+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Penampakan ‘Malaikat’ Dirakam Di Turki? Ia Sebenarnya Hasil Suntingan Video

Benarkah...

Benarkah muncul penampakan malaikat di Turki yang dikatakan petanda gempa bumi telah dirakamkan menerusi sebuah video.

Sumber : TikTok / Februari 2023

Hasil

Video penampakan malaikat itu adalah hasil suntingan seorang pengguna TikTok yang banyak memuat naik video yang hampir sama sebagai ‘content’ di media sosial.

18/02/2023 02:51 PM

Penyelidik : Puti Iylia Maisarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video berhubung kejadian gempa bumi di Turki yang didakwa adalah petunjuk daripada tuhan.
  • Ia susulan penampakan imej seperti ‘malaikat’ muncul di penghujung video itu.
  • Video terbabit sebenarnya telah disunting oleh seorang pengguna media sosial.
  • Pemilik akaun TikTok myuz_gaza1 yang memuat naik video berkenaan sering berkongsi mengenai video seperti gambaran malaikat muncul sebagai kandungan (content) di media sosialnya.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi melanda tenggara Turki dan sempadan Syria pada 6 Februari lepas apabila berlaku gegaran kuat bermagnitud 7.8.

Episod hitam itu meranapkan sebahagian bangunan dan kediaman masyarakat yang terjejas sekali gus mengorbankan hampir 41,000 mangsa.

Rentetan senario ini menjadi tumpuan, masyarakat dunia menghulur bantuan dan sokongan termasuklah Malaysia yang bersama-sama turun padang menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi misi bantuan menyelamat.

Bukan sahaja anak kecil malah individu pelbagai usia yang  berlainan latar belakang turut menjadi mangsa dan terkesan dengan bencana yang meragut puluhan nyawa.

Umpama selumbar yang berdarah, isu mangsa gempa bumi sangat sensitif untuk dipermainkan kerana melibatkan nyawa dan nasib.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima hantaran video melalui aplikasi WhatsApp mendakwa kononya kejadian gempa bumi di Turki adalah petunjuk daripada tuhan dengan penampakan kemunculan ‘angel’ atau malaikat’ di sebuah kawasan.

Video tular berkenaan pastinya telah mencetuskan panik dan kegusaran ramai berikutan ia  boleh menyebabkan sesetengah individu mempercayainya.

Benarkah penampakan malaikat itu benar-benar muncul di kawasan terbabit.

MyCheck semak kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Carian Video Tular Di Internet

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti video berkenaan.

Kami memainkan semula video terbabit bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

Pada saat 0:01, video tersebut menggambarkan keadaan cemas orang ramai sedang berlari.

Bagaimanapun, pada pertengahan sehingga hujung video iaitu selepas saat ke 0:01, ia memaparkan kawasan dan latar belakang yang berlainan iaitu di kawasan laut yang menunjukkan penampakan yang dikatakan seperti malaikat muncul.

 


Sumber: TikTok

 

Apabila kami meneliti rakaman di bahagian awal, pertengahan dan akhir video, kami dapati ia adalah dua video berbeza.

Berdasarkan pemerhatian kami pada awal video terbabit, bahasa yang digunakan adalah bahasa arab.

Ia berikutan kedengaran suara individu melaungkan ‘Ya Allah, Ya Allah’ seperti berada dalam detik cemas.

Di bahagian bawah video terbabit tertera tanda pagar #myugaza1.

Bagi membantu kami membuat semakan dengan lebih lanjut, kami menggunakan carian imej berbalik menggunakan InVid dan mendapati ia adalah video baharu maka kami gagal menemukan sebarang gambar atau video berkait dengannya.

Oleh kerana video itu tular di media sosial kami beralih pula ke TikTok bagi menelusuri maklumat yang lebih terperinci.

Melalui petunjuk video yang meletakkan tanda pagar #myugaza1, MyCheck membuat carian dengan menggunakan kata kunci tersebut di TikTok.

 


Sumber: TikTok

 

Hasilnya, kami menemukan satu akaun pengguna TikTok iaitu myuz_gaza1 yang  mempunyai 10.1 juta pengikut.

Kami juga turut menjumpai video tular itu di akaun TikTok milik beliau berserta kapsyen “ít’s really an Angel’’.

Video terbabit mendapat 50 juta tontonan dan 527.3 ribu tanda suka.

 

TikTok Myuz_gaza

Apabila MyCheck menelusuri kandungan TikTok Myuz_gaza , kami dapati hampir kesemua video yang dihasilkan telah disunting menjadi video seolah-olah ada penampakan malaikat atau ‘angel’ muncul.

 


Sumber: TikTok

 

Kami juga turut menemui video yang disunting menunjukkan penampakan malaikat muncul di awan yang mana ia meletakkan logo bendera negara Turki berserta kapsyen,  ‘sebelum gempa bumi di Turkey, ini yang muncul di atas awan’.

Bahkan kami juga menjumpai video yang disunting dengan meletakkan bendera Turki yang mana pada awal video tersebut mempamerkan detik cemas orang ramai berlari namun di bahagian pertengahan sehingga akhir video adalah rakaman yang sama seperti video tular terbabit.

Pada awal video tersebut, anda boleh melihat individu yang berada di dalam video tersebut tidak seperti orang Turki tetapi seperti orang yang tinggal di kawasan asia iaitu Indonesia.

