Terdapat tawaran mudah memenangi wang tunai dengan cara kongsi pautan untuk menebus ganjaran wang tunai sempena ulang tahun ke-50 Singapore Airlines.
Sumber : WhatsApp & Twitter / Mac 2023
Tawaran tersebut merupakan teknik penipuan dalam talian menggunakan modus operandi ‘phishing’ atau memancing data.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
'Jom sertai kami, komen, kongsi dan menang!' atau 'Anda berpeluang menangi hadiah wang tunai dengan dua langkah mudah, komen dan kongsi!'
Pernahkah anda mendapat mesej di aplikasi WhatsApp, terbaca di majalah, surat khabar, iklan di televisyen, radio atau di media sosial seperti ini?
Lebih-lebih lagi ada rakan-rakan atau saudara mara yang berkongsi kegembiraan mereka setelah memenangi wang tunai bernilai ratusan ringgit.
Testimoni sudah ada, jadi benarkah semudah itu mendapat duit terpijak?
Namun pernahkah kita berfikir sejenak sama ada peraduan seumpama ini benar-benar menguntungkan atau sebaliknya?
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima maklumat yang mendakwa orang ramai boleh mendapat wang tunai yang ditawarkan oleh pihak Singapore Airlines dengan hanya berkongsi laman sesawang yang diberikan seperti gambar berikut.
Berdasarkan maklumat dalam tangkap layar seperti yang tertera, alamat laman sesawang yang bertanda anak panah merah kelihatan seperti laman web rasmi Singapore Airlines.
Tetapi, pautan yang perlu anda tekan seperti dalam ruangan bertanda kotak merah kelihatan berbeza daripada pautan laman web rasmi Singapore Airlines.
Kami sertakan tangkap layar laman rasmi syarikat penerbangan tersebut seperti berikut.
Disebabkan itu, pemerhatian awal berdasarkan maklumat pada tangkap layar dakwaan tersebut menimbulkan persoalan sama ada tawaran tersebut benar-benar wujud atau tidak?
Apa pun jangan terburu-buru, biar kami semak untuk anda terlebih dahulu ya!
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck mula mengumpul maklumat dengan klik pada pautan ke laman sesawang yang disertakan dalam mesej yang diterima untuk mendapatkan kepastian.
Apa yang dapat dilihat adalah seperti berikut.
Tawaran Kongsi Dan Tebus Wang Tunai
Apabila kami klik pada pautan yang dikongsi itu, ia membawa kepada satu laman sesawang lain yang kelihatan seperti laman rasmi Singapore Airlines.
Menurut laman tersebut, sempena Sambutan ke-50 Tahun syarikat penerbangan itu, individu yang melawati halaman berkenaan memenangi hadiah wang tunai bernilai RM2,000.
Sebelum mendapat hadiah yang dinyatakan, seseorang itu perlu mengikut arahan pada halaman seterusnya untuk menebus hadiah wang tunai tersebut.
Syaratnya, perlu berkongsi (share) tawaran berkenaan kepada lima kumpulan (WhatsApp) atau 20 orang rakan lain dengan cara menekan butang kongsi yang tertera sebelum menekan butang tebus hadiah yang dijanjikan.
Nampak mudah dan amat berbaloi sekiranya mendapat wang tunai berkenaan kan? Tentulah ramai yang mencuba nasib. Bak kata pepatah untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Nilai RM2,000 itu sudah pasti banyak membantu bagi mereka yang benar-benar kesempitan.
Laman Tersebut Bukan Daripada Singapore Airlines
Namun, ketika kami sekali lagi cuba untuk melihat ‘tawaran menarik’ itu dengan kembali ke laman tersebut menerusi pautan yang diberikan, ia tidak lagi dapat diakses.
Apa yang tertera adalah This page has been removed. Anda boleh lihat di sini.
Bagaimanapun, kami tidak berhenti atau berpuas hati setakat itu sahaja.
Kami seterusnya membuat semakan serta perbandingan domain bagi laman web rasmi Singapore Airlines dan alamat laman sesawang yang menawarkan wang tunai tersebut.
Tujuannya bagi melihat ketulenan alamat laman sesawang peraduan kongsi dan tebus wang tunai itu adalah benar-benar milik Singapore Airlines ataupun tidak.
Kami sertakan tangkap layar hasil semakan yang diperoleh seperti berikut.
Rajah tersebut menunjukkan laman tersebut adalah palsu dan bukan daripada syarikat penerbangan berkenaan yang didakwa menawarkan ganjaran wang tunai itu.
Maklumat pemilikan domain dalam kotak berwarna kuning menunjukakn ia adalah laman palsu.
Anda boleh melihat perbezaan maklumat tertera antara kedua-dua domain berkenaan.
Jelas kelihatan daftar organisasi bagi laman yang bertanda kotak merah adalah milik Singapore Airlines sementara pemilik organisasi bagi maklumat dengan tanda kotak kuning adalah tidak diketahui identitinya.
