+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Arab Saudi Laksana Peraturan Baharu Pada Bulan Ramadan? Benar Ada. Namun Disalah Tafsir

Benarkah...

Arab Saudi mengumumkan peraturan baharu sempena Ramadan dengan mengehadkan aktiviti jemaah untuk beribadah.

Sumber : Twitter / Mac 2023

Hasil

Peraturan itu dikhaskan kepada imam dan bilal masjid bagi menjaga kemaslahatan jemaah di masjid pada bulan Ramadan.

27/03/2023 01:44 AM

SEKILAS FAKTA

  • MyCheck menerima dakwaan berkenaan peraturan baharu dikeluarkan kerajaan Arab Saudi bagi persediaan ibadah menjelang Ramadan.
  • Peraturan itu tular di media sosial dengan ada yang mendakwa sekatan terhadap aktiviti Ramadan buat jemaah masjid.
  • Semakan MyCheck mendapati peraturan baharu itu telah disalah tafsirkan oleh beberapa individu yang bertindak menyebarkannya tanpa keseluruhan konteks.
  • Setelah diteliti, peraturan baharu itu diarahkan kepada imam dan bilal masjid bagi menjaga kemaslahatan jemaah.


Sumber: BERNAMA

 

LATAR BELAKANG

Ramadan kini menjelang tiba. Bulan cukup istimewa yang dinantikan umat Islam dari segenap pelosok dunia.

Berpuasa di bulan Ramadan selama sebulan adalah rukun Islam ketiga wajib dilaksanakan buat individu muslim.

Tempoh ini juga amat bermakna kerana ia adalah bulan penuh keberkatan, keinsafan dan rahmat.

Pada bulan mulia ini, umat Islam sibuk melipatgandakan ibadah seperti menunaikan solat tarawih, mengaji dan pelbagai aktiviti yang mendekatkan diri kepada tuhan.

Bagi yang berkemampuan, Ramadan disambut di kota suci Mekah. Kemeriahan menyambut Ramadan di bumi Mekah pastinya berbeza berbanding di negara lain.

Ketika ramai yang sedang membuat persiapan ke tanah suci dan ada yang sudah pun tiba di sana, timbul dakwaan menyatakan Arab Saudi mengumumkan beberapa peraturan baharu sempena Ramadan.

Peraturan itu dikatakan mengehadkan aktiviti jemaah pada bulan Ramadan.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima dakwaan menyatakan peraturan baharu yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengehadkan aktiviti jemaah masjid pada bulan Ramadan.

Dakwaan itu merujuk kepada peraturan baharu bagi melaksanakan ibadah di masjid-masjid berkenaan sempena bulan Ramadan 1444 hijrah.

Berdasarkan hantaran yang kami terima, tertera beberapa peraturan yang ditulis dalam bahasa Melayu yang mendakwa peraturan itu diumumkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang mana ia dikuatkuasakan sepanjang Ramadan ini di Arab Saudi.

Antara peraturan tular itu adalah :

  • Tidak membenarkan penggunaan pembesar suara,
  • Tidak dibenarkan siaran langsung tarawih,
  • Tidak dibenarkan iktikaf tanpa pengenalan diri,
  • Solat tarawih mesti dipendekkan,
  • Tidak dibenarkan kutip derma,
  • Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk masjid waktu solat tarawih serta
  • Tidak dibenarkan berbuka puasa di dalam Masjidil Haram.

Persoalannya, benarkah peraturan baharu yang ditetapkan itu mengehadkan aktiviti jemaah?

Bertenang semua, jom ikut MyCheck semak satu persatu dakwaan dan kesahihannya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti dakwaan tular.

Memandangkan ia tular di media sosial kami ke laman sosial Facebook bagi membuat carian dengan menggunakan kata kunci ‘Peraturan Baharu Arab Saudi’.

Hasil carian kami dapati terdapat beberapa pengguna Facebook memuat naik hantaran tular berkenaan. Anda boleh lihat antaranya di sini dan di sini

Malah ada juga pengguna Facebook yang memuat naik hantaran berkenaan berserta kapsyen “bersiap-siap lah ya.. Sekarang dah akhir zaman nak buat amalan pun susah sekarang,”.

