+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Kenyataan Rasmi Daripada Tabung Haji Berhubung Syarat Jemaah Haji 1444 Hijrah Perlu Lengkapkan Kesemua Vaksin COVID-19

Benarkah...

Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan syarat jemaah haji perlu melengkapkan kesemua vaksin COVID-19.

Sumber : WhatsApp / Januari 2023

Hasil

TH tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung syarat jemaah haji bagi tahun 2023.

02/02/2023 11:24 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu poster berhubung TH menetapkan syarat bagi jemaah haji iaitu perlu melengkapkan kesemua vaksin COVID-19.
  • Poster itu tertera tanda pagar #TutupAkaunTH dan #BoycottTabungHaji berikutan rata-rata rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan syarat terbabit.
  • Syarat yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi hanyalah jemaah haji bagi tahun 2023 perlu melengkapkan vaksin COVID-19 yang diluluskan.
  • Dakwaan timbul ekoran terdapat kekeliruan berkenaan kesemua dos vaksin atau hanya salah satu vaksin yang diluluskan.
  • Setakat ini, TH tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung syarat dan kriteria yang ditetapkan.


Sumber: Canva

 

LATAR BELAKANG

Tatkala kedengaran laungan talbiah, labaikallah humma labaik dilafazkan oleh jemaah haji, pastinya menyentuh tunjang hati dan sanubari insan yang bergelar muslim.

Rukun Islam yang kelima, ibadah haji wajib ditunaikan jika berkemampuan bagi umat Islam.

Apabila tiba musim haji, jemaah yang hadir dari seluruh negara kebiasaannya akan membuat persiapan dan mempelajari ilmu berkaitan sebelum menunaikan ibadah tersebut.

Namun, berikutan penularan wabak COVID-19, setiap negara mempunyai kuota dan syarat tertentu yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan urusan perjalanan ke tanah suci dan ibadah haji adalah teratur dan selamat.

Di Malaysia, ketetapan syarat bagi jemaah haji diumumkan daripada Tabung Haji mengikut pengesahan dan ketetapan daripada kerajaan Arab Saudi.

Tahun ini musim haji dijangka tiba pada Jun 2023.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima hantaran poster melalui aplikasi WhatsApp mendakwa TH menetapkan syarat bagi individu yang menunaikan ibadah haji iaitu perlu lengkap menerima vaksin COVID-19.

Poster tersebut menyatakan persoalan seperti ‘kita sendiri tak tahu berapa dos suntikan?’

Poster tersebut seakan menggesa orang ramai untuk menutup akaun simpanan TH kerana di bahagian bawah poster itu tertera tanda pagar #TutupAkaunTH dan #BoycottTabungHaji.

Malah, berdasarkan latar belakang gambar poster berkenaan terdapat bangunan TH berserta api yang marak di sekeliling bangunan terbabit.

Perkara ini menimbulkan persoalan serta kekhuatiran bagi umat Islam yang bakal mengerjakan haji bagi tahun 2023.

Benarkah TH membuat ketetapan sebegitu?

Jom, MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan membuat carian rawak di Facebook menggunakan kata kunci ‘tabung haji lengkap divaksin’.

Kami dapati terdapat banyak perkongsian orang ramai berhubung poster tular berkenaan.

Kami turut menemukan satu poster berserta kapsyen yang dimuat naik seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Susiyana Ispar menyatakan bahawa syarat untuk ibadah haji tahun ini adalah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

 


Sumber: Facebook

 

Kapsyen yang dikongsikan pengguna Facebook itu menyatakan bahawa individu yang menerima dua suntikan vaksin tidak layak untuk menunaikan ibadah haji kerana dianggap belum lengkap vaksin kerana tidak menerima suntikan dos penggalak (booster).

“Arab Saudi tidak lagi menetapkan syarat vaksinasi untuk masuk ke negara terbabit sebaliknya suntikan vaksin digalakkan. 

