Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan kenyataan berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan hari Thaipusam 2023.
Sumber : WhatsApp / Disember 2022
Berita tular adalah laporan lama iaitu menjelang sambutan Thaipusam pada 2022. Kenyataan dikeluarkan bekas Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, bukan daripada Dr Zaliha.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Thaipusam adalah perayaan yang cukup sinonim diraikan masyarakat India khususnya bagi penganut agama Hindu di seluruh dunia.
Ia disambut meriah, mencerminkan keunikan Malaysia yang dinamik dengan masyarakat berbilang bangsa.
Sambutan itu diadakan bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau lebih dikenali sebagai Dewa Subramaniam bagi kepercayaan penganut agama tersebut.
Kebiasaannya, masyarakat India yang menganut agama Hindu di Malaysia akan meraikan sambutan ini di kuil Batu Caves, Gombak, Selangor.
Tahun ini, penganut Hindu akan menyambut Thaipusam pada 5 Februari.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima hantaran berita melalui aplikasi WhatsApp mengenai SOP ketika perayaan hari Thaipusam pada 2023.
Dikatakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah mengeluarkan kenyataan berhubung SOP itu.
Menerusi berita berkenaan, upacara perayaan Thaipusam yang dibenarkan termasuk upacara ‘Paal Koodam’, (menjunjung belanga mengandungi susu) dan aktiviti sembahyang tanpa perjalanan pedati.
Upacara yang tidak dibenarkan pula adalah upacara ‘kavadi’. Ia berikutan usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Hantaran itu turut tular di media sosial.
Perkara itu pastinya menimbulkan persoalan buat masyarakat India yang menyambut Thaipusam khususnya buat pembawa kavadi yang menantikan momen tersebut.
Benarkah kenyataan itu daripada Menteri Kesihatan sempena sambutan Thaipusam tahun ini? MyCheck semak kesahihannya.
APA YANG KAMI TEMUI
Acara ‘Kavadi’ Hari Thaipusam
Selain sambutannya yang meriah, sambutan Thaipusam juga dikenali sebagai hari penghapus dosa atau hari keinsafan atas kesalahan yang dilakukan bagi penganutnya.
Perayaan itu juga disambut bagi menunaikan nazar.
Bagi penganut yang memohon keampunan, mereka akan menjunjung atau membawa ‘kavadi’ iaitu besi yang dicucuk menembusi fizikal badan seperti lidah, kulit, pipi dan anggota lain bagi tujuan pembersihan dosa.
‘Kavadi’ tersebut akan dibawa oleh penganut bergantung kepada kemampuan fizikal individu.
Kebiasaannya, menjelang hari Thaipusam, penganutnya akan membuat perarakan kavadi yang berlangsung dalam tempoh masa yang ditetapkan.
SOP Adalah Bagi Sambutan Thaipusam Pada 2022
Bagi mendapatkan gambaran dengan lebih terperinci, kami mulakan semakan dengan meneliti kenyataan tular itu.
MyCheck mendapati hantaran itu adalah kenyataan berita yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
Hantaran itu memetik kenyataan Dr Zaliha menyatakan bahawa upacara ‘kavadi’ masih tidak dibenarkan ketika sambutan hari Thaipusam dan hanya acara ‘Paal Koodam’ dibenarkan bagi membendung penularan Covid-19.
Menurut kenyataan terbabit, Dr Zaliha menyatakan acara ‘paal koodam’ dibenarkan pada hari Sabtu, 4 Februari sehingga 5 Februari 2023.
Berdasarkan tarikh yang dinyatakan, ia bermakna kenyataan terbabit adalah bagi sambutan hari Thaipusam tahun ini.
Setelah meneliti petikan teks terbabit, kami beralih pula ke media sosial seperti Facebook dengan menggunakan kata kunci ‘paal koodam’ bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Hasilnya, kami temui hantaran sama yang dikongsikan oleh pengguna Facebook Magandran Muthiah.
Hantaran tersebut telah dimuat naik pada 29 Disember 2022.
Oleh kerana kenyataan berita tular itu disiarkan dalam bahasa Inggeris, kami membuat carian rawak menerusi enjin Google dengan menggunakan kata kunci ‘Kavadi carrying practice still not allowed’.
Tarikh Pada Berita Asal Telah Disunting
Kami temui artikel yang dilaporkan oleh The Star bertajuk Kavadi carrying not allowed during Thaipusam this year, says National Unity Minister.
Hasilnya, kami dapati bahawa kenyataan itu adalah kenyataan sama yang tular.
Laporan tersebut sememangnya menyatakan bahawa upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam kali ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Namun, ia bukanlah kenyataan daripada Dr Zaliha, sebaliknya kenyataan Datuk Halimah Mohamed Sadique yang merupakan bekas Menteri Perpaduan Negara.
Laporan The Star itu diterbitkan pada 12 Januari 2022.
Berdasarkan tarikh laporan itu diterbitkan, kami cuba mendapatkan tarikh hari Thaipusam pada 2022 dengan membuat carian di Google.
Kami dapati, tarikh bagi perayaan Thaipusam 2022 adalah pada Selasa, 18 Januari.
Ini bermakna laporan tersebut adalah berita mengenai SOP bagi membendung penularan Covid-19 ketika perayaan itu tahun lepas.
Malah, semakan lanjut MyCheck mendapati tarikh berita asal telah disunting.
Nama Menteri Turut Ditukar
MyCheck kemudian meneliti keseluruhan berita tular dan kandungannya didapati hampir sama.
Namun, selain tarikh yang disunting, kami dapati nama menteri yang memberi kenyataan berhubung SOP itu juga telah ditukar.
Berdasarkan berita yang disiarkan pada 12 Januari 2022 itu, kenyataan berhubung SOP dikeluarkan oleh Halimah, bukannya Dr Zaliha.
Berita asal telah disunting dan diletakkan nama Dr Zaliha yang baru sahaja dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada 2 Disember 2022.
Dr Zaliha Sahkan Berita Tular Adalah Palsu
Seterusnya, oleh kerana berita asal telah disunting dengan memetik nama Dr Zaliha, kami cuba mencari sebarang kenyataan atau maklum balas daripada Menteri Kesihatan itu.
Kami membuat semakan di media sosial milik Dr Zaliha dan kami menemukan hantaran di Instagram rasmi Dr Zaliha yang mengesahkan bahawa berita yang tular itu adalah palsu.
KESIMPULAN
Dakwaan bahawa Dr Zaliha mengeluarkan kenyataan berhubung SOP sambutan Thaipusam 2023 sebagaimana yang tular adalah tidak benar.
Berita asal telah disunting dengan menukar tarikh dan nama menteri yang memberi kenyataan.
Apa jua perayaan di negara ini pastinya dinantikan dengan penuh keterujaan.
Usahlah kita merencatkan kegembiraan masyarakat untuk menyambut perayaan masing-masing.
Tidak salah untuk berpesan-pesan tetapi jangan sampai memecah tuba yang bermaksud menyiarkan khabar atau berita yang mencemaskan orang mendengarnya.
Pesan kami di MyCheck, semak setiap butiran dan hantaran ketika anda menerima dan menyebarkan sebarang berita.
Pastikan ia adalah daripada sumber sahih dan rasmi barulah anda membuat sebarang perkongsian.
Jangan sebar melulu, MyCheck dulu!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.