+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video Laung Azan Dalam Ritual Agama Bukan Di Malaysia

Benarkah...

Video laung azan dalam ritual agama berlaku di Malaysia.

Sumber : WhatsApp / Januari 2023

Hasil

Video itu bukan berasal dari Malaysia. Ia dirakamkan di Kerala, India, ketika upacara perayaan Theyyam.

18/01/2023 04:52 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video seorang lelaki sedang melaungkan azan dalam sebuah ritual agama.
  • Kejadian itu dikatakan berlaku di Malaysia.
  • Video tersebut sebenarnya sebuah perayaan Theyyam yang diraikan di Kerala, India.
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sahkan video tular itu bukan berasal dari Malaysia.


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Unik dengan pelbagai kaum, agama dan adat resam, itulah keindahan Malaysia yang membentuk corak masyarakat sekali gus menjadi tunjang kedaulatan negara.

Saling hormat-menghormati terhadap agama juga adalah kunci paling signifikan bagi memupuk semangat cintakan negara pada masa sama memastikan negara dalam keadaan stabil, aman dan sentosa.

Namun, baru-baru ini terdapat pihak yang cuba memuat naik hantaran berbaur sensitif melibatkan isu 3R iaitu race (kaum), religion (agama) dan royalty (institusi diraja) yang boleh mengancam keselamatan negara.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima hantaran video menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan seorang individu sedang melaungkan azan dalam upacara keagamaan yang berlainan dengan agama islam.

Video terbabit tular di TikTok dan Facebook yang mana rata-rata pengguna media sosial mendakwa upacara keagamaan itu berlaku di Malaysia.

Menerusi video itu, kelihatan beberapa individu memakai kostum yang menyerupai satu agama lain dan individu yang melaungkan azan juga tidak berpakaian dengan sempurna.

Perkara ini pastinya boleh menimbulkan ketidakharmonian ramai kerana video terbabit mengandungi kandungan berbaur provokasi dan boleh menyentuh sensitiviti kaum atau agama lain.

Benarkah video itu berlaku di Malaysia? MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Carian Video Tular Di Internet

MyCheck mulakan semakan dengan memainkan semula video berkenaan bagi meneliti kandungan video itu.

Kami dapati video tersebut adalah upacara keagamaan yang memaparkan seorang lelaki sedang berdiri melaungkan azan manakala seorang individu memakai kostum seperti patung sedang duduk sambil diberi minuman oleh seorang lagi lelaki lain.

Oleh kerana video terbabit tular di media sosial, MyCheck membuat carian di platform media sosial seperti Facebook dan TikTok menggunakan kata kunci ‘laung azan ritual agama’.

Kami tidak menemukan video berkaitan, berkemungkinan ia telah dipadam.

MyCheck kemudian membuat carian di YouTube menggunakan kata kunci yang sama ‘video laung azan’.

Hasilnya, kami menjumpai video tular tersebut dengan tajuk ‘RITUAL APA NI SIAP AZAN SEKALI?’.

Pada video itu tertera kapsyen, ‘Ritual apa ni? Jika mereka bukan beragama Islam, kenapa laungkan azan?’.

Individu yang menulis kapsyen itu turut menggesa pihak berkuasa untuk membuat siasatan dengan segera sekiranya benar kejadian itu berlaku di Malaysia.

Video di YouTube berkenaan telah dimuat naik pada 15 Januari 2023.

 


Sumber: YouTube

 

Bagi membantu kami membuat semakan dengan lebih lanjut, kami menggunakan carian imej berbalik menggunakan InVid menerusi imej carian berbalik Google.

 


Sumber: Google Reverse Image

 

Hasilnya, kami dapati kebanyakan gambar kostum dalam video berkenaan seakan sama dengan kostum ritual keagamaan di India.

Carian di imej berbalik Google menunjukkan kostum yang dipakai dalam video tular tersebut adalah kostum yang digunakan ketika upacara perayaan Theyyam di India.