Ketika membuat semakan di platform media sosial terbabit, kami dapati rata-rata pemilik Facebook turut berkongsi klip berita berserta kapsyen peraturan baharu kerajaan Arab Saudi itu.

 


Sumber: Facebook

 

Persoalannya, mengapa pengguna Facebook berkongsi laporan berita berkenaan?

Kami terus membuat carian menerusi imej berbalik Google bagi mendapatkan maklumat di sebalik laporan berita berkenaan.

 


Sumber: Google

 

Namun, kami tidak menemukan informasi berkaitan isu tular terbabit dan hasil di ruang carian hanya tertera kata kunci video.

Bagaimanapun, MyCheck cuba menggunakan kata kunci ‘Arab Saudi Ramadan Rules’ dengan menggunakan imej yang sama.

Hasilnya, kami menemui artikel berita Hindustan Times melaporkan mengenai ketetapan peraturan baharu Arab Saudi menjelang Ramadan.

Menurut laporan tersebut, seorang penganalisis Sami Hamdi membuat ciapan di Twitter menyatakan perubahan baharu yang ditetapkan Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi itu mewakili satu langkah ke arah identiti baharu Arab Saudi yang tidak mengutamakan Islam sebagai tonggak utama.

Kami beralih pula ke Twitter bagi membuat carian dengan lebih terperinci dengan menggunakan kata kunci ‘Sami Hamdi’.

Hasilnya kami menjumpai ciapan yang dimuat naik oleh Sami Hamdi berhubung peraturan baharu bulan Ramadan seperti yang tular namun ia ditulis di dalam bahasa Inggeris.

 


Sumber: Twitter

 

Berdasarkan klip berita yang dimuat naik Sami, beliau menyatakan bahawa peraturan baharu yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi bertujuan mengehad dan menyekat aktiviti Ramadan serta menolak Islam daripada kehidupan awam.

Beliau juga turut membuat kesimpulan berkenaan peraturan baharu itu seperti yang ditulis di  ciapan iaitu tiada pembesar suara, tiada siaran langsung tarawih, larangan iktikaf tanpa ID, waktu solat dipendekkan, tiada kutipan derma, larangan membawa kanak-kanak di masjid dan larangan berbuka puasa dalam masjid.

Kami dapati kebanyakan dakwaan yang tular di media sosial adalah daripada sumber yang dimuat naik Sami.

MyCheck turut membuat semakan bagi mengenal pasti siapakah Sami Hamdi yang memuat naik ciapan beserta laporan berita itu.

Menurut LinkedIn miliknya, Sami Hamdi merupakan pengarah urusan The International Interest iaitu sebuah syarikat risikan global.

Beliau juga mempunyai kepakaran berkaitan geopolitik dan sering menjadi penganalisis dan pengulas bagi beberapa media antarabangsa seperti Al-Jazeera, Sky News, BBC, TRT World dan lain-lain.

 

Peraturan Baharu Kerajaan Arab Saudi Menjelang Ramadan

Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci, kami membuat carian di Google bagi mendapatkan kenyataan rasmi dari Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi.

Hasilnya kami menemukan laporan Middle East Monitor yang berkongsi ciapan rasmi dalam versi bahasa Arab.

Laporan Middle East Monitor itu menyatakan Arab Saudi telah mengumumkan satu peraturan dan sekatan bagi ibadah pada bulan Ramadan tahun ini.

Peraturan itu diterbitkan pada 3 Mac tahun ini.

Kami menelusuri platform Twitter sekali lagi dan menjumpai ciapan rasmi berkaitan peraturan baharu kerajaan Arab Saudi itu dalam bahasa Inggeris di Twitter rasmi Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi.

 


Sumber: Twitter

 

Mari kita telusuri 10 set peraturan baharu yang dikeluarkan Menteri Hal Ehwal Islam Dr Abdullatif Abdulaziz Al-Sheikh menerusi hantaran tersebut.

Kami perincikan satu persatu peraturan itu berserta terjemahan bagi lebih memahami konteks sebenar yang disampaikan Kerajaan Arab Saudi.

