+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Ada SMJKC Diskriminasi Bahasa? Tidak, SMJKC Itu Edar Surat Rasmi Dwibahasa

Benarkah...

Pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di Perak mendiskriminasi penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

Sumber : Sumber: WhatsApp / Twitter Januari 2023

Hasil

Tiada unsur diskriminasi bahasa memandangkan SMJKC berkenaan sudah lama mengamalkan edaran surat rasmi dalam versi Bahasa Mandarin dan Melayu. 

23/02/2023 05:56 PM

SEKILAS FAKTA

  • MyCheck menerima dakwaan terdapat sekolah jenis kebangsaan yang mendiskriminasi Bahasa Melayu dalam urusan rasmi sekolah berkenaan.
  • Perkara tersebut menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak yang berpendapat Bahasa Kebangsaan perlu diutamakan berbanding bahasa lain.
  • Semakan MyCheck mendapati sekolah berkenaan telah lama mengamalkan pengeluaran surat rasmi dalam dua versi bahasa.
  • Mengikut Perlembagaan Persekutuan, sekolah vernakular tidak boleh dianggap sebagai badan statutori atau pihak berkuasa awam, maka penggunaan bahasa selain Bahasa Malaysia tidak dikira sebagai tujuan rasmi kerajaan.
  • Akta Pendidikan 1996 mengiktiraf kewujudan dan penyelenggaraan sekolah vernakular sebahagian dalam sistem pendidikan negara serta terlindung oleh peruntukan atau pengecualian dalam Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Sistem pendidikan peringkat sekolah rendah di Malaysia terdiri daripada tiga jenis aliran iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Bagi pendidikan menengah pula, terdapat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

Bagi masyarakat Melayu majoritinya akan lebih cenderung menghantar anak belajar di SMK manakala SMJKC pula menjadi pilihan masyarakat Cina.

Bagaimanapun, kini semakin ramai bilangan Bumiputera yang bersekolah di SMJKC atau juga dikenali sebagai sekolah vernakular.

Tidak kira di sekolah jenis kebangsaan atau kebangsaan sekalipun, dalam sistem pendidikan di Malaysia Bahasa Melayu merupakan bahasa teras iaitu mata pelajaran yang wajib ditawarkan. Sementara Bahasa Mandarin atau selainnya adalah sebagai bahasa kedua atau ketiga.

Perkara ini selaras dalam Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 yang menyatakan Seksyen 17 (1) Akta 550, “bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subsekyen ini”.

Seksyen 17 (2) menyatakan, “jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan tersebut”. 

Justeru itu, sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin di SMK dan SMJKC adalah jauh berbeza kerana pembelajaran di SMK yang lebih cenderung kepada pembelajaran bahasa kedua, tetapi di SMJKC bahasa tersebut menjadi bahasa perantara utama dari segi medium komunikasi dalam pengajaran.

Perkara itu tidak pelik, kerana majoriti pelajar di SMJKC adalah mereka yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai medium pertuturan utama di rumah.

Masalah pembelajaran akan timbul sekiranya mereka menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi di sekolah jenis kebangsaan kerana majoriti pelajarnya berbangsa Cina.

Malah, golongan Bumiputera yang menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan dengan matlamat agar anak fasih dan mampu menguasai Bahasa Mandarin.

Jadi pastinya perlu ‘lebih’ kerap berurusan dalam Bahasa Cina namun pada masa sama menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima dakwaan terdapat sebuah SMJKC yang dikatakan mendiskriminasi Bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka seperti dalam gambar berikut.

 


Sumber: WhatsApp

 

Dakwaan itu merujuk kepada surat rasmi oleh pihak sekolah yang menggunakan Bahasa Mandarin, sedangkan umum sedia maklum dalam urusan rasmi kerajaan perkara itu tidak harus berlaku.

Berdasarkan gambar surat yang kami terima, tertera kepala surat dan nama Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Nan Hwa di Sitiawan, Perak. Bagaimanapun tidak terdapat sebarang pautan yang boleh kami rujuk untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Persoalannya benarkah tindakan pihak sekolah terbabit mempunyai unsur diskriminasi atau mengabaikan Bahasa Kebangsaan?

Bertenang ya, MyCheck akan semak kesahihan dakwaan ini untuk anda.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mula membuat carian maklumat berdasarkan foto surat yang kami terima menerusi enjin carian imej Google bagi mendapat maklumat dari mana isu berkenaan telah tersebar atau dimuat naik.