 

Upacara Theyyam di Kerala, India

Menurut portal iluminasi.com, mengikut kepercayaan Hindu, dewa-dewa Malabar (kawasan yang merangkumi Kerala, barat daya India) akan keluar berkeliaran pada setiap Disember.

Memetik Euro News, tradisi Theyyam dikatakan telah lama diamalkan bermula zaman neolitik dan sehingga kini perayaan tersebut masih diamalkan di wilayah Kerala, India.

Tradisi Theyyam ini juga diraikan dengan tarian istiadat yang diiringi alat muzik dan dikatakan terdapat lebih 400 seni kostum Theyyam yang pelbagai serta mempunyai gaya, muzik dan tarian mereka tersendiri.

Perayaan Theyyam juga antara perayaan yang unik kerana ia telah membalikkan hierarki sosial sistem kasta di India.

Penganut yang menyambut perayaan Theyyam ini akan berhias, menari sepanjang hari dan mengutuk kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang atasan seperti para pemerintah dan raja seperti yang dinyatakan di sini.

Walaupun perlembagaan India telah mengharamkan diskriminasi terhadap sistem kasta di India namun, ia masih wujud dalam kehidupan seharian masyarakat Hindu di India.

Theyyam adalah satu-satunya tradisi yang mana kasta tinggi memberi penghormatan atau sujud di kaki individu yang tergolong dalam kelompok kasta paling rendah atau lebih dikenali sebagai Dalit.

 

Kenapa Mereka Melaungkan Azan Seperti Penganut Islam?

Pasti ramai tertanya-tanya kenapa golongan ini melaungkan azan dalam upacara mereka.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci kami membuat carian di Facebook menggunakan kata kunci ‘theyyam muslim kerala’.

Hasilnya, kami menjumpai hantaran pengguna Facebook Harun Mohd Shah yang menyatakan bahawa video ini berlaku di Kerala, India yang mana suku kaum ini adalah muslim tetapi masih lagi mengamalkan ritual yang pelik.

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck turut menemukan laporan Times Now berhubung video tular terbabit yang menyatakan bahawa Theyyam adalah tarian ritual Hindu yang diamalkan di utara Kerala dan beberapa bahagian Karnataka, India.

Laporan yang sama turut menyatakan bahawa kebanyakan persembahan Theyyam menggambarkan kisah dongeng Hindu dan suku kaumnya, namun baru-baru ini terdapat klip  dikongsi di Twitter menunjukkan persembahan Theyyam dimulai dengan laungan azan.

Klip itu disiarkan menerusi akaun Twitter @AbbakkaHypatia pada 11 Januari lepas  berserta kapsyen ‘Kerala Theyyam with Islamic prayer said first. Our unity is centuries old’.

MyCheck membuat semakan di laman profil Twitter @AbbakkaHypatia bagi mengetahui latar belakang individu yang berkongsi ciapan itu.

Kami juga menggunakan aplikasi TruthNest bagi mendapatkan analisis Twitter individu berkenaan.

Hasilnya, kami mendapati individu itu aktif memuat naik ciapan mengenai isu-isu di India.

Malah, beliau juga adalah golongan anti kasta dan juga seorang penulis.

 


Sumber: TruthNest

 

MyCheck turut menemukan hantaran video yang dikongsi pengguna Twitter @mahendra3 berserta kapsyen menyatakan bagaimana upacara terkenal Theyyam telah disalahgunakan dan dirosakkan di Kerala.

 


Sumber: Twitter mahendra3

 

Beliau turut menyatakan bahawa ia adalah konspirasi komunis dan Islamis yang mengelirukan penganut Hindu dengan menjatuhkan upacara tradisi lama ini di Kerala.

Berdasarkan nama yang digunakan pengguna Twitter Mahendra Jain kami dapati terdapat logo India yang tertera pada nama akaun beliau.