With the holy month of Ramdan approaching for the year 1444 AH, and for the importance of preparing mosques to serve worshippers.

Sempena kedatangan bulan Ramadan bagi tahun 1444 Hijrah, dan kepentingan penyediaan masjid-masjid bagi memberi perkhidmatan kepada jemaah.

 

His Excellency the minister of Islamic Affairs, Dawah and Guidance Sheikh Dr. Abdullatif bin Abdullaziz Al-Alsheikh directed all branches and sectors of the ministry work on the following :

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Syeikh Dr Abdullatif bin Abdullaziz Al- Alsheikh mengarahkan semua cawangan dan sektor kementerian menjalankan tugas berikut:

 

First: Emphasis on imams and muezzin on the following

Pertama: Penekanan kepada imam dan muadzin pada perkara berikut

1. Full regularity in their work, and no absenteeism in the holy month of Ramadan unless absolutely necessary. After assigning the person performing the work for the period of absence, this mandate shall be with the approval of the ministry’s branch in the region and the one on behalf has undertaken not to breach the responsibility. Absence shall not exceed the allowable period.

1Memberi komitmen penuh dalam kerja, dan perlu hadir sepanjang bulan suci Ramadan kecuali jika diperlukan (di mana-mana tempat). (Sekiranya tidak hadir) perlu melantik individu lain bagi melaksanakan tugas sepanjang tempoh ketidakhadiran, mandat ini perlulah mendapat kelulusan pihak cawangan kementerian di wilayah tersebut dan bagi pihak pengganti hendaklah tidak melanggar tanggungjawab tersebut. Tempoh ketidakhadiran tidak boleh melebihi waktu yang ditetapkan.

 

2. Adherence to Umm al Qura Calendar, emphasis on raising the adhan ‘call for prayer’ of the Asha prayer on time in Ramadan, and the iqamah “performance of prayers’’ according to the approved period for each prayer.

2. Mengikut takwim Umm al-Qura dalam melaungkan azan terutamanya penekanan bagi azan Isyak yang perlu dikumandangkan pada waktu yang ditetapkan dan iqamah pula harus dikumandangkan setelah azan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi setiap solat.

 

3. Taking into account people’s conditions in Tarawih prayers. the completion of Tahajjud’s prayers in the last 10 days of Ramadan with enough time before Fajr adhan, so it won't be hardship on worshippers.

3. Mengambil kira keadaan orang ramai ketika solat tarawih. Menyempurnakan solat tahajud pada 10 hari terakhir Ramadan pada waktu yang cukup sebelum azan Subuh, maka ia  tidak akan membebankan para jemaah yang beribadah.

 

4. Abiding by the Prophet’s guidance in Qunot “Duaa” supplication at Tarawih Prayer and non prolongation, and being limited to jawame Duaa and the sahih supplications, and avoid hymns and intonation.

4. Berpegang teguh pada petunjuk Nabi dalam bacaan doa Qunut ketika melaksanakan solat tarawih dan tidak memanjangkan bacaan serta berpada dengan doa-doa yang sahih serta elakkan membaca doa secara tartil (merendahkan suara dan bersedih) dan intonasi (taranum).

 

5. The importance of reading some useful books on the mosque group, according to circulars which regulates that.

5. Kepentingan membaca beberapa kitab yang bermanfaat dalam kalangan jemaah masjid mengikut kelulusan yang mengawal selia bahan bacaan itu.

 

6. Adhering to the directives issued regarding the controls for installing cameras in mosques, not using them to photograph the imam and worshippers during the performance of the prayers and not transmitting the prayers or broadcasting them in the media of all kinds.

6. Mematuhi peraturan dikeluarkan berhubung larangan pemasangan kamera dalam masjid, tidak menggunakannya bagi mengambil gambar imam dan makmum sewaktu solat didirikan dan tidak menyiarkannya dalam apa-apa bentuk media.

 

7. That the imam be responsible for authorizing the i’tikaaf, verifying that there are no violations from them, knowing the data of the i’tikaaf and requesting the approval of the sponsor approved for non-Saudis, according to the directives notified in advance regarding the i'tikaaf controls.