 

‘“Justeru, tindakan Tabung Haji adalah satu intimidasi kepada penyimpan selain telah menafikan hak untuk mengerjakan Ibadah Haji kerana tidak menerima vaksin COVID.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk membuat tindakan seperti,

“Apa tindakan anda?

A. berdiam diri dan biarkan Tabung Haji menetapkan peraturan bertujuan untuk memaksa ibu, bapa, datuk, nenek terima suntikan toksik.

B. mengambil tindakan drastik menutup akaun Tabung Haji dengan segera.

Tutup akaun Tabung Haji bukan keluarkan simpanan dan biarkan RM10 dalam akaun.

Tutup bermaksud tiada satu sen pun anda tinggalkan kepada Tabung Haji,”.

Perkara tersebut pastinya menimbulkan kemarahan kepada pendeposit atau individu yang mempunyai akaun simpanan TH berikutan syarat yang dikenakan bagi jemaah haji 2023.

 

Syarat Kelayakan Haji 1443/2022

Jika diimbas kembali ketika wabak COVID-19 melanda dunia sejak penghujung 2019, kita menyaksikan kerajaan Arab Saudi mengumumkan halangan sementara memasuki Makkah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah haji dan Umrah.

Seperti laporan MalaysiaGazette, kerajaan Arab Saudi turut mengurangkan jumlah jemaah haji dengan hanya membenarkan 60,000 rakyat dan pemastautin di Arab Saudi melaksanakan ibadah haji dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Bermula pasca pandemik COVID-19, jumlah kuota jemaah haji pada 2022 juga meningkat sebanyak 14,306 orang, begitu juga dengan syarat yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi sudah mula ada kelonggoran serta memberi ruang dan peluang bagi jemaah haji menunaikan ibadah tersebut.

Menurut Pra-Operasi Musim Haji 1443H/2022M Tabung Haji syarat menunaikan haji oleh kerajaan Arab Saudi  bagi jemaah haji tahun lepas adalah perlu melengkapkan tiga dos vaksin COVID-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi yang juga selaras dengan garis panduan dikeluarkan kerajaan Malaysia.

Selain itu jemaah haji juga diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin meningococcal yang diberikan secara percuma setelah lulus pemeriksaan kesihatan di fasiliti kesihatan kerajaan (Kementerian Kesihatan Malaysia).

 

Syarat Tunai Haji 1444 Hijrah Tahun 2023

Kami beralih pula ke YouTube untuk membuat semakan sekiranya ada perkongsian maklumat berkenaan isu terbabit.

Menggunakan kata kunci ‘jemaah haji lengkap divaksin’ kami menemukan laporan berita Buletin TV3 bertajuk ‘Jemaah Perlu Lengkap Semua Dos Vaksinasi Untuk Tunai Haji 1444’. 

Menurut laporan berkenaan, jemaah haji yang ingin menunaikan haji tahun ini dikehendaki melengkapkan semua dos vaksinasi COVID-19.

Perkara itu memetik kenyataan Kementerian Haji dan Umrah yang mana jemaah haji tahun ini juga perlu mendapatkan vaksin meningokokus dan vaksin influenza bermusim.

Laporan terbabit turut menyatakan Menteri Haji dan Umrah Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah mengumumkan kerajaan akan membatalkan semua syarat umur untuk jemaah haji selepas tiga tahun sekatan untuk mengekang kemungkinan penyebaran COVID-19.

Laporan TV3 itu diterbitkan pada 13 Januari 2023.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci kami menelusuri carian di Google dengan menggunakan kata kunci ‘hajj umrah arab saudi vaccine minister 2023’.

 


Sumber: ArabianBusiness

 

Hasilnya kami menemui artikel yang dilaporkan media antarabangsa ArabianBusiness menyatakan bahawa jemaah haji perlu melengkapkan kesemua dos vaksin COVID-19.

Namun, berlainan pula dengan laporan yang dinyatakan The siasat daily, bahawa Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi mengesahkan mereka yang merancang untuk menunaikan haji tahun ini perlu diimunisasi sepenuhnya dengan salah satu vaksin COVID-19 yang diluluskan.

