+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Lapan Negeri Dilanda Hujan Lebat Berterusan Pada 3 Dan 4 Mac? Tidak, Ia Hanya Melibatkan Pahang Dan Johor

Benarkah...

Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia disebabkan peningkatan jumlah taburan hujan.

Sumber : TikTok / Mac 2023

Hasil

Hanya Pahang dan Johor bakal mengalami hujan lebat berterusan ekoran luruan angin timur laut.

06/03/2023 02:39 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan menerusi WhatsApp bahawa beberapa kawasan melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia bakal mengalami hujan yang berterusan disebabkan peningkatan jumlah taburan hujan.
  • Dakwaan itu dibuat oleh seorang pengguna TikTok yang tidak mempunyai latar belakang berkaitan bidang kaji cuaca.
  • Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sahkan dakwaan itu tidak benar.
  • Hanya Pahang dan Johor sahaja masih mengalami hujan lebat berterusan disebabkan luruan angin timur laut.
  • Orang ramai disaran merujuk laman sesawang dan media sosial MetMalaysia atau aplikasi MyCuaca untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perubahan cuaca di negara ini.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Perubahan cuaca berlaku setiap masa di mana-mana kawasan yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya perubahan angin monsun timur laut dan barat daya.

Kebanyakan negara di dunia mempunyai agensi ramalan cuaca yang berperanan menyebarkan maklumat mengenai sebarang perubahan cuaca yang berlaku di negara masing-masing.

Di Malaysia, MetMalaysia bertanggungjawab memantau perubahan cuaca di negara ini bagi memastikan agensi kerajaan dan rakyat dapat membuat persediaan rapi bagi menghadapi sesuatu musibah seperti banjir, ribut dan taufan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Kami menerima satu video menerusi WhatsApp mengenai dakwaan bahawa hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada 3 dan 4 Mac 2023.

Menerusi video berkenaan, kedengaran suara seorang wanita memberitahu mengenai keadaan cuaca yang bakal berlaku pada tarikh berkenaan.

Wanita itu mendakwa beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia akan mengalami keadaan hujan lebat berterusan pada tarikh tersebut melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Seremban (Negeri Sembilan), Melaka, Jerantut (Pahang), Bentong (Pahang), Pos Buntu (Pahang), Teluk Intan (Perak), Kuantan (Pahang), Terengganu dan Johor.

Pada masa yang sama beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan menangguhkan sebarang aktiviti terutamanya melibatkan kawasan pantai kerana jumlah taburan hujan dijangka terus meningkat bermula waktu malam sehingga awal pagi di negeri-negeri yang dinyatakan tersebut.

Setakat laporan ini ditulis, video berkenaan telah ditonton lebih 332,000 pengguna TikTok.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Latar Belakang Pemilik Video Asal

Berdasarkan maklumat yang tertera pada video tular, MyCheck mencari akaun TikTok yang memuat naik video asal itu.

Kami dapati video asal itu dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok yang menggunakan nama akaun ‘Dawnskyros’.

MyCheck kemudian menatal (scrolling) akaun tersebut bagi mendapatkan maklumat berhubung latar belakang pemilik akaun TikTok itu seterusnya menyemak kredibiliti beliau dalam menyampaikan maklumat berkaitan perubahan cuaca.

Kami mendapati individu berkenaan yang mempunyai lebih 29,000 pengikut di TikTok sering memuat naik hantaran mengenai perubahan cuaca.

Namun beliau didapati tidak mempunyai pekerjaan atau sebarang latar belakang yang berkaitan bidang kaji cuaca.

Semakan lanjut mendapati wanita tersebut sebenarnya menawarkan perkhidmatan jagaan kucing selain menjual racun serangga di sebuah negeri di Pantai Timur.

Bagaimana kami tahu kerjaya wanita berkenaan?

Ia berdasarkan beberapa video yang dimuat naik di TikTok beliau yang menerangkan tugas hakikinya seperti video ini dan ini.

 


Sumber: TikTok

 

Apa Itu Aplikasi windy.com?

Penelitian lanjut MyCheck mendapati wanita tersebut menggunakan aplikasi ‘windy app’ bagi menerangkan mengenai keadaan cuaca.

Mungkin ramai di antara kita tertanya, apakah itu aplikasi windy.com, siapakah pencipta aplikasi berkenaan dan adakah ia sesuai digunakan oleh agensi ramalan cuaca?

Dengan menggunakan kata kunci “windy app founder” di enjin carian Google, kami mendapati aplikasi Windy dibangunkan oleh seorang usahawan dari Republik Czech, Ivo Lukacovic.

Semakan lanjut membawa kami kepada sebuah laman sesawang iaitu community.windy.com yang menjelaskan latar belakang  kewujudan aplikasi berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai windyty.

Aplikasi berkenaan dibangunkan menggunakan NOAA Environmental Modeling System (NEMS) dan Global Forecast System (GFS) sebagai model rujukan kajian cuaca.

Carian di enjin carian Google, ia menunjukkan aplikasi ini digunakan oleh oleh juruterbang profesional, paraglider, penerjun udara, nelayan, peminat kajian cuaca, pihak kerajaan, tentera dan juga pasukan penyelamat.

