+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Haiwan Ternakan Disuntik Vaksin COVID-19? TIDAK, Ia Adalah Dakwaan Kitar Semula

Benarkah...

Haiwan ternakan akan disuntik vaksin COVID-19 dan vaksin berkenaan berpindah masuk ke tubuh manusia yang memakan daging haiwan tersebut.

Sumber : Laman sesawang / Februari 2023

Hasil

Suntikan vaksin COVID-19 tidak dibenarkan ke atas haiwan ternakan. Dakwaan berkenaan merupakan isu lama yang ditularkan semula.

17/02/2023 02:15 PM

SEKILAS FAKTA

  • Seorang doktor perubatan dari Amerika Syarikat, Dr Robert Malone mendakwa vaksin mNRA yang disuntik ke atas haiwan ternakan akan berpindah kepada manusia yang memakan haiwan tersebut.
  • Pakar sahkan dakwaan berkenaan tidak benar.
  • Suntikan vaksin COVID-19 tidak dibenarkan ke atas haiwan ternakan.
  • Haiwan ternakan kebiasaannya menerima pelbagai jenis suntikan vaksin bagi melindungi mereka daripada penyakit berjangkit namun vaksin tersebut tidak pernah berpindah kepada manusia yang memakan daging haiwan itu.
  • Isu berkenaan adalah isu lama kerana pernah ditularkan sebelum ini.


Sumber: garden-ms.desigusxpro.com

 

LATAR BELAKANG

Jutaan nyawa manusia terkorban akibat pandemik COVID-19.

Selain manusia, pelbagai jenis haiwan seperti harimau, singa dan anjing turut dilaporkan menjadi korban jangkitan COVID-19 sehingga ada pihak yang mencadangkan bahawa haiwan-haiwan tertentu disuntik dengan vaksin tersebut bagi mengelakkan mereka dijangkiti virus berkenaan.

Pengenalan vaksin COVID-19 pada 2020 memberi sinar harapan kepada bidang kesihatan global dalam membendung penularan jangkitan virus berkenaan, sekali gus membolehkan manusia menjalani kehidupan normal seperti biasa.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang doktor perubatan dari Amerika Syarikat, Dr Robert Malone mendakwa vaksin mNRA (Messenger Asid Ribonukleik) yang dibangunkan oleh beberapa syarikat farmaseutikal akan disuntik ke atas haiwan ternakan dan haiwan ‘peneman’ seperti anjing dan kucing.

Menerusi laporan sebuah portal berita bebas dari Amerika Syarikat, worldtribune.com, Dr Malone yang juga merupakan seorang penyelidik penyakit berjangkit mendakwa vaksin mRNA akan berpindah masuk ke dalam badan manusia yang memakan haiwan ternakan berkenaan.

Dakwaan berkenaan dikeluarkan berdasarkan satu artikel yang diterbitkan dalam sebuah platform dalam talian yang terkenal di Amerika Syarikat dikenali sebagai substack.com.

 


Sumber: substack.com

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Vaksin mRNA?

Sebelum kami membuat semakan lanjut, kita perlu mengetahui  mengenai apakah itu vaksin mNRA dan fungsinya?

Menurut laman sesawang Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, vaksin pengutus RNA atau messenger RNA (mRNA) adalah vaksin COVID-19 pertama diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan vaksin pertama yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Vaksin ini menggunakan pendekatan baharu untuk melawan penyakit yang disebabkan oleh virus atau bakteria, iaitu dengan menggunakan mRNA.

Tugas mRNA adalah untuk menyalin resipi ramuan pembuatan protein penting yang menyebabkan berlakunya sesuatu penyakit sebelum ia membawa resipi ramuan itu ke ribosom sel.

Ribosom sel akan membaca ramuan tersebut dan akan menghasilkan protein yang berfungsi untuk mengaktifkan sistem pertahanan badan.

Vaksin mRNA mengandungi resipi ramuan protein utama virus SARS-CoV-2 iaitu protein spike agar sel dalam badan manusia boleh menghasilkan protein spike sendiri bagi mengajar sistem imun badan untuk mengenali protein ini.

