+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ketiadaan Logo SIRIM Pada Bungkusan Marjerin Seri Pelangi Adalah Kesilapan Ketika Pengeluaran Pembungkusan Baharu

Benarkah...

Marjerin jenama Seri Pelangi tiada logo SIRIM.

Sumber : WhatsApp / Februari 2023

Hasil

Syarikat Delima Oil Products Sdn Bhd terlepas pandang untuk meletakkan logo SIRIM semasa pertukaran label pembungkusan (berwajah baharu). Marjerin tanpa logo SIRIM itu bagaimanapun adalah tulen.

12/02/2023 02:59 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu hantaran berhubung marjerin Seri Pelangi tiada sijil SIRIM.
  • Tekstur marjerin itu didakwa kesat dan berketul, tidak seperti biasa.
  • Makanan yang dihasilkan menggunakan marjerin tersebut juga dikatakan menjadi keras.
  • Syarikat Delima Oil Products Sdn Bhd memaklumkan terdapat sedikit kesilapan dalam proses pengeluaran bungkusan baharu marjerin Seri Pelangi yang dibuat tanpa logo SIRIM.
  • Pihaknya telah mengambil langkah segera dengan meletakkan semula logo SIRIM tersebut bagi pembungkusan yang baharu.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Berwarna kekuningan yang rupanya seperti mentega, marjerin adalah bahan utama dalam pelbagai resepi makanan.

Diperbuat daripada lemak sayur dan binatang yang diemulsi dengan susu, garam, serta vitamin, marjerin bagaikan sudah sebati dengan selera menjadikan ia sering menjadi keperluan dalam masakan.

Menu makanan pagi kegemaran rakyat Malaysia, roti canai sudah tentu lebih berlemak dan lembut jika diuli dengan marjerin.

Kuih dan biskut raya pula apalah maknanya tanpa marjerin.

Apam balik pelbagai perisa lebih menarik dan wangi jika disapu marjerin.

Burger Malaysia yang dijual di gerai tepi jalan juga lebih jelira dengan marjerin.

Namun, baru-baru ini terdapat hantaran menyatakan kualiti marjerin jenama pilihan ramai khususnya rakyat Malaysia tidak seperti dahulu.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima hantaran melalui aplikasi WhatsApp berhubung marjerin jenama Seri Pelangi tidak mempunyai logo SIRIM.

Hantaran tersebut menyatakan bahawa kualiti marjerin jenama itu kini tidak seperti dahulu apabila ia keras, kesat dan berketul.

Hantaran  itu jug memaklumkan tiada logo SIRIM yang tertera pada bungkusan marjerin terbabit.

Perkara itu pastinya menimbulkan kekeliruan ramai sama ada marjerin tersebut adalah tulen atau selamat digunakan.

Benarkah dakwaan itu? Jom ikut MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck membuat semakan di Facebook untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berhubung hantaran tular itu.

Menggunakan kata kunci ‘marjerin tiada SIRIM’, kami dapati terdapat banyak hantaran dimuat naik berhubung isu terbabit.

Seterusnya kami menggunakan kata kunci ‘marjerin seri pelangi’ dan menemukan hantaran pengguna Facebook dengan nama akaun Khirul Izwan di ‘Group Penebar Roti Canai’.

Pengguna Facebook tersebut berkongsi gambar marjerin yang berketul berserta kapsyen yang bertanyakan kepada umum sekiranya ada sesiapa mempunyai masalah yang sama seperti beliau.

 


Sumber: Facebook

 

Beliau bertanyakan apakah cara untuk menyelesaikan marjerin berketul tersebut  dan apakah jenama marjerin yang bagus untuk digunakan.

Pengguna Facebook itu tidak menyatakan mana-mana jenama marjerin.

Bagaimanapun semakan lanjut kami menemukan hantaran yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Cik Yat yang menyatakan bahawa beliau turut mengalami masalah apabila kualiti marjerin yang baru sahaja dibelinya tidak sama seperti sebelum ini.

Menurut pengguna Facebook itu, beliau telah membeli marjerin jenama Seri Pelangi iaitu jenama yang biasa digunakannya, namun kali ini tekstur marjerin itu kesat dan kasar serta telah menyebabkan roti yang dibuatnya keras tidak seperti biasa.

Beliau kemudian telah membeli marjerin jenama sama yang baharu dan menyemak serta membuat perbandingan pada bungkusan sebelum mendapati bungkusan marjerin yang teksturnya kesat itu tidak memiliki cop SIRIM.

 


Sumber: Facebook

 

Namun benarkah tiada logo SIRIM pada bungkusan marjerin itu?