7Imam bertanggungjawab untuk memberi kebenaran iktikaf, memastikan bahawa tidak ada para jemaah melanggar peraturan, mengetahui maklumat para jemaah beriktikaf dan meminta bukti pengesahan penaja yang diluluskan bagi bukan warga Saudi.

 

8. Not collecting financial donations for projects to iftar the fast (and others).

8. Tidak mengutip derma kewangan untuk aktiviti berbuka puasa (dan lain-lain).

 

9. Iftar for the fasting people- if- any -should be in the places prepared for that in the courtyards of the mosques, and under the responsibility of the imam and the muezzin, and that the one responsible for iftar the fast for the fasting person should clean the place immediately after finishing the iftar, and not create any temporary rooms or tents and the like to hold the iftar in them.

9. Iftar bagi orang yang berpuasa-jika ada-hendaklah berada di tempat yang disediakan di pekarangan masjid, dan di bawah tanggungjawab imam dan muadzin, dan mereka yang bertanggungjawab untuk berbuka puasa bagi orang yang berpuasa hendaklah membersihkan kawasan itu dengan segera selepas selesai berbuka, dan jangan membina bilik atau khemah sementara dan seumpamanya untuk menjalankan aktiviti berbuka puasa di dalamnya.

 

10. He urged worshippers not to accompany children, as this would disturb the worshipers and cause them to lose their reverence.

10Imam dan bilal haruslah mengingatkan para jemaah untuk tidak membawa kanak-kanak kerana perkara ini akan mengganggu jemaah dan menyebabkan mereka hilang kekhusyukan.

 

Second: The branches of the ministry direct the servants of mosques and maintenance institutions to redouble their efforts and work, for the cleanliness and preparation of mosques, and to ensure the cleanliness of women’s prayer rooms in mosques.

Kedua: Cawangan kementerian perlu mengarahkan pekerja yang menyelenggara masjid melipatgandakan usaha untuk kerja kebersihan dan penyediaan masjid dan memastikan kebersihan ruang solat wanita di masjid.

 

Third: The observers should follow up on the implementation of these directives, submit daily reports on their tours to their references, and a statement of the observations monitored -if any, in order to process them immediately.

Ketiga: Pihak pemantau harus mengikuti perkembangan semasa terhadap pelaksanaan peraturan ini, menyerahkan laporan harian (berkala) mengenai lawatan mereka kepada rujukan mereka dan kenyataan pemerhatian yang dipantau -jika ada, untuk memprosesnya dengan segera.

 

Hasil Semakan

Sekiranya anda meneliti peraturan yang dikeluarkan ini, 10 set peraturan baharu itu ditekankan serta ditujukan kepada imam dan bilal masjid seperti yang tertera di bahagian awal pekeliling peraturan terbabit.

Berdasarkan terjemahan peraturan baharu tersebut, tiada kenyataan seperti didakwa iaitu pembesar suara tidak dibenarkan, tidak dibenarkan siaran langsung tarawih dan solat tarawih mesti dipendekkan. Kami ulas satu persatu ya.

 

1. Tidak dibenarkan pembesar suara 

Hasil: Kami tidak menjumpai isu ini diulas dalam peraturan baharu tersebut.

 

2. Tidak dibenarkan siaran langsung Tarawih

Hasil: Isu ini ada disebut namun menurut laporan semakan fakta The Mili Chronicle, perkhidmatan penyiaran solat akan dijalankan hanya melalui saluran rasmi dan bukannya daripada media rawak.

Buktinya, anda masih boleh menonton siaran langsung solat di masjidil haram di Makkah TV Live Online 24/7.

Nota: The Mili Chronicle adalah penerbitan berita digital yang berpangkalan di England, United Kingdom yang banyak menghasilkan laporan berita dunia dan juga membuat penulisan mengenai semakan fakta.

Berpaksikan moto “Factual Version of a story”’ iaitu versi fakta sebuah cerita, The Mili Chronicle itu telah dilancarkan pada 2018 yang beroperasi sebagai projek kewartawanan digital tanpa untung (non-profit).