 


Sumber: Google

 

Komen MetMalaysia

Kembali kepada persoalan utama, adakah dakwaan yang dikeluarkan oleh wanita berkenaan benar dan adakah aplikasi yang digunakan beliau untuk mengukur perubahan cuaca itu tepat?

MyCheck mengambil langkah dengan menghubungi MetMalaysia menerusi panggilan telefon bagi mendapatkan komen dan merungkai persoalan tersebut.

Menurut jurucakap MetMalaysia, dakwaan yang dikeluarkan oleh wanita itu adalah kurang tepat kerana tidak kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan lebat berterusan.

Beliau memaklumkan hanya beberapa tempat di Pahang dan Johor sahaja yang masih berdepan hujan lebat berterusan berpunca daripada luruan monsun yang disebabkan oleh pergerakan angin dari Siberia.

“Dakwaan individu berkenaan dikeluarkan beberapa hari lepas manakala MetMalaysia sentiasa membuat kemas kini dari semasa ke semasa iaitu secara harian yang turut dipaparkan di laman sesawang serta media sosial MetMalaysia.

“Model kajian cuaca yang digunakan oleh individu berkenaan adalah berbeza berbanding MetMalaysia yang mempunyai aplikasi tersendiri bagi memantau perubahan cuaca di negara ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, jurucakap MetMalaysia memaklumkan jabatan berkenaan kebiasaannya membuat kemas kini perubahan cuaca pada tiga tempoh berbeza setiap hari iaitu bermula pukul 12.01 tengah malam hingga 11.59 pagi, 12.00 tengah hari hingga 6.59 petang dan 7.00 hingga 11.59 malam setiap hari.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk laman sesawang jabatan berkenaan, met.gov.my, laman sosial MetMalaysia selain aplikasi myCuaca yang boleh dimuat turun di telefon pintar.

Pihak MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook turut mengesahkan bahawa luruan monsun dijangka berlaku hingga 6 Mac 2023 berdasarkan analisis model-model cuaca.

 


Sumber: Facebook MetMalaysia

 

Jabatan berkenaan memaklumkan keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan selatan Semenanjung serta barat dan tengah Sarawak.

Selain itu, amaran hujan berterusan yang melibatkan negeri-negeri berkaitan berkuat kuasa sehingga 5 Mac 2023 makanala amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 6 Mac 2023.

“Kenaikan paras air laut dijangka di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur sehingga 6 Mac 2023 dan berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” jelas MetMalaysia menerusi hantaran Facebook berkenaan.

Kami kongsikan kepada anda siaran media dari MetMalaysia yang memaparkan peta kawasan yang terlibat dari 2 hingga 4 Mac 2023.

 


Sumber: Laman sesawang MetMalaysia

 

Fenomena Cuaca Di Malaysia

Menurut laman sesawang MetMalaysia, terdapat beberapa fenomena cuaca yang kebiasaannya berlaku di negara ini seperti ribut petir, El Nino dan La Nina serta belalai air dan tornado, namun fenomena utama yang sering terjadi adalah monsun, namun apakah yang dimaksudkan dengan monsun?

Perkataan "monsun" berasal daripada perkataan Arab "muasim" yang bermaksud musim.

Menurut MetMalaysia, cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir Mei ke September dan Monsun Timur Laut dari November ke Mac.

Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.

Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai fasa peralihan monsun.

 

Apa Itu Luruan Monsun?

Mungkin ramai daripada kita yang sering bertanya kenapa sering berlaku hujan lebat berterusan sehingga beberapa hari?

Ia sebenarnya disebabkan oleh luruan monsun.

Kebiasaannya pada November hingga Januari tahun seterusnya kawasan tekanan rendah dan vorteks wujud berhampiran rantau negara dan angin sejuk akan meluru ke rantau negara apabila berlaku letusan udara bertekanan tinggi di Siberia.

Luruan udara sejuk dari Siberia dan luruan angin timuran dari Pasifik akan bertembung dan bergerak ke rantau negara sehingga menyebabkan wujudnya pelbagai keadaan seperti hujan lebat, angin kencang dan ombak besar yang berlaku di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 


Sumber: Facebook MetMalaysia

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan individu berkenaan adalah tidak benar kerana hanya dua negeri sahaja iaitu Pahang dan Johor yang dijangka berdepan hujan lebat berterusan disebabkan luruan monsun.

Semak dan dapatkan pengesahan daripada MetMalaysia mengenai perkembangan cuaca terkini di negara ini kerana MetMalaysia sentiasa mengemas kini keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

Nasihat kami usahlah cepat mempercayai sesuatu perkara tular yang belum dipastikan kesahihannya.

Bak kata peribahasa kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya bermaksud segala sesuatu itu harus diselidiki dengan sebaik-baiknya dan janganlah percaya begitu sahaja terhadap kata-kata orang.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok Dawnskyros

  2. Fenomena cuaca oleh Met Malaysia

  3. Windy:wind map and weather forecast

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.