Bagi mendapatkan pencerahan yang lebih jelas berkenaan isu tersebut, kami menelusuri latar belakang syarikat yang mengeluarkan marjerin Seri Pelangi ini.

 

Delima Oil Products Sdn Bhd

Delima Oil Products Sdn Bhd adalah anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang berteraskan tiga operasi perniagaan iaitu penapisan minyak sawit, pengilangan produk minyak sawit yang diproses dan pengedaran produk perindustrian dan pengguna.

Antara barangan pengguna yang dihasilkan adalah jenama Seri Pelangi, Adela, Tiga udang dan lain-lain.

Menurut laman sesawang rasmi Delima Oil Products Sdn Bhd , syarikat itu mematuhi kod amalan pemprosesan dan penapisan minyak sawit serta Akta Makanan Malaysia 1983.

Bahkan syarikat ini juga tertakluk kepada akreditasi seperti Pensijilan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pensijilan HACCP dan GMP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Pensijilan ISO 9001:2015 oleh SIRIM Qas.

Ini bermakna, syarikat ini sememangnya mempunyai pengiktirafan daripada SIRIM dalam memastikan kualiti barangan yang dihasilkan.

Namun apa pula sijil SIRIM ini?

 

Lesen Pensijilan Barangan SIRIM

SIRIM yang dikenali sebagai Standard of Industrial and Research Institute Malaysia adalah satu-satunya organisasi pensijilan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada 1975.

Ia juga tertakluk di bawah Akta SIRIM (Incorporation) 157, yang mana badan ini bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai disiplin terutamanya teknologi di Malaysia.

SIRIM juga menjalankan kajian dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penyelewengan yang berlaku dari segi kualiti dan keselamatan produk.

Setiap kilang dan syarikat yang beroperasi di Malaysia dibenarkan memohon SIRIM serta menggunakan set piawaian yang ditetapkan untuk mendapat pengiktirafan bagi produk memasuki pasaran.

Pensijilan SIRIM kebiasaannya dikaitkan dengan produk atau barangan elektrik dan elektronik dan rata-rata rakyat Malaysia pastinya meyakini kualiti dan keselamatan sesuatu produk itu sekiranya ada sijil SIRIM.

Bukan sahaja produk kecantikan, malah barangan pengguna seperti makanan juga kebiasaannya mendapat sijil SIRIM sekiranya syarikat produk itu berdaftar dengan SIRIM.

Berdasarkan laman sesawang Delima Oil Products Sdn Bhd, syarikat tersebut mendapat akreditasi pensijilan ISO 9001: 2015 SIRIM QAS.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, kami mengambil inisiatif untuk turun padang sendiri bagi melihat bungkusan terkini marjerin Seri Pelangi.

Hasil tinjauan MyCheck di pasar raya berdekatan mendapati kesemua bungkusan marjerin Seri Pelangi yang baharu (terkini) mempunyai logo SIRIM.

 


Sumber: MyCheck

 

Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 (QMS)

Menurut SIRIM, ISO 9001 adalah piawaian yang paling banyak digunakan dan diiktiraf untuk sistem pengurusan kualiti di peringkat antarabangsa.

Tidak kira saiz atau sektor industri, SIRIM bertanggungjawab untuk mengaudit dan menambah baik sistem pengurusan yang mana sijil ISO 9001 ini memastikan produk dan perkhidmatan adalah berkualiti dan menenuhi keperluan pelanggan serta piawaian industri.

Berbalik kepada isu marjerin jenama Seri Pelangi tiada cop SIRIM, MyCheck mendapati setiap syarikat yang berhasrat mendapatkan pensijilan MS 1900 perlu memastikan syarikat itu memenuhi kriteria kelayakan untuk pensijilan khusus setiap skim.

 


Sumber: Panduan Pensijilan SIRIM

 

Berdasarkan laporan panduan untuk pensijilan SIRIM, syarikat boleh menarik diri atau tidak daripada mana-mana skim pensijilan syarikat serta memastikan bahawa semua pengiklanan yang merujuk kepada sijil dihentikan.

