+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minuman Ringan Jenama Bundaberg Tidak Halal? Pembuatannya Meragukan Dan Tiada Sijil Pengesahan Halal Daripada Jakim

Benarkah...

Minuman ringan jenama Bundaberg tidak halal diminum dan diletakkan di rak barangan tidak halal di kedai serta pasar raya.

Sumber : Twitter/ Mac 2023

Hasil

Minuman berkenaan tidak mendapat pengiktirafan halal daripada Jakim atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

06/04/2023 02:49 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu dakwaan bahawa minuman ringan jenama Bundaberg dari Australia tidak halal.
  • Ia berikutan minuman itu diletakkan di bahagian tidak halal di rak sebuah pasar raya.
  • Bahagian Hab Halal Jakim sahkan produk berkenaan tidak memiliki sebarang pengesahan halal daripada Jakim atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.


Sumber: MyCheck Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Sejak kebelakangan ini kita sering melihat pelbagai iklan mengenai produk makanan atau minuman yang ditandakan sebagai ‘pork free’ (bebas khinzir) dan bebas alkohol.

Penandaan sebegitu menarik orang ramai terutamanya umat Islam yang menyangkakan produk berkenaan adalah halal.

Walaupun tiada sebarang logo atau pengesahan halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ada sesetengah produk dijual dan diletakkan di bahagian halal yang menambahkan lagi kekeliruan orang ramai.

Namun ada juga produk yang dahulunya dikatakan halal dan menjadi kegemaran ramai umat Islam kini ditukar dan ditandakan dengan tidak halal.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Twitter

 

Tular di Twitter berhubung status halal air minuman ringan jenama Bundaberg.

Ia berikutan satu akaun iaitu Jabatan Netizen Malaysia telah memuat naik ciapan mempersoalkan adakah minuman itu halal diminum kerana diletakkan di rak bahagian tidak halal di sebuah pasar raya.

Jakim dan Direktori Halal Malaysia turut diminta memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Selain ciapan berkenaan, kami turut menemukan hantaran yang hampir sama di laman Facebook antaranya di sini, di sini, di sini dan di sini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Latar Belakang Syarikat Bundaberg

Sebelum MyCheck membuat semakan lanjut, kami turut mencari latar belakang pemilik dan syarikat yang mengeluarkan minuman ringan ini.

Menurut laman sesawang syarikat bundaberg.com, syarikat berkenaan diasaskan pada 1960 oleh keluarga Flemings di satu kawasan dikenali sebagai Bundaberg, Queensland, Australia.

Pada 1968, pasangan suami isteri, Neville and Gladys Fleming bersama anak lelaki, Cliff dan menantu, Lee Fleming telah membeli sebuah syarikat pengeluar botol minuman dan penapaian iaitu Electra Breweries (Bundaberg) Pty Ltd.

Lima tahun kemudian, mereka memindahkan operasi daripada Electra Street kepada lokasi terkini iaitu di 147 Bargara Road, Bundaberg, Queensland, Australia.

Syarikat berkenaan memperluaskan penghasilan “Ginger Beer” ke seluruh Australia dan New Zealand selepas mereka diberi hak pengedaran minuman ringan.

Pada 1987, keluarga Fleming mula mengimport “Ginger Beer” ke seluruh dunia dan menukar nama kepada syarikat kepada ‘Bundaberg Brewed Drinks’.

Sehingga kini, minuman ringan jenama Bundaberg sudah dieksport ke lebih 61 negara di seluruh dunia meliputi beberapa benua seperti Oceania, Asia, Eropah selain Kepulauan Caribbean selain Amerika Syarikat.

 

Cara Minuman Bundaberg Dihasilkan

Pasti ramai tertanya bagaimana minuman Bundaberg ini dihasilkan.

Menurut syarikat tersebut, minuman ini dibuat dengan cara dibru semula jadi. Mereka membru halia, buah-buahan atau rempah sehingga tujuh hari.

Disebabkan kesemua minuman Bundaberg dibru secara semula jadi, terdapat sedikit kandungan alkohol yang terhasil daripada proses tersebut.

Minuman Bundaberg dibru menggunakan yis yang akan menyebabkan proses fermentasi atau penapaian berlaku dan proses ini kemudiannya menghasilkan alkohol sebagai produk sampingannya.