Seterusnya, sistem imun akan melatih pasukannya untuk bertindak balas terhadap protein tersebut yang mana antibodi terhadap protein ini akan terhasil.

 


Sumber: Kampus Kesihatan HUSM Kubang Kerian

 

Jenis-Jenis Vaksin Di Malaysia

Terdapat beberapa jenis vaksin COVID-19 yang digunakan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diperkenalkan pada 2021 oleh kerajaan untuk menggalakkan rakyat di negara ini mengambil vaksin bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.

Memetik laman sesawang MySejahtera, vaksin-vaksin berkenaan adalah vaksin mRNA keluaran Pfizer-BioNtech (Amerika Syarikat), vaksin viral vector keluaran AstraZeneca (United Kingdom), vaksin inactivated keluaran Sinovac dan vaksin recombinant viral vector keluaran CanSinoBIO (kedua-duanya dari China) dan vaksin viral vector keluaran Gamaleya (Rusia).

Kesemua vaksin berkenaan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat setelah dinilai secara terperinci oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA) dan diluluskan pendaftaran oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan Malaysia.

 


Sumber: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan MySejahtera

 

Adakah Vaksin Di Malaysia Selamat Digunakan?

Sejak PICK diperkenalkan pada 2021, ramai pihak yang meragui tahap keselamatan vaksin yang disuntik ke dalam badan manusia sehingga ada di antara mereka yang memboikot pengambilan vaksin selain membuat atau berkongsi fakta yang tidak tepat sehingga mengelirukan pihak lain.

Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam yang dipetik menerusi laporan Berita Harian menegaskan apa saja vaksin diluluskan NPRA adalah selamat digunakan di negara ini.

Dr Mohd Ghows mendedahkan disebabkan COVID-19, teknologi pengutus RNA (mRNA) yang wujud beberapa tahun lepas telah digunakan untuk pembangunan vaksin dan ia terbukti selamat serta berkesan.

Merujuk kepada vaksin Pfizer dan Moderna yang menggunakan teknologi mRNA serta mencapai kadar keberkesanan melebihi 95 peratus, beliau berkata teknologi itu jauh lebih mudah dan cepat untuk dibuat (turutan) sambil menambah bagi jangka masa panjang, vaksin itu berkemungkinan lebih murah dihasilkan melalui kaedah mRNA.

"Satu perkara yang sebenarnya dilakukan COVID-19 ini adalah, ia merevolusikan teknologi mRNA kerana sebelum ini masyarakat meragui mRNA, namun beberapa vaksin pertama dikeluarkan adalah daripada vaksin mRNA, yang menunjukkan keberkesanan sangat tinggi iaitu Pfizer dan Moderna.

"Sebagai contoh, vaksin baharu mRNA dapat dihasilkan dalam masa kira-kira enam minggu. Begitulah cepatnya kita dapat mengubah turutan mRNA mengikut kepelbagaian varian.

Beliau menjelaskan mRNA bersifat sintetik dan para saintis boleh menganalisis turutan dan membuat yang baharu berdasarkan varian yang kita mahukan selain memaklumkan lebih banyak vaksin akan menggunakan teknologi mRNA kerana ia cepat, murah dan sangat selamat.

 

Dakwaan Dr Malone Adalah Palsu

Kembali kepada dakwaan yang dikeluarkan oleh Dr Malone, adakah ia benar atau sebaliknya?

Walaupun Dr Malone merupakan seorang doktor perubatan, teori atau dakwaan beliau sebenarnya boleh dipertikaikan kerana ia tidak disertakan dengan bukti saintifik yang kukuh.

Menariknya, kami menemukan sebuah laman sesawang semakan fakta iaitu factcheck.org yang mengeluarkan satu laporan semakan fakta berhubung isu berkenaan pada 2021 dan menjelaskan isu berkenaan merupakan sebuah “meme” yang telah ditularkan sejak beberapa tahun lepas.