 

3. Tidak dibenarkan iktikaf tanpa pengenalan diri 

Hasil: Menurut The Mili Chronicle larangan itikaf tanpa bukti ID adalah keputusan rasional dan logik berikutan ia memerlukan pengesahan daripada penganjur penduduk bukan Arab Saudi pada masa yang sama penganjur perlu mematuhi keselamatan jemaah.

Ia kerana Arab Saudi sering menjadi tuan rumah bagi berjuta-juta jemaah haji setiap tahun. Kedatangan orang ramai boleh menyebabkan keselamatan terganggu.

 

4. Solat Tarawih mesti dipendekkan

Hasil: Solat Tarawih dipendekkan tidak dinyatakan dalam peraturan baharu itu sebaliknya anda boleh lihat pada peraturan ke-4 itu jelas menyatakan bahawa solat hendaklah mengandungi doa sahih.

 

5. Tidak dibenarkan kutip derma

Hasil:  Menurut The Mili Chronicle aktiviti derma di Arab Saudi dilakukan di bawah pengawasan sewajarnya ia bertujuan bagi mengelakkan penyalahgunaan dana terutamanya oleh organisasi Islam dan pengganas.

Laporan itu juga menyatakan bahawa pada masa lalu, dana (derma) yang tidak dikawal selia telah dikumpul secara (jahat) atas dasar kemanusiaan dan akhirnya derma yang dikutip itu akan digunakan bagi tujuan keganasan.

 

6. Kanak-Kanak tidak dibenarkan masuk masjid waktu solat tarawih

Hasil: Dakwaan ini sememangnya ada dalam peraturan namun sekiranya anda perhatikan peraturan ke-10, ia tujukan kepada imam dan bilal yang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan jemaah agar tidak menggangu jemaah sehingga boleh menyebabkan hilang kekhusyukan.

Malah, menurut The Mili Chronicle Nabi Muhammad mewajibkan kehadiran kanak-kanak di masjid untuk solat selepas mereka mencapai umur 10 tahun. Kanak-kanak di bawah 10 tahun dikecualikan daripada perintah itu.

Kami juga turut menemui laman sesawang muftiwp.gov.my yang ada menyatakan berkenaan sabda Nabi Muhammad SAW berkenaan kehadiran kanak-kanak kecil ke Masjid yang mana hadis tersebut bermaksud ‘’Jauhilah masjid-masjid kalian daripada anak-anak kecil kalian,". 

Menurut muftiwp.gov.my, hadis ini tidak boleh dijadikan sandaran berdasarkan amalan atau sunnah yang berlaku kepada Nabi Muhammad. Namun, sekiranya kanak-kanak itu dikhuatiri menggangu jemaah yang lain maka sebaiknya tidak dibawa ke masjid.

 

7. Tidak dibenarkan berbuka puasa di dalam Masjidil Haram

Hasil: Jika diteliti pada peraturan kedua terakhir mengenai aktiviti berbuka puasa di kawasan masjid, ia hendaklah di bawah tanggungjawab imam dan muadzin yang mana sekiranya individu ingin membuka puasa di kawasan masjid, mereka perlu membersihkan kawasan itu setelah selesai berbuka.

Kebiasaannya apabila dakwaan tular melibatkan penggunaan pelbagai bahasa seperti dalam situasi ini yang menggunakan bahasa Arab, Inggeris dan bahasa Melayu, penjelasan, interpretasi dan konteks asal ayat berkemungkinan boleh berubah dan disalah ertikan sekiranya ia tidak diterjemahkan dengan betul dan tepat.

Seterusnya, kami beralih ke Twitter bagi mendapatkan maklumat yang lebih mendalam berkenaan isu ini.

 


Sumber: Twitter

Kami menemui hantaran pengguna Twitter menggunakan nama akaun @AbdullahIzzat2 yang berkongsi pendapat beliau mengenai isu ini.

Menurut pengguna Twitter itu, kesimpulan yang dibuat Sami Hamdi berhubung peraturan baharu tersebut telah membawa satu naratif buruk kepada umat Islam.