 


Sumber: The Siasat Daily

 

MyCheck cuba mendapatkan kenyataan rasmi dari Kementerian Haji dan Umrah, kerajaan Arab Saudi, hasilnya kami menemui ciapan rasmi Kementerian Haji dan Umrah yang berkongsi infografik berhubung ketetapan syarat jemaah haji 1444 hijrah bagi 2023.

 


Sumber: Twitter Kementerian Haji dan Umrah

 

Antara ketetapan yang digariskan dalam infografik berkenaan adalah melengkapkan vaksin yang diluluskan termasuk COVID-19, meningitis dan influenza bermusim termasuk jemaah tidak boleh mempunyai penyakit kronik.

Berdasarkan dapatan maklumat, kita dapat lihat terdapat kenyataan yang mengelirukan yang menyatakan bahawa jemaah haji perlu melengkapkan kesemua dos vaksin COVID-19, namun ada juga yang menyatakan bahawa jemaah perlu melengkapkan salah satu vaksin COVID-19 yang diluluskan.

Malah, berdasarkan kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah, ia hanya menyatakan melengkapkan vaksin COVID-19 yang diluluskan.

Jadi apakah sebenarnya dos vaksin yang dimaksudkan?

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak atau lebih dikenali sebagai PICK-B bermula pada 13 Oktober 2021 berikutan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses COVID-19 bagi pemberian dos penggalak kepada penerima yang telah lengkap divaksin.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyarankan pemberian dos penggalak kepada bakal jemaah untuk musim haji tahun 1433 hijrah iaitu pada tahun lepas (2022).

Berdasarkan kenyataan KKM yang anda boleh lihat di sini, ia selaras dengan ketetapan oleh kerajaan Arab Saudi bahawa semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas dan mengesyorkan pengambilan dos penggalak.

KKM juga turut menyarankan dos penggalak pertama kepada semua jemaah yang bakal menunaikan ibadah mereka manakala dos penggalak kedua bagi golongan yang berisiko.

Berdasarkan ketetapan syarat Kerajaan Arab Saudi tahun lepas, ia hanya mengesyorkan dan bukan diwajibkan untuk bagi kedua-dua dos penggalak dikenakan kepada jemaah.

Namun, setakat laporan ini ditulis hasil carian kami masih tidak menjumpai sebarang perincian berkenaan syarat dan kriteria bagi dos vaksin yang dikenakan bagi jemaah haji bagi tahun ini.

 

Kenyataan Rasmi TH

MyCheck seterusnya cuba mendapatkan kenyataan rasmi daripada pihak TH berhubung isu tersebut.

Setelah kami menelusuri portal rasmi TH kami dapati laman web TH ada menyediakan sembang langsung (live chat) bersama Haji Adam.

 


Sumber: Haji Adam

 

Platform sembang langsung itu adalah bertujuan orang ramai bertanyakan soalan berkaitan TH.

MyCheck bertanyakan kepada Haji Adam berkenaan poster dan kenyataan TH yang tular, menurut Haji Adam buat masa ini TH belum mengeluarkan sebarang tawaran haji kerana masih menunggu pegesahan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan syarat terkini menunaikan haji 2023.

Kami juga turut bertanyakan sekiranya TH ada mengeluarkan kenyataan rasmi yang boleh dirujuk berkenaan syarat.

Menurut Haji Adam, hebahan rasmi akan dilakukan dalam laman media sosial rasmi TH.

Kami beralih pula ke media sosial seperti Facebook dan Twitter bagi mencari maklumat rasmi daripada TH berkenaan kenyataan syarat tunai TH bagi ibadah haji 2023.

Hasilnya, kami menemui kenyataan di Twitter Tabung Haji yang menjelaskan bahawa maklumat tular di media sosial ini adalah palsu.