Menurut laman sesawang iluminasi.com, perkataan “meme” mula digunakan oleh seorang ahli biologi dari Britain, Richard Dawkins pada 1976 sebagai salah satu cara untuk menyampaikan pandangan mengenai sesuatu isu yang tular di Internet.

Seorang lelaki dikenali sebagai @ogdachief.ali pernah berkongsi satu hantaran Instagram pada 2021 yang berbunyi seperti berikut:

“If you are eating farm raised meat the animal are being vaxxed so u r vaxxed,”

Terjemahannya berbunyi seperti berikut :

“Jika anda memakan daging haiwan dari ladang yang sudah divaksin, anda sebenarnya sudah divaksin,”.

 


Sumber: factcheck.org

 


Sumber: factcheck.org

 

Mitos Mengenai Vaksin COVID-19 Sudah Lama Bertebaran

Sebenarnya, mitos atau salah faham mengenai vaksin COVID-19 sudah lama bertebaran di alam maya dan ada sebahagian daripada dakwaan tersebut muncul sebelum wujudnya COVID-19 pada 2019.

Malahan kami sendiri pernah menerbitkan beberapa laporan mengenai perkara tersebut bagi memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat umum di negara ini mengenai kebaikan pengambilan vaksin COVID-19.

Antaranya adalah laporan bertajuk Tiada Bukti Sahkan Varian XBB Lima Kali Ganda Lebih Berbahaya Daripada Varian Delta Dan Sebabkan Jangkitan Lebih Serius, Tiada Bukti Sahkan Dakwaan Gabungan Virus Covid-19, Vaksin Dan Cacar Monyet Wujudkan Varian Baharu AIDS dan  Vaksin Moderna TIDAK Mengandungi Racun Perosak. Ia Selamat Digunakan Untuk Tujuan Vaksinasi.

 

Pandangan Pakar

Profesor Klinikal di Jabatan Veterinar dan Sains Bioperubatan Pennsylvania State University Dr Suresh Kuchipudi menerusi laman sesawang factcheck.org memaklumkan tiada negara di dunia yang menyuntik vaksin COVID-19 ke atas haiwan ternakan.

Menurut Dr Kuchipudi, menyuntik vaksin COVID-19 ke atas haiwan itu adalah satu perkara yang mustahil berlaku.

Mengulas lanjut beliau berkata haiwan ternakan sebelum ini telah disuntik pelbagai jenis vaksin bagi tujuan perlindungan daripada sebarang penyakit berjangkit namun tiada antara haiwan itu memindahkan vaksin yang diterima kepada manusia yang memakan daging ternakan tersebut.

Jurucakap Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Pertanian Haiwan dan Tumbuhan (APHIS) Lyndsay Cole turut memaklumkan bahawa di Amerika Syarikat, penggunaan vaksin COVID-19 ke atas haiwan ternakan adalah tidak dibenarkan dan tiada cadangan daripada pihak berkuasa negara berkenaan untuk menyuntik vaksin COVID-19 ke atas haiwan ternakan.

Pengarah Institut Imunologi Sekolah Perubatan Perelman Universiti Pennsylvania John Wherry menegaskan dakwaan Dr Malone tidak mungkin berlaku kerana sebaik sahaja vaksin mRNA memasuki badan manusia, ia akan terus kekal dan tidak tersebar ke tempat lain.

Lebih menarik, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menerusi laman sesawangnya turut menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan haiwan memainkan peranan signifikan dalam menyebarkan virus COVID-19 kepada manusia.

CDC memaklumkan walaupun terdapat beberapa laporan mengenai haiwan mamalia menyebarkan virus COVID-19 kepada manusia disebabkan mereka berhubung rapat di antara satu sama lain, namun kes sedemikian jarang dilaporkan.

Bagaimanapun, CDC mendedahkan mereka menerima laporan bahawa terdapat beberapa kategori haiwan yang terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 setelah berhubung rapat dengan pelbagai individu termasuk pemilik haiwan, penjaga zoo dan sebagainya.