Bukan sahaja syarikat boleh menarik diri namun SIRIM juga boleh menggantung pensijilan SIRIM QAS syarikat di bawah beberapa keadaan dan situasi antaranya :

  1. Sistem pengurusan organisasi yang diperakui secara berterusan atau serius gagal memenuhi keperluan pensijilan, termasuk keperluan untuk keberkesanan sistem pengurusan.
  2. Organisasi yang diperakui tidak membenarkan Audit Pengawasan atau Pensijilan Semula dijalankan pada frekuensi yang diperlukan.
  3. Organisasi yang diperakui telah secara sukarela meminta penggantungan pensijilannya.
  4. Organisasi yang diperakui gagal mengambil tindakan pembetulan untuk ketidakakuran yang dibangkitkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
  5. Organisasi yang diperakui telah tersilap membuat rujukan kepada status pensijilannya atau penggunaan sijil, tanda atau laporan audit yang mengelirukan.
  6. Organisasi yang diperakui melanggar keperluan kontrak pensijilan.

Organisasi yang pensijilannya digantung perlu dikehendaki mengambil tindakan pembetulan diperlukan sebelum tamat tempoh penggantungan.

Kegagalan menyelesaikan isu-isu dengan memuaskan akan mengakibatkan penarikan balik pensijilan. Organisasi boleh membuat rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan menggantung atau menarik balik sijil.

Persoalanya di antara situasi manakah yang menyebabkan marjerin jenama pelangi itu tidak memperoleh sijil SIRIM?

 

Kenyataan Pihak Seri Pelangi

MyCheck menemukan kenyataan rasmi daripada pihak Seri Pelangi di Facebook.

 


Sumber: Facebook SERI PELANGI

 

Menurut Syarikat Delima Oil Products Sdn Bhd, terdapat sedikit kesilapan dalam proses pengeluaran bungkusan baharu marjerin Seri Pelangi yang dibuat tanpa logo SIRIM.

Pihak mereka menyatakan bahawa orang ramai tidak perlu khuatir kerana kedua-dua produk tersebut adalah produk tulen keluaran Delima Oil Products Sdn Bhd dan memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah segera dengan meletakkan semula logo SIRIM tersebut bagi pembungkusan yang baharu.

Pihaknya juga menzahirkan permohonan maaf atas kekeliruan yang berlaku.

MyCheck juga turut menemukan hantaran pengguna Facebook menggunakan nama akaun Aniefariq Amran yang berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp antara beliau dengan perkhidmatan pelanggan Delima Oil Products Sdn Bhd.

Beliau telah menghubungi pihak tersebut menerusi WhatsApp dan bertanyakan mengenai ketulenan marjerin yang tiada sijil SIRIM sama ada ia adalah produk asli atau tidak.

Pihak berkenaan kemudian telah menjawab pertanyaan pengguna tersebut dengan menyatakan bahawa syarikat telah terlepas pandang untuk meletakkan logo SIRIM semasa pertukaran label (berwajah baharu), bagaimanapun pihaknya telah mengambil langkah segera dengan meletakkan semula logo itu.

Bagi kesemua pembungkusan baharu, kesemuanya mempunyai logo SIRIM.

 


Sumber: Facebook

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan marjerin tiada cop atau logo SIRIM pada label pembungkusan adalah benar.

Ia berikutan kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh pihak syarikat  yang menyatakan terdapat kesilapan dalam proses pengeluaran bungkusan baharu marjerin Seri Pelangi.

Pihak berkenaan juga turut memaklumkan telah mengambil langkah segera dengan meletakkan semula logo tersebut pada kesemua bungkusan marjerin yang berwajah baharu.

Malah berdasarkan laporan panduan pensijilan SIRIM, syarikat atau organisasi yang mendaftar sijil SIRIM perlu melalui pelbagai lapisan kriteria dan sekiranya terdapat kesilapan, pihak syarikat perlu mengambil tindakan pembetulan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kesemua produk marjerin Seri Pelangi yang baharu mempunyai logo dan sijil SIRIM yang diakui.

Sebagai pengguna yang bijak, sebelum membeli sebarang barangan atau produk pastikan kita menyemak terlebih dahulu setiap kandungan termasuk sijil-sijil yang diiktiraf.

Bukan sahaja sijil halal, malah sijil yang diperakui dari segi kualiti dan keselamatan pembuatan juga perlu dilihat agar dapat memastikan barangan yang dibeli adalah selamat.

Pesanan kami di MyCheck,  jangan kita merempuh sarang lebah iaitu mencari bahaya sedangkan sudah ada penjelasan yang tersedia sebelum membuat sebarang pembelian.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Facebook - Khirul Izwan

  2. Facebook - Cik Yat

  3. Delima Oil Products Sdn Bhd

  4. Delima Oil Products Sdn Bhd Accreditation

  5. ISO 9001: 2015 SIRIM. 

  6. SIRIM

  7. pensijilan SIRIM

  8. Facebook - Delima Oil Products Sdn Bhd 

  9. Facebook - Aniefariq

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.