Menurut Bundaberg, campuran minuman tersebut akan dipanaskan sehingga lebih 70 darjah Celcius untuk membunuh yis, menghentikan proses penapaian dan sekali gus menyingkirkan kandungan alkohol.

Akhirnya, hanya kurang dari 0.2 peratus hingga 0.5 peratus sisa alkohol yang terkandung di dalam minuman tersebut.

Minuman dengan kandungan alkohol kurang dari 0.5 peratus boleh dilabel sebagai minuman tidak beralkohol mengikut klasifikasi Australia.

Kesemua jenis minuman Bundaberg, termasuk Ginger Beer dan Root Beer, adalah dilabel minuman tidak beralkohol.

Bundaberg menyatakan mereka tidak menghasilkan sebarang produk minuman beralkohol.

 

Adakah Alkohol Dan Arak Sama?

MyCheck mengambil inisiatif untuk menjelaskan hal ini. Mengapa kami kaitkan alkohol dan arak dalam isu ini?

Hal ini kerana produk minuman berkenaan menggunakan perkataan “Ginger Beer” sekali gus menggambarkan ia seolah-olah seperti bir atau arak.

Menurut laman maklumat yang terdapat di laman sesawang Universiti Malaysia Pahang (UMP), alkohol adalah satu kata nama induk yang merangkumi pelbagai jenis alkohol seperti metanol, etanol, propanol, sorbitol dan lain-lain.

Secara lebih khusus, jenis alkohol yang terdapat di dalam arak ialah etanol atau dikenali juga dengan nama etil alkohol.

Ia terhasil daripada proses fermentasi (penapaian) menggunakan glukosa daripada sumber karbohidrat seperti jagung, barli dan pelbagai bijirin serta buah-buahan yang boleh membawa kepada mabuk.

Menurut UMP, etanol bukan hanya terdapat di dalam minuman yang memabukkan, malahan berada dalam pelbagai makanan dan minuman yang telah melalui proses penapaian seperti tempe, kicap, tempoyak, tapai dan lain-lain.

Namun kadar peratusan dalam makanan dan minuman adalah rendah dan tidak memabukkan.

Selain itu,etanol juga boleh dihasilkan secara sintetik melalui makmal, namun masyarakat umum perlu mengetahui bahawa etanol bukanlah arak tetapi setiap yang memabukkan mengandungi etanol.

Dari sudut hukum fiqah (pengetahuan tentang hukum dalam agama Islam), etanol tidak dianggap sebagai najis kecuali diambil daripada arak.

Sekiranya ia diperoleh daripada sumber lain seperti daripada proses fermentasi yang dibuat semata-mata untuk penghasilan etanol bagi kegunaan industri atau terhasil melalui kaedah sintetik, ia adalah suci tetapi tidak boleh diminum kerana boleh memudaratkan.

 


Sumber: news.ump.edu.my

 

Bundaberg Sahkan Tiada Perakuan Halal?

Kami seterusnya menatal lanjut laman sesawang syarikat Bundaberg dan meneliti di bahagian soalan dan jawapan.

Tanpa mengambil masa yang lama kami menemukan kenyataan daripada pihak syarikat itu mengenai status halal produk minuman mereka.

Menurut syarikat berkenaan, minuman tersebut tidak mendapat sijil Halal atau Kosher kerana tidak menerima permintaan yang banyak.

 


Sumber: bundaberg.com

 

Mengapa Ramai Menyatakan Ia Halal?

Jika anda menatal media sosial, anda akan menemukan hantaran daripada pengguna termasuk masyarakat Islam yang mengakui suka dan sering minum minuman ini.

Ramai juga berpendirian bahawa minuman ini diyakini halal.

Bahkan sebuah platform membeli belah dalam talian, ifmal.com turut mendakwa minuman ringan berkenaan halal diminum umat Islam kerana kandungan alkohol kurang daripada 0.05 peratus.

Selain itu, beberapa laman sesawang lain seperti thehalallife.co.uk, imanupdate.com dan islamqa.org turut menyenaraikan minuman ringan jenama Bundaberg sebagai minuman halal.

Jadi adakah ia sebenarnya diiktiraf halal di negara ini?

 

Semakan Direktori Halal Malaysia

Bagi mengetahui lanjut, MyCheck melakukan semakan di laman sesawang Direktori Halal Malaysia.

Kami dapati produk minuman ringan berkenaan diedarkan oleh dua syarikat berbeza di negara ini iaitu SCC Marketing (M) Sdn. Bhd dan Choon Hua Trading Corporation Sdn. Bhd.