Beliau turut membuat terjemahan peraturan asal versi bahasa Arab ke dalam versi bahasa Melayu melalui bebenang yang dimuat naik di Twitter miliknya.

Selain itu beliau menyatakan peraturan baharu yang dikuatkuasakan itu khusus untuk para imam dan bilal yang bertugas demi menjaga kemaslahatan para jemaah.

MyCheck juga turut membuat semakan latar belakang Abdullah di Twitter. Kami mendapati beliau merupakan penterjemah bahasa Arab-Melayu.

 

Semakan Pihak Lain

Selain itu, kami turut menemui artikel Kashoorga berkenaan ‘Tular Arab Saudi Umum Peraturan Baru Sempena Ramadan’, Timbul Misleading & Bawa Naratif Buruk kepada Umat Islam’.

Artikel terbabit turut berkongsi ciapan Abdullah menyatakan pihak Arab Saudi mengeluarkan peraturan semata-mata hendak menjaga jemaah, namun mereka yang dihentam.

Tambah Abdullah, sebaiknya umat Islam perlu belajar bahasa Arab supaya dapat mengakses sumber primer.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan sebagai bercampur.

Ini kerana sebahagian daripada peraturan baharu yang ditetapkan itu adalah benar namun hanya ditularkan separuh daripada teks asal.

Ia ditularkan tanpa penjelasan penuh seperti mana yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Hasil semakan kami mendapati peraturan baharu kerajaan Arab Saudi bagi Ramadan tahun ini telah disalah ertikan oleh beberapa pihak sehingga menyebabkan rata-rata pengguna media sosial hanya menyebarkan dakwaan itu tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

Malah, kesimpulan yang dibuat oleh Sami Hamdi berkenaan peraturan itu juga telah disebarkan oleh orang ramai yang hanya menterjermahkan kesimpulan itu dalam bahasa Melayu.

Kami faham apabila melibatkan isu seperti agama ia sudah semestinya adalah isu sensitif yang boleh meninggalkan impak besar kepada masyarakat khususnya umat Islam.

Dalam hal ini, kita dapat lihat bagaimana sesuatu informasi itu boleh terjerumus dalam kategori ‘mislead’ sehingga menyebabkan sesetengah individu mempercayainya dan menyebarkan informasi palsu kepada orang ramai.

Namun kita juga perlu faham bahawa setiap bahasa mempunyai laras bahasanya tersendiri yang selari dengan budaya serta sosiologi masyarakat setempat.

Laras bahasa ini juga akan berubah-ubah mengikut kesesuaian dan keadaan semasa.

Dalam konteks ini, kita dapat lihat bagaimana peraturan baharu dalam versi bahasa Arab telah disalah tafsirkan oleh beberapa individu.

Pesan kami di MyCheck, bagi memastikan kita menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab, latihlah diri untuk mencari ilmu seperti menguasai ilmu bahasa agar dapat membuat kesimpulan dan analisis berlandaskan sumber yang sahih.

Usahlah kita memecah tuba iaitu menyiarkan berita yang mencemaskan orang sehingga boleh membawa naratif buruk kepada sisi Islam.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Sambal Tumis 

  2. Facebook Wan Fathil 

  3. Facebook Ilmu dunia dan akhirat 

  4. Explained: Why Saudi Arabia's new rules for Ramadan have angered Muslims? What are the restrictions?

  5. Twitter - Sami Hamdi 

  6. Saudi Arabia imposes restrictions on Ramadan practices, limiting loudspeakers and surveiling worshippers – Middle East Monitor

  7. LinkedIn - Sami Hamdi 

  8. Twitter- Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi 

  9. Ministry of Islamic Affairs

  10. Twitter - AbdullahIzzat

  11. FACT-CHECK: Has Saudi Crown Prince MBS restricted Ramadan Activities? – The Milli Chronicle

  12. ‘Tular Arab Saudi Umum Peraturan Baru Sempena Ramadan.’ Timbul Misleading & Bawa Naratif Buruk Kepada Umat Islam - Kashoorga

  13. muftiwp.gov.my 

  14.  Makkahlive.net

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.