+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Benar, Cecair Vape Nikotin Dikecualikan Daripada Senarai Racun Bagi tujuan Rang Undang-Undang Baharu

Benarkah...

Cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik (vape) telah diberi pengecualian daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Sumber : TikTok / April 2023

Hasil

Benar, ia diberi pengecualian bagi tujuan tidak menggalakkan penggunaan vape menerusi Rang Undang-Undang baharu.

04/04/2023 04:38 PM

SEKILAS FAKTA 

  • Tular satu dakwaan di TikTok menyatakan cecair vape nikotin telah dikecualikan daripada Akta Racun 1952.
  • Rentetan daripada itu, vape kini dikatakan ‘halal’ dimiliki termasuk oleh kanak-kanak bawah umur.
  • Hal ini turut dibincangkan oleh pakar kesihatan yang menyatakan pembikinan vape kini tidak lagi dipantau kerana tiadanya akta sementara bagi mengawasi bahan tersebut.
  • Ini akan menyebabkan tiada pengawalan kadar nikotin di dalam cecair vape dan akan memberi kesan buruk kepada kesihatan secara drastik.
  • Berdasarkan kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengecualian tersebut adalah usaha kerajaan untuk tidak menggalakkan penggunaan vape.
  • KKM juga akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi mengawal bahan merokok mengandungi nikotin pada Mei hadapan.
  • Sehubungan itu Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) akan mengenakan Duti Eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
  • Bagaimanapun, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang mengatakan sebaiknya pengecualian itu ditangguhkan dahulu memandangkan RUU baharu belum diluluskan lagi.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Isu vape dan rokok bukanlah satu benda asing lagi bagi kita.

Saban tahun isu ini berterusan dibincangkan di dada-dada akhbar dan di media sosial.

Fenomena vape yang seakan menjadi trend bukan hanya ‘menular’ dalam kalangan orang dewasa malah turut melibatkan pelajar sekolah.

MyCheck sebelum ini juga ada mengeluarkan satu laporan mengenai penjualan vape ‘tiger pod’ kepada pelajar sekolah. 

Kini, isu vape ini kembali menjadi perbualan hangat.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: TikTok

 

Tular sebuah video di aplikasi TikTok mendakwa peranti pengewapan elektronik nikotin (vape) kini telah ‘halal’ dimiliki.

Menurut pemilik akaun mr.shafiqazizan, kerajaan telah mengecualikan barangan mengandungi nikotin termasuk peranti pengewapan elektronik atau vape daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Ini secara tidak langsung telah memudahkan atau membenarkan kanak-kanak bawah umur untuk membeli vape sekali gus menjejaskan gerakan pakar-pakar kesihatan untuk membanteras penjualan vape dan rokok kepada generasi muda.

Video tersebut telah meraih lebih daripada 250,000 tontonan (views) dan lebih 2,000 komen menyuarakan kemarahan orang ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan pengecualian tersebut.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Bagi memudahkan anda untuk memahami isu ini, kami jelaskan apa itu Akta Racun 1952 dan sedikit sejarah pengecualian nikotin daripada Senarai Racun.

 

Akta Racun 1952

Menurut Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM, Akta Racun 1952 (Akta 366) digubal bagi mengawal pengimportan, pemilikan, pengilangan, penyimpanan, penjualan dan penggunaan racun.

Jenis-jenis racun yang berada di bawah kawalan akta ini termasuk bahan-bahan yang digunakan untuk tujuan perindustrian, perubatan dan pertanian.

Berdasarkan senarai racun dalam Jadual Pertama, nikotin tersenarai di bawah Akta Racun 1952 (Akta 366) seperti produk cecair atau gel nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Akta 366 ini memperuntukkan kawalan pengendalian racun termasuk ubat-ubatan yang dikendalikan oleh pengamal perubatan, doktor haiwan atau doktor pergigian.

Hanya ahli farmasi atau doktor yang diberikan kuasa sahaja dibenarkan menjual bahan-bahan ini.

Ini bermakna bahan racun yang disenaraikan mengikut akta 366 hanya boleh diperoleh melalui pengamal perubatan mengikut preskripsi yang ditetapkan.

 

Sejarah Pengecualian Nikotin Daripada Akta Racun

Pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 pernah terjadi sebanyak dua kali sebelum ini. 

  1. Tahun 2004 : Produk rokok biasa dan produk hasil tembakau telah dikecualikan daripada Senarai Racun dan diletakkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT), Akta Makanan 1983.