Namun, kami tidak menemui sebarang perakuan daripada Direktori Halal Malaysia yang menyatakan bahawa kedua-dua syarikat berkenaan telah memperoleh sijil pengesahan Halal Malaysia bagi minuman ringan berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa produk keluaran SCC Marketing (M) Sdn. Bhd mendapat sijil pengesahan Halal Malaysia sehingga Februari 2025.

Jadi apa status sebenar produk minuman Bundaberg?

 

Pengesahan Jakim

Bagi membuat pengesahan, MyCheck menghubungi Bahagian Hab Halal Jakim menerusi WhatsApp bagi mendapat penjelasan berhubung status sebenar produk minuman ini.

Menurut Bahagian Hab Halal Jakim, produk berkenaan tidak mendapat pengiktirafan halal daripada Jakim.

“Bahagian ini telah menerima banyak pertanyaan khususnya daripada para pengguna di media sosial berkaitan status halal minuman jenama Bundaberg. Ia berikutan penularan gambar penandaan tidak halal pada produk minuman jenama berkenaan.

“Berdasarkan semakan Bahagian ini, produk berkenaan tidak memiliki sebarang penandaan atau pengesahan halal daripada Jakim atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim,” menurut Bahagian Hab Halal Jakim.

Malahan, Bahagian Hab Halal Jakim turut memaklumkan bahawa syarikat Bundaberg sendiri turut mengesahkan bahawa produk mereka tidak pernah memiliki sijil halal sebagaimana yang dipaparkan pada bahagian soalan dan jawapan di laman sesawang syarikat berkenaan.

“Penjelasan berkaitannya turut dijawab oleh pihak syarikat minuman jemana berkenaan melalui laman rasmi mereka di https://www.bundaberg,com/fags/ dengan pernyataan berikut :

"Our products have not been Halal or Kosher Certified due to the small number of requests we receive."

(Produk kami tidak disahkan halal disebabkan tidak menerima permintaan yang banyak).

Kami kongsikan tangkap layar perbualan MyCheck dan Bahagian Hab Halal Jakim.

 


Sumber: MyCheck Malaysia

 

Penjelasan KPDN Berhubung Penandaan Tidak Halal Pada Produk Minuman

Bagi mendapatkan penjelasan mengenai penandaan tidak halal pada produk minuman Bundaberg pula, MyCheck menghubungi pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut jurucakap KPDN, produk minuman Bundaberg tidak memperoleh sijil pengesahan Halal Malaysia disebabkan ia tidak mendapat kelulusan daripada pihak Jakim.

“Mana-mana pengilang perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada Jakim untuk mendapatkan sijil halal, manakala di pihak kementerian, kita hanya akan meluluskan pengeluaran penandaan halal sesuatu produk setelah disahkan halal oleh pihak Jakim sendiri.

“Pihak kementerian kebiasaannya akan mengambil tindakan ke atas mana-mana kedai yang menyalahgunakan logo halal standard yang diiktiraf oleh Jakim berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011,” jelasnya.

 

Pandangan Pakar Mengenai Pensijilan Halal


Sumber: Facebook

 

Kami turut menatal beberapa informasi mengenai produk minuman berjenama Bundaberg di laman sosial bagi mendapatkan jawapan dari sudut pandangan Islam mengenai minuman ringan berkenaan.

Hasilnya, kami menemukan satu pandangan menarik daripada seorang pensyarah universiti iaitu Dr Mohd Mahyeddin Mohd Salleh yang mengupas status halal minuman berkenaan.

Beliau  yang merupakan Ketua Program (Ijazah Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi hantaran di Facebook menjelaskan minuman jenama Bundaberg tidak mendapat sijil pengesahan halal di negara ini disebabkan beberapa faktor.

Faktor pertama adalah bahan pengawet yang digunakan untuk menghasilkan minuman berkenaan adalah daripada sumber yang meragukan atau bahasa mudahnya, sumber bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan minuman berkenaan boleh menimbulkan keraguan.

Berdasarkan label pembungkusan botol minuman berkenaan, kami mendapati terdapat beberapa bahan pengawet yang digunakan seperti sodium benzoate, asid sitrik dan asid askorbik.