Ketika kami menatal TikTok beliau kami temui video tular tersebut tanpa disunting.

Hasil semakan MyCheck di TikTok myuz_gaza1 mendapati audio yang digunakan juga hampir sama dengan video lain yang telah disunting.

Di sini, kita dapat lihat bahawa hampir kesemua kandungan video yang dihasilkan beliau di TikTok adalah video yang disunting.

Bukan sahaja disunting meletakkan bendera Turki malah ia turut melibatkan beberapa negara lain juga termasuk Indonesia, Ukraine dan Amerika Syarikat.

Tidak dinafikan hampir semua videonya di TikTok mempunyai lebih 10 juta tontonan.

 

Siapa Sebenarnya Myuz_gaza Ini?

Mycheck turut memuat semakan bagi mengenal pasti siapakah individu di sebalik nama akaun TikTok Myuz_gaza1.

Kami beralih ke platform media sosial yang lain seperti Instagram bagi mendapatkan latar belakang individu terbabit dengan menggunakan kata kunci myuz_gaza.

Kami menemukan Instagram milik myuz_gaza1 ketika kami menatal akaun tersebut dan menjumpai gambar yang dikongsikan di Instagram miliknya.

 


Sumber: Instagram

 

Gambar tersebut memaparkan seorang individu sedang melakukan aksi ‘parkour’.

Kapsyen gambar terbabit menyatakan seorang atlet warga Palestin Ahmed Abu Hasira mempamerkan kemahiran ‘parkour’ semasa perintah berkurung ketika penularan wabak COVID-19.

MyCheck terus membuat carian di Google dengan kata kunci ‘Ahmed Abu Hasira Parkour’.

Hasilnya, kami menemukan hantaran Facebook Reuters Pictures yang memaparkan gambar aksi parkour Ahmed Abu Hasira.

MyCheck mendapati Myuz_gaza1 merupakan atlet Palestin, Ahmed Abu Hasira yang aktif dalam sukan ekstrem terbaru iaitu ‘parkour’.

Beliau juga menjadi jurulatih kanak-kanak di kawasannya dalam sukan ‘parkour’ yang mana beliau mula melatih mereka pada 18 Ogos 2020.

 

Video Tular Disunting Sebagai Kandungan Media Sosial

MyCheck membuat semakan sekali lagi di TikTok myuz_gaza, kami dapati di pertengahan video tular itu dirakam melalui tingkap atau jendela.

Namun apabila kami meneliti di Instagram miliknya, kami mendapati kebanyakan gambar beliau di gimnasium  seakan sama dengan lokasi video tular itu dirakam.

Seterusnya, kami turut menjumpai videonya di Instagram yang merakam sekitar gim tersebut.

Kami dapati karpet yang digunakan adalah sama dengan video tular yang dirakam.

 


Sumber: TikTok, Instagram

 

Ini bermakna, myuz_gaza sering membuat rakaman video mengenai penampakan malaikat muncul di kawasan terbabit. Anda juga boleh lihat video yang dirakam  melalui tingkap itu di sini dan di sini.

 

KESIMPULAN

MyCheck mendapati video yang dihasilkan mengenai penampakan malaikat muncul adalah video yang disunting menggunakan pelbagai cara, kaedah, teknik, lokasi berbeza dan ia hanyalah ‘clickbait’ atau klik umpan semata-mata.

Malah, beberapa rakaman video menunjukkan kawasan yang sama memparkan imej seperti malaikat muncul itu anda boleh lihat kebiasaannya dirakam melalui tingkap di sebuah gimnasium.

Selain itu, video itu juga dirakam di kawasan Palestin dan bukanlah di Turki seperti didakwa.

Kami faham, apabila melibatkan dakwaan malaikat atau lembaga yang berlainan muncul di sebuah kawasan pastinya perkara ini menimbulkan panik dan kegusaran ramai.

Ia berikutan perkara itu sememangnya luar biasa yang tidak mudah dilihat dengan mata kasar. Sudah tentu ia menarik perhatian untuk disebarkan dan mudah menjadi tular.

Mutakhir ini, hampir semua masyarakat dunia meraikan dunia digital sehingga pelbagai aplikasi dan teknik suntingan dihasilkan dan diaplikasikan hanya menggunakan hujung jari.

Namun, ketika kita masih lagi bergerak mendepani era digital ini, tidak semua dapat membuat semakan dengan teliti dan pantas dengan dakwaan palsu yang sering dimanipulasi terutama oleh individu yang tidak celik teknologi.

Oleh hal yang demikian, ingatlah bahawa kadangkala setiap kandungan yang dihasilkan di media sosial atau tular mempunyai motif yang berbeza.

Pastikan anda selidik dan membuat penyiasatan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan atau mempercayainya.

Sebagai pengguna media sosial yang bijak, latih diri untuk sentiasa mempelajari dan menimba ilmu berkaitan teknologi.

Anda juga boleh menasihati rakan-rakan atau keluarga untuk membuat semakan atau melaksanakan penelitian sekiranya menerima apa-apa berita atau perkara yang tular.

Ingat, jangan sebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok - myuz_gaza1

  2. Instagram - myuz_gaza1

  3. Facebook - Reuters Pictures

  4. Parkour sport in Palestine | Ahmed Abu Hasira, Is it real?!

  5. Instagram - myuz_gaza1​​                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                       

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.