Hasil carian yang diperoleh adalah seperti gambar berikut.

 


Sumber : Google image search

 

Berdasarkan carian yang telah dibuat, kami dapati surat yang sama dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter dengan nama akaun @SaufyJauhary pada 19 Januari lepas dengan kapsyen :

Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu. Surat rasmi kerajaan hendaklah keluar dalam bahasa Melayu. Pergi jahanamlah mak bapak yang tak boleh faham bahasa Melayu tu. Duduk kat Malaysia dah bertahun2 pun takkan tak faham bahasa Melayu??,”.

 


Sumber: Twitter

 

Ciapan di Twitter berkenaan dilihat oleh lebih 20,000 pengguna dan kami cuba mendapatkan maklumat tambahan lain berdasarkan profil pengguna tersebut.

Akaun Twitter @SaufyJauhary dibuka sejak 2011 dan mempunyai lebih 1,643 pengikut setakat laporan ini ditulis.

Seterusnya kami cuba melihat kepada maklum balas pengguna Twitter lain terhadap ciapan tersebut untuk mendapat lebih banyak maklumat.

 


Sumber: Twitter

 

Terdapat komen daripada seorang pengguna Twitter yang menjelaskan bahawa sekolah berkenaan mengeluarkan surat dalam dua versi iaitu Bahasa Mandarin dan Melayu.

Jelas pengguna yang bernama Nik Mohd Tarmizi, selain daripada edaran surat makluman dalam dwibahasa, sekolah tersebut turut mempraktikkan penggunaan kedua-dua bahasa tersebut dalam Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

 

Facebook Rasmi SMJK Nan Hwa

MyCheck seterusnya cuba mendapatkan surat rasmi yang diedarkan oleh sekolah berkenaan dalam kedua-dua versi.

Ia bagi memastikan maklumat yang diberitahu oleh pengguna Twitter Nik Mohd Tarmizi tadi adalah sahih.

Kebiasaannya maklumat seumpama itu turut aktif disebarkan di laman Facebook rasmi.

Kami cuba menatal (scrolling) akaun Facebook SMJK Nan Hwa, Sitiawan-Laman Rasmi dan menemukan surat berkenaan seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Facebook

 

Ini bermaksud maklumat yang dikongsikan pengguna Twitter Nik Mohd Tarmizi adalah benar.

Kami juga meneliti hantaran-hantaran lain dari laman rasmi sekolah tersebut yang secara konsisten dibuat dalam dua bahasa.

Jadi sebenarnya tiada unsur diskriminasi Bahasa Kebangsaan seperti yang didakwa.

Tetapi timbul pula persoalan seterusnya iaitu benarkah surat rasmi sekolah tidak boleh dibuat dalam versi selain Bahasa Melayu?

 

Beza Sekolah Vernakular Dan Sekolah Kebangsaan

Sebelum isu ini diulas dengan lebih lanjut, lebih baik kami jelaskan terlebih dahulu perbezaan antara sekolah vernakular atau jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan.

Menurut portal rasmi Dewan Negeri Selangor, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) pada asalnya adalah sekolah-sekolah persendirian Cina.

Sekolah-sekolah ini kemudiannya mengikut kepada Dasar Pendidikan Negara dan melaksanakan serta mengamalkan kurikulum yang digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

SMJK sebenarnya adalah istilah yang digunakan oleh sekolah-sekolah berkenaan sebagai formaliti bagi urusan pentadbiran sahaja kerana semua sekolah menengah di Malaysia amnya didaftarkan sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Justeru itu dapat difahami bahawa dari segi urusan pengoperasian sekolah pula, aliran jenis kebangsaan masih boleh berurusan dalam bahasa ibunda mereka bagi melancarkan operasi dan penyebaran maklumat yang lebih efisien.

Menurut seorang Kolumnis portal Malaysia Dateline yang juga Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris, berdasarkan kepada latar kewujudan sekolah-sekolah vernakular, secara tidak langsung memperlihatkan tolak ansur dalam membentuk ekologi sosial yang membolehkan setiap etnik dan kaum mengekalkan asas tradisi serta warisan masing-masing.

Realiti ini juga selaras dengan Akta Pendidikan 1996, dinyatakan, “…pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara,”.

Hasrat ini juga dinyatakan secara konkrit dalam Akta Pendidikan 1961, “..manakala dasar pendidikan persekutuan, asalnya diisytiharkan dalam Ordinan Pendidikan, 1957, adalah untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat memberikan kepuasan terhadap keperluan bangsa dan menganjurkan perkembangan budaya, sosial, ekonomi dan pembangunan politik,” menurut laporan portal itu.