Mohd Mahyeddin turut mendedahkan faktor lain adalah disebabkan label pembungkusan botol minuman berkenaan tertulis perkataan yang menyamai istilah arak iaitu 'Ginger Beer' dan ia memberi takrifan yang boleh mengelirukan umat Islam bahawa minuman ringan berkenaan adalah sejenis minuman keras atau arak.

Berdasarkan manual prosedur pensijilan halal Malaysia (semakan ketiga) 2014 antara kriteria tidak layak memohon sijil pengesahan halal Malaysia merangkumi produk yang menggunakan nama atau sinonim dengan produk tidak halal atau istilah yang mengelirukan seperti ham, bak kut teh, bacon, beer, rum, hotdog, charsiew dan seumpama dengannya.

 


Sumber: halal.gov.my

 

Mohd Mahyeddin menjelaskan faktor ketiga minuman berkenaan tidak mendapat sijil pengesahan halal adalah disebabkan tiada ujian khusus dijalankan oleh syarikat pengeluar minuman tersebut untuk mengukur paras kehadiran alkohol sebelum dijual kepada pengguna.

“Kebiasaannya produk berasaskan tumbuhan/buah ini akan ada proses penapaian (fermentasi) di dalamnya. Kalau kadar itu melebihi 0.1% maka ia tidak dibenarkan. Syarikat perlu buat testing di lab (makmal) dahulu utk (untuk) tahu kadar ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata faktor seterusnya adalah cara produk minuman berkenaan dihasilkan juga boleh dipersoalkan kerana sekiranya kaedah pengeluaran minuman berkenaan menyerupai arak walaupun tidak mempunyai kandungan alkohol, ia tidak layak mendapat sijil pengesahan halal.

Mohd Mahyeddin membuat kenyataan di atas dengan merujuk isu sebuah jenama arak jenama minuman keras iaitu Heineken yang mengeluarkan sejenis minuman tidak beralkohol namun tidak mendapat sijil pengesahan halal.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kehalalan sesuatu produk minuman bukan sahaja diukur dari sudut bahan ramuannya ialah 'non animal origin' atau bukan bersumberkan haiwan, tetapi juga perlu dipastikan kandungan alkohol di dalamnya tidak melebihi kadar yang dibenarkan oleh standard halal iaitu di bawah 0.05 peratus.

 

Penjelasan Berhubung Produk Menyerupai Arak

Kami turut merujuk kepada laman sesawang pejabat mufti Wilayah Persekutuan mengenai produk minuman yang menyerupai arak.

Laman sesawang berkenaan turut memetik beberapa keputusan yang dikeluarkan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011.

Kami mendapati terdapat dua pandangan berbeza yang boleh dikaitkan dalam isu ini iaitu minuman ringan yang diproses atau dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras satu peratus adalah harus (boleh) diminum.

Satu lagi keputusan iaitu minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan ini adalah benar kerana produk minuman jenama Bundaberg tidak mendapat sijil pengesahan Halal Malaysia.

Malahan syarikat Bundaberg menerusi laman sesawang mereka turut mengesahkan bahawa produk mereka sendiri tidak mendapat pengiktirafan halal.

Selain itu, penggunaan “Ginger Beer” jelas mengelirukan umat Islam kerana seolah-olah menyerupai arak, sekali gus menyebabkan ia tidak sesuai diminum umat Islam di negara ini.

Walaupun terdapat pelbagai dakwaan daripada pelbagai laman sesawang bahawa produk minuman berkenaan adalah halal, namun kami berpandangan ia tidak sesuai diminum oleh umat Islam di negara ini berdasarkan pengesahan daripada Jakim dan syarikat Bundaberg sendiri bahawa produk mereka tidak halal.

Nasihat kami semak dahulu sebarang label produk makanan dan minuman sebelum melakukan sebarang pembelian.

Sekiranya anda musykil dengan status halal sesuatu produk, elakkan membelinya dan cuba cari produk yang hampir sama yang telah mendapat pengesahan halal daripada pihak berwajib.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter Jabatan Netizen Malaysia

  2. Facebook Muhammad Isfarizal Al Qodahi

  3. Facebook Meydora Rose

  4. Facebook Fiza Abd

  5. Facebook Hadiana Sujadi

  6. laman sesawang Bundaberg.com

  7. Beza antara Alkohol dan Arak.Diterbitkan oleh Universiti Malaysia Pahang

  8. laman sesawang pejabat mufti Wilayah Persekutuan

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.