  2. Tahun 2022 : Produk yang mengandungi nikotin bagi tujuan rawatan Penggantian Nikotin (NRT) dikecualikan daripada akta tersebut supaya memudahkan produk itu dimiliki oleh perokok yang ingin berhenti merokok dan ia seterusnya dikawal oleh Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 & Akta Jualan Dadah 1952.

Seterusnya, terbaharu pada 1 April 2023, nikotin sekali lagi dikecualikan daripada Akta Racun 1952 namun tidak dinyatakan ia diawasi oleh mana-mana peraturan untuk mengawal bahan cecair atau gel yang digunakan dalam rokok elektronik atau vape ini.

 

Poster Public Health Malaysia

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti video tular.

Video terbabit memaparkan tangkap layar hantaran Public Health Malaysia berkenaan ‘Cecair Vape Kini Halal di Malaysia’.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, kami membuat carian di Facebook menggunakan kata kunci ‘Vape Halal’.

Hasilnya, kami temui hantaran berserta poster Public Health Malaysia seperti yang tertera dalam video tular itu.

 


Sumber: Facebook Public Health Malaysia

 

Kanak-kanak Bawah Umur Mempunyai Akses Kepada Nikotin

Menurut hantaran itu, tiada sebarang kawalan cecair vape dikenakan pada sesiapa termasuk kanak-kanak yang mana mereka juga boleh menjual, membeli dan mempromosikan vape.

Selain itu, mengecualikan nikotin daripada Akta Racun sebelum meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan menyebabkan kanak-kanak mendapat akses tanpa halangan kepada produk vape yang mengandungi nikotin.

Hantaran itu mendapat lebih 1,700 komen, lebih 6,400 tanda suka dan dikongsi lebih 6,000 pengguna media sosial.

Public Health Malaysia adalah sebuah platform penyampaian maklumat mengenai perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam yang memfokuskan kepada pencegahan, perlindungan dan promosi kesihatan.

 

Pembikinan Vape Tidak Terjaga

Kami turut menjumpai hantaran lain oleh Medical Mythbusters Malaysia yang turut menyuarakan tidak setuju mereka mengenai pengecualian itu.

 


Sumber: Facebook Medical Mythbusters Malaysia

 

Ia berikutan sediaan cecair atau gel vape yang dikeluarkan daripada akta berkenaan tidak diletakkan di bawah mana-mana akta semasa (undang-undang semasa) bagi tujuan kawalan produk vape tersebut.

Medical Mythbusters Malaysia adalah sebuah gagasan yang terdiri daripada anggota perubatan bertauliah bagi menangkis dan menjawab pelbagai isu berkenaan perubatan di Malaysia.

Berdasarkan hantaran  itu, mereka menyenaraikan perkara-perkara yang tidak dikawal setelah pengecualian itu dilaksanakan :

  1. Tiada kawalan isi kandungan.

  2. Tiada kawalan iklan promosi.

  3. Tiada kawalan pembungkusan.

  4. Tiada pendaftaran produk.

  5. Tiada syarat pengilang harus mempunyai pensijilan GMP (pharmaceutical)

  6. Tiada syarat keperluan pengisytiharan (declaration/notification) pada bahan isi kandungan. 

  7. Tiada had kepekatan (mg) nikotin yang dibenarkan.

  8. Tiada had umur.

  9. Tiada larangan untuk meniru produk bahan makanan.

  10. Tiada syarat larangan perisa yang dibenarkan.

Perkara ini bermakna setiap pembuatan cecair vape tidak lagi dipantau atau dikawal selia dan ia berkemungkinan memberi kesan bahaya kepada masyarakat.

Untuk menelusuri isu ini dengan lebih mendalam, kami membuat carian bagi mendapatkan kenyataan rasmi daripada KKM.

 

KKM Gubal RUU Baharu

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Melalui kenyataan rasmi KKM di Facebook, kementerian itu telah mengecualikan produk nikotin cecair atau gel di dalam rokok elektronik dan vape daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 melalui pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023.

Susulan itu menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu akan dibentangkan bertujuan untuk memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan semua produk rokok bernikotin.

RUU tersebut dijangka akan dibentangkan dengan segera iaitu pada Mei 2023 dan kerajaan akan mempergiatkan lagi kempen advokasi kesedaran bahaya merokok melalui Pelan Generation Endgame Anti Rokok (GEGAR) bagi pencegahan merokok di sekolah dan institusi tinggi.