Maklumat Daripada Sumber Rasmi Singapore Airlines
Bagi mengukuhkan lagi maklumat yang kami semak, MyCheck seterusnya sekali lagi membuat pengesahan dengan mencari maklumat di laman rasmi Singapore Airlines.
Menurut laman rasmi Singapore Airlines itu, pihaknya ada memaparkan amaran jenayah siber yang cuba menyamar sebagai entiti penerbangan berkenaan untuk memperdaya orang ramai berkongsi atau mendedahkan segala butiran peribadi yang sensitif kepada pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.
Kenyataan sama turut dimuat naik di laman Facebook rasmi Singapore Airlines.
Semakan MyCheck juga mendapati taktik penipuan siber yang menyamar sebagai syarikat penerbangan tebabit sudah bermula sejak beberapa tahun lepas. Nampaknya ia bukan helah baharu!
Disebabkan itu, orang ramai dinasihatkan agar menitikberatkan beberapa perkara untuk melindungi data peribadi mereka daripada disalah guna antaranya, sentiasa semak bagi memastikan alamat laman sesawang yang dilayari adalah sahih iaitu www.singaporeair.com.
Isu Serupa Turut Disemak Oleh Penyemak Fakta Indonesia
Jenayah atau penipuan siber yang menjerat orang ramai dengan cara yang tidak kita sedari ini ternyata bergerak secara global.
MyCheck dapati isu sama turut dilaporkan oleh badan penyemak fakta dari Indonesia iaitu Liputan6.
Jika dilihat modus operandi yang digunakan adalah sama.
Laman sesawang yang berwajah sama itu turut menawarkan wang tunai bernilai RP 2 juta malah laporan disediakan Liputan6 itu telah diterbitkan pada 2021.
Persoalan dibangkitkan Liputan6 dalam semakan mereka juga mencurigai adakah benar tawaran ulang tahun ke-50 Singapore Airlines? Mengikut faktanya syarikat penerbangan tersebut telah ditubuhkan pada 1947.
Ini jelas membuktikan sekiranya tawaran hadiah wang tunai itu berlegar di dalam kumpulan WhatsApp anda sekitar tahun ini ia sememangnya palsu kerana syarikat Singapore Airlines sepatutnya menyambut ulang tahun ke-76 tahun ini.
Terdapat Modus Operandi Sama Menggunakan Nama Singapore Airlines
Nampaknya, kegiatan jenayah penipuan memancing data yang mengaitkan syarikat penerbangan tersebut atau menyamar menjadi Singapore Airlines bukan setakat ‘cerita’ tawaran wang tunai sempena ulang tahun syarikat berkenaan.
Menurut laporan TheStraitTimes Singapore yang diterbitkan pada 2019 terdapat dakwaan bahawa Singapore Airlines menawarkan tiket penerbangan percuma sempena ulang tahun ke-70 kepada orang ramai.
Taktik yang sama digunakan dan disebarkan menerusi WhatsApp namun ‘hadiah’ yang ditawarkan sahaja berlainan.
Tawaran seumpama ini memang terlalu menarik untuk diabaikan lebih-lebih lagi bagi yang betul-betul memerlukan, tetapi rupanya ada udang di sebalik batu!
KESIMPULAN
Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul, MyCheck kategorikan dakwaan ini sebagai tidak benar.
Mesej berangkai yang disebarkan itu tiada kaitan dengan syarikat Singapore Airlines.
Tawaran seperti dalam mesej yang tular itu hanyalah taktik penyamaran bagi kegiatan jenayah siber bagi memancing data atau maklumat peribadi orang awam atau lebih dikenali sebagai ‘phishing scam’.
Kegiatan mencuri data peribadi ini biasanya berakhir dengan kehilangan wang tunai dalam akaun simpanan tanpa disedari mangsa atau juga mengaut untung dengan cara menjual data peribadi individu kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah-jenayah lain yang melibatkan urusan perniagaan secara dalam talian.
Jadi pesan kami di MyCheck agar orang ramai tidak mudah teruja dengan tawaran menarik yang menjanjikan keuntungan lumayan dengan terlalu mudah.
Norma manusia apabila terlalu teruja kita akan bertindak tanpa memikirkan akibat dan gopoh untuk mencuba nasib serta menekan pautan yang merupakan ‘umpan’ penjenayah siber.
Ingat! Perlu ada curiga dan biasakan diri untuk menyemak fakta terlebih dahulu agar tidak mudah tertipu.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
It’s a HOAX, the Singapore Airlines 50th Anniversary Celebration Survey | weehingthong
Celebrating our 50th Anniversary from London|Singapore Airlines UK
Cek Fakta: Hoaks Singapore Airlines Bagikan Uang Rp 2 Juta Dalam Rangka Ultah ke-50
Singapore Airlines warns of phishing scam promising free plane tickets | The Straits Times
Don't fall for the convincing WhatsApp scam offering you FREE plane tickets | The Sun
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.