Antara haiwan yang terdedah dengan risiko jangkitan COVID-19 adalah haiwan peneman seperti anjing, kucing, hamster dan ferrets (sejenis haiwan mamalia kecil yang tergolong sebagai haiwan karnivor).

Selain itu, golongan haiwan lain yang turut terdedah dengan risiko jangkitan COVID-19 adalah haiwan yang kebiasaanya diletakkan di dalam kawasan zoo atau tempat perlindungan haiwan seperti beberapa jenis kucing bersaiz besar termasuk harimau, singa, harimau bintang salji serta beberapa hidupan liar seperti rusa berekor putih, rusa mule dan sejenis haiwan dikenali sebagai Marmoset yang berasal daripada spesies monyet.

Kami cuba mencari akaun Instagram lelaki berkenaan namun ia dipercayai sudah dipadam.

Bagaimanapun kami berjaya mendapatkan tangkap layar mengenai dakwaan lelaki tersebut yang dikongsikan oleh factcheck.org.

Dalam erti kata mudah, lelaki berkenaan mendakwa sekiranya seseorang individu memakan daging, maka individu berkenaan seolah-olah sudah menerima suntikan vaksin.

Kami mendapati dakwaan Dr Malone dan hantaran Instagram yang dibuat oleh lelaki berkenaan membawa maksud yang sama.

 


Sumber: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat

 

Badan Semakan Fakta Sahkan Dakwaan Dr Malone Palsu

Kami mendapati beberapa badan semakan fakta luar negara turut membuat semakan mengenai dakwaan dikeluarkan oleh Dr Malone dan mengesahkan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Hal ini berdasarkan pandangan daripada beberapa pakar perubatan dan saintis yang terlibat dalam penyelidikan mengenai jangkitan penyakit dan wabak seperti COVID-19.

Antara badan semakan fakta itu adalah Mafindo dan Kumparan.com dari Indonesia selain AFP Fact Check.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan Dr Malone adalah tidak benar kerana kebanyakan negara di dunia tidak membenarkan suntikan vaksin COVID-19 dilakukan ke atas haiwan ternakan termasuk di negara ini.

Malahan teori atau dakwaan yang dikeluarkan oleh Dr Malone sentiasa dipertikaikan oleh pakar perubatan dan saintis kerana tidak disertakan dengan bukti saintifik yang kukuh.

Kebanyakan haiwan ternakan seperti lembu, kambing biri-biri dan beberapa haiwan ternakan lain akan disuntik dengan beberapa jenis vaksin bagi tujuan perlindungan daripada jangkitan penyakit seperti penyakit kuku dan mulut selain suntikan hormon bagi proses tumbesaran seperti ayam dan lembu.

Setiap individu berhak memberi pandangan tetapi tidak semua pandangan itu boleh diterima bulat-bulat.

Jadilah individu yang bijak menilai pandangan supaya tidak terburu-buru percaya yang palsu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Report: mRNA vaccines may be injected into livestock.Published by worldtribune.com

  2. mRNA Vaccines in Livestock and Companion Animals are here now.

  3. Keberkesanan Vaksin mRNA dari Pfizer dan Moderna serta Cabaran Vaksinasi dalam Masyarakat Malaysia.Diterbitkan oleh kampus kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

  4. Soalan lazim vaksin Covid-19

  5. NPRA luluskan vaksin COVID-19 yang selamat.Diterbitkan oleh Berita Harian.

  6. Meme Spreads Falsehood About Vaccine Transfer Through Eating Meat.Published by Factcheck.org

  7. 5 meme internet paling awal di dunia.Diterbitkan oleh iluminasi.com

  8. Animals and COVID-19.Published by CDC USA

  9. [SALAH] Seseorang Bisa Mendapatkan Vaksin mRNA Dengan Memakan Daging Hewan Ternak yang Sudah Tervaksinasi mRNA.Diterbitkan oleh MAFINDO

  10. Hoaxbuster: Vaksin Bisa Ditransfer dari Makan Daging Hewan yang Divaksinasi?Diterbitkan oleh Kumparan.com

  11. mRNA vaccine cannot transfer through meat consumption.Published by AFP Fact Check

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.