
Feri baharu Pulau Pinang kini 40 peratus siap - Utusan Malaysia
Terminal Feri Pulau Pinang dijangka operasi sebelum Hari Merdeka
Khidmat feri Pulau Pinang diganti selepas 126 tahun berbakti
Jangan bersedih! Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan | Astro Awani
Feri ikonik: Hari penuh emosi buat penduduk Pulau Pinang - Guan Eng IAstro Awani
SPPP yakin pengubahsuaian feri ikonik mampu rangsang industri pelancongan negeri | Astro Awani
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.