Kami turut membuat semakan berdasarkan ciapan beliau di Twitter dan mendapati beliau adalah warga India dan juga seorang ahli politik di sana.

Ini bermakna video tular itu bukan kejadian di Malaysia tetapi di Kerala, India yang mana masyarakatnya meraikan perayaan Theyyam yang cukup terkenal itu.

 

Semakan Populasi

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci, MyCheck membuat semakan berkenaan kawasan Kerala yang dikatakan menjadi lokasi perayaan itu diadakan.

Kami membuat semakan melalui Google Earth bagi mendapatkan gambaran lokasi Kerala serta menelusuri satu portal iaitu India Online bagi mendapatkan maklumat populasi Kerala yang terkini.

 


Sumber: Google Earth

 

MyCheck dapati, setakat ini jumlah populasi terkini Kerala yang dilaporkan pada 2021 adalah 35,336,581 yang mana Hindu adalah agama yang paling dominan dengan 56 peratus manakala Islam adalah kumpulan kedua terbesar dengan populasi 24.7 peratus.

Maka, tidak hairanlah perkara berkaitan Islam wujud di Kerala memandangkan terdapat muslim di kawasan terbabit.

 

MCMC Sahkan Video Tular Bukan Kejadian Di Malaysia

Kami menemukan kenyataan rasmi di Facebook MCMC yang menjelaskan bahawa video tular lelaki laungkan azan dalam ritual agama bukan berlaku di Malaysia.

Menurut MCMC, hasil semakan yang dibuat ke atas video berkenaan mendapati bahawa ia berasal dari luar negara dan ditularkan semula seolah-olah berlaku di Malaysia.

Pihak MCMC menegaskan video sedemikian dilihat sebagai satu kandungan mengancam yang boleh mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat serta boleh digunakan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di Malaysia.

MCMC turut meminta orang ramai untuk tidak menokok tambah kapsyen yang bersifat spekulatif dan provokatif dan diminta untuk menyalurkan atau lapor kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Penjelasan MCMC itu turut disiarkan oleh portal semakan fakta sebenarnya.my dan media arus perdana.

 

KESIMPULAN

Dakwaan video tular lelaki laungkan azan dalam ritual agama berlaku di Malaysia adalah tidak benar.

Kejadian terbabit berlaku di Kerala, India yang mana video itu ditularkan semula oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan meletakkan kapsyen yang boleh menimbulkan kandungan berbaur provokatif.

Malah, pihak MCMC juga telah mengesahkan bahawa video tersebut bukan berasal di Malaysia.

Pesan kami di MyCheck, kita haruslah sentiasa menyemak setiap hantaran, video atau maklumat yang diterima, jangan cepat membuat kesimpulan awal tanpa memeriksa kesahihannya.

Sekiranya anda menerima kandungan yang mengancam ketenteraman awam, laporkan kepada pihak bertanggungjawab dengan segera.

Usahlah menjual tangkai pangkur dedap iaitu membawa cerita bohong atau tidak benar kepada orang ramai sehingga menimbulkan ketidakharmonian dalam negara.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. YouTube - Ritual apa ni siap azan sekali?

  2. Perayaan Theyyam - Satu-satunya Waktu di Mana Kasta Tinggi Sujud di Kaki Kasta Paling Rendah | Iluminasi

  3. How artists are keeping the ancient practice of Theyyam alive | Euronews

  4. What is India's caste system? - BBC News

  5. Facebook- Harun Shah 

  6. Twitter- @mahendra3

  7. Facebook MCMC

  8. Ritual Agama Melaungkan Azan Bukan Berlaku Di Malaysia | SEBENARNYA.MY

  9. 'Our unity is centuries old': Hindu ritualistic dance Theyyam begins with an Islamic prayer in Kerala [WATCH]

  10. Twitter -@AbbakkaHypatia

  11. Current Population of Kerala

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.