 

MOF Mengenakan Duti Eksais

Selari dengan itu, kami turut menemui kenyataan daripada MOF di Facebook rasminya.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Kenyataan itu memaklumkan berkenaan pelaksanaan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Ia dilaksanakan sebagai usaha tidak menggalakkan penggunaan vape yang mana kerajaan telah mengumumkan cadangan ini semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas.

Menurut MOF, langkah ini juga bertujuan membolehkan kerajaan mencukai industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

Duti eksais itu berkuat kuasa pada 1 April 2023 melalui Perintah Duti Eksais (pindaan) 2023.

Seterusnya, duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap milimeter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan dalam vape.

Separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada KKM sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Bagi pemain industri vape pula, diberi masa bermula 1 April 2023 hingga 30 April 2023 untuk tempoh mendaftar aktiviti pengilangan vape kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pendaftaran awal dalam tempoh ditetapkan ini boleh mengelakkan pengilang dikenakan kompaun atas kesalahan lewat berdaftar serta bagi memastikan pematuhan industri yang menyeluruh serta pengutipan cukai berjalan lancar menjelang Mei 2023.

 

Pandangan Pakar-Pakar Kesihatan

Kami juga menemukan pandangan lain mengenai pengecualian tersebut.

Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, perkara ini sebaiknya ditangguhkan dahulu.

Ia kerana RUU baharu mengenai kawal seliaan nikotin dalam cecair rokok elektronik atau vape perlu dibentangkan dan diluluskan dahulu sebelum membuat sebarang pengecualian.

Beliau mengatakan tindakan tersebut seakan buru-buru kerana pembentangan RUU baharu itu tidak lama lagi iaitu pada bulan hadapan.

Selain itu, kami juga turut menemui perkongsian seorang doktor perubatan, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris  yang menyatakan kos rawat penyakit yang disebabkan rokok elektronik atau vape adalah tinggi berbanding cukai yang diterima.

Walaupun terdapat banyak cukai yang diberikan kepada KKM, namun kos rawatan dan proses rehabilitasi juga besar kerana melibatkan penggunaan alat perubatan yang tidak boleh ditampung oleh anak muda.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai benar iaitu sediaan cecair atau gel bagi rokok elektronik atau vape dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 sebagai usaha tidak menggalakkan penggunaannya.

Ia juga selari dengan kenyataan rasmi daripada KKM yang akan membentangkan RUU baharu bagi mengawal bahan merokok mengandungi nikotin pada Mei hadapan.

Bagaimanapun, tindakan mengeluarkan bahan ini daripada akta terbabit mendapat reaksi ramai pihak ekoran keputusan ini agak terburu-buru kerana tiada undang-undang semasa yang mengawal penjualan atau pembuatan vape ini kepada orang ramai.

Tidak dapat disangkal lagi, penggunaan vape dalam masyarakat Malaysia semakin meningkat begitu juga pemain industri yang semakin rancak mengeluarkan pelbagai perisa dan jenis vape bagi memenuhi permintaan tanpa kawalan.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan, isu penjualan vape yang berpanjangan ini tidak akan berkesudahan jika tiada undang-undang yang utuh dan mampan untuk mengawalnya.

Malah dari tahun ke tahun, walaupun sebelum ini nikotin tersenarai dalam akta racun namun penjualan ini masih juga berleluasa apatah lagi kini tiada akta khas mengawal penjualannya.

Justeru, isu ini perlu ditangkis segera bermula daripada akar umbi sehingga di peringkat atasan untuk bersama-sama duduk semeja bagi mendapatkan pelbagai sudut perspektif.

Ia sekali gus memastikan setiap buah fikiran yang diterima daripada pelbagai pihak adalah yang terbaik umpama kata pepatah memerah nyiur, santan diambil hampas dibuang yang bermaksud mendengar nasihat atau pandangan orang, hendaklah dipilih mana yang baik dan benar dan yang buruk dibuang.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Tiktok - Mr.shafiqazizan

  2. LAWS OF MALAYSIA ACT 366 POISONS ACT 1952 (REVISED - 1989)

  3. LAWS OF MALAYSIA

  4. Warta Kerajaan Akta Makanan 1883 peraturan kawalan 2004

  5. Produk gantian nikotin dikategorikan bukan racun berkuat kuasa mulai 6 Oktober 2022

  6. Facebook - Public Health Malaysia 

  7. Medical Mythbusters Malaysia 

  8. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

  9. Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

  10.  Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS),

  11. Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.