 


Sumber: Twitter Tabung Haji

 

TH juga menasihati para pendeposti dan bakal haji dinasihati untuk sentiasa merujuk kepada pihaknya bagi mendapatkan maklumat tepat.

Ciapan rasmi TH itu disiarkan pada 25 Januari lepas.

Selain itu kami juga turut menemui laporan Harian Metro  berhubung kenyataan TH yang mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan mesej palsu berhubung syarat kelayakan jemaah haji tahun ini yang tular di media sosial.

Artikel tersebut turut memetik kenyataan Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman yang menyatakan pihaknya akan mengumumkan kriteria dan syarat kesihatan jemaah haji antarabangsa bagi musim haji 1444H/2023M selepas kerajaan Arab Saudi membuat ketetapan.

Ini bermakna setakat ini Tabung Haji masih tidak keluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung syarat dan kriteria kesihatan jemaah haji bagi tahun ini.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan yang tular itu adalah bercampur berikutan kenyataan kerajaan Arab Saudi hanya menyatakan jemaah haji perlu melengkapkan dos vaksin COVID-19 namun tidak diberi perincian berhubung vaksin COVID-19 yang dimaksudkan.

Ia susulan Malaysia juga mempunyai dos tambahan iaitu dos penggalak yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia khususnya bagi individu yang berisiko.

Namun, setakat ini tiada keterangan lanjut daripada TH berhubung kriteria dan syarat kesihatan jemaah haji berikutan pihak TH hanya akan mengumumkan syarat itu selepas kerajaan Arab Saudi membuat ketetapan.

Kami faham, apabila melibatkan syarat jemaah haji oleh kerajaan Arab Saudi  ia bermakna ketetapan itu diguna pakai untuk semua negara yang menghantar jemaah haji termasuklah Malaysia.

Bagaimanapun, kita perlu memahami bahawa selagi tiada kenyataan rasmi daripada pihak TH sendiri atau pihak berwajib berkaitan, maka kita tidak sewajarnya membuat kesimpulan awal.

Justeru, kita perlu mendalami sesuatu sumber maklumat yang diterima dan pastikan maklumat itu adalah saling berkait antara satu sama lain.

Dalam konteks ini, kita dapat lihat terdapat kekeliruan yang boleh mencetuskan ketidakfahaman individu dalam memahami sesuatu maklumat yang disampaikan.

Bahkan, jika kita diteliti dengan lebih mendalam, kenyataan rasmi dari kerajaan Arab Saudi adalah umum, tiada perincian yang jelas bagi rakyat Malaysia yang mempunyai dos tambahan seperti dos penggalak.

Oleh itu, pesan kami di MyCheck adalah tunggu dahulu kenyataan rasmi daripada TH barulah kita boleh membuat penilaian berdasarkan fakta yang jelas.

Janganlah kita pasang masuk muara yang bermaksud terlalu mudah mencela atau mengeluarkan kata-kata tanpa membuat pertimbangan sehingga memboikot pihak yang salah.

-- MYCHECK --

 

RUJUKAN

  1.  Facebook Susiyana Ispar

  2. Jemaah Perlu Lengkap Semua Dos Vaksinasi Untuk Tunai Haji 1444’

  3. Saudi Hajj 2023 pilgrims need Covid-19 shots: Report - Arabian Business

  4. Haj 2023: COVID-19 vaccination must; Know registration rules

  5. Twitter - Kementerian Haji dan Umrah 

  6. SARANAN PEMBERIAN DOS PENGGALAK KEPADA BAKAL JEMAAH UNTUK MUSIM HAJI TAHUN 1433 HIJRAH / 2022 MASIHI | COVID-19 MALAYSIA

  7. Live Chat Tabung Haji 

  8. Twitter-Tabung Haji

  9. Dos penggalak syarat kelayakan tunai haji tular di media sosial adalah palsu

  10. Tangguh haji ketika wabak untuk elak kemudaratan

  11. Pra-Operasi Musim Haji 1443H/2022M

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.