 

Status Sekolah Vernakular Mengikut Perlembagaan Persekutuan

Pada 2021 seperti dilaporkan portal Wacana dan pihak media, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) memulakan saman untuk mendesak kerajaan melarang sekolah vernakular.

Tindakan itu bertujuan agar mahkamah mengisytiharkan bahawa sekolah vernakular tidak berperlembagaan, malah mendakwa kewujudannya melanggar Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Kumpulan itu juga mendakwa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1966, yang membenarkan sekolah Mandarin dan Tamil menjalankan pelajaran dalam bahasa-bahasa ibunda masing-masing adalah tidak mengikut perlembagaan.

Selain itu, mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan sekolah vernakular melanggar Perkara 5 (hak untuk hidup bermaruah), 8 (persamaan), 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan), 11 (kebebasan dalam beragama) dan 12 (hak berkenaan dengan pendidikan) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sebanyak 13 defendan dalam saman itu, termasuk parti politik MCA, MIC, Gerakan, Kementerian Pendidikan dan menteri pendidikan.

Mahkamah Tinggi pada 29 Disember 2021 bagaimanapun memutuskan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata Akta Pendidikan 1996 telah mengiktiraf kewujudan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah vernakular telah menjadi sebahagian dalam sistem pendidikan negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa kedua-dua jenis sekolah itu tidak boleh dianggap sebagai badan statutori atau pihak berkuasa awam.

Oleh kerana itu maka penggunaan bahasa selain Bahasa Malaysia sebagai medium pengajaran tidak boleh dikira sebagai untuk tujuan rasmi dan ia terlindung oleh peruntukan atau pengecualian dalam Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Maka dengan penjelasan status sekolah vernakular tersebut, dapat lah kita fahami bahawa bukan menjadi kesalahan jika urusan rasmi sekolah terbabit dibuat dalam versi selain bahasa Melayu.

Malah, inisiatif sekolah berkenaan yang mengeluarkan surat dalam dua versi bahasa haruslah diterima baik.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, MyCheck kategorikan dakwaan ini sebagai tidak benar kerana kebanyakan maklumat yang kami telah semak banyak yang menyangkal dakwaan berkenaan.

Selain itu apa yang dapat MyCheck simpulkan adalah isu seperti ini tidak harus dibangkitkan kerana pastinya akan ada pihak yang seperti menangguk di air keruh mensensasikan perkara ini hanya untuk mendapat perhatian di media sosial.

Akhirnya tindakan sebegini tiada untungnya kerana hanya menambah bahang antara kaum.

Tidak cukup dengan itu, suka untuk kami mengingatkan warganet agar menjadi pengguna alam maya yang lebih bijak dan tidak mudah melatah dengan sebarang isu yang ditimbulkan.

Semak terlebih dahulu sebelum sebar melulu menuduh kononnya wujud diskriminasi bahasa sedangkan ada dua versi surat yang pihak sekolah keluarkan.

Perkara ini juga bukan amalan baharu tetapi sudah dipraktikkan sejak lama dahulu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sistem-pendidikan-tidak-diskriminasi-manamana-bahasa-ibunda-maszlee-201749  

  2. Dasar pendidikan terlalu 'mengistimewakan' masyarakat Cina dan India - bekas hakim | Astro Awani 

  3. Sekolah vernakular harus guna Bahasa Melayu

  4. Murid SJKC tak minat subjek Bahasa Melayu?  

  5. Semua urusan rasmi negara guna bahasa Melayu - PM 

  6. Urusan rasmi kekal guna bahasa Melayu | Utusan Borneo Online 

  7. SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN (SMJK) | Dewan Negeri Selangor 

  8. Apa itu sekolah vernakular? Sejarahnya... (Bahagian 1) | Edisi 9 

  9. Sekolah vernakular berperlembagaan, Mahkamah Tinggi tolak saman kumpulan guru | Free Malaysia Today (FMT)

  10.  Sekolah Jenis Kebangsaan dilindungi perlembagaan - Wacana 

  11. Perlembagaan Persekutuan .pdf 

  12. Pendidikan Vernakular antara keperluan akta dan desakan penutupan

  13. Akta Pendidikan 1996 Perlu Dipinda Jika Mahu Laksana Sekolah Satu Aliran  

  14. Selesai segera masalah sekolah daif di seluruh negara - PM

  